Tag: tanah runtuh Batang Kali

  • Tanah runtuh Batang Kali: Angka maut meningkat 13 orang

    Tanah runtuh Batang Kali: Angka maut meningkat 13 orang

    ANGKA kematian akibat tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dekat jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands pagi tadi dilaporkan meningkat kepada 13 orang.

    Angka kematian terkini setakat pukul 11 pagi itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

    Antara yang maut termasuk kanak-kanak, seorang lelaki dan enam wanita.

    Menurutnya, tiga daripada tujuh mangsa yang cedera dalam kejadian itu di hantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu bagi mendapatkan rawatan.

    Katanya, tiga mangsa di hantar ke Hospital Selayang manakala seorang lagi mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pukul 2.24 pagi.

    Beliau berkata, ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan sebesar tiga ekar (1.21 hektar).

  • Pahang hantar pasukan penyelamat, sukarelawan – Wan Rosdy

    Pahang hantar pasukan penyelamat, sukarelawan – Wan Rosdy

    MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pasukan penyelamat dan sukarelawan dari negeri itu akan dihantar segera ke kawasan tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dekat jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands.

    Beiau berkata, ia bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri masih tertimbus tanah runtuh.

    “Saya menerima perkhabaran berita yang mengejutkan mengenai tragedi tanah runtuh yang telah berlaku di sebuah tapak perkhemahan berhampiran Father Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor awal pagi tadi.

    “Susulan kejadian itu, saya telah mengarahkan pasukan penyelamat dan sukarelawan dari Pahang untuk segera ke kawasan tragedi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

    Mengulas lanjut, Wan Rosdy turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati untuk mengadakan sebarang aktiviti perkhemahan sama ada di kawasan tanah tinggi atau di berhampiran sungai.

    Katanya, ia bagi mengelakkan kejadian buruk daripada berlaku terutama ketika musim tengkujuh.

    “Saya berdoa semoga kita semua dilindungi oleh Allah SWT daripada sebarang bentuk musibah dan malapetaka,” katanya.

    Setakat pukul 11 pagi, polis mengesahkan 9 maut, manakala 60 mangsa berjaya diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh terbabit.

  • Mangsa tanah runtuh dengar bunyi seperti letupan, bumi bergerak

    Mangsa tanah runtuh dengar bunyi seperti letupan, bumi bergerak

    SEORANG mangsa tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali awal pagi ini mendakwa mendengar bunyi letupan kuat dan bumi seolah-olah ‘bergerak’ ketika kejadian itu berlaku.

    Menurut Leong Jim Meng, 57, dia dan keluarganya yang sedang bercuti tidak menyangka kejadian seumpama itu akan berlaku kerana sejak beberapa hari ini tidak hujan lebat, sebaliknya hanya hujan renyai.

    Katanya yang kini ditempatkan di Balai Polis Hulu Yam Bharu, mereka sedang tidur ketika kejadian itu berlaku pukul 2 pagi manakala keadaan terlalu gelap menyukarkan mereka melihat kejadian secara jelas.

    “Saya dan keluarga terperangkap apabila tanah menutupi khemah kami. Kami kemudian sempat meloloskan diri ke kawasan parkir dan menghubungi pihak berkuasa. Mereka tiba agak cepat iaitu 30 minit kemudian.

    “Ada lebih 100 mangsa terperangkap dalam tanah runtuh itu, namun kami sekeluarga berjaya menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di balai polis terbabit, lapor Berita Harian.

    Seorang lagi mangsa, Teh Lynn Xuan, 22, berkata dia mendirikan khemah di Zon B Hilltop bersama lebih 40 lagi orang.

    “Malangnya adik lelaki meninggal dunia akibat kejadian itu dan seorang lagi dimasukkan ke hospital.

    “Kami dapat rasa khemah mula tidak stabil dan dijatuhi tanah. Nasib baik saya sempat keluar khemah dan pergi ke tempat lebih selamat. Saya dan ibu berjaya merangkak keluar serta menyelamatkan diri.

    “Ada kanak-kanak dan bayi meninggal dunia, kejadian itu berlaku terlalu cepat,” katanya.

    Sementara itu, pekerja Father’s Organic Farm, Thawng Uk, 35, berkata dia dan 12 rakan sekerjanya berjaya menyelamatkan diri daripada kejadian tanah runtuh itu.

