Tag: SRC

  • Kes SRC: Najib mohon tangguh prosiding rayuan

    Kes SRC: Najib mohon tangguh prosiding rayuan

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon menangguhkan prosiding rayuan berkaitan bukti baharu dalam usahanya untuk mengetepikan sabitan dalam kes melibatkan dana SRC International Sdn Bhd, yang dijadualkan pada 15 dan 16 Mac di Mahkamah Persekutuan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul yang mengesahkan perkara itu berkata, peguam Najib telah menghantar surat kepada Mahkamah Persekutuan untuk meminta tarikh perbicaraan rayuan itu dilapangkan.

    “Pasukan pembelaan memohon penangguhan kerana mereka masih berusaha mendapatkan semua nota, bukti dan dokumen daripada perbicaraan SRC di Mahkamah Tinggi, untuk menyediakan penghujahan bertulis bagi rayuan bukti tambahan itu.

    “Bagaimanapun, mahkamah akan memaklumkan secara rasmi keputusan (penangguhan) kepada pihak-pihak terlibat dalam beberapa hari lagi,” katanya kepada media selepas prosiding secara maya yang dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Siti Hajar Mustaffa.

    Beliau berkata, mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 8 April untuk peguam Najib mengesahkan tarikh permohonan Peguam Diraja (QC) akan dibuat.

    Pada 25 Jan, 2022, firma guaman Tetuan Shafee & Co menghantar sepucuk surat enam halaman kepada sekretariat Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berhubung hasrat Najib untuk melantik QC dari United Kingdom bagi membantu bekas perdana menteri itu dalam isu dan persoalan perundangan yang kompleks dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

    Pada 7 Dis 2021, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu bagi rayuannya dengan memutuskan bahawa Najib gagal memenuhi Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman secara kumulatif bahawa bukti baharu diperlukan untuk keadilan dalam kes itu.

    Sehari selepas itu, mahkamah sama mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

    Najib kemudiannya memfailkan notis rayuan dke Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA

  • Mahkamah tolak permohonan Najib gantung prosiding saman SRC

    Mahkamah tolak permohonan Najib gantung prosiding saman SRC

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggantung prosiding saman sivil AS$1.18 bilion SRC International Sdn Bhd terhadapnya.

    Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin berkata, Najib, 68, tidak akan diprejudis jika saman itu diteruskan ketika beliau menunggu rayuan kes jenayah membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC di Mahkamah Persekutuan.

    Beliau berkata, mahkamah berpandangan bahawa keputusan rayuan dan permohonan di Mahkamah Persekutuan pada peringkat ini adalah bersifat spekulatif semata-mata.

    “Bagaimanapun, apa jua keputusan (rayuan) di Mahkamah Persekutuan tidak menghalang defendan (Najib) daripada membuat pindaan kepada tuntutannya, tertakluk kepada permohonan yang dibuat dan pendedahan pernyataan pembelaan juga tidak akan memprejudis defendan.

    “Permohonan untuk menggantung prosiding semasa sehingga tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi defendan diputuskan juga tidak dibenarkan kerana garis masa belum ditentukan. Justeru, Mahkamah berpandangan pengurusan saman ini perlu diteruskan dan adalah penting defendan memfailkan pembelaan bagi memastikan saman ini berjalan dengan efisien,” katanya pada prosiding yang berlangsung secara maya hari ini.

    Mahkamah kemudian menetapkan 24 Feb ini untuk pengurusan lanjut kes itu dan Najib turut diarah memfailkan pernyataan pembelaannya menjelang 31 Mac depan.

    Peguam Harvinderjit Singh hadir bagi pihak Najib manakala Datuk DP Naban mewakili SRC, yang merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Semasa prosiding sebelum ini, Harvinderjit berhujah bahawa Najib ingin menangguhkan prosiding saman itu sehingga pelupusan penuh kes jenayah membabitkan RM42 juta dana SRC yang kini di peringkat akhir di Mahkamah Persekutuan selain tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana syarikat itu di Mahkamah Tinggi.

    Pada 7 Mei tahun lepas, SRC di bawah pengurusan baharunya, memfailkan saman terhadap Najib serta bekas-bekas pengarah syarikat itu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.

    Bagaimanapun, syarikat itu kemudian menggugurkan keenam-enam nama daripada saman tersebut dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan.

    SRC mendakwa, Najib telah menyalah guna kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan.

    Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

    SRC, yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan selain faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Pada 7 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC selepas menolak rayuan beliau terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

    Pada hari sama, Najib memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA

  • Kes SRC: Najib mohon mahkamah dengar dahulu rayuan

    Kes SRC: Najib mohon mahkamah dengar dahulu rayuan

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon Mahkamah Persekutuan mendengar terlebih dahulu rayuan beliau berkaitan bukti baharu yang ingin dikemukakannya dalam kes membabitkan penyelewengan kira-kira RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

    Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengesahkan perkara itu, berkata ini adalah kerana bukti tersebut mungkin mempunyai kaitan penting dengan rayuan utama Najib bagi membatalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Andrin Kamarul pula berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Siti Hajar Mustaffa telah menetapkan 24 Jan sebagai tarikh pengurusan kes selanjutnya bagi rayuan utama pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian hari ini.

    Pada 7 Dis lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu bagi rayuannya dalam kes SRC.

    Sehari selepas itu, mahkamah yang sama mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 28 Julai 2020.

    Pada hari sama, Najib, 69, memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA

  • UMNO fail permohonan gantung prosiding kes saman SRC

    UMNO fail permohonan gantung prosiding kes saman SRC

    UMNO memfailkan permohonan untuk menggantung prosiding kes saman SRC International Sdn Bhd terhadap parti politik itu bagi menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada UMNO.

    UMNO selaku defendan memfailkan notis permohonan itu bersama afidavit sokongan menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Hamidi di Mahkamah Tinggi di sini, pada 24 Nov lepas.

    Menerusi afidavit sokongan, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, alasan permohonan itu antaranya defendan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Pesuruhjaya Kehakiman, Quay Chew Soon pada 10 Nov lepas, yang menolak permohonan parti politik berkenaan untuk membatalkan kes saman tersebut dan membenarkan permohonan SRC International, Gandingan Mentari dan Jendela Pinggiran selaku plaintif untuk meminda writ saman dan pernyataan tuntutan.

    “Defendan tidak berpuas hati terhadap kedua-dua keputusan itu dan telah memfailkan dua notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan pada 17 Nov.

    “Pada hari yang sama juga (10 Nov), Quay membenarkan permohonan defendan untuk penggantungan sementara (interim) prosiding tindakan itu (saman) termasuk pemfailan pernyataan pembelaan dan mengarahkan defendan memfailkan permohonan penggantungan prosiding kes saman tersebut,” kata Mohd Sumali dalam afidavit sokongan itu.

    Mohd Sumali mendakwa, tiada sebarang prejudis kepada plaintif-plaintif sekiranya mahkamah membenarkan permohonan penggantungan prosiding kes saman itu.

    “Sekiranya permohonan ini (penggantungan) tidak dibenarkan oleh mahkamah dan defendan diarahkan untuk memfailkan pernyataan pembelaan, rayuan-rayuan tersebut akan menjadi sia-sia dan akademik kerana jika rayuan-rayuan itu dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan, maka keseluruhan prosiding permohonan ini akan terbatal,” kata Mohd Sumali.

    Sementara itu, peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili UMNO ketika dihubungi Bernama selepas pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Noordura Mohamed Din, berkata, mahkamah menetapkan pendengaran permohonan penggantungan kes saman itu di hadapan Quay pada 10 Mac depan secara dalam talian.

    Prosiding hari ini disertai peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili UMNO dan Nur Syafinaz Vani Abdullah mewakili kesemua plaintif.

    Dalam tuntutan saman itu, plaintif mendakwa UMNO mengetahui bahawa wang RM16 juta itu adalah milik SRC International dan parti politik tersebut tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan.

    Pada 10 Mei lepas, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa 1MDB dan anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd telah memfailkan 22 saman bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

    Kementerian itu menyebut writ saman terbabit difailkan pada 7 Mei iaitu enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC. – BERNAMA

  • Mahkamah Malaysia terbukti bebas – Mohd Amar

    Mahkamah Malaysia terbukti bebas – Mohd Amar

    KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak membuktikan mahkamah di Malaysia bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak.

    Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah berkata, keputusan tersebut merupakan perkembangan yang positif.

    “Kalau kita melihat secara terbuka keputusan mahkamah ini membuktikan bahawa mahkamah di Malaysia bebas dan tidak dipengaruhi atau tunduk kepada tekanan mana-mana pihak.

    “Ini merupakan satu mesej yang baik kepada masyarakat dan masyarakat antarabangsa kerana isu ini melibatkan seorang yang berkedudukan tinggi dan dunia memberikan perhatian besar kepada negara kita. Ini satu perkembangan yang positif,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

    Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata demikian ketika mengulas tentang keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan bersalah terhadap Najib.

