Tag: SPRM

  • SPRM teliti dokumen pindah wang MBI Kedah RM13 juta

    SPRM teliti dokumen pindah wang MBI Kedah RM13 juta

    BEBERAPA dokumen berkaitan wang RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah yang dikatakan dipindahkan ke akaun di luar negara sedang diteliti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Memetik laporan BH, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, dokumen itu diperoleh selepas pegawainya menemui Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor di pejabatnya semalam.

    “Sebelum ini kita hanya mengetahui mengenai perkara ini melalui media sosial dan sumber luar sebelum SPRM berkunjung ke Pejabat Menteri Besar pagi semalam. Beliau memberi kerjasama yang baik.

    “Kita sudah dapatkan beberapa dokumen penting berkaitan untuk penelitian awal, namun belum ada siasatan rasmi dibuat.

    “SPRM juga belum terima sebarang laporan rasmi (berhubung pemindahan wang) daripada mana-mana pihak,” katanya, hari ini.

    Pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin, Muhammad Sanusi mendakwa wang milik MBI berjumlah RM13 juta dipindahkan ke akaun luar negara ketika Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih memegang jawatan Menteri Besar Kedah.

    Muhammad Sanusi berkata, wang berkenaan dipindahkan ke sebuah akaun bank di Kanada dan terdapat slip pemindahan masih disimpan pihaknya sebagai bukti.

    Walau bagaimanapun, Mukhriz dalam sidang media semalam, meminta Muhammad Sanusi membuat laporan polis dan kepada SPRM berhubung dakwaan itu.

    Mukhriz berkata, beliau memandang serius dakwaan terbabit kerana ia memberi gambaran buruk terhadapnya dan kerajaan negeri terdahulu ketika beliau menerajui Kedah.

  • Anggota polis mengaku tidak bersalah terima rasuah RM700

    Anggota polis mengaku tidak bersalah terima rasuah RM700

    SEORANG anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini, atas tuduhan menerima rasuah RM700 bagi membebaskan seorang lerlaki yang didapati memiliki air ketum, hujung tahun lepas. 

    Pengakuan Mohamed Syaffiq Mohamed Sidek, 32, yang berkhidmat di Bahagian Tugas Bit dan Patrol (Rondaan) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan direkodkan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain. 

    Dia didakwa menerima suapan itu antara jam 1 tengah hari dan 2 petang, 25 Dis lepas di tempat kerjanya daripada seorang lelaki yang dikatakan sebagai dorongan melepaskan rakannya yang ditahan kerana disyaki memiliki air ketum. 

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. 

    Mohamad Syaffiq, yang tidak diwakili peguam, merayu supaya jaminan RM10,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan kepada RM3,000 kerana mempunyai tempoh masa singkat untuk mengumpulkan wang selepas dimaklumkan SPRM untuk hadir ke mahkamah pada minggu lepas.  

    “Isteri saya yang bekerja sebagai jururawat akan menjadi penjamin. Saya mempunyai dua anak berusia tujuh dan tiga tahun selain menjaga ibu serta ayah. Saya mungkin digantung kerja selepas ini dan sukar untuk mencari pekerjaan baharu disebabkan COVID-19,” katanya. 

    Ahmad Zamzani membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes. 

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Sarah Zainal Abiddin.-BERNAMA 

  • 15 saksi dipanggil, pendakwaan tutup kes Peter Anthony

    15 saksi dipanggil, pendakwaan tutup kes Peter Anthony

    PIHAK pendakwaan menutup kes bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony hari ini selepas 15 saksi dipanggil memberi keterangan.

    Memetik laporan BH, Peter, 50, didakwa atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

    Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata demikian kepada Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi, selepas saksi terakhir, bekas Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Prof Dr Shariff Abd Kadir Shariff Omang, 66, yang dipanggil semula untuk pemeriksaan kedua-dua pihak selesai memberikan keterangan.

    Sebelum itu, Wan Shaharuddin memaklumkan bahawa pihak pendakwaan menawarkan seorang saksi kepada pihak pembelaan iaitu Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Yusizzudin Mohd Yusof.

    Mahkamah memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis pada 8 Oktober dan mengemukakan jawapan balas pada 18 Oktober.

    Mahkamah turut menetapkan 29 Oktober ini untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan sebelum memutuskan sama ada Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintahkan untuk membela diri.

    Seramai 15 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada April 2021.

