Tag: SPRM

  • Penjawat awam minta habuan RM100,000 projek sanitasi ditahan

    Penjawat awam minta habuan RM100,000 projek sanitasi ditahan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penjawat awam lelaki di Putrajaya pada Jumaat lepas kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000.

    Sumber berkata, suspek berusia 30-an yang bertugas di sebuah agensi kerajaan itu disyaki meminta habuan berkenaan sebagai balasan memberikan projek kepada beberapa syarikat berhubung kerja berkaitan sanitasi di pusat mengundi dalam Pilihan Raya Negeri di Johor, baru-baru ini.

    Menurutnya, suspek sebelum ini dipercayai pernah meminta wang lebih RM130,000 daripada seorang individu pada awal tahun ini bagi kerja berkaitan sanitasi namun individu terbabit hanya mampu memberikan wang berjumlah kira-kira RM100,000.

    “Suspek yang bersetuju mengurangkan jumlah habuan yang diminta kemudian bertemu dengan individu berkenaan pada Jumaat lalu untuk menyerahkan wang seperti yang dipersetujui,” kata sumber itu.

    Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan penahanan lelaki tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Beliau berkata, lelaki tersebut direman selama empat hari yang berakhir pada hari ini dan dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000. – BERNAMA

  • Hassan kesal siasatan SPRM terhadap Nazlan

    Hassan kesal siasatan SPRM terhadap Nazlan

    AHLI Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR), Hassan Abdul Karim kesal dengan siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

    Berikut adalah kenyataan penuh Ahli Parlimen Pasir Gudang itu:

    Saya Hassan Abdul Karim seorang ahli Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bagi memantau SPRM berasa kesal terhadap campurtangan SPRM mengganggu kebebasan badan Kehakiman dengan tindakan SPRM melakukan siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan Yang Arif, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

    SPRM sebagai agensi pencegahan rasuah bertanggungjawab untuk sama-sama mempertahankan kebebasan badan kehakiman Malaysia. Hakim-hakim Mahkamah di Malaysia mesti dilindungi dari tindakan sewenang-wenang pihak Eksekutif bagi membolehkan mereka menjalankan fungsi kehakiman tanpa rasa takut dan pilih kasih.

    Apa yang dilakukan oleh SPRM sekarang terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, seorang hakim Mahkamah Rayuan Malaysia bukan sahaja satu pelanggaran prinsip pemisahaan kuasa antara badan eksekutif dan juga badan kehakiman, tetapi ia juga merupakan satu serangan sebuah agensi eksekutif ke atas badan kehakiman.

    Tidak dinafikan di bawah undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, hakim-hakim yang sedang berkhidmat boleh dilucutkan jawatannya jika berlaku salah laku, termasuk kesalahan bersifat jenayah seperti rasuah. Tetapi ada kaedahnya yang khusus di mana tindakan sedemikian boleh dilakukan iaitu melalui sebuah Tribunal Bebas yang dibentuk oleh Kerajaan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong. Kes Tribunal Bebas yang berkaitan pemecatan Tun Salleh Abas, Ketua Hakim Negara adalah satu contoh.

    SPRM perlu menyedari bahawa Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia atas lantikan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri. SPRM tidak boleh perlakukan sesuka hati ke atas seorang Hakim Mahkamah hanya berdasarkan wujudnya satu laporan rasmi polis dilakukan ke atas hakim tersebut.

    Peruntukan Perlembagaan Persekutuan jelas meletakkan kaedah bagaimana seorang hakim boleh dibicarakan dan dilucutkan jawatannya.

    Sekiranya tindakan SPRM sekarang menyiasat hakim dengan sesuka hati berterusan maka akan menimbulkan ketakutan dan kebimbangan hakim-hakim untuk melaksanakan peranan dan tugas mereka di mahkamah.

    Perlu difahami sekarang telah wujud persepsi bahawa tindakan ke atas Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ini ada kaitannya dengan keputusan Hakim tersebut ke atas kes pertuduhan terhadap mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Kes SRC International di mana Hakim Nazlan telah menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda lebih RM210 juta terhadap Najib Razak.

    SPRM sewajarnya tidak terlibat dengan usaha balas dendam pihak-pihak tertentu terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

    SPRM peru sedar bahawa terdapat usaha yang konsisten pihak tertentu yang tindak-tanduk mereka boleh dianggap sebagai serangan terhadap kebebasan kehakiman apabila terdapat cubaan dilakukan untuk mencemarkan integriti hakim yang membicarakan kes Najib Razak dengan tujuan keputusan kes SRC International itu dibatalkan dan satu perbicaraan semula diadakan.

    Perlu diingatkan bahawa keputusan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam Kes SRC International yang mensabitkan kesalahan Najib Razak telah disahkan oleh sebuah panel tiga orang Hakim Mahkamah Rayuan.

