Tag: Tapak perkhemahan

  • Tanah runtuh Batang Kali insiden kedua terbesar libatkan jumlah mangsa maut

    Tanah runtuh Batang Kali insiden kedua terbesar libatkan jumlah mangsa maut

    KEJADIAN tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali dekat sini pada 16 Dis lepas merupakan kejadian kedua terbesar melibatkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1993 yang mengorbankan 48 nyawa.

    Tragedi pada kira-kira pukul 2.30 pagi 16 Dis itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.

    Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak, dengan 20 mayat ditemukan di sektor A, satu sektor B dan 10 lagi di sektor C di kawasan perkhemahan tersebut.

    Menurut Komander Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Mohd Khairul Jamil ketika menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan, pihaknya agak terkejut apabila diberitahu jumlah mangsa yang terlibat adalah 100 orang.

    “Kebiasaannya sebelum ini kejadian runtuhan hanya melibatkan seramai tiga atau empat orang mangsa, bila diberitahu 100 orang mangsa terlibat dalam kejadian pada hari itu ia amat mengejutkan saya.

    “Kemudian saya mengarahkan satu pasukan 10 anggota yang diketuai oleh Ketua Sektor Heavy USAR SMART, Mohamad Hafiezul Abdul Halim ke lokasi kejadian. Kejadian di Batang Kali ini merupakan kejadian kedua terbesar melibatkan mangsa yang terkorban selepas Highland Towers,” katanya dalam “Rancangan Apa Khabar Malaysia” terbitan Bernama TV hari  ini.

    Dalam pada itu Mohamad Hafiezul berkata peranan pasukan beliau di lokasi kejadian adalah untuk memberi bantuan dari segi kepakaran dan khidmat nasihat agar kerja-kerja mencari dan menyelamat dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

    Beliau berkata antara alatan yang dibawa oleh pasukannya pada hari pertama kejadian adalah “structural movement sensor” yang mengawasi pergerakan tanah yang boleh membahayakan pasukan penyelamat.

    “Antara lain pasukan kami juga yang memberi nasihat agar jentera berat digunakan dalam kerja mencari susulan ketebalan tanah yang dianggarkan sehingga 20 meter,” katanya. – BERNAMA

  • Tanah runtuh: Operasi SAR ditamatkan secara rasmi 12 tengah hari – KPN

    Tanah runtuh: Operasi SAR ditamatkan secara rasmi 12 tengah hari – KPN

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di sini, yang bermula 16 Dis lepas, ditamatkan secara rasmi pada 12 tengah hari ini.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata keputusan berkenaan dibuat setelah polis mengesahkan tiada lagi mangsa yang terlibat atau hilang dalam kejadian itu.

    “Polis memuktamadkan mangsa tanah runtuh yang terlibat adalah seramai 92 orang iaitu masing-masing 61 selamat dan 31 meninggal dunia.

    “Hanya urusan teknikal sahaja masih diteruskan di lokasi kejadian melibatkan agensi seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Ukur dan Pemetaan, Jabatan Mineral dan Geosains dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK), di sini, hari ini.

    Mangsa terakhir tragedi tanah runtuh berkenaan iaitu seorang kanak-kanak lelaki dipercayai berusia antara 7 hingga 12 tahun, ditemukan oleh pasukan SAR pada 4.35 petang semalam, dalam keadaan telungkup di tebing bukit, kira-kira empat meter dari tapak perkhemahan sektor A (hill view).

    Sementara itu Acryl Sani berharap, operasi kali ini menjadi satu templat atau pencontoh yang boleh diguna pakai oleh agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana untuk menghadapi sebarang kejadian seumpama itu pada masa akan datang. 

    “Saya percaya ini adalah satu-satunya operasi yang menyaksikan setiap agensi memainkan peranan yang sesuai seperti digariskan oleh Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN 20) (Panduan Pengurusan Bencana di Malaysia), jadi tiada pertindihan ketika menjalankan tugas,” katanya. 

    Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan penghargaan kepada pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kerana telah menganjurkan pelbagai kursus melibatkan pengurusan bencana yang membantu agensi-agensi penyelamat untuk lebih memahami peranan masing-masing.