    Antara 15 saksi yang dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan bermula April lalu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

    Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, dituduh memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

    Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.

  • SPRM siasat anggota kastam bersekongkol seludup tembakau kunyah

    SPRM siasat anggota kastam bersekongkol seludup tembakau kunyah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan terdapat kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan tembakau kunyah di negara ini sejak 16 tahun lalu.

    Sumber SPRM ketika dihubungi Sinar Harian bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut butiran kes berkenaan kerana khuatir akan menjejaskan siasatan.

    “Maaf, saya tak boleh ulas lanjut, lebih banyak pendedahan akan jejaskan tindakan kami,” kata sumber berkenaan, hari ini

    Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir, Selasa lalu, mengesahkan siasatan dalaman mengenai perkara itu sedang dilakukan pihaknya.

    Media sebelum ini mendedahkan dalang utama sindiket yang dikenali sebagai Datuk M turut dikesan tidak pernah mengisytiharkan barangan import atau membayar cukai.

    Nama Datuk M kini agak panas apabila dikaitkan dengan satu sindiket pengedaran dadah melibatkan rampasan bernilai RM14.4 juta menerusi Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang 31 Ogos lalu.

    Difahamkan kegiatan sindiket ini dikatakan kebal kerana mempunyai ‘kabel’ kuat melibatkan beberapa pegawai kanan JKDM selain dikatakan bergerak bebas sehinggakan menguasai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Ini dilakukan bagi melancarkan operasi penyusupan barangan yang diimport dari India tersebut.

    Bukan itu sahaja malah sindiket terbabit didakwa turut bertindak menawarkan wang kepada beberapa pegawai kastam

  • Dua orang termasuk penjawat awam ditahan terima rasuah RM18,000

    Dua orang termasuk penjawat awam ditahan terima rasuah RM18,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu termasuk seorang penjawat awam kerana dipercayai menerima wang suapan kira-kira RM18,000 daripada sebuah syarikat pembekal baja.

    Sumber SPRM memaklumkan perbuatan itu dipercayai dilakukan seorang penjawat awam bersama seorang lagi suspek masing-masing berusia lingkungan 50-an sebagai balasan membantu syarikat pembekal baja mendapatkan kerja-kerja membekalkan baja cecair organik bernilai lebih RM140,000 kepada sebuah pertubuhan peladang di Selangor.

    Kedua-dua suspek ditahan hari ini pada kira-kira 3 petang tadi di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua lelaki tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

    Beliau berkata kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam sekitar 9 pagi esok untuk permohonan reman. – BERNAMA

  • Salah guna kuasa: CEO, pegawai kanan GLC direman 4 hari

    Salah guna kuasa: CEO, pegawai kanan GLC direman 4 hari

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Empat pegawai kanan termasuk seorang daripadanya yang memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terkenal, direman selama empat hari bagi membantu siasatan berkaitan kes salah guna kuasa dan kedudukan melibatkan dana bernilai RM2.2 juta.

    Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar, Wan Nor Fadzillah Wan Ibrahim membenarkan kesemua individu berkenaan direman bermula hari ini hingga 12 September depan.

    Terdahulu sumber memaklumkan, keempat-empat mereka ditahan selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah semalam antara pukul 3.45 petang hingga 4.15 petang.

    Katanya, siasatan awal mendapati mereka telah menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk menyalurkan dana GLC tersebut kepada dua syarikat lain yang mana mereka dipercayai memiliki kepentingan di dalamnya.

    Tindakan itu didakwa dilakukan pada 2016 hingga 2019.

    Dalam pada itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap mengesahkan tangkapan tersebut namun enggan mengulas lanjut.

    “Kes ini masih disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.

  • Bekas penolong pegawai JAIM direman bantu siasatan penyelewengan

    Bekas penolong pegawai JAIM direman bantu siasatan penyelewengan

    SEORANG bekas Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) direman lima hari bermula hari ini selepas dipercayai menyeleweng kutipan bayaran lebihan gaji guru kontrak jabatan itu yang bernilai lebih RM195,000, empat tahun lepas.

    Perintah reman terhadap lelaki berusia 36 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Terdahulu, lelaki itu yang kini bertugas di sebuah kolej matrikulasi di Johor, tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh kira-kira 8.35 pagi tadi dengan memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga.

    Difahamkan lelaki berkenaan semasa bertugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Pejabat Pengurusan dan Sumber Manusia JAIM telah mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bayaran balik emolumen terlebih bayar berjumlah RM195,765.75.

