Tag: Selangor

  • 8 kenderaan musnah dalam kebakaran hutan

    8 kenderaan musnah dalam kebakaran hutan

    SEBANYAK lapan kenderaan musnah terbakar dalam kebakaran hutan berhampiran Jalan Nova U5/94A Laman Permai, di Sungai Buloh malam tadi.

    Memetik laporan BH, semua kenderaan terbabit diletakkan di hadapan bengkel berhampiran kawasan itu.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.29 malam.

    “Sejurus selepas menerima panggilan, sepasukan 15 anggota bersama dua jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dan BBP Shah Alam dikejarkan ke lokasi.

    “Sebaik tiba, didapati berlaku kebakaran hutan yang turut menyebabkan lapan kenderaan terbakar. Operasi pemadaman segera dilakukan hingga kebakaran berjaya dikawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

  • Lori langgar treler: 1 mati tersepit, 4 lagi parah

    Lori langgar treler: 1 mati tersepit, 4 lagi parah

    SEORANG lelaki yang dipercayai pemandu lori mati dalam keadaan tersepit di tempat duduknya setelah kenderaan itu melanggar bahagian belakang sebuah treler.

    Memetik laporan Sinar Harian hari ini, kemalangan yang melibatkan dua kenderaan itu berlaku di Kilometer 408.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di lokasi berhampiran Tanjung Malim-Lembah Beringin, pada awal pagi tadi.

    Selain itu, empat pekerja warga Pakistan dilaporkan dalam keadaan cedera parah akibat tersepit di bahagian belakang lori yang membawa papan tanda arah tersebut.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, kejadian berkenaan berlaku kira-kira pukul 1.12 pagi tadi.

    “Sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dengan dibantu BBP Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 1.45 pagi.

    “Mangsa yang maut merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 60 tahun telah tersepit dibahagian tempat duduk pemandu manakala empat mangsa lagi parah tersepit di bahagian belakang lori yang membawa papan tanda arah itu,” katanya.

    Menurut beliau, anggota bomba seterusnya menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dari lori.

    “Kesemua mangsa tersepit dikeluarkan dengan menggunakan alatan khas dan kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Namun, dua mangsa lagi iaitu pemandu serta penumpang treler yang dilanggar tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.

  • Jurutera mati jatuh dari bumbung kilang

    Jurutera mati jatuh dari bumbung kilang

    JABATAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor menyiasat kes seorang jurutera yang maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah kilang pembuatan logam di Jalan Kebun, Kampung Jawa, Klang dekat sini, Rabu lepas.

    JKKP Selangor dalam kenyataan memaklumkan, lelaki berusia 23 tahun itu terjatuh dari ketinggian 20 meter dan siasatan dijalankan selepas menerima maklumat melalui sistem dalam talian MyKKP.

    “Hasil siasatan awal, mangsa didapati merupakan seorang jurutera syarikat kontraktor projek pemasangan sistem solar di kilang tersebut. Ketika kejadian, mangsa dan rakannya telah naik ke bumbung lut sinar itu untuk membuat pemerhatian dan didapati telah jatuh dari bumbung itu,” menurut kenyataan itu.

    Menurut JKKP Selangor, mangsa telah diberikan bantuan kecemasan namun gagal dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik.

    Susulan siasatan tersebut, JKKP Selangor telah mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu tempat kejadian kepada pihak majikan dan Notis Larangan Serta-merta juga dikeluarkan di atas kegagalan pihak majikan mengadakan sistem kerja selamat untuk bekerja di tempat tinggi dengan tidak menyediakan tali keselamatan.

    JKKP Selangor memaklumkan turut dikeluarkan adalah Notis Pembaikan bagi kegagalan majikan mengawal pergerakan keluar masuk pelawat (pekerja kontrak) dan tidak mengeluarkan permit untuk kerja (PTW) untuk melakukan kerja tersebut.

    Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan pihak bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut.

    “JKKP Selangor akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

    “Kejadian seumpama ini boleh dielak jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • JAIS larang pungut wang, sumbangan di masjid tanpa kebenaran

    JAIS larang pungut wang, sumbangan di masjid tanpa kebenaran

    JABATAN Agama Islam Selangor (JAlS) mengingatkan semua pihak sama ada individu atau kumpulan termasuk pemilik sekolah swasta Islam dan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan atau parti politik untuk tidak memungut wang atau sumbangan lain di masjid, surau dan musolla bagi tujuan kepentingan Islam atau manfaat dan faedah bagi umat Islam.

    Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, perkara itu hanya boleh dilakukan selepas mendapatkan kebenaran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di bawah Seksyen 106 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 Pindaan 2018.

    Mohd Shahzihan berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan dengan wujudnya individu atau pihak yang mengambil kesempatan atas kemurahan hati umat Islam.