    Acryl Sani juga berharap agar pihak NADMA dapat menganjurkan table talk secara berkala melibatkan semua agensi yang terlibat dalam MKN 20 bagi memastikan kelancaran pengurusan operasi bencana pada masa hadapan. 

    Dalam kejadian awal pagi 16 Dis lepas, seramai 92 mangsa terlibat dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah sehingga menimbus kawasan perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya.

    Mangsa yang terkorban terdiri daripada 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak termasuk seorang bayi berumur setahun. 

    Operasi sepanjang sembilan hari itu dijalankan oleh lebih 250 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk lima agensi utama kerajaan iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

    Operasi turut dibantu oleh unit anjing pengesan (K9) selain penggunaan jentera berat dengan kawasan pencarian dibahagikan kepada tiga sektor iaitu sektor A (hill view), sektor B (farm view) dan sektor C (river side).

    Secara keseluruhan, 20 mayat ditemukan di sektor A, satu di sektor B dan 10 lagi di sektor C. – BERNAMA

  • Penutupan jalan setahun resahkan penduduk Batang Kali

    Penutupan jalan setahun resahkan penduduk Batang Kali

    PENUTUPAN jalan B66 Batang Kali-Genting Highlands selama setahun susulan tragedi tanah runtuh dekat sini, ternyata meresahkan banyak pihak terutama peniaga dan pengusaha hotel di Batang Kali, selain mereka yang menggunakan laluan berkenaan untuk ke tempat kerja di Genting Highlands. 

    Mana tidaknya, Batang Kali, sebuah bandar yang terletak di Hulu Selangor dan berdekatan dengan simpang menuju pusat peranginan utama negara itu, disifatkan penduduk sebagai ‘bandar Rehat dan Rawat (RnR)’ untuk orang ramai singgah menjamu selera atau menginap sebelum meneruskan perjalanan ke pantai timur atau utara termasuk ke Genting Highlands. 

    Pengurus sebuah hotel di sini, Riduan Adnan ketika ditemui Bernama berkata jalan berkenaan sering menjadi laluan alternatif bagi pemandu dari utara yang keluar menerusi Tol Tanjung Malim, seterusnya melalui Genting Highlands untuk ke pantai timur atau sebaliknya.

    Riduan yang telah menetap di Batang Kali sejak 2012 berkata selain itu, hotelnya turut menjadi pilihan pengunjung terutamanya ketika musim cuti persekolahan memandangkan hotel-hotel di sekitar Genting Highlands agak mahal.

    “Di Hulu Selangor ini, antara bandar yang paling ‘hidup’ ialah Batang Kali, sekali gus menjadikannya tumpuan utama tempat persinggahan bagi mereka yang ingin bercuti ke Genting Highlands namun tidak mampu mengeluarkan bajet yang besar.

    “Atas faktor itu, ramai yang memilih untuk singgah dan menginap di bandar ini kerana jaraknya yang lebih dekat ke Genting Highlands, iaitu kira-kira setengah jam, selain harga makanan di sini yang lebih murah berbanding ‘di atas” (Genting Highlands),” katanya.

    Pemerhatian Bernama mendapati bandar berkenaan meskipun adalah sebuah bandar kecil, namun mempunyai banyak kemudahan seperti stesen minyak, bank, hotel-hotel bajet, restoran makanan segera, restoran makanan Melayu yang menawarkan harga agak murah.

    Riduan berpendapat kesan penutupan jalan tersebut mungkin belum dirasai sekarang namun akan hanya dirasai setelah beberapa bulan oleh semua pihak termasuk pengusaha restoran di sini selain akan menyaksikan jumlah pengunjung ke kawasan itu semakin berkurangan susulan penutupan jalan bagi kerja-kerja pembaikan cerun.

    Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman pada Selasa dilapor berkata jalan Batang Kali-Genting Highlands ditutup selama setahun bagi kerja-kerja pemulihan cerun.

    Berikutan penutupan itu, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif iaitu jalan (B113 Jalan Batang Kali-Ulu Yam sehingga ke B23 Jalan Ulu Yam-Batu Caves) atau melalui laluan utama (FT1001 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh).

