Tag: Somalia

  • Hotel diserang pengganas, 20 orang maut, 40 lagi cedera

    Hotel diserang pengganas, 20 orang maut, 40 lagi cedera

    SEKURANG-kurangnya 20 orang maut manakala 40 lagi cedera berikutan serangan kumpulan pengganas al-Shabab ke atas sebuah hotel terkenal di ibu negara Somalia, Mogadishu.

    Menurut pihak berkuasa, pengganas menyerbu hotel berkenaan kelmarin dan mencetuskan kejadian berbalas tembak dengan pasukan keselamatan.

    Buat masa ini, kepungan pengganas ke atas Hotel Hayat masih berlangsung.

    Menurut jurucakap polis, dua bom kereta menyasarkan hotel berkenaan dalam kejadian pada Jumaat, insiden yang memerangkap ramai orang awam.

    Abdikadir Abdirahman, pengarah dan pengasas perkhidmatan ambulans Aamin di Mogadishu berkata, mereka sudah menghantar sembilan mangsa cedera dari hotel itu ke hospital.

    “Pasukan keselamatan masih berusaha menumpaskan pengganas yang bersembunyi di bilik hotel. Kebanyakan mangsa berjaya diselamatkan dengan sekurang-kurangnya lapan orang awam maut setakat ini ” katanya.

    Sementara itu, kawasan sekitar hotel empat tingkat itu dipenuhi orang awam yang ingin mengetahui nasib orang kesayangan mereka.

    Al-Shabaab melancarkan serangan untuk menjatuhkan kerajaan Somalia lebih 10 tahun. Ia mahu menubuhkan kerajaan sendiri berdasarkan tafsiran ketat undang-undang Islam.

    Hotel Hayat ialah tempat yang popular dengan penggubal undang-undang dan pegawai kerajaan.

    Ini adalah serangan besar pertama sejak Presiden Hassan Sheikh Mohamud berkuasa pada Mei lalu.

    Al-Shabaab pernah melancarkan serangan seumpama ini. Pada Ogos 2020, kumpulan itu mengaku menyerang sebuah hotel di Mogadishu yang meragut sekurang-kurangnya 16 nyawa.

  • [VIDEO] 2 letupan bom, 20 mangsa terbunuh

    [VIDEO] 2 letupan bom, 20 mangsa terbunuh

    SEKURANG-KURANGNYA 20 orang terbunuh dan beberapa mangsa lagi cedera dalam dua kejadian letupan bom berasingan di selatan Somalia pada Rabu.

    Seorang pegawai polis di bandar Marka, wilayah Lower Shabelle memberitahu Agensi Anadolu (AA) bahawa seorang pengebom bunuh diri bertindak meletupkan dirinya sehingga mengorbankan 13 orang, termasuk Datuk Bandar, Abdullahi Ali Wafow, pengawal keselamatan dan orang awam.

    Mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

    Marka yang terletak 90 kilometer dari Mogadishu, ibu negara Somalia, merupakan sebuah bandar utama yang menempatkan beberapa kontinjen misi pengaman Kesatuan Afrika (AU).

    Serangan tersebut berlaku berhampiran ibu pejabat pentadbiran Marka.

    Kumpulan pengganas Al-Shabaab mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

    Di wilayah yang sama, letupan periuk api menggegarkansebuah pasar di bandar Afgoye, mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan lebih 14 mangsa yang lain, menurut seorang pegawai keselamatan serantau di Lower Shabelle.

    Serangan di Afgoye turut memusnahkan bangunan dan kedai berhampiran, menurut seorang saksi.

    Afgoye terletak 30 kilometer dari barat daya Mogadishu.​​​​​​

    Sementara itu, Turkiye mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas yang membawa maut di Somalia.

    “Kami amat sedih apabila mengetahui ramai orang, termasuk pegawai dan orang awam terkorban atau cedera dalam serangan pengganas yang berlaku di Afgoye dan Marka,” lapor AA memetik kenyataan Kementerian Luar Turki. – BERNAMA

  • Tiga termasuk anggota keselamatan maut dalam letupan bom

    Tiga termasuk anggota keselamatan maut dalam letupan bom

    SEKURANG-KURANGNYA tiga terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam insiden letupan bom yang menyasarkan pusat pemeriksaan keselamatan di Mogadishu, Somalia pada Rabu, lapor Agensi Anadolu (AA).

    Jurucakap polis Somalia, Abdifatah Adan Hassan ketika dihubungi AA berkata, dua anggota keselamatan antara yang maut dalam serangan di pusat pemeriksaan keselamatan yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Aden Adde di Mogadishu.

