Tag: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

  • Pulau Batu Puteh: Rakyat patut tahu sebab di sebalik keputusan PH

    Pulau Batu Puteh: Rakyat patut tahu sebab di sebalik keputusan PH

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, sebab-sebab keputusan kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH) tidak meneruskan semakan semula kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan perlu dijadikan pengetahuan umum.

    Baginda menegaskan perkara itu kepada Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan kerajaan Persekutuan bagi menyemak isu-isu dan tindakan perundangan berhubung kes berkenaan.

    “Ini adalah soal kedaulatan negeri Johor. Rakyat Johor berhak untuk mengetahui mengapa kerajaan PH mengambil keputusan sedemikian,” titah baginda, hari ini.

    Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan untuk menerima laporan daripada Pasukan Petugas Khas serta taklimat yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Pengerusi Pasukan Petugas Khas, Tan Sri Mohamed Apandi Ali di Istana Polo, Johor Bahru.

    Yang turut berangkat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

    Pada 29 Oktober tahun lalu, Kabinet bersetuju membentuk pasukan berkenaan ekoran keputusan kerajaan ketika pentadbiran PH di bawah Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak meneruskan permohonan semakan semula kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2018.

    Ketika itu, Sultan Ibrahim bertitah bahawa keputusan sedemikian seolah-olah mengaku kalah sebelum memasuki gelanggang di mahkamah berkenaan, walaupun ada pertemuan bukti baharu yang memihak kepada Malaysia.

    “Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil? Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu,” soal baginda.

  • Pembukaan sempadan pergiat pemulihan sosioekonomi – Sultan Johor

    Pembukaan sempadan pergiat pemulihan sosioekonomi – Sultan Johor

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah menzahirkan kesyukuran di atas pembukaan semula sempadan Malaysia, terutamanya sempadan Johor-Singapura bermula hari ini.

    Bertitah kepada Royal Press Office (RPO), baginda bertitah, dengan pembukaan semula sempadan, ia akan merancakkan lagi usaha-usaha pemulihan negara, khususnya Johor daripada pandemik COVID-19.

    “Hubungan simbiotik dengan negara jiran kita yang terdekat akan pulih lebih baik selepas pembukaan sempadan.

    “Ia juga memberi kesan baik kepada sosioekonomi dengan keluarga dapat bersatu semula setelah lama terpisah dan semakin banyak perniagaan boleh diteruskan apabila orang ramai mula meneruskan kehidupan seperti biasa.

    “Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Singapura atas usaha keras serta kesepakatan berterusan yang membawa kepada pembukaan sempadan hari ini,” titah baginda.

    Sultan Ibrahim juga bertitah mengingatkan rakyat walaupun negara sedang memasuki fasa endemik, semua perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) asas yang telah diamalkan sepanjang tempoh pandemik.

    “Masih banyak yang belum diketahui tentang penyakit COVID dan varian-variannya serta kesan jangka masa panjang.

    “Kita mesti tetap berjaga-jaga dan terus mengamalkan tabiat-tabiat norma baharu yang telah kita sesuaikan diri sejak dua tahun lalu bagi mengurangkan risiko kepada kesihatan kita,” titah baginda.

  • Sultan Johor zahir penghargaan kepada kerajaan atas bekalan vaksin

    Sultan Johor zahir penghargaan kepada kerajaan atas bekalan vaksin

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan penghargaan baginda kepada kerajaan atas tambahan bekalan dua juta dos vaksin Covid-19 ke negeri ini bagi bulan Ogos.

    Sumbangan tersebut dibuat menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

    Titah baginda, tambahan bekalan dos vaksin itu akan mempercepatkan lagi sasaran mencapai imuniti kelompok di negeri Johor.

    “Keadaan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan rakyat amat membimbangkan. Dengan penambahan dos vaksin ini, kita berupaya melindungi orang ramai serta mempercepat sasaran imuniti kelompok.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas tambahan dua juta dos vaksin kepada Johor,” titahnya kepada Royal Press Office (RPO) dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

    Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memaklumkan tambahan bekalan dua juta dos vaksin Covid-19 itu meliputi semua jenis vaksin yang telah pun mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA).

    Vaksin berkenaan akan diagihkan ke seluruh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terdapat di negeri Johor.

    Dr. Adham dilaporkan berkata, sehingga semalam, seramai 1,362,398 orang telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Johor, manakala 540,895 individu telah menerima suntikan dua dos vaksin.

    Secara keseluruhan, sejumlah 50.2 peratus populasi dewasa di Johor sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.