    Pengusaha restoran di sini, Mohd Yasin Abu Bakar turut menzahirkan kerisauannya terhadap kesan ke atas perniagaannya yang sebelum ini menjadi lokasi persinggahan orang ramai sama ada dari pantai timur atau utara yang melalui laluan Batang Kali-Genting Highlands.

    “Sebelum ini, premis saya menjadi tempat persinggahan orang ramai untuk makan terutamanya mereka yang turun dari Genting Highlands. Saya berharap kerajaan fikirkan satu solusi sebab kami para peniaga pun perlu fikirkan juga pelbagai kos untuk dibayar seperti gaji dan sebagainya,” katanya.

    Ramai pihak bagaimanapun menyifatkan jalan alternatif tersebut adalah jauh, memakan masa, tenaga dan kos berikutan perlu melalui perjalanan sejauh 90 kilometer (km) dan mengambil masa lebih satu jam setengah untuk sampai ke Genting Highlands berbanding kira-kira 30 minit dengan jarak perjalanan sejauh 30km jika melalui jalan yang kini ditutup.

    Melalui pemerhatian di media sosial pula, pengguna Facebook Nurul Amyra mengakui jalan alternatif agak jauh untuk berulang alik bekerja kerana perlu melalui Gombak untuk ke Genting Highlands, manakala pemilik akaun bernama Siti Noor Rahimaniza mencadangkan jalan Batang Kali-Genting Highlands hanya dibuka kepada pekerja di pusat peranginan itu.

    “Buka jalan untuk staf Genting sahaja, kalau susah sangat, suruh majikan buat surat dan polis boleh jaga simpang Batang Kali di bawah…buat macam PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dulu…yang bekerja saja bagi lepas ikut jalan itu,” kata Siti Noor.

    Selain itu, terdapat juga cadangan dari penduduk sekitar yang meminta kerajaan memberi kelonggaran kepada kenderaan ringan seperti motosikal untuk kemudahan penduduk yang tinggal di sekitar Batang Kali berulang alik ke tempat kerja di Genting Highlands.

    Malah, Bernama turut difahamkan ketika ini terdapat juga pekerja di pusat peranginan berkenaan yang terpaksa mencari tempat tinggal sementara di Genting Highlands atau menginap di hostel yang disediakan majikan buat sementara waktu.

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Batang Kali Harumaini Omar ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya akan berbincang bersama agensi terlibat seperti Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Majlis Perbandaran Hulu Selangor mengenai perkara berkenaan.

    Beliau berkata ini adalah bagi mencari penyelesaian dan kaedah terbaik dan selamat untuk pengguna jalan berkenaan terutama yang bekerja di Genting Highlands.

    Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas (16 Dis) di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, setakat ini menyaksikan 30 nyawa terkorban, seorang lagi mangsa masih hilang dan 61 orang terselamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang terlibat. – BERNAMA

  • Empat lagi mayat mangsa tragedi tanah runtuh ditemui

    Empat lagi mayat mangsa tragedi tanah runtuh ditemui

    EMPAT lagi mayat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali di Hulu Selangor ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pagi ini.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui kenyataan di Facebook sebentar tadi mengesahkan perkara itu.

    Penemuan kesemua mayat itu menjadikan jumlah korban tragedi itu kini 30 orang dengan tiga lagi mangsa masih hilang.

    Berita Harian difahamkan, empat mayat terkini ditemukan itu membabitkan dua kanak-kanak serta dua dewasa termasuk seorang wanita.

    “Pagi ini petugas SAR telah berjaya menemui empat lagi mayat yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh Father’s Organic Farm,” katanya.

    Dalam pada itu, satu sidang media berkenaan perkara berkenaan akan diadakan pihak bomba dan polis di lokasi dalam masa terdekat.

    Setakat semalam, seramai 26 mangsa disahkan terkorban manakala 61 selamat dan tujuh masih hilang.

    Hari ini, genap tujuh hari kejadian tanah runtuh menimpa tapak perkhemahan berkenaan dan operasi SAR digerakkan.