    Sebelum ini, Najib memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang mendapati beliau bersalah atas satu pertuduhan salah guna jawatan sebagai perdana menteri, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

    Semalam, panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara menolak rayuan Najib untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.

    Dua lagi hakim yang mendengar permohonan tersebut ialah Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Has Zanah Mehat.

    Walau bagaimanapun hukuman dan denda terhadap Najib ditangguhkan sementara kes dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.

    Mengulas lanjut, Mohd Amar menegaskan, keputusan tersebut jelas menunjukkan tiada campur tangan politik seperti yang didakwa pihak-pihak tertentu.

    “Kita boleh tengok daripada keputusan ini tidak ada sebarang tekanan dan campur tangan politik.

    “(Ini disebabkan) banyak pihak sebelum ini bercakap atau memberi pandangan bahawa akan berlaku campur tangan politik dalam kes ini,” jelasnya.

  • Kronologi kes Najib melibatkan dana SRC International

    Kronologi kes Najib melibatkan dana SRC International

    MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak kerana pecah amanah (CBT), salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC International) berjumlah RM42 juta.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

    Berikut adalah kronologi kes berkenaan.

    4 Julai 2018 – Najib didakwa buat pertama kali di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta. Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

    8 Ogos 2018 – Najib didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta daripada SRC International) yang merupakan hasil kegiatan haram.

    3 April 2019 – Perbicaraan bermula selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib untuk mengisytiharkan tujuh pertuduhan terhadapnya sebagai tidak sempurna.

    27 Ogos, 2019 – Pendakwaan menutup kesnya selepas 58 hari perbicaraan dan mendengar keterangan 57 orang saksi.

    11 Nov 2019 – Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan terdapat unsur menggunakan kedudukan, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

    3 Dis 2019 – Najib memberi keterangan membela diri di Mahkamah Tinggi sebagai saksi pertama pembelaan bagi menjawab pertuduhan terhadapnya.

    11 Mac 2020 – Selepas 19 saksi memberi keterangan sepanjang 33 hari, pembelaan menutup kesnya.

    28 Julai 2020 – Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah ke atas semua tujuh pertuduhan.

    19 Okt 2020 – Najib memfailkan petisyen rayuan yang mengandungi 307 alasan beliau sepatutnya dibebaskan daripada semua pertuduhan.

    5 April 2021 – Rayuan terhadap sabitan dan hukuman bermula di Mahkamah Rayuan.

    18 Mei 2021 – Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya ke satu tarikh yang ditetapkan kelak selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak yang berlangsung selama 15 hari.

    23 Nov 2021 – Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Dis untuk keputusan rayuan itu. Najib memfailkan permohonan supaya ditangguhkan keputusan rayuannya kerana perlu menjalani kuantin kendiri selama tujuh hari sehingga 12 Dis setelah kembali dari Singapura dan hanya boleh hadir di mahkamah atau perhimpunan awam mulai 13 Dis.

    24 Nov 2021 – Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya.

    2 Dis 2021 – Najib Tun Razak memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan supaya membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuannya termasuk daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

    3 Dis 2021 – Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Dis untuk mendengar permohonan memasukkan bukti baharu.

    7 Dis 2021 – Mahkamah menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding permohonannya dan keputusan rayuan yang ditetapkan pada 8 Dis berikutan peguam pasukan pembelaan menjadi kontak kasual dengan individu yang disahkan positif COVID-19.

    8 Dis 2021 – Keputusan rayuan Najib dijalankan secara dalam talian kerana Najib dan peguamnya menjalani kuarantin.

    Peguam utama Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata mereka akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan hari ini. – BERNAMA

  • Rayuan Najib gagal, Faiz botak kepala tunai nazar

    Rayuan Najib gagal, Faiz botak kepala tunai nazar

    SELEPAS Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman menunaikan nazar dengan membotakkan kepala.

    Memetik laporan Malaysiakini, beliau menunaikan nazar itu demi integriti, rakyat dan negara.

    “Ya. Demi integriti, rakyat dan negara,” katanya ringkas melalui pesanan dalam aplikasi WhatsApp.

    Terdahulu, panel tiga hakim dipengerusikan oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara menolak rayuan Najib untuk membatalkan keputusan terdahulu berhubung kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Najib memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang mendapati beliau bersalah atas satu pertuduhan salah guna jawatan sebagai perdana menteri, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menggesa agar khidmat polis pengiring kepada Najib ditamatkan segera.

    “Najib telah memalukan Malaysia, memalukan nama besar Almarhum Tun Abdul Razak, memalukan agama dan bangsa.

