PEMBUKAAN sektor pelancongan di Melaka akan diputuskan pada pertengahan bulan depan berikutan beberapa faktor penting yang perlu diteliti.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak tercetusnya kluster pelancongan sekali gus menyebabkan peningkatan kes COVID-19 di Melaka.
Katanya antara faktor yang perlu diberi perhatian ialah penyediaan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi sektor berkenaan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kerajaan negeri mengalu-alukan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berhubung pembukaan tiga destinasi pelancongan dalam tempoh terdekat ini termasuk Melaka.
“Bagaimanapun, kita tidak akan tergesa-gesa membuka sektor pelancongan negeri ini dalam masa terdekat kerana menunggu SOP khusus daripada MKN,” katanya pada sidang akhbar selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya juga sedang memantau perkembangan semasa berkaitan kes COVID-19 di Langkawi, selepas sektor pelancongan pulau itu dibuka menerusi projek rintis Gelembung Pelancongan minggu lepas.
Selain Melaka, dua destinasi lain yang akan dibuka kepada pelancong tempatan bermula 1 Okt ini ialah Genting Highlands dan Pulau Tioman.- BERNAMA
MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih longgar bagi memasuki Labuan mulai 24 Sept ini.
Pengarah MKN Labuan Mohd Hafiez Mohd Daud berkata menerusi SOP baharu itu, pengunjung ke pulau ini tidak lagi wajib menjalani kuarantin dan hanya perlu menunjukkan keputusan RT-PCR atau RTK-Antigen yang negatif, lengkap vaksinasi COVID-19 dan tidak bergejala ketika tiba di Labuan.
Beliau berkata kelonggaran tersebut adalah selari dengan peralihan Wilayah Persekutuan itu ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 26 Ogos lepas.
“Kita sedang menumpukan pada usaha menyeimbangkan ekonomi pulau bebas cukai ini dengan kesejahteraan dan kesihatan penduduk, oleh itu, kami, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan tekad untuk melindungi Labuan daripada kembali berdepan waktu yang sukar, tanpa menjejaskan kestabilan ekonominya,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata pelawat mestilah menjalani ujian RT-PCR tiga hari sebelum berkunjung ke pulau itu atau melakukan ujian air liur RTK-Antigen (yang diperakui pengamal perubatan berdaftar atau petugas kesihatan Kementerian Kesihatan), 48 jam sebelum tiba di pintu masuk Lapangan Terbang Labuan atau terminal feri.
Sementara itu, bagi mereka yang belum melengkapkan vaksin wajib menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari dan melakukan ujian RTK-Antigen pada hari kelapan, kata Mohd Hafiez
“Pelawat yang bergejala ketika tiba di pintu masuk di sini atau keputusan ujian COVID-19 mereka didapati tidak sah, dikehendaki menjalani kuarantin selama lima hari dan melakukan ujian RTK-Antigen pada hari keempat, manakala 10 hari kuarantin bagi individu yang belum lengkap vaksinasi diikuti saringan RTK-Antigen pada hari kelapan,” katanya.
Menurut Mohd Hafiez syarat-syarat kemasukan bagi pengunjung dari luar negara pula adalah berbeza, iaitu tempoh kuarantin 14 hingga 21 hari berdasarkan penilaian risiko COVID-19 di pintu masuk dan mereka yang telah menerima vaksin penuh boleh menjalani kuarantin di rumah.
Beliau berkata pengangkut harian yang membawa barangan keperluan dari Sabah ke Labuan haruslah memiliki kad kesihatan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Labuan, dengan syarat mereka telah lengkap vaksinasi dan menunjukkan keputusan negatif bagi ujian RT-PCR atau RT-Antigen yang dilakukan tiga hari sebelum memasuki pulau ini.
“Kad kesihatan mestilah diperbaharui setiap minggu dan mereka tidak menunjukkan simptom ketika tiba di terminal feri Labuan, kakitangan kesihatan akan menjalankan saringan COVID-19 secara rawak ke atas pengangkut bagi tujuan pemantauan,” katanya.- BERNAMA
MESYUARAT Kedua Menteri Kuartet COVID-19 hari ini telah bersetuju dengan cadangan supaya pemilik premis perniagaan stesen minyak, restoran/ kedai makan/ kedai serbaneka dibenarkan beroperasi secara seragam di semua fasa dengan waktu beroperasi mulai pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam, kecuali bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, cadangan berhubung operasi kedai itu akan diangkat keJawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik esok untuk disyorkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum diputuskan tarikh berkuat kuasa.