  • Tanah runtuh: Mayat ibu, anak ditemui berpelukan

    Tanah runtuh: Mayat ibu, anak ditemui berpelukan

    MAYAT mangsa ke-17 dan ke-18 kejadian tanah runtuh di Batang kali ditemui di bawah runtuhan dekat tepi sungai, pukul 4.40 petang tadi.

    Lapor Berita Harian, mangsa ditemui berpelukan ialah pasangan ibu dan anak perempuan berusia kira-kira tiga tahun.

    Kedua-dua mangsa dipercayai berkhemah di kawasan berhampiran tetapi pergerakan tanah menolak mangsa berhampiran sungai.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berkata, penemuan mayat dua beranak itu menjadikan mangsa yang masih dikesan 15 orang.

    “Seramai 230 pegawai dan anggota JBPM dari Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan akan meneruskan pencarian sehingga malam ini.

    “Operasi mencari dan menyelamat akan dihentikan sekiranya cuaca tidak mengizinkan,” katanya.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah dijadual mengadakan sidang media petang ini.

  • Nekad korek tanah dengan tangan selamatkan ibu dan bayi tertimbus

    Nekad korek tanah dengan tangan selamatkan ibu dan bayi tertimbus

    SEORANG mangsa kejadian tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, di Hulu Selangor, awal pagi tadi nekad menggunakan tangannya mengorek tanah bagi mengeluarkan seorang wanita dan bayinya yang tertimbus.

    Lelaki berusia 30-an yang tidak mahu dikenali itu berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama dua anaknya dan isteri sedang tidur di dalam khemah di lokasi tanah runtuh.

    Katanya yang berasal dari Melaka, kejadian berlaku ketika dia bersama dua anaknya dan isteri sedang tidur di dalam khemah di lokasi tanah runtuh.

    “Kita tak nampak, kita dalam khemah tengah tidur, sekali bunyi sangat kuat. Nasib saya punya khemah yang akhir sekali, ada sedikit terseliuh di kaki sebab lari.

    “Ketika kejadian, kami dengar bunyi sahaja, semua mangsa yang selamat keluar angkat lampu suluh, semua cari mangsa yang tertimbus,” katanya ketika menceritakan detik cemas itu kepada Astro Awani di Balai Polis Ulu Yam hari ini.

    Kata lelaki itu lagi, dia dan rakannya dapat menyelamatkan seorang wanita dan bayinya yang turut tertimbus.

    “Tengok berapa lama kita boleh, kita korek tanah, korek tanah sampai kita nampak kepala wanita, kita pun tak tahu dia siapa.

    “Nampak wanita itu boleh bernafas, wanita itu kata jangan selamatkan saya, selamatkan bayi saya.

    “Kita pun korek sebelah kawasan tu, kita korek selepas itu ternampak seorang bayi, saya dan kawan saya kemudian tarik keluar bayi itu. Nasib baik dapat selamat, ibu dia pun turut serta korek tanah,” katanya lagi.

    Tambah lelaki itu, dua anaknya dan isterinya berjaya melarikan diri ketika kejadian dan tiada kecederaan dialami mereka.

    Sementara itu, pekerja kebun sayur warga Myanmar yang turut menjadi mangsa, Thawng Uk, 35, berkata dia tersedar dari tidur selepas asrama mereka dirempuh sebahagian runtuhan tanah.

    “Tengah tidur, tanah runtuh terkena rumah kami, selepas itu kami lari. Bunyi sangat kuat, dalam rumah ada 13 orang semua pekerja.

    “Saya pegang lampu suluh, kami lari di sebelah jalan raya,” katanya ketika ditemui.

    Jelas Uk, kawasan perkhemahan terletak kira-kira 15 minit dari rumah mereka.

    “Kita lari, tiada hujan ketika itu tapi bunyi sangat kuat. Di sini ada kebun, ada sungai, rumah kita di sebelah, kita lari di tepi jalan raya.

    “Khemah-khemah itu 15 minit dari rumah kami, agak jauh,” tambahnya.

  • Tapak perkhemahan terlibat tanah runtuh beroperasi secara haram

    Tapak perkhemahan terlibat tanah runtuh beroperasi secara haram

    MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tiga tapak perkhemahan yang terbabit dalam kejadian runtuhan cerun di Jalan Batang Kali-Goh Tong dikenal pasti beroperasi secara haram sejak 2020.

    Jelas beliau, ketiga-tiga tapak berkenaan sebaliknya hanya memiliki Kebenaran Merancang untuk aktiviti pertanian organik yang diluluskan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) pada 2019.

    Justeru beliau menegaskan, pengusaha tapak perkhemahan berkenaan dikenal pasti melanggar peruntukan di bawah Akta Jalan Saliran dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tiga tahun atau denda maksimum RM50,000.

    “Kerajaan akan ambil tindakan tegas (ke atas pengusaha). Kedaulatan undang-undang adalah Rukun Negara kita, tiada siapa yang boleh melangkaui undang-undang.

    “Malah, tindakan ini bukan hanya tertakluk kepada pengusaha tapak ini, sebaliknya akan diperluas ke seluruh negara. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh mengeluarkan kompaun manakala Pejabat Peguam Negara (AGC) akan membuat pertuduhan di mahkamah.

    “(Semua pengusaha tapak perkhemahan tidak berlesen diminta) hentikan operasi masing-masing, segera mohon lesen sebelum tindakan diambil,” katanya pada sidang media di sini, hari ini, lapor Berita Harian.

    Semua tapak perkhemahan tepi sungai diarah tutup

    Dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming sudah mengarahkan semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi di seluruh negara diarah tutup selama tujuh hari, berkuat kuasa serta-merta.

    Beliau berkata, arahan berkenaan sudah dikeluarkan kepada 155 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pagi tadi, susulan ramalan hujan lebat berterusan selama lima hari ekoran Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku esok.

    “Saya tidak mahu lihat lagi kejadian seperti ini berulang. Semua tapak perkhemahan di tepi sungai, air terjun dan lereng bukit yang berbahaya akan dikosongkan selama tujuh hari sehingga kerajaan keluar arahan baharu,” katanya.

  • Lebih 20 guru SJKC Mun Choong dan keluarga antara mangsa tanah runtuh

    Lebih 20 guru SJKC Mun Choong dan keluarga antara mangsa tanah runtuh

    LEBIH 20 guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong dari Jalan Ipoh Kuala Lumpur dan ahli keluarga mereka, disahkan antara ratusan mangsa tanah runtuh perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik, Father’s Organic Farm, di Gohtong Jaya, awal pagi tadi.

    Menurut Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Mun Choong, U Chin Ong, berdasarkan maklumat yang diterimanya setakat ini, beberapa guru yang berjaya diselamatkan pihak berkuasa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.

    “Selain HKL, ada guru dipindahkan ke Balai Polis Hulu Yam Bharu untuk menerima rawatan daripada petugas HKL.

    “Saya bergegas dari Selayang ke balai ini untuk mendapatkan maklumat terbaharu.

    “Ada seorang guru wanita bersama bayinya masing-masing menangis ketika dirawat tadi, nasib baik mereka hanya cedera ringan. Saya juga ada bawa susu untuk bayi itu,” katanya ketika ditemui di balai terbabit, hari ini, lapor Berita Harian.

    Chin Ong berkata, guru terbabit bersama keluarga mereka mengambil keputusan untuk bercuti dengan mendirikan khemah di ladang terbabit, selama tiga hari sejak Rabu lalu.

    “Mereka berkhemah sempena cuti persekolahan hujung tahun. Mereka patut pulang ke kediaman masing-masing pagi ini.

    “Guru terbabit bercuti di ladang itu kerana berasakan kawasan itu selamat dan rata. Ada dua kem di kawasan itu, kejadian tanah runtuh teruk di kem satu,” katanya.

    Sementara itu, beberapa petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dilihat membawa beberapa keperluan asas seperti makanan, pakaian, lampin dan selipar untuk mangsa di balai polis berkenaan.

    Petugas HKL pula sibuk merawat mangsa dengan memeriksa tekanan darah dan membalut luka mereka.

  • Mangsa tanah runtuh dengar bunyi seperti letupan, bumi bergerak

    Mangsa tanah runtuh dengar bunyi seperti letupan, bumi bergerak

    SEORANG mangsa tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali awal pagi ini mendakwa mendengar bunyi letupan kuat dan bumi seolah-olah ‘bergerak’ ketika kejadian itu berlaku.