    “Baginda bimbang terdapat pihak yang mengambil kesempatan untuk menggunakan wang sumbangan tersebut bagi kepentingan peribadi atau kekuasaan dan pengaruh selain untuk menguatkan lagi kumpulan-kumpulan yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, tindakan mana-mana individu membuat atau mengambil bahagian dalam apa-apa pungutan wang bagi maksud khairat dan manfaat agama Islam tanpa surat kebenaran MAIS adalah merupakan suatu kesalahan di bawah subseksyen 106 (4) Enakmen yang sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

    Mohd Shahzihan berkata, oleh itu pihak pentadbir masjid, surau dan musolla tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam kutipan khairat bagi apa-apa tujuan oleh mana-mana pihak selain untuk tujuan dan manfaat kepada masjid, surau dan musolla di bawah pentadbiran masing-masing.

    Dalam masa yang sama katanya, penerimaan dan perbelanjaan wang atau sumbangan yang sah hendaklah diaudit dan laporkan kepada JAIS.

    Beliau berkata justeru, orang awam dinasihatkan sentiasa berhati-hati sebelum membuat apa-apa sumbangan untuk memastikan aktiviti kutipan khairat tanpa kebenaran tidak lagi berlaku di Selangor dan boleh juga menghulurkan derma atau sumbangan sedekah secara terus kepada Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) yang diuruskan oleh JAIS. – BERNAMA

  • Jangan sibuk ramal masa depan PH di Selangor, Rafizi kena kecam

    Jangan sibuk ramal masa depan PH di Selangor, Rafizi kena kecam

    GARA-GARA ramalannya tentang kemungkinan Pakatan Harapan (PH) kehilangan Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Rafizi Ramli menerima kecaman hebat daripada pimpinan PKR di negeri itu.

    Memetik laporan FMT, Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar meminta Rafizi fokus terhadap kempen pemilihan parti dan bukannya sibuk meramalkan masa depan PH di negeri tersebut.

    Beliau turut kesal dengan kenyataan Rafizi itu yang seolah-olah memperkecilkan usaha yang dilakukan oleh pentadbiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

    “Yang duduk di dalam Kabinet kerajaan negeri… kami yang diamanahkan, kami tahulah, kami yang berusaha keras untuk memastikan kerajaan negeri kekal untuk PRU akan datang. Kami yang faham.

    “Saya harap Rafizi tumpukanlah kempen dia untuk bertanding timbalan presiden (PKR)… tentang kerajaan negeri, itu tanggungjawab kami yang menjaganya,” katanya kepada FMT.

    Berucap di hadapan ahli PKR sempena kempen pemilihan parti 2022 semalam, Rafizi berkata sekiranya kepimpinan PKR tidak bertindak terhadap isyarat daripada Johor dan tiga lagi PRN – Sabah, Melaka dan Sarawak – kemungkinan besar parti itu akan kehilangan Selangor pada PRU-15.

    Rafizi turut memberi amaran kepada pemimpin PH Selangor yang mempunyai jawatan supaya bersedia untuk hilang kedudukan itu dalam tempoh tiga atau empat bulan dari sekarang.

    Berhubung pendekatan khemah besar, Halimey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia berkata, Rafizi tidak berhak untuk menentukan keputusan yang perlu dibuat oleh kepimpinan tertinggi PH.

    “Kita atas arahan presiden (Anwar), presiden bersama pimpinan PH yang buat keputusan untuk adakan khemah besar atau tak, bukan Rafizi yang buat keputusan. Kalau Rafizi menang (timbalan presiden) sekali pun, bukan kuasa dia nak tentukan khemah besar atau khemah kecil, presiden PKR yang tentukan,” tegasnya.

    Pada pemilihan PKR 2022/2025 Mei ini, Rafizi berdepan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk merebut jawatan nombor dua parti itu.

    Ramai pemimpin dan ahli PKR yang mempersoalkan kemunculan semula Rafizi yang secara tiba-tiba setelah sekian lama menghilangkan diri selepas tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti yang lalu.

    Rafizi juga mencetuskan polemik apabila menyatakan hasrat untuk bertanding pada PRU-15 dan pemerhati politik menjangka beliau akan kembali ke kerusi Parlimen Pandan yang kini disandang oleh isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

    Setakat ini, jangkaan awal mendapati Saifuddin mempunyai lebih banyak kelebihan untuk memenangi persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, berbanding Rafizi.

  • Seorang lelaki mati akibat penyakit anjing gila di Selangor

    Seorang lelaki mati akibat penyakit anjing gila di Selangor

    JABATAN Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan terdapat satu kes kematian melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang disahkan menghidap rabies atau penyakit anjing gila pada Isnin (4 April).

    Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dalam kenyataan di Facebook rasmi JKNS memaklumkan, mangsa yang berusia 40 tahun dan menetap di daerah Petaling itu, meninggal dunia di rumah pada 10 Mac lepas.

    “Mendiang telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan keputusan ujian makmal bagi spesimen otak didapati positif virus rabies,” katanya.

    Dr Sha’ari berkata hasil siasatan dalam kalangan masyarakat setempat mendapati mendiang dilihat masih berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahan dua hari sebelum meninggal.

    “Adalah dimaklumkan punca jangkitan masih dalam siasatan. Tiada gejala dan tanda penyakit rabies dilaporkan pada kes yang berlaku di Selangor ini,” katanya.

    Dr Sha’ari berkata, berikutan kejadian kes tersebut, beberapa langkah pencegahan dan kawalan telah dijalankan secara bersepadu oleh JKNS, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Petaling antaranya penangkapan anjing liar yang dijalankan di lokaliti terlibat bermula 7 April lalu.

    “Spesimen haiwan yang ditangkap dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI),” katanya.

    Dr Sha’ari berkata, siasatan lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Program Active Case Detection (ACD) dalam lingkungan radius satu kilometer dari rumah mendiang.

    Katanya lagi, surat peka kepada semua fasiliti kesihatan awam dan swasta telah dikeluarkan bagi meningkatkan kesedaran dan pengesanan awal kes gigitan anjing atau haiwan liar oleh pengamal perubatan di Selangor.

    “Selain itu, pelantikan dua hospital rujukan kes gigitan anjing di negeri ini iaitu Hospital Shah Alam dan Hospital Serdang. Ini bagi membolehkan penilaian risiko dan kategori luka bagi pemberian vaksin rabies serta rawatan immunoglobulin rabies sekiranya perlu,” katanya.

    Susulan itu, Dr Sha’ari turut menasihati orang awam agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan apabila digigit oleh anjing atau haiwan liar iaitu segera membersihkan bahagian tubuh yang digigit atau dicakar dan mendapatkan rawatan.

    “Segera laporkan kepada DVS Selangor atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah sekiranya peliharaan berubah tingkah laku termasuk menjadi agresif atau pihak PBT jika terdapat anjing atau haiwan liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal,” katanya. – BERNAMA

  • Mahkamah putuskan anak lelaki Hindu tidak pernah beragama Islam

    Mahkamah putuskan anak lelaki Hindu tidak pernah beragama Islam

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam memutuskan bahawa seorang wanita berumur 35 tahun yang bapanya beragama Hindu dan ibunya beragama Buddha yang kemudiannya memeluk Islam, tidak pernah beragama Islam.

    Memetik laporan FMT, Hakim Datuk Dr Choo Kah Sing berkata, Seksyen 147 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 1952 dengan jelas melarang penukaran agama anak daripada perkahwinan sivil.

    “Litigasi yang dikemukakan plaintif tidak boleh dianggap menyusahkan kerana dia menggunakan hak perlembagaan untuk kebebasan beragama,” kata hakim ketika menolak tuntutan balas oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

    Beliau juga bergantung kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari 2018 dalam kes M Indira Gandhi bahawa pasangan yang telah memeluk Islam tidak boleh menukar agama anak bawah umur secara sebelah pihak.

    Kah Sing berkata, wanita terbabit yang identitinya dirahsiakan atas permintaan peguamnya, berkata Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu kerana dia mengambil pendirian bahawa dia pada mulanya tidak pernah beragama Islam.

    Wanita yang diwakili A Surendra Ananth dan Nurul Hidayah Mohd Azmi itu, pada mulanya ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa dia tidak pernah beragama Islam namun gagal.

    Awal tahun lalu, dia memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkannya untuk mendapatkan pengisytiharan itu. Dia menamakan kerajaan negeri Selangor dan MAIS sebagai defendan.

    Hakim juga berkata, plantif tidak pernah mengaku di mahkamah syariah yang dia menganut agama Islam.

    Sehubungan itu, Kah Sing dalam keputusannya yang dibuat Disember lalu berkata mahkamah syariah tidak boleh menghalangnya daripada melaksanakan hak perlembagaannya di mahkamah sivil.

    Kerajaan negeri Selangor dan MAIS yang masing-masing diwakili oleh Nur Irmawatie Husna Abdul Halim dan Nur Majdah Muda, telah memfailkan rayuan yang akan didengar pada 13 September

    Mereka turut memfailkan permohonan untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi sementara menunggu keputusan di Mahkamah Rayuan. Permohonan ini akan didengar pada 30 Mei.

    Susulan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam itu, wanita terbabit memohon Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan semula kad pengenalannya tanpa perkataan ‘Islam’ dan ‘binti’.