Menurut beliau, adalah penting untuk dijelaskan bahawa fokus Menteri-Menteri Kuartet adalah untuk membuka sektor-sektor yang terlibat secara berperingkat dan selamat.
“Menuju ke fasa endemik tersebut, lebih banyak kelonggaran akan diberikan kepada rakyat. Sehubungan itu, saya berharap rakyat tidak leka sebaliknya kekal berdisiplin dalam mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) serta mematuhi garispanduan yang telah ditetapkan.
“Ia harus dititikberatkan kerana sebaik sahaja kerajaan mengumumkan bermulanya fasa endemik, bermakna kita semua perlu hidup bersama virus COVID-19,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Hishammuddin Hussein
Yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sero Nancy Shukri serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Hishammuddin menambah, mesyuarat itu turut memberi fokus kepada usaha menambah baik SOP yang telah diumumkan kepada orang ramai sebelum ini dan mempermudahkannya daripada 181 SOP kepada 10 sahaja.
“Usaha ini berjalan dengan baik sekali gus memberi keyakinan ia dapat diselesaikan seperti dirancang pada permulaan bulan Oktober,” jelasnya.
Sementara itu, beliau memberitahu, Nancy telah membentangkan mengenai perkembangan terkini pelaksanaan projek perintis gelembung perjalanan Langkawi yang berjalan lancar seperti yang telah dirancang.
Hishammuddin berkata, sekiranya perkembangan positif itu berterusan, ia berupaya menjadi pembuka jalan ke arah pelaksanaan inisiatif gelembung perjalanan di destinasi-destinasi yang lain.
“Menteri-Menteri Kuartet telah menetapkan tempoh dua minggu untuk menilai perkembangan terkini di Langkawi sebelum mengangkat cadangan destinasi-destinasi lain ke Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri,” ujarnya.
Selain itu, kata beliau, Ahmad Faizal pula telah membentangkan mengenai pembukaan gymnasium dan pusat boling yang telah diumumkan minggu lepas.
Menurut Hishammuddin, penting untuk dijelaskan, kerajaan membenarkan pembukaan aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan tertutup adalah dengan mengambil kira tunggak ketiga iaitu kesejahteraan rakyat terutama dari sudut kesihatan mental serta memahami kehendak pengusaha gimnasium sendiri.
“Namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menekankan bahawa pengusaha dan pengguna mesti bertanggungjawab serta berdisiplin dalam mematuhi garis panduan ventilasi yang telah ditetapkan.
“Ini amat penting memandangkan gimnasium merupakan kawasan tertutup, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan COVID-19 sekiranya ada pihak terleka tentang pematuhan SOP dan garis panduan” jelasnya.
Beliau menambah, selain gimnasium, Ahmad Faizal turut membentangkan mengenai potensi pembukaan stadium kepada orang awam bagi menonton perlawanan bola sepak serta sukan-sukan yang sesuai.
“Ini masih di peringkat perbincangan yang mana cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh Ahmad Faizal tadi akan diangkat untuk diteliti di peringkat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” katanya.
KEBENARAN merentas negeri tidak termasuk dalam senarai pengurangan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Hishammuddin berkata keputusan berkaitan kebenaran merentas negeri perlu diteliti oleh Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Rentas negeri ada kaitan dengan fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) negeri-negeri yang berkenaan.
“Tapi syor datang daripada menteri bertanggungawab untuk sektor tertentu dan kemudian dipertimbangkan di pelbagai peringkat termasuk Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Pandemik, serta dalam Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19,” katanya.
Hishammuddin berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau Program Vaksinasi ‘Back To School’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Tun Hussein Onn di sini hari ini. Turut hadir Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin.
Pada 14 Sept, Hishammuddin mengumumkan kerajaan kini di peringkat akhir untuk mengurangkan SOP PPN hanya kepada 10 SOP berbanding 181 sekarang, bagi memudahkan orang ramai untuk memahaminya.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet COVID-19 yang melibatkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa; Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selain beliau sendiri, akan diadakan esok.
“Mesyuarat akan memberi fokus terhadap usaha mempermudahkan 181 SOP kepada 10 SOP, selain memberi tumpuan terhadap naratif menjelang fasa endemik yang bermula hujung Oktober ini,” katanya.
Katanya mesyuarat esok juga telah menjemput Menteri Pelancongan Datuk Seri Nancy Shukri, bagi memberi taklimat mengenai status terkini projek perintis gelembung pelancongan Langkawi dan potensi gelembung pelancongan yang lain.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga akan hadir esok, bagi menerangkan tentang potensi kelonggaran-kelonggaran lain dalam sektor sukan.
Hishammuddin berkata pada minggu hadapan Radzi pula dijadual memberi taklimat kepada Menteri Kuartet mengenai vaksinasi dalam kalangan pelajar, serta perkembangan terkini menjelang pembukaan sekolah secara berperingkat mulai 3 Okt depan.- BERNAMA
TIGA lokaliti di Pahang iaitu Kampung Sungai Kabuk, Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Chohong di Lembah Bertam, Cameron Highlands serta Kampung Tamu Darat, Kota Belud, di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 20 Sept hingga 3 Okt depan.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad memaklumkan keputusan itu dibuat setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.
“Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook hari ini.
Sementara itu, PKPD di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kota Kinabalu, Sabah dan dua zon dalam Mukim Kuala Kedah, Kota Setar, Kedah ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.
PKPD di Penjara Tapah (termasuk kuarters), Batang Padang, Perak turut ditamatkan esok. – BERNAMA
POLIS Selangor menafikan terdapat kesan bengkak pada badan seorang tahanan yang meninggal dunia di lokap ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada Isnin lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata dakwaan yang dibuat oleh isteri tahanan terbabit adalah tidak benar dan polis telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu.
“(Dakwaan) itu tidak betul sebab kita dah tengok semua itu dan apa pun pakar akan buat laporannya.
“Polis juga telah buka kertas siasatan. Apabila berlaku sesuatu perkara, siasatan terus dijalankan seperti mana Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Nik Ezanee Mohd Faisal telah jelaskan. Itulah tumpuan siasatan kita,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas membuat tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pengunjung Pantai Bagan Lalang, di sini hari ini.
Menurut beliau, anggota lokap yang bertugas semasa kejadian tahanan terbabit meninggal dunia dalam lokap juga telah dipanggil untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, media melaporkan pemandu lori, T Vinaiyagar, 49, telah ditahan di Banting pada 8 Sept lepas dan isterinya, N Navaneetham, 35, mendakwa tidak menerima sebarang maklumat mengenai penahanan suaminya itu.
Hasil bedah siasat ke atas lelaki itu menyatakan punca kematiannya akibat ulser dalam perut, bagaimanapun, Navaneetham mendakwa melihat kesan bengkak pada badan suaminya.
Sementara itu, Arjunaidi berkata polis mengeluarkan 423 kompaun berkaitan kesalahan melanggar SOP Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 10 Sept lepas hingga semalam.
Beliau berkata kompaun itu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka, gagal menjaga penjarakan sosial dan sebagainya.
Beliau berkata kira-kira 3,000 anggota dari 700 pasukan pemantauan telah ditugaskan untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan sejak Lembah Klang beralih ke Fasa Dua PPN yang antaranya kebenaran rentas daerah membolehkan orang ramai melakukan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi.
Mengenai tinjauan hari ini, Arjunaidi berkata beliau berpuas hati dengan pematuhan SOP orang ramai di Pantai Bagan Lalang yang menjadi satu daripada tempat tumpuan pengunjung.- BERNAMA
PEMANTAUAN pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 bagi pembukaan semula industri pelancongan Langkawi mulai esok dibahagikan kepada tiga zon yang tertumpu kepada ‘hotspot’ atau lokasi tumpuan pelancong.
Pengerusi Task Force Gelembung Pelancongan Langkawi Saiful Anwar Azmi berkata Zon Satu melibatkan sekitar kawasan Pekan Kuah hingga Ayer Hangat, Zon Dua membabitkan kawasan dari Ayer Hangat hingga Pantai Kok, manakala Zon Tiga dari Pantai Kok hingga Pantai Tengah.
“Dalam setiap zon ini terdapat lokasi atau produk pelancongan yang sering menjadi tumpuan orang ramai. Kita bahagikan mengikut zon supaya mudah untuk pemantauan SOP dibuat.