    Bayaran lebihan gaji itu sepatutnya diserahkan kepada bahagian kewangan namun lelaki itu yang ditugaskan menguruskan hal berkenaan gagal berbuat demikian.

    Jika sabit kesalahan, lelaki berkenaan boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu dan siasatan lanjut mengenai kes berkenaan sedang dijalankan.- BERNAMA

  • Padah salah guna kuasa projek bekal toner RM1 juta

    Padah salah guna kuasa projek bekal toner RM1 juta

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TINDAKAN seorang bekas pembantu tadbir gred N19 di sebuah pejabat kerajaan negeri menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya menerima padah apabila ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam projek pembekalan toner bernilai lebih RM1 juta dari tahun 2016 hingga dua tahun lalu.

    Menurut sumber, suspek ditahan SPRM kira-kira pukul 11.30 pagi di Pejabat SPRM Johor hari ini.

    “Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek semasa bertugas sebagai pembantu tadbir di pejabat kerajaan negeri telah menggunakan kedudukannya sebagai urusetia dalam Jawatankuasa Sebutharga untuk mendapatkan kerja-kerja pembekalan toner.

    “Suspek bertindak dengan memalsukan butiran pemilikan tiga syarikatnya untuk mendapatkan projek membekalkan toner bernilai RM1.03 juta,” katanya di Johor Bahru, hari ini.

    Menurut sumber itu, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

  • 3 lelaki warga India langgar SOP cuba sogok polis

    3 lelaki warga India langgar SOP cuba sogok polis

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TIGA lelaki warga India yang berkumpul tanpa kebenaran dan telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) ditangkap selepas cuba merasuah polis bagi mengelak diambil tindakan.

    Kesemua mereka yang berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, hari ini.

    Menurut sumber, salah seorang suspek cuba memberi rasuah berupa wang tunai kepada anggota polis yang sedang mengambil tindakan terhadap mereka.

    “Salah seorang suspek telah cuba memberi wang sogokan sebanyak RM2,900 kepada anggota polis supaya tidak diambil tindakan terhadap mereka.

    “Perbuatan itu menyebabkan SPRM Johor menahan tiga orang warga India kerana kesalahan memberi wang rasuah kepada anggota polis,” katanya hari ini.

    Kata sumber, ketiga-tiganya ditahan kira-kira pukul 3.30 petang di Pejabat SPRM Johor ketika hadir bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

    “Mereka telah melanggar Peraturan PPN 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika disabit kesalahan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

  • Teliti cadangan letak SPRM bawah Parlimen

    Teliti cadangan letak SPRM bawah Parlimen

    CADANGAN supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah Parlimen sedang diteliti, kata Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Dr Rais Yatim.

    Memetik laporan Bernama, beliau berkata cadangan itu diberi pertimbangan khusus oleh JKMR kerana ia dapat meningkatkan lagi tahap kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap SPRM.

    “Saya terdorong untuk membantu supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen, kita akan beri pertimbangan khusus untuk zahirkan objektif ini.

    “Ini kerana jika SPRM terlalu terdedah dengan kuasa dan pengaruh eksekutif atau pihak yang tidak berkaitan dengan integriti, lama kelamaan SPRM akan terpengaruh dengan politik dan pengaruh luar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

    Turut hadir secara maya pada sesi taklimat itu adalah ahli-ahli JKMR dan pengurusan tertinggi SPRM.

    Rais, yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, cadangan SPRM diletakkan di bawah Parlimen itu juga akan diperincikan dalam sudut perlembagaan sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.

    “Saya bagi pihak (JKMR) akan mendalami cadangan ini dan sampaikan kepada kerajaan dalam bentuk nasihat yang jelas dari sudut perlembagaan Malaysia, sudut amali integriti dan sudut bagaimana ia akan tingkatkan pencapaian tangani rasuah di tanah air,” katanya.

    Pada 6 Mac tahun lalu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, SPRM perlu diletakkan di bawah kuasa Parlimen bagi memastikan agensi itu benar-benar bebas dan dilihat tidak dipengaruhi oleh politik.

    JKMR diwujudkan secara perundangan mengikut Seksyen 14 Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan ia bertanggungjawab untuk menasihati perdana menteri mengenai apa-apa aspek masalah rasuah di Malaysia dan memeriksa laporan tahunan SPRM.