    “Satu saja, perkhidmatan polis pengiring kepada Najib harus ditamatkan dengan serta merta.

    “Jangan terus menerus aibkan polis kita dengan memaksa mereka mengiring penjenayah seolah-olah dia VVIP. Jaga maruah polis,” katanya dalam hantaran Facebook.

  • Hujah ‘derma Arab’ tidak dapat dipertahankan – Hakim

    Hujah ‘derma Arab’ tidak dapat dipertahankan – Hakim

    MAHKAMAH Rayuan berpandangan dakwaan resit derma daripada keluarga diraja Arab Saudi adalah bukti yang tidak dapat dipertahankan dalam perbicaraan penyelewengan RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

    Memetik laporan Malaysiakini, dalam penghakiman yang dibaca hari ini, panel hakim berkata, ini kerana bukti menunjukkan RM42 juta berasal daripada SRC International dan berakhir di akaun bank peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    “Keduanya, dakwaan derma Arab yang masuk dan keluar dari akaun perayu sekitar 2013 adalah sebelum RM42 juta dari SRC ke akaun bank perayu.

    “Yang ketiga, dakwaan kemasukan (tranche) kedua daripada derma Arab pada 2014 berjumlah kira-kira RM49 juta sahaja, termasuk RM5 juta yang tiada kaitan dengan dakwaan derma Arab, yang telah habis digunakan kecuali kira-kira RM6 juta, adalah sebelum kemasukan RM42 juta ke dalam akaun perayu dari SRC.

    “Bukti menunjukkan yang sejak akhir 2014 hingga awal 2015, kira-kira RM136 juta telah digunakan oleh perayu walau beliau percaya hanya RM49 juta yang masuk, menurut (apa yang didakwa sebagai) surat Arab keempat.

    “Maka, kami setuju dengan hujah pendakwa yang bijaksana yang keadaan berhubung surat Arab keempat jelas menunjukkan yang ia adalah palsu dan perayu tidak sejujurnya percaya yang RM49 juta datang daripada keluarga diraja Arab,” kata para hakim.

    Dakwaan derma daripada keluarga diraja Arab Saudi itu merupakan penjelasan utama Najib terhadap jumlah wang dalam akaunnya antara 2011 dan 2015.

    Ketika perbicaraan, pihak pendakwaan berhujah yang Najib menerima RM42 juta daripada tiga syarikat – Gandingan Menteri Sdn Bhd, Ihsan Perdana Sdn Bhd, dan Putra Perdana Construction Snd Bhd – yang mendapat wang daripada SRC International.

    SRC International ditubuhkan pada 2011 dan sepatutnya terlibat dalam pelaburan berkaitan kepentingan strategik, seperti tenaga dan sumber asli.

    Pada masa itu, Najib menjadi penasihat emeritus menerusi kedudukannya sebagai Perdana Menteri. SRC International kemudian meyakinkan mesyuarat Kabinet, yang dipengerusikan Najib, untuk menjamin pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

    Setakat ini, SRC International tidak menunjukkan sebarang pulangan.

    Panel hakim Mahkamah Rayuan juga menyangkal hujah pembelaan Najib yang beliau tidak tahu RM42 juta tersebut adalah milik SRC International dan dia telah ditipu oleh Jho Low dan beberapa pihak lain.

    “Namun, seperti yang disentuh oleh hakim perbicaraan yang bijaksana, bukti menunjukkan perayu ada pengetahuan yang memadai berkenaan status akaun banknya pada masa itu, atau daripada pengetahuan dan niat tidak jujur yang boleh disimpulkan, seperti yang disebut tadi, jelas menindakkan hujah ini,” kata mereka.

    Panel hakim berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah mengendalikan perbicaraan dengan wajar, dalam membuat pertimbangan terhadap bukti tersebut.

    “Selepas berbuat demikian, hakim perbicaraan yang bijaksana mendapati, dan bagi kami dengan agak tepat, yang tiga pertuduhan pecah amanah jenayah telah dibuktikan tanpa keraguan munasabah.

    “Maka, kami tidak mendapati ada sebarang kesilapan yang boleh dirayu berkaitan hakim perbicaraan yang bijaksana yang memerlukan campur tangan (intervention) mahkamah rayuan,” kata mereka lagi.

    Panel hakim ialah Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

    Pada Julai tahun lalu, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Najib bagi kesemua tujuh pertuduhan berkaitan aliran RM42 juta daripada SRC International ke akaun peribadinya.

    Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada bekas perdana menteri itu.

    Susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, Najib berkata, beliau akan membuat rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

  • Kes SRC: Tindakan Najib memalukan negara – Hakim

    Kes SRC: Tindakan Najib memalukan negara – Hakim

    MAHKAMAH Rayuan tidak dapat menerima penjelasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa semua tindakannya berkaitan SRC International Sdn Bhd adalah demi ‘kepentingan negara’.

    Memetik laporan Malaysiakini, dalam penghakiman yang dibaca hari ini, panel hakim Mahkamah Rayuan menjelaskan yang Najib terlibat secara aktif dalam memastikan SRC International mendapat pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada 2011 dan 2012.

    Najib ketika itu adalah Menteri Kewangan dan Perdana Menteri dan beliau mendapatkan kelulusan Kabinet untuk Kementerian Kewangan menjadi penjamin bagi pinjaman itu.

    Mahkamah juga yakin Najib mempunyai kawalan penuh terhadap SRC International menerusi peranan Perdana Menteri sebagai penasihat emeritus terhadap syarikat itu, yang berperanan untuk membuat pelaburan dalam sektor tenaga dan sumber negara.

    Sebaik SRC mendapat wang pinjaman itu, kata hakim, Najib menjadi ‘tidak ambil kisah’ terhadap bagaimana ia digunakan dan mengarahkan Menteri Kewangan kedua ketika itu, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah untuk tidak ‘mengambil tahu (keep off)’ terhadap syarikat itu.

    “Perlakuan perayu ini hanya menunjukkan satu perkara, iaitu sebaik saja dana diberi kepada SRC, di mana perayu ada kawalan penuh, dia bebas untuk menggunakannya untuk kepentingan peribadi.

    “Ini ditunjukkan menerusi aliran RM42 juta daripada SRC ke akaun peribadinya. Ini bukan sesuatu yang boleh dikatakan sebagai dilakukan untuk kepentingan negara.

    “Tiada kepentingan negara di sini, hanya memalukan negara,” kata hakim.

    Panel hakim ialah Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Has Zanah Mehat, dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

    Mereka berkata, adalah ‘tidak munasabah’ untuk kerajaan menjamin pinjaman terhadap syarikat berkaitan kerajaan yang tiada keupayaan untuk membuat bayaran balik mahupun membayar faedahnya.

    “Pastinya untuk ada sejumlah syarikat yang tidak mampu membayar hutang dengan kerajaan terdedah sepenuhnya dengan hutang yang diambil syarikat-syarikat ini, bukan untuk kepentingan negara.

    “Ia hanyalah pengurusan wang rakyat yang teruk,” kata mereka.

    Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menyabitkan Najib untuk tujuh pertuduhan berkaitan aliran RM42 juta daripada SRC International ke akaun peribadinya.

    Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada bekas perdana menteri itu.

    Bagaimanapun Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

  • Najib sangat kecewa keputusan Mahkamah Rayuan

    Najib sangat kecewa keputusan Mahkamah Rayuan

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau sangat kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang mengekalkan sabitan bersalahnya dalam kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

    Memetik laporan Malaysiakini, beliau juga menyatakan sudah memberi arahan kepada pasukan peguam belanya untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.

    Menegaskan kedudukannya sebagai orang Islam, Ahli Parlimen Pekan itu juga sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak bersalah..

    “Pertama saya nak nyatakan bahawa saya amat kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan berikutan keputusan itu.

    “Saya telah minta peguam untuk membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan dengan segera,” katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini.

    Sidang media itu dibuat sejurus selepas tiga hakim Mahkamah Rayuan sepakat mengekalkan sabitan bersalah ke atas Najib yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

    Panel hakim terbabit yang dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil juga sebulat suara mengekalkan hukuman yang ditetapkan ke atas Najib.

    Menurut Najib, persoalan pokok isunya itu adalah mengenai dana bernilai RM42 jua milik SRC yang dipindahkan ke peribadinya.

    “Sebagai (orang) Islam saya nak nyatakan saya pernah tidak tahu, minta, arahkan sesiapa untuk pindah RM42 juta ke akaun saya,” katanya.

    Semasa prosiding secara hibrid pagi ini, wajah Najib kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan Abdul Karim.

    Dua lagi hakim yang mendengar permohonan tersebut ialah Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Has Zanah Mehat.

    Sebelum ini Najib memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang mendapati beliau bersalah atas satu pertuduhan salah guna jawatan sebagai Perdana Menteri, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC.

    Najib, 68, adalah bekas Perdana Menteri pertama di negara ini yang didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman.

    Beliau masih berpeluang mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan.