Tag: SPM

  • Banjir: Penjadualan semula SPM 2022 bagi 533 calon 16 Mac – KPM

    Banjir: Penjadualan semula SPM 2022 bagi 533 calon 16 Mac – KPM

    PENJADUALAN semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 bagi 533 calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan itu akibat banjir akan bermula 16 Mac ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

    Beliau berkata ia melibatkan 450 calon di Johor, Pahang (79) dan Sarawak (empat) bagi kertas mata pelajaran Ekonomi, Sains, Fizik dan Sains Rumah Tangga yang berlangsung pada 1 dan 2 Mac lepas.

    “Kita akan bermula pada 16 Mac, tetapi juga akan lihat dari semasa ke semasa khususnya persediaan logistik dan lain-lain yang terkait rapat. Kita berharap cuaca bertambah baik supaya tidak bertambah penjadualan semula dan kita boleh tumpu kepada yang terjejas tempoh hari sahaja,” katanya. 

    Fadhlina berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Gerakan Massa #terimakasihcikgu peringkat kebangsaan di sini hari ini.

    Beliau berkata 17 sekolah di Johor dan dua di Pahang terjejas banjir setakat ini, dan beliau akan ke Johor esok untuk meninjau sekolah yang terkesan supaya bantuan sewajarnya dapat diberikan selain menziarah guru yang terlibat bencana itu. 

    Menurutnya Kementerian Pendidikan (KPM) juga akan memberi tumpuan kepada reka bentuk sekolah yang hendak dibina dengan rekaan kalis bencana, khususnya di lokasi kerap berdepan bencana seperti banjir.

    Pada perkembangan lain, Fadhlina berkata KPM sedang melaksanakan beberapa tindakan bagi mengatasi masalah kekurangan guru khususnya di Sarawak sebelum sesi persekolahan baharu bermula pertengahan Mac ini. 

    Beliau berkata antaranya ialah soal penempatan guru yang sedang dilihat bersama antara Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP). 

    Pada majlis itu, Fadhlina juga mengumumkan tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Insani Pemangkin Generasi MADANI’ yang akan disambut di Melaka. – BERNAMA 

  • Banjir: 89 calon SPM di Johor terkandas

    Banjir: 89 calon SPM di Johor terkandas

    SEBANYAK 89 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Segamat dan Kulai terkandas akibat banjir serta tidak dapat menduduki peperiksaan itu hari ini.

    Menurut Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh menerusi kenyataan, kesemua pelajar yang terkandas itu membabitkan tujuh pusat peperiksaan di Segamat dan satu di Kulai.

    “Seramai 89 calon SPM di Segamat iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenang Stesen, SMK Bandar Putra, SMK Tinggi, SMK Gemereh, SMK LKTP Pemanis, SMK Dato Bentara Dalam dan SMK Labis Segamat.

    “Di Kulai pula membabitkan SMK Taman Putri. Hari ini melibatkan peperiksaan subjek Sains dan Fizik manakala sebelah petang SRT (Sains Rumah Tangga),” katanya hari ini lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut Norliza berkata, terdapat calon SPM di beberapa buah pusat peperiksaan di Pasir Gudang, Johor Bahru, Kluang, Batu Pahat dan Kota Tinggi turut terjejas akibat banjir menyebabkan peperiksaan dimulakan lewat dan terpaksa menumpang di pusat peperiksaan yang lain.

    “Seramai 127 calon SPM di daerah Kota Tinggi menumpang di pusat peperiksaan yang lain melibatkan SMK Laksamana, SMK Tun Habab, SMK Agama dan SMK Bandar,” katanya.

    Beliau menambah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sedang memantau keadaan terkini terutama membabitkan keselamatan calon di semua pusat peperiksaan di negeri ini.

  • Tiga calon SPM Orang Asli naik helikopter untuk hadiri peperiksaan

    Tiga calon SPM Orang Asli naik helikopter untuk hadiri peperiksaan

    TIGA calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Kampung Orang Asli Punan dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nitar di Mersing menaiki helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) semalam, untuk menghadiri peperiksaan berkenaan.

    Pemangku Pengarah JBPM Johor Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang berkata Norfaizal Selamat, Jefzulkiflie Addy dan Christie Maurinissca Clay masing-masing berusia 18 tahun dan merupakan Orang Asli Suku Jakun itu dibawa menaiki helikopter jenis Agusta Westland AW189.

    Beliau berkata difahamkan ketiga-tiga calon itu sepatutnya hadir ujian amali sains SPM pada Isnin lepas (30 Jan), namun terpaksa ditangguhkan berikutan jalan raya yang menghubungkan kawasan penempatan mereka masih ditenggelami air.

    “Bagaimanapun, atas dasar pertimbangan pihak SMK Nitar, ketiga-tiga calon berkenaan dibenarkan menghadiri ujian itu hari ini.

    “Kesemua mereka akan tinggal di asrama sekolah berkenaan sepanjang peperiksaan SPM berlangsung,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Setakat 12 tengah hari tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir di Johor merekodkan seramai 1,373 orang melibatkan empat daerah iaitu Batu Pahat, Kota Tinggi, Mersing dan Segamat.

    Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), peperiksaan SPM 2022 dilaksanakan mulai 30 Jan hingga 15 Mac ini melibatkan ujian amali sains, ujian bertutur, ujian mendengar dan peperiksaan bertulis membabitkan 403,637 calon. – BERNAMA

  • Tahniah, syabas kepada semua yang terima keputusan SPM – Muhyiddin

    Tahniah, syabas kepada semua yang terima keputusan SPM – Muhyiddin

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelajar yang menerima keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 hari ini.

    Menurut beliau, mereka berjaya menduduki peperiksaan ini dalam suasana penuh cabaran kerana negara berhadapan dengan pandemik COVID-19.

    “Ketika itu, sebahagian besar calon SPM tidak dapat hadir untuk belajar secara bersemuka di sekolah kerana kekangan pandemik dan kebanyakan kelas harian diadakan secara dalam talian.

    “Bagaimanapun berbekal semangat dan keazaman yang tinggi anda semua berjaya mengharungi cabaran tersebut,” katanya dalam hantaran Facebook milik beliau, hari ini.

    Pada masa yang sama, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut mengucapkan tahniah kepada calon-calon SPM yang beroleh keputusan cemerlang manakala kepada yang tidak mendapat keputusan sepertimana diharapkan, beliau menasihatkan mereka agar jangan sedih dan berputus asa.

    Beliau berkata, jadikanlah keputusan peperiksaan yang diterima sebagai penyuntik semangat untuk meneruskan perjuangan hidup dalam fasa seterusnya.

    “Banyak lagi bidang atau kursus yang bersesuaian dengan kelulusan anda boleh diceburi. Percayalah selagi kita ada kemahuan untuk belajar, pintu kejayaan sentiasa terbuka di hadapan kita.

    “Saya juga ingn mengucapkan terima kasih kepada guru dan ibu bapa terlibat yang tidak pernah berputus asa mengajar dan membantu para pelajar dalam sepanjang tempoh yang sukar ini. Tahniah!” katanya.

  • 24,941 calon tidak duduki SPM 2021, KPM cari punca

    24,941 calon tidak duduki SPM 2021, KPM cari punca

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menjalankan ‘post-mortem’ bagi mengenal pasti punca sejumlah 24,941 calon berdaftar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 tetapi tidak menduduki peperiksaan itu, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

    Beliau berkata majoriti calon yang tidak menduduki peperiksaan itu adalah calon SPM persendirian.

    “Kita (KPM) sedang menganalisis data dan akan meneliti trend tahun-tahun sebelum ini. Jika ada peningkatan, kita akan ambil pendekatan untuk elak berulang di masa akan datang.

    “Punca perlu dikenal pasti memandangkan kohort SPM 2021 adalah paling terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 18 (1) di Putrajaya sempena pengumuman keputusan SPM hari ini.

    Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid dalam sidang media mengenai keputusan SPM 2021 hari ini berkata, terdapat 24,941 calon SPM 2021 tidak menduduki peperiksaan itu daripada 407,097 calon yang berdaftar.

    Ditanya faktor yang mendorong seseorang pelajar tidak menduduki SPM, Radzi berkata, ada antara pelajar terbabit menghadapi masalah peribadi, masalah keluarga dan masalah kewangan.