    Sehingga kini belum ada kumpulan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.

    Serangan itu berlaku ketika Somalia sedang bersiap sedia untuk mengadakan pemilihan presiden yang telah lama tertangguh.

    Somalia turut dibelenggu kemelut politik yang menyaksikan perebutan kuasa antara Presiden Mohamed Abdullahi Mohamed dan Perdana Menteri Mohamed Hussein Roble. – BERNAMA

  • Lelaki Iraq suspek bunuh wanita Somalia di Ampang

    Lelaki Iraq suspek bunuh wanita Somalia di Ampang

    POLIS menahan seorang lelaki warga Iraq yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) bagi membantu siasatan kejadian kes bunuh seorang wanita warga Somalia di sekitar Ampang Point, Ampang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berumur 25 tahun yang bekerja sebagai pembantu restoran itu ditahan di Jalan Ampang Putra, Ampang pada 11.20 malam tadi.

    Katanya, turut dirampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

    “Siasatan mendapati mangsa dan suspek saling mengenali kerana sama-sama bekerja di sebuah restoran makanan Arab. Dengan tertangkapnya suspek, kita berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh 24 jam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, suspek warga Iraq itu direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Isnin depan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Mohamad Farouk meminta orang ramai supaya menghubungi balai polis berdekatan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu bagi membantu siasatan.

    Semalam, beliau berkata pihaknya menerima laporan sekitar 12 tengah hari berhubung kejadian seorang wanita warga asing berusia 28 tahun ditemukan mati dipercayai dibunuh di hadapan sebuah kedai di Jalan Memanda 2, Ampang.

    Beliau dalam kenyataan berkata maklumat orang ramai mengatakan mangsa pada mulanya dilihat bertengkar dengan seorang lelaki di hadapan premis itu sebelum dilihat ditikam dengan objek tajam. – BERNAMA

  • Wisma Putra pantau rakyat Malaysia ditahan di Somalia

    Wisma Putra pantau rakyat Malaysia ditahan di Somalia

    WISMA Putra memantau rapat penahanan dan proses perundangan yang dikenakan terhadap seorang warganegara Malaysia yang didakwa memasuki Somalia dengan tujuan pembabitan dalam aktiviti kumpulan Al-Shabab.

    Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum, Sudan sudah pun berhubung dan mengadakan lawatan konsular bagi memastikan kebajikan dan kesihatan Ahmad Mustakim Abdul Hamid sentiasa terjaga. 

    “Kementerian Luar akan terus pantau perkembangan kes ini dan hulurkan bantuan sewajarnya kepada beliau (Ahmad Mustakim) dengan memastikan supaya hak-hak dan kebajikan sentiasa terjaga di samping pastikan beliau dibicarakan secara adil berlandaskan perundangan sewajarnya. 

    “Kita mesti menghormati undang-undang negara tersebut dan mungkin kita akan minta supaya wakil kedutaan hadir ketika perbicaraan kelak.

    “Kita sudah menghubungi keluarga Ahmad Mustakim bagi memaklumkan keadaan beliau,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Indera Mahkota di sini hari ini.

    Terdahulu, Saifuddin mengadakan lawatan ke Rapha Children’s Home dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Istimewa serta menyampaikan kuih bulan dan sumbangan wang tunai. 

    Sementara itu, menyentuh mengenai kapal selam nuklear baharu Australia melibatkan kerjasama United Kingdom dan Amerika Syarikat, Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, berkata beliau telah meminta butiran terperinci mengenai pemilikan aset itu daripada negara berkenaan.

    “Saya telah dihubungi dan adakan perbualan telefon dengan Menteri Luar Australia Marise Payne dan beliau menerangkan tentang projek kapal selam itu dengan tujuan untuk mengelakkan berlaku salah faham.

    Menerusi perbualan itu juga, Saifuddin menekankan Malaysia mengamalkan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), selain berpegang kepada deklarasi Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1982 tentang Undang-undang Perjanjian Laut (UNCLOS). 

    “Pandangan kita bahawa perkara ini berkemungkinan menyebabkan reaksi kuasa-kuasa besar lain dan kita tidak mahu terperangkap dalam perlumbaan senjata antara kuasa-kuasa besar,” katanya. 

    Tambah beliau, semua Menteri Luar ASEAN dijangka akan mengeluarkan kenyataan bersama berhubung isu ini dalam masa terdekat. 

    Media melaporkan Australia bakal memperolehi teknologi kapal selam berkuasa nuklear dengan pakatan pertahanan baharu membabitkan negara itu dengan kerjasama Amerika Syarikat dan United Kingdom.- BERNAMA