“Pasukan pemantauan SOP contohnya polis bergerak membuat pemantauan di lokasi pelancongan mengikut zon ini dan mereka akan pastikan semua SOP COVID-19 dan SOP gelembung pelancongan dipatuhi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai persediaan berkaitan pemantauan pematuhan SOP ke atas pelancong yang akan mengunjungi Langkawi susulan pembukaan semula pulau itu di bawah projek rintis gelembung pelancongan mulai esok.
Katanya, antara lokasi atau produk pelancongan yang kebiasaannya menjadi tumpuan pelancong di Langkawi termasuk Terminal Jeti Kuah, Dataran Lang, pusat beli belah, premis bebas cukai, lapangan terbang, pusat pelancongan, pusat sukan dan rekreasi serta pantai.
Dalam pada itu, Saiful Anwar yang juga Pegawai Daerah Langkawi berkata enam jawatankuasa kecil diwujudkan di bawah Task Force Gelembung Pelancongan Langkawi yang berperanan memastikan projek rintis gelembung pelancongan itu berjalan lancar dan berjaya.
Katanya, jawatankuasa kecil tersebut adalah Jawatankuasa Pandemik, Jawatankuasa Penguatkuasaan dan Keselamatan, Jawatankuasa Kawalan Pintu Masuk, Jawatankuasa Pelancongan, Jawatankuasa Pengindahan Bandar dan Jawatankuasa Komuniti.
“Pelbagai agensi terlibat sama dalam jawatankuasa-jawatankuasa ini termasuk agensi kerajaan, badan berkanun dan badan bukan kerajaan…(Kita harap) Langkawi akan jadi pusat pelancongan terbaik bukan sahaja di peringkat negara ini tetapi di peringkat dunia,” katanya.
Ahad lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata setiap agensi di Langkawi sama ada kerajaan, swasta, badan berkanun serta persatuan-persatuan yang diberi peranan menjayakan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi perlu melaporkan aktiviti mereka kepada task force itu.
Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana semua yang terlibat itu diberi peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam projek rintis gelembung pelancongan berkenaan.- BERNAMA
POLIS tidak teragak-agak untuk mencadangkan kepada pihak berkuasa berkaitan supaya pusat rekreasi ditutup jika terlalu sesak dengan kehadiran orang awam yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan fizikal.
Memetik Berita Harian, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, ketika ini pihaknya akan membuat pemantauan pematuhan SOP dari semasa ke semasa terutama di Lembah Klang yang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Jumaat lalu.
“Polis menyedari keghairahan orang ramai beriadah di sungai, padang dan pantai terutama membabitkan warga Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya.
“Justeru, polis membuat pemantauan dan hebahan dengan memberi nasihat supaya mereka mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal.
“Bagaimanapun, jika keadaan tidak dapat dikawal akibat kesesakan dan pengunjung terlalu ramai, polis tidak teragak-agak untuk mencadangkan supaya pusat rekreasi ditutup,” katanya hari ini.
Semalam, media melaporkan kelonggaran merentas daerah selepas Lembah Klang mula beralih ke Fasa 2 PPN, membuatkan orang ramai mengambil kesempatan melakukan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi.
Tinjauan di Taman Tasik Titiwangsa mendapati golongan kanak-kanak sehingga warga emas mula melakukan pelbagai aktiviti riadah termasuk joging, berbasikal, bermain kasut roda dan ada juga yang bermain badminton bersama anak-anak.
Selain itu, peniaga makanan juga mula berniaga pelbagai jenis makanan kepada orang ramai di tepi jalan, bagi memenuhi permintaan.
Ditanya tindakan kompaun kepada pengunjung, Mastor berkata, ia pilihan terakhir jika mereka menghiraukan nasihat polis supaya mematuhi SOP.
“Kita mengambil pendekatan berhemah dahulu dengan memberi nasihat.
“Kalau mereka masih berdegil, pilihan terakhir ialah dengan memberi kompaun,” katanya.
PELANCONG domestik yang memenuhi kriteria prosedur operasi standard (SOP) dari seluruh negara termasuk dari negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mengunjungi Pulau Langkawi mulai 16 Sept ini.
Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata pengunjung perlu memohon kebenaran polis sebelum ke pulau berkenaan serta menunjukkan bukti dokumen seperti tiket penerbangan, tiket feri atau resit hotel.
Beliau berkata kebenaran tersebut tidak terpakai kepada mereka yang sedang berada di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menurut Nancy, bagi pergerakan menggunakan jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri sebelum ke Langkawi.
“Manakala bagi pelancong yang memulakan perjalanan mereka dari Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara, mereka tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan,” katanya pada sidang media di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini hari ini.
Nancy berkata antara SOP ditetapkan untuk ke Langkawi yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan adalah terhad kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.
Beliau berkata tiada had umur ditetapkan selain perlindungan insuran dan saringan COVID-19 juga tidak diwajibkan.
Bilangan penumpang dalam kenderaan pula tertakluk kepada kapasiti kenderaan dan pengunjung yang perlu menyesuaikan dengan waktu perkhidmatan feri ke pulau peranginan itu dibenarkan bermalam di premis penginapan berdaftar di Kedah atau Perlis.
Selain itu, beliau berkata jenis percutian dibenarkan ialah secara harian, bermalam percutian dengan tempahan dan percutian pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Aktiviti gelembung pelancongan Langkawi yang dibenarkan termasuk penginapan di hotel atau inap desa (homestay); aktiviti pantai; sukan air; snorkeling; selam skuba; aktiviti pelancongan minat khas; aktiviti eko geo-kembara, premis hasil seni, budaya dan warisan; taman tema dan pusat hiburan keluarga dan lawatan bersifat akademik.
Nancy berkata MOTAC akan membuat pemantauan pelaksanaan gelembung pelancongan Langkawi dan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat berkaitan program itu dalam masa dua minggu.
Beliau berkata MOTAC menyasarkan 420,000 pengunjung dari September ke Disember tahun ini.
Sementara itu, Nancy turut mengumumkan Malindo Air dan Firely menawarkan potongan RM50 bagi harga tiket penerbangan di bawah program Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 1.0.
“Malaysia Airlines dan Air Asia pula masing-masing menawarkan harga promosi bermula RM89 dan RM59 sehala,” katanya.
Selain itu, pelancong boleh menikmati e-baucar bernilai RM50 dan RM100 bagi tempahan tiga hari dua malam di hotel yang mengambil bahagian, menerusi kempen Jom Cuti-Cuti Malaysia! Experince Malaysia Like Never Before.
Menurutnya, terdapat 10 pakej ditawarkan oleh pelbagai agensi pelancongan dengan tawaran serendah RM202 bagi Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan.- BERNAMA
PERBEZAAN bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan negeri dikatakan menjadi punca ketidakseragaman prosedur operasi standard (SOP), termasuk kebenaran ziarah kubur.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, keputusan di peringkat Persekutuan membenarkan masyarakat untuk menziarahi kubur ketika di luar musim perayaan.
Menurut beliau, pertimbangan sedemikian dibuat berikutan orang ramai lazimnya berpusu-pusu ke pusara ahli keluarga apabila tiba musim perayaan seperti Aidilfitri.
“Apa yang saya nyatakan ialah pendirian kerajaan Pusat atau MKN. Ini satu kes terpencil yang berpunca daripada ketidakseragaman SOP,” katanya seperti dilapokan BH, hari ini.
Beliau mengulas keluhan yang disuarakan cef selebriti, Chef Zam menerusi media sosial kerana dihalang daripada menziarahi pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam, dekat Seksyen 9 Kota Damansara, Selangor.
Difahamkan, Chef Zam atau nama sebenarnya, Zamzani Abdul Wahab dilarang berbuat demikian atas arahan Majlis Agama Islam Selangor, memandangkan kawasan berkenaan masih dikategorikan dalam fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Walaupun kerajaan Persekutuan bertanggungjawab memuktamadkan SOP berhubung kawalan pergerakan, Rodzi berkata, ada negeri yang bertindak mewujudkan peraturan tambahan.
Beliau memberitahu, hal itu kerana perkara berkaitan Islam adalah tertakluk kepada pertimbangan pihak berkuasa agama negeri.
“Memang MKN putuskan boleh ziarah kubur di luar waktu perayaan, namun ada negeri yang bertindak mewujudkan peraturan tambahan kerana perkara keagamaan (Islam) adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri,” jelasnya.