    “Namun, ada seorang cedera pada kaki dan ditempatkan di hospital. Saya dan 11 lagi pekerja selamat.

    “Kejadian tanah runtuh itu amat menakutkan dan saya trauma dengan apa yang berlaku,” katanya.

    Setakat jam 11 pagi, polis mengesahkan 9 maut, manakala 60 mangsa berjaya diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh terbabit.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis pula dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pukul 2.24 pagi.

    Beliau berkata, ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan sebesar tiga ekar (1.21 hektar).

  • Tanah runtuh Batang Kali: 25 dikhuatiri masih hilang, 9 maut setakat 10.41 pagi

    Tanah runtuh Batang Kali: 25 dikhuatiri masih hilang, 9 maut setakat 10.41 pagi

    SEKURANG-kurangnya sembilan individu maut manakala 60 lagi mangsa selamat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali awal pagi ini.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam satu kenyataan berkata, setakat pukul 10.41 pagi seramai 94 orang mangsa terlibat dalam kejadian itu.

    Katanya, usaha mencari dan menyelamat 25 lagi mangsa dikhuatiri tertimbus masih diteruskan.

    “Setakat jumlah mangsa yang ditemui, 60 orang dalam keadaan selamat dan dukacita 9 mangsa laporkan meninggal dunia.

    “Usaha mencari dan menyelamat 25 lagi mangsa diteruskan,” kata Nadma dalam kenyataan terkini.

    Anggota penyelamat mengeluarkan mangsa tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali. FOTO PASUKAN MENCARI DAN MENYELAMAT KHAS MALAYSIA

    Kira-kira pukul 2 pagi ini, satu kejadian tanah runtuh dilaporkan di Fathers Organic FARM, Batang Kali, Kuala Selangor yang telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan tersebut.

    Menurut Jurucakap Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Selangor, daripada jumlah yang maut, seorang daripadanya sudah dikenal pasti sebagai wanita dewasa manakala dua lagi adalah kanak-kanak manakala identiti mereka yang terkorban masih belum dikenal pasti.

    Kejadian tanah runtuh tersebut berlaku setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan 0.4 hektar.

    Antara agensi terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

  • Tanah Runtuh Batang Kali: 92 mangsa ditemui, 8 maut setakat 9.15 pagi

    Tanah Runtuh Batang Kali: 92 mangsa ditemui, 8 maut setakat 9.15 pagi

    SEKURANG-kurangnya lapan individu maut manakala tujuh lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali awal pagi ini.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam satu kenyataan berkata, setakat pukul 9.15 pagi seramai 92 orang mangsa telah ditemui.

    “Setakat pukul 9.15 pagi, seramai 92 orang mangsa telah ditemui. Hasil siasatan mendapati 53 mangsa yang ditemui selamat, 7 mangsa cedera dan 8 mangsa disahkan meninggal dunia.

    “Sehingga kini operasi SAR (mencari dan menyelamat) masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Kira-kira pukul 2 pagi ini, satu kejadian tanah runtuh dilaporkan di Fathers Organic FARM, Batang Kali, Kuala Selangor yang telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan tersebut.

    Menurut Jurucakap Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Selangor, daripada jumlah yang maut, seorang daripadanya sudah dikenal pasti sebagai wanita dewasa manakala dua lagi adalah kanak-kanak manakala identiti mereka yang terkorban masih belum dikenal pasti.

    Kira-kira 7 pagi tadi, laporan awal dari Balai Polis Gohtong Jaya memaklumkan 36 orang yang terselamat ditempatkan di Balai Polis Ulu Yam Bharu dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu, dekat sini untuk tindakan lanjut.

    Maklumat awal pihak polis menyebut 100 orang dikhuatiri terperangkap selepas tapak perkhemahan mereka terlibat dengan kejadian runtuhan tanah yang dianggarkan setinggi 30 meter, awal pagi tadi.

    Usaha mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan dengan pelbagai aset digerakkan ke lokasi kejadian.

    JBPM turut menerbangkan dron di sekitar lokasi kejadian untuk melihat bentuk muka bumi dalam misi penyelamatan.

    Kejadian tanah runtuh tersebut berlaku setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan 0.4 hektar.

    Antara agensi terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Difahamkan, seramai 79 pengunjung dan 15 pekerja tapak perkhemahan berada di lokasi semasa kejadian.