    Menurut Leong Jim Meng, 57, dia dan keluarganya yang sedang bercuti tidak menyangka kejadian seumpama itu akan berlaku kerana sejak beberapa hari ini tidak hujan lebat, sebaliknya hanya hujan renyai.

    Katanya yang kini ditempatkan di Balai Polis Hulu Yam Bharu, mereka sedang tidur ketika kejadian itu berlaku pukul 2 pagi manakala keadaan terlalu gelap menyukarkan mereka melihat kejadian secara jelas.

    “Saya dan keluarga terperangkap apabila tanah menutupi khemah kami. Kami kemudian sempat meloloskan diri ke kawasan parkir dan menghubungi pihak berkuasa. Mereka tiba agak cepat iaitu 30 minit kemudian.

    “Ada lebih 100 mangsa terperangkap dalam tanah runtuh itu, namun kami sekeluarga berjaya menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di balai polis terbabit, lapor Berita Harian.

    Seorang lagi mangsa, Teh Lynn Xuan, 22, berkata dia mendirikan khemah di Zon B Hilltop bersama lebih 40 lagi orang.

    “Malangnya adik lelaki meninggal dunia akibat kejadian itu dan seorang lagi dimasukkan ke hospital.

    “Kami dapat rasa khemah mula tidak stabil dan dijatuhi tanah. Nasib baik saya sempat keluar khemah dan pergi ke tempat lebih selamat. Saya dan ibu berjaya merangkak keluar serta menyelamatkan diri.

    “Ada kanak-kanak dan bayi meninggal dunia, kejadian itu berlaku terlalu cepat,” katanya.

    Sementara itu, pekerja Father’s Organic Farm, Thawng Uk, 35, berkata dia dan 12 rakan sekerjanya berjaya menyelamatkan diri daripada kejadian tanah runtuh itu.

    “Namun, ada seorang cedera pada kaki dan ditempatkan di hospital. Saya dan 11 lagi pekerja selamat.

    “Kejadian tanah runtuh itu amat menakutkan dan saya trauma dengan apa yang berlaku,” katanya.

    Setakat jam 11 pagi, polis mengesahkan 9 maut, manakala 60 mangsa berjaya diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh terbabit.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis pula dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pukul 2.24 pagi.

    Beliau berkata, ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan sebesar tiga ekar (1.21 hektar).

  • Tanah runtuh Batang Kali: 25 dikhuatiri masih hilang, 9 maut setakat 10.41 pagi

    Tanah runtuh Batang Kali: 25 dikhuatiri masih hilang, 9 maut setakat 10.41 pagi

    SEKURANG-kurangnya sembilan individu maut manakala 60 lagi mangsa selamat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali awal pagi ini.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam satu kenyataan berkata, setakat pukul 10.41 pagi seramai 94 orang mangsa terlibat dalam kejadian itu.

    Katanya, usaha mencari dan menyelamat 25 lagi mangsa dikhuatiri tertimbus masih diteruskan.

    “Setakat jumlah mangsa yang ditemui, 60 orang dalam keadaan selamat dan dukacita 9 mangsa laporkan meninggal dunia.

    “Usaha mencari dan menyelamat 25 lagi mangsa diteruskan,” kata Nadma dalam kenyataan terkini.

    Anggota penyelamat mengeluarkan mangsa tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali. FOTO PASUKAN MENCARI DAN MENYELAMAT KHAS MALAYSIA

    Kira-kira pukul 2 pagi ini, satu kejadian tanah runtuh dilaporkan di Fathers Organic FARM, Batang Kali, Kuala Selangor yang telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan tersebut.

    Menurut Jurucakap Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Selangor, daripada jumlah yang maut, seorang daripadanya sudah dikenal pasti sebagai wanita dewasa manakala dua lagi adalah kanak-kanak manakala identiti mereka yang terkorban masih belum dikenal pasti.

    Kejadian tanah runtuh tersebut berlaku setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan 0.4 hektar.

    Antara agensi terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).