    Radzi berkata, pihaknya sentiasa mendekati pelajar dan keluarga yang dikenal pasti mempunyai masalah sehingga menyebabkan pembelajaran terganggu dan tidak dapat meneruskan pengajian atau tidak menduduki peperiksaan khususnya SPM. – BERNAMA

  • Banjir: 708 calon SPM duduki peperiksaan April

    Banjir: 708 calon SPM duduki peperiksaan April

    SERAMAI 708 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang terjejas akibat bencana banjir di tujuh sekolah di Jajahan Pasir Mas akan menduduki peperiksaan kertas Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada sidang kedua, April depan.

    Sekolah-sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, SMK Gual Periok, SMK Baroh Pial, Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Rantau Panjang, SMK Meranti, Sekolah Menengah Ugama (SMU) Al-Falah Siram dan SMU Khairiah Banggol Setol.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, calon-calon tersebut sepatutnya menduduki dua kertas peperiksaan itu pada esok, Rabu (2 Mac) dan Khamis (3 Mac).

    “Kementerian Pendidikan membuat keputusan sekolah-sekolah ini tidak dapat digunakan sebagai pusat peperiksaan kerana kawasan itu digenangi air hingga menyebabkan calon-calon dan pegawai peperiksaan tidak dapat masuk ke kawasan sekolah.

    “Kertas peperiksaan untuk Rabu dan Khamis akan ditangguhkan pada sidang kedua. Pihak sekolah telah menghubungi calon-calon terlibat dan dijangka peperiksaan pada Isnin (7 Mac) akan kembali seperti biasa bergantung kepada keadaan semasa,” katanya dalam sidang media selepas melawat SMK Agama Lati, Rantau Panjang di Pasir Mas hari ini.

    Mengulas lanjut, Radzi turut meminta calon SPM 2021 di negeri ini yang menghadapi kesukaran untuk ke kawasan sekolah atau hadir ke pusat peperiksaan supaya menghubungi guru kelas, setiausaha peperiksaan sekolah atau pengetua.

    “Boleh dapatkan penjelasan berkaitan situasi dan mana-mana pusat peperiksaan alternatif yang boleh dihadiri,” katanya.

    Beliau berkata, calon terkesan banjir turut dibenarkan hadir ke pusat peperiksaan tanpa memakai uniform sekolah.

    “Calon-calon yang terkesan banjir, pakailah apa-apa pun tidak mengapa, dalam keadaan krisis kita tak boleh terlalu memilih. Apa yang penting, anak-anak ini tenang dapat hadir ke pusat peperiksaan,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Radzi memaklumkan, keadaan banjir di Terengganu semakin pulih dan calon SPM yang terkesan boleh menduduki peperiksaan tersebut di pusat-pusat peperiksaan alternatif. – BERNAMA

  • KPM urus pusat peperiksaan SPM terjejas banjir

    KPM urus pusat peperiksaan SPM terjejas banjir

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) telah membuka bilik gerakan banjir dan Lembaga Peperiksaan sedang mengambil tindakan bagi menguruskan pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas di Terengganu dan Kelantan.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

    “Saya mengambil maklum tentang situasi banjir di Terengganu dan Kelantan yang turut menjejaskan beberapa pusat peperiksaan SPM di negeri tersebut.

    “Sama-sama kita doakan semoga banjir tidak berlarutan dan anak-anak calon SPM 2021 dapat membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat,” menurut hantaran itu.

    SPM akan berlangsung dari 2 hingga 29 Mac ini. – BERNAMA

  • PRN Johor: KPM bincang dengan SPR tidak guna kelas peperiksaan SPM

    PRN Johor: KPM bincang dengan SPR tidak guna kelas peperiksaan SPM

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak menggunakan kelas yang dikhaskan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai tempat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya akur dengan keperluan SPR untuk menggunakan 151 sekolah menengah sebagai pusat mengundi pada PRN Johor itu, namun penggunaannya harus diminimumkan agar tidak mengganggu perjalanan SPM yang berlangsung dari 2 hingga 29 Mac ini.

    “Bilik-bilik ini telah disusun oleh pihak sekolah mengikut indeks nama murid serta angka giliran. Sebarang gangguan kepada susunan atau aturan boleh memberi implikasi besar kerana peperiksaan SPM kali ini tidak macam tahun-tahun sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Yayasan Didik Negara (YDN) di Putrajaya, hari ini.

    Beliau berkata, Ketua Pengarah Pendidikan Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid sudah berbincang dengan para pengetua sekolah terlibat semalam untuk memastikan proses peperiksaan SPM berjalan dengan baik ketika PRN Johor.

    SPR telah menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor, manakala hari penamaan calon pada 26 Feb dan tarikh mengundi awal pada 8 Mac.

    Menurut Radzi, KPM juga akan memohon kepada SPR untuk mengecualikan guru-guru yang terlibat dengan SPM seperti pengawas, petugas peperiksaan atau pemeriksa kertas SPM, daripada bertugas sebagai petugas PRN Johor.

    “Ini merupakan tempoh yang amat penting bagi guru-guru untuk menumpukan sepenuhnya kepada pelaksanaan SPM.

    “Bagi KPM, peperiksaan ini merupakan satu komponen yang cukup penting untuk ibu bapa dan anak-anak ini kerana kohort SPM 2021 yang paling terkesan dengan pendekatan kurikulum baharu. Anak-anak kohort ini tak pergi sekolah dua tahun, semasa mereka di Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima,” katanya.

    Radzi berkata, pendirian KPM apabila PRN Johor diumumkan adalah supaya sekolah menengah tidak digunakan, namun menyedari SPR juga mempunyai kekangan tertentu dan ada akta yang membolehkan suruhanjaya itu menggunakan sekolah sekiranya perlu.

    Mengenai prosedur operasi standard (SOP) SPM, Radzi berkata SOP yang sama seperti tahun lepas akan diguna pakai, antaranya calon positif COVID-19 tidak dibenarkan menduduki kertas pada hari berkenaan, sebaliknya mereka akan menjawab kertas peperiksaan pada tarikh lain yang ditetapkan KPM.

    Selain itu, setiap sekolah yang menjadi pusat peperiksaan SPM juga ada menyediakan bilik alternatif yang berperanan sebagai bilik pengasingan awal sekiranya terdapat calon yang sedang menjawab kertas peperiksaan disahkan positif oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

    Calon yang menjadi kontak rapat pula perlu mengemukakan surat pengesahan daripada KKM yang menyatakan mereka perlu dikuarantin dan akan menduduki kertas peperiksaan pada tarikh lain, katanya.

    Mengenai YDN, Radzi berkata, yayasan itu berperanan sebagai badan rasmi yang bertanggungjawab untuk menggembleng sumbangan daripada pelbagai pihak, kemudian menyalurkan kepada pihak sekolah dengan lebih sistematik.

    “Kadang-kadang ada sekolah telah menerima sumbangan, namun tidak maklumkan kepada KPM, jadi berlaku pertindihan sumbangan. Oleh itu, dengan adanya YDN kita boleh selaraskan, jika data menunjukkan sekolah itu sudah menerima sumbangan, maka sumbangan yang ada boleh diagih kepada sekolah lain,” katanya.

    Menurutnya, YDN telah menerima lebih RM20 juta sumbangan dalam bentuk tunai dan barangan sejak didaftarkan Julai lepas. – BERNAMA

  • Pelajar bukan calon SPM tidak dibenar balik asrama selepas cuti Tahun Baharu Cina

    Pelajar bukan calon SPM tidak dibenar balik asrama selepas cuti Tahun Baharu Cina

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menetapkan bahawa pelajar daripada bukan kelas peperiksaan yang pulang bercuti sempena perayaan Tahun Baharu Cina, tidak dibenarkan pulang ke asrama sebaliknya melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

    Menterinya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, keputusan itu, bagi memastikan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, berada dalam keadaan terlindung daripada jangkitan COVID-19.

    “Kita akan terus memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah berasrama khususnya, dapat dipertingkatkan. KPM juga telah meningkatkan pemantauan di sekolah di bawah KPM, bagi memastikan segala SOP dapat dipatuhi dan dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman Facebooknya.

    Sementara itu, beliau turut menjelaskan isu berkaitan peningkatan kes COVID-19 dalam sektor pendidikan, di mana sebanyak 118,238 jumlah kumulatif kes COVID-19 dicatatkan dalam tempoh 1 Jan hingga 1 Feb tahun ini.

    Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 8,451 kes (7.15 peratus) adalah kes berkaitan kluster pendidikan, manakala selebihnya iaitu 109,787 (92.85 peratus) melibatkan lain-lain kluster.

    “Secara keseluruhan terdapat 303 kluster di seluruh negara dalam (1 Jan hingga 1 Feb), daripada jumlah kluster ini, 100 kluster atau 33 peratus, melibatkan institusi pendidikan di bawah KPM manakala, 86 kluster atau 28.38 peratus melibatkan institusi bukan bawah KPM.

    “100 kluster di bawah institusi bawah KPM tadi, melibatkan keseluruhannya 5,494 kes, dan daripada 100 kluster ini, 96 kluster melibatkan institusi bawah KPM manakala empat kluster merupakan institusi swasta yang berdaftar bawah KPM,” katanya.

    Menurutnya, daripada 96 kluster yang melibatkan institusi di bawah KPM, sebanyak 84 kluster membabitkan institusi berasrama, terdiri daripada 76 kluster daripada asrama harian dan lapan kluster daripada institusi berasrama sepenuhnya.

    “Jika kita ambil kira keseluruhan institusi berasrama di bawah KPM, iaitu 1,918 buah institusi, 84 kluster ini adalah bersamaan 4.38 peratus daripada keseluruhan institusi berasrama di bawah KPM,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata, bagi institusi bukan berasrama, terdapat 12 kluster direkodkan melibatkan dua kluster sekolah menengah dan 10 kluster daripada sekolah rendah.

    “Jika dilihat 12 kluster ini dan bandingkan dengan keseluruhan 8,356 institusi bukan berasrama di bawah KPM, kita dapati bahawa jumlah 12 kluster ini adalah bersamaan dengan 0.14 peratus daripada keseluruhan,” katanya. – BERNAMA

  • KPM akan keluarkan jadual baharu SPM 2021 – Radzi

    KPM akan keluarkan jadual baharu SPM 2021 – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengeluarkan jadual baharu bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dalam masa terdekat, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Facebook Dr Radzi Jidin hari ini berkata, KPM menerima banyak pandangan daripada ibu bapa dan calon SPM 2021 berkaitan jadual SPM 2021, yang telah dikeluarkan oleh KPM.

    “Kami (KPM) mengambil kira semua pandangan yang diberikan dan saya telah duduk berbincang bersama Lembaga Peperiksaan dan pengurusan tertinggi KPM untuk melihat, mengambil tindakan sewajarnya, dan menganalisis satu persatu pandangan.

    “Insya-Allah kita (KPM) akan keluarkan satu jadual baharu berkaitan SPM 2021 dalam masa yang terdekat,” katanya dalam video berdurasi lebih satu minit itu.

    Video yang turut dikongsi di akaun Facebook KPM itu mendapat komen positif daripada netizen yang menzahirkan terima kasih dan rasa syukur.

    Radzi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa dan calon SPM 2021 yang telah memberi pandangan mereka berkaitan jadual peperiksaan SPM 2021 yang diumumkan sebelum ini.

    KPM menerusi satu kenyataan pada 17 Nov lepas memaklumkan bahawa jadual waktu peperiksaan bagi SPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA) 2021 telah disediakan, dan boleh dimuat turun dari laman web rasmi Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my bermula tarikh tersebut.

    Pengumuman jadual itu menerima pelbagai reaksi daripada ibu bapa dan pelajar. Media turut melaporkan terdapat pihak yang meminta jadual SPM 2021 yang akan berlangsung pada 3 hingga 20 Mac 2022 dikaji semula, terutama kertas peperiksaan yang diadakan pada hari Jumaat dan Ahad.

    Ini memandangkan Jumaat merupakan hari umat Islam melaksanakan solat Jumaat, manakala Ahad ialah hari penganut Kristian ke gereja. – BERNAMA