    Kepada SPRM, saya menyeru supaya memandang kepada diri SPRM sendiri. Beberapa laporan polis secara rasmi telah dibuat ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam baki berkait isu pembelian saham yang mencurigakan yang menimbulkan kemungkinan berlaku satu kesalahan di bawah Akta SPRM.

    Saya berasa kesal sehingga ke hari ini, tidak ada siasatan dilakukan ke atas Tan Sri Azam Baki. Malah cadangan dari JKMR yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim agar Tan Sri Azam Baki direhatkan dengan bercuti supaya satu siasatan bebas dapat dilakukan langsung tidak dihiraukan oleh SPRM.

    SPRM perlu sedar bahawa tugas JKMR di mana saya salah seorang anggota Jawatankuasa tersebut adalah untuk memantau perjalanan SPRM. Malahan di bawah Seksyen 14 Akta SPRM dinyatakan dengan jelas bahawa JKMR bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri dalam segala hal tentang rasuah di Malaysia ini.

    Maka atas tanggungjawab inilah saya membuat pernyataan ini untuk menasihati SPRM supaya menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan amanah dan mengikut peruntukan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.

  • SPRM siasat dakwaan pegawai bertindak kasar

    SPRM siasat dakwaan pegawai bertindak kasar

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius dakwaan kononnya seorang pegawainya bertindak kasar dan menghalau ahli sebuah parti politik daripada membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

    SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, siasatan lanjut berhubung dakwaan itu sedang dijalankan dan jika terdapat salah laku, tindakan sewajarnya akan diambil.

    Hari ini, tular video berdurasi 22 saat yang mendakwa seorang pegawai SPRM bertindak kasar dan menghalau ahli sebuah parti politik daripada membuat aduan, selain hanya dua individu dibenarkan masuk ke ibu pejabat suruhanjaya itu.

    Menurut kenyataan itu, berdasarkan peraturan Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL) diwarta, Bahagian Keselamatan SPRM hanya membenarkan tiga orang wakil pihak luar untuk masuk ke pekarangan dan dalam bangunan suruhanjaya itu, bagi bertemu pegawai bertugas untuk membuat aduan.

    Rakaman video dan kamera juga tidak dibolehkan dalam KLTL tersebut, tanpa kebenaran pihak Pengurusan Tertinggi SPRM, menurut suruhanjaya itu.

    “Bagaimanapun, dalam kejadian pada pukul 11 pagi tadi kira-kira tujuh daripada 25 individu dalam kumpulan tersebut, telah masuk secara berdua-dua ke pekarangan SPRM sehingga ke pintu utama bangunan.

    “Individu tersebut juga tidak mematuhi peraturan KLTL kerana merekod video ketika berada di pekarangan dan dalam bangunan SPRM,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, SPRM mengesahkan telah menerima maklumat daripada ahli Parti Sosialis Malaysia Dr Jeyakumar Devaraj, membabitkan dakwaan isu penyelewengan dalam urusan tanah kerajaan di Perak.

    “SPRM akan mengkaji dan meneliti terlebih dahulu maklumat tersebut, sebelum sebarang tindakan lanjut dijalankan,” menurut SPRM yang mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk tampil di mana-mana pejabat SPRM bagi membuat aduan berkaitan rasuah. – BERNAMA

  • Bekas penyelia rancangan tanah Felda dituduh palsu dokumen

    Bekas penyelia rancangan tanah Felda dituduh palsu dokumen

    SEORANG bekas penyelia rancangan tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini, atas tuduhan memalsukan dokumen berkaitan senarai akaun penerimaan bayaran tunai, dua tahun lepas.

    Muhammad Aizat Ziadi, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

    Tertuduh yang beralamat di Temerloh didakwa memalsukan tandatangan peneroka pada dokumen Senarai Akaun Penerimaan Bayaran Tunai Paysheet (PS) November 2020 dan Senarai Akuan Penerimaan Bayaran Tunai Pendahuluan (PT) Disember 2020 di Pejabat Felda Sebertak, Bera.

    Muhammad Aizat didakwa mengikut Seksyen 464 (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nadzirah Zahari menawarkan jaminan RM5,000 sebelum tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan kewangan.

    “Saya telah diberhentikan kerja selepas kejadian itu dan baru mendapat kerja sebagai mekanik di Johor dengan gaji RM1,200 sebulan. Saya juga menanggung orang tua,” katanya.

    Ahmad Zamzani membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

    Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 Mei ini bagi lantikan peguam. – BERNAMA

  • Pecah amanah: Bekas penjawat awam, kontraktor ditahan SPRM

    Pecah amanah: Bekas penjawat awam, kontraktor ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini menahan seorang bekas penjawat awam dan seorang kontraktor berhubung kes pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan satu kontrak bernilai kira-kira RM63,000.

    Menurut sumber, kesalahan terbabit dipercayai melibatkan sebuah agensi Kerajaan Persekutuan di Sandakan yang dilakukan pada tahun 2018 dan 2019.

    Bekas penjawat awam berusia 37 tahun itu dipercayai menggunakan kedudukannya untuk melantik kontraktor yang merupakan suspek berusia 41 tahun sebagai pembekal produk berasaskan lebah, haiwan ternakan dan program lain.

    Syarikat kontraktor itu dimiliki oleh saudara penjawat awam tersebut yang ditahan bersama kontraktor terbabit semasa hadir di pejabat SPRM Sandakan untuk membantu siasatan.

    Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika mengesahkan penahanan itu berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan

    Beliau berkata, kedua-dua lelaki telah dibebaskan atas jaminan SPRM dan dijadualkan untuk didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di Sandakan pada 21 April ini. – BERNAMA

  • Isu jual tanah lapangan terbang: SPRM rakam keterangan 10 saksi

    Isu jual tanah lapangan terbang: SPRM rakam keterangan 10 saksi

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak telah merekodkan keterangan 10 individu bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

    Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, mereka terdiri daripada pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan kerajaan negeri, bekas Exco kerajaan negeri serta pegawai Pejabat Tanah dan Galian.

    “Seorang Ahli Lembaga Pengarah PKNP merangkap bekas Penasihat Undang-Undang Negeri juga telah dirakam kenyataannya. SPRM hari ini akan merakam keterangan seorang lagi Ahli Lembaga Pengarah PKNP yang turut hadir dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah berkaitan perbincangan penjualan tanah PKNP,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata, pihaknya dijangka merakam kenyataan seorang lagi saksi penting dalam masa terdekat sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian.

    Menurutnya, setakat ini tiada penahanan terhadap mana-mana individu yang dikatakan terlibat dengan kesalahan berkaitan penjualan tanah lapangan terbang itu dan siasatan masih menjurus kepada kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan dan lain-lain kesalahan di bawah akta itu.

    Sebelum ini, Mohd Fauzi dilaporkan berkata, pihaknya akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan susulan aduan rasmi diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Manjoi, Datuk Asmuni Awi pada 5 April lepas.

    Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pula dilaporkan berkata tanah itu telah dijual kepada sebuah syarikat swasta semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan kerana ketika pemerintahan Barisan Nasional, ia dirizabkan kepada PKNP bagi tujuan pembinaan lapangan terbang antarabangsa. – BERNAMA

  • Kakitangan kerajaan direman empat hari kes rasuah RM20,000

    Kakitangan kerajaan direman empat hari kes rasuah RM20,000

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG pembantu pegawai di sebuah agensi kerajaan yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM20,000 direman selama empat hari sehingga Isnin depan.

    Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Melody Woon Sze Moon.

    Lelaki berusia 32 tahun itu yang memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di mahkamah itu sambil dikawal pegawai SPRM dan tangan bergari pada pukul 8.40 pagi.

    Semalam, kakitangan kerajaan itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Johor pada pukul 12.30 tengah hari selepas hadir memberikan keterangan berkaitan kes terbabit.

    Menurut sumber, lelaki tersebut yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai tadbir di sebuah jabatan kerajaan telah meminta dan menerima rasuah daripada dua perunding projek bermula pada tahun 2020 sehingga tahun lalu.

    Lelaki itu berbuat demikian sebagai balasan membantu membocorkan maklumat berkaitan projek yang hendak dipohon oleh kedua-dua individu tersebut.

    Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

  • 2 anggota polis ditahan, disyaki terima rasuah RM300

    2 anggota polis ditahan, disyaki terima rasuah RM300

    DUA anggota polis ditahan kerana dipercayai menerima wang rasuah berjumlah RM300 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas seorang individu yang memandu tanpa lesen dan cukai jalan kenderaan tamat tempoh pada 20 Mac lepas.

    Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah berkata, kedua-dua mereka berpangkat koperal dan koperal sokongan berumur 45 dan 38 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM cawangan Sungai Petani pada 6.15 petang semalam.

    “Anggota polis itu dikatakan telah meminta sebanyak RM1,500 daripada seorang individu yang memandu tanpa lesen dan cukai jalan kenderaan telah tamat tempoh di tepi Jalan Persiaran Amanjaya 2 berdekatan dengan Kolej Vokasional Sungai Petani 1.

    “Individu itu dikatakan telah menyerahkan RM300 kepada anggota polis tersebut dan dia diminta untuk membayar baki selebihnya apabila dihubungi oleh anggota polis tersebut,” katanya di Sungai Petani hari ini.

    Sementara itu, kedua-dua mereka yang merupakan anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Kuala Muda direman selama tujuh hari bermula hari ini.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Sungai Petani Nadhirah Abdul Rahim.

    Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan itu dan memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – BERNAMA

  • Fokus siasatan SPRM kenal pasti dan pemulangan dana terkait 1MDB

    Fokus siasatan SPRM kenal pasti dan pemulangan dana terkait 1MDB

    FOKUS siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang melibatkan suami bekas Gabenor Bank Negara adalah untuk mengenal pasti serta mendapatkan semula dana terkait dengan kes 1MDB.

    SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pendedahan Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara, Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat dalam kes berkaitan dana 1MDB yang melibatkan Datuk Dr Tawfiq Ayman, bukan sesuatu yang baharu.

    SPRM berkata, bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas pada hujung 2018 telah menyelaraskan koordinasi siasatan antara SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dengan kes melibatkan Tawfiq itu.

    Menerusi koordinasi itu, fokus SPRM adalah untuk mengenal pasti serta mendapatkan semula dana terkait dengan kes 1MDB termasuk sejumlah AS$15.4 juta, yang melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd milik Tawfiq.

    “SPRM telah mengeluarkan kenyataan media mengesahkan pemulangan tersebut,” kata suruhanjaya itu, menjelaskan bidang siasatannya dalam kes berkenaan.

    Menerusi koordinasi berkenaan Pejabat Peguam Negara telah mengarahkan PDRM untuk menumpukan kepada aspek kesalahan jenayah berhubung penerimaan wang itu ke dalam akaun milik Tawfiq di Singapura, dan siasatan masih berjalan sehingga kini, kata SPRM.

    Menurutnya, penyelarasan itu untuk mengelak pertindihan dalam siasatan melibatkan pengumpulan bukti-bukti dan keterangan mereka yang terlibat, serta sebagai kemudahan untuk berurusan dengan pihak Singapura yang memberi keutamaan kepada satu agensi penguat kuasa yang menjalankan siasatan kesalahan jenayah.

    “Sehubungan itu, tidak timbul isu kegagalan mana-mana agensi penguat kuasa untuk mengesan, menyiasat dan mendakwa apa-apa kesalahan dalam transaksi kewangan berkenaan seperti yang dibangkitkan oleh segelintir pihak,” kata SPRM.

    Pada Selasa lepas (1 Mac), Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Tawfiq kini disiasat oleh PDRM dan SPRM hanya diberi tanggungjawab untuk mendapatkan semula dana 1MDB dari Singapura.

    Media melaporkan Leissner semasa prosiding perbicaraan yang dikaitkan dengan 1MDB di New York mendakwa suami bekas Gabenor Bank Negara menerima rasuah. Namun, Tawfiq dalam kenyataan melalui firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co menegaskan beliau tidak pernah menerima rasuah sepanjang hidup malah tidak mengenali Leissner. – BERNAMA

  • SPRM beku aset AS$10 juta milik bekas CEO wanita

    SPRM beku aset AS$10 juta milik bekas CEO wanita

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan aset di dalam dan luar negara bernilai kira-kira AS$10 juta milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat televisyen bersatelit susulan pendedahan terbaharu dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Amerika Syarikat.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM akan meneruskan usaha untuk mengesan dan membantu mengembalikan wang-wang yang berkaitan kepada negara.

    “Buat masa ini, saya tidak boleh berkongsi nama-nama lain yang terlibat. Perkara lain yang akan terlibat dalam hal ini ialah kerjasama daripada Pejabat Peguam Negara untuk kita mendapatkan apa-apa keterangan daripada pihak di Amerika Syarikat,” katanya pada sidang media khas Op Power di ibu pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.

    Isu berkaitan sebuah rumah di London dan nama bekas eksekutif kanan itu disebut oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner pada perbicaraan di Amerika Syarikat dan mendakwa mereka mempunyai hubungan sejak 2003 hingga 2013 dan berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti Kimora Lee.

    Selain itu, Azam berkata, SPRM akan memanggil semula bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat televisyen bersatelit itu untuk memberi keterangan jika terdapat elemen dan perkembangan baharu.

    “Kami akan memanggilnya jika terdapat keperluan dan akan memanggil individu-individu lain yang berkaitan,” katanya.

    Pada Khamis, SPRM mengambil keterangan wanita terbabit selama sembilan jam bagi membantu siasatan berkaitan isu itu dan dia sekali lagi dipanggil semalam dan proses mengambil keterangan berlangsung selama tiga jam.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

    Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan kes Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang didakwa terlibat dalam isu integriti, Azam berkata kertas siasatan telah siap dan dalam peringkat perbincangan bersama Pejabat Peguam Negera.

    “Tindakan akan diambil terhadap kesemua mereka minggu hadapan,” katanya.

    Pada 5 Feb, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu sebelum menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada Mara, Mara Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat pada 7 Feb. – BERNAMA