SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah menzahirkan kesyukuran di atas pembukaan semula sempadan Malaysia, terutamanya sempadan Johor-Singapura bermula hari ini.

Bertitah kepada Royal Press Office (RPO), baginda bertitah, dengan pembukaan semula sempadan, ia akan merancakkan lagi usaha-usaha pemulihan negara, khususnya Johor daripada pandemik COVID-19.

“Hubungan simbiotik dengan negara jiran kita yang terdekat akan pulih lebih baik selepas pembukaan sempadan.

“Ia juga memberi kesan baik kepada sosioekonomi dengan keluarga dapat bersatu semula setelah lama terpisah dan semakin banyak perniagaan boleh diteruskan apabila orang ramai mula meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Singapura atas usaha keras serta kesepakatan berterusan yang membawa kepada pembukaan sempadan hari ini,” titah baginda.

Sultan Ibrahim juga bertitah mengingatkan rakyat walaupun negara sedang memasuki fasa endemik, semua perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) asas yang telah diamalkan sepanjang tempoh pandemik.

“Masih banyak yang belum diketahui tentang penyakit COVID dan varian-variannya serta kesan jangka masa panjang.

“Kita mesti tetap berjaga-jaga dan terus mengamalkan tabiat-tabiat norma baharu yang telah kita sesuaikan diri sejak dua tahun lalu bagi mengurangkan risiko kepada kesihatan kita,” titah baginda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here