  • 57 guru KAFA Selangor tolak vaksin boleh dibuang kerja

    57 guru KAFA Selangor tolak vaksin boleh dibuang kerja

    SEBANYAK 57 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor yang masih enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 walaupun telah digantung tugas berdepan risiko ditamatkan perkhidmatan, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

    Beliau berkata, tindakan tersebut perlu diambil bagi mengelak pelajar-pelajar KAFA terdedah kepada risiko dijangkiti COVID-19.

    “Kita sudah maklumkan ini lebih awal dan menyarankan agar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil langkah-langkah termasuk mengadakan konsultasi, beri amaran dan surat mengenai risiko ini (penggantungan dan penamatan perkhidmatan).

    “Selepas beberapa proses, mereka ini betul-betul tegar walaupun sudah diulang beberapa kali mengenai risiko yang bakal dihadapi mereka. Kita hormati pendirian mereka tetapi untuk langkah tertentu yang membawa risiko kepada anak-anak dan guru lain di sekolah, kita tidak mahu ambil risiko,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama dalam Perkongsian Data Kuantiti dan Kualiti Air antara Lembaga Urus Air Selangor dengan agensi berkepentingan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam hari ini.

    Menurutnya, guru-guru berkenaan telah diingatkan mengenai perkara penamatan perkhidmatan itu sejak Ogos dan September tahun lepas.

    “Bagaimanapun, tindakan itu bukanlah dilakukan secara tergesa-gesa sebaliknya mengikut proses tatatertib penjawat awam,” katanya.

    Amirudin berkata guru KAFA yang digantung tugas berkenaan boleh kembali bertugas sekiranya mereka mematuhi arahan jabatan untuk mengambil vaksin.

    Semalam, media melaporkan 57 guru KAFA di Selangor yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 dikenakan tindakan gantung tugas selama dua bulan mulai Mac ini. – BERNAMA

  • Selangor benar rapat saf solat jemaah 1 April

    Selangor benar rapat saf solat jemaah 1 April

    SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan supaya solat berjemaah tanpa penjarakan sosial di masjid dan surau seluruh negeri Selangor berkuat kuasa 1 April ini.

    Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan tersebut dibuat selepas baginda mengadakan satu rundingan bersama beberapa agensi kerajaan negeri dan ahli-ahli Dewan Diraja Selangor.

    “Baginda telah berkenaan membuat penelitian dan memperhalusi beberapa perkara penting terutamanya langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan kesan mendalam akibat COVID-19 selain memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara serta masjid dan surau terus berfungsi sebagai pusat ibadah umat Islam.

    “Baginda juga berkenan solat tarawih dibenar dilaksanakan 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan tahun ini di semua masjid dan surau di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd Shahzihan berkata, para jemaah dikehendaki mengikuti beberapa ketetapan yang ditetapkan seperti hanya individu lengkap vaksin sahaja dibenarkan hadir ke masjid atau surau.

    “Individu berumur 18 tahun dan ke bawah lengkap dua dos vaksin dibenarkan hadir ke masjid dan surau selain perlu membawa sejadah dan memakai pelitup muka.

    “Individu yang bergejala diminta menangguhkan sebarang aktiviti di masjid dan surau sehingga tahap kesihatan dapat dipastikan demi menjaga kesejahteraan jemaah lain,” katanya.

    Mohd Shahzihan berkata, baginda turut menzahirkan rasa bimbang dengan penularan wabak COVID-19 yang masih tinggi di Selangor dan menasihati rakyat di negeri itu untuk terus berhati-hati serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang dikeluarkan oleh kementerian dari semasa ke semasa.

    “Di Selangor mencatatkan jumlah kematian sebanyak 10,413 setakat 19 Mac lalu dengan lebih 50 peratus daripadanya adalah orang Melayu.

    “Oleh yang demikian, baginda menasihati rakyat Selangor agar tetap berhati-hati dan terus mematuhi SOP serta mengikuti semua arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa,” katanya. – BERNAMA

  • Bomba Selangor terima 15 laporan gegaran selepas gempa

    Bomba Selangor terima 15 laporan gegaran selepas gempa

    SEBANYAK 15 laporan gegaran diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor di sekitar negeri tersebut susulan gempa bumi yang berlaku di Sumatera, Indonesia pagi tadi.

    Memetik laporan BH, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, panggilan pertama diterima pada jam 9.48 pagi oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting susulan gegaran berlaku di Mahkamah Telok Datok.

    “Kes kedua diterima BBP Puchong pada jam 9.48 pagi juga membabitkan gegaran di Taman Perindustrian Sime UEP, manakala BBP Penchala menerima panggilan dari Jalan Zamrud PJS 5/27 Taman Medan.

    “BBP Kajang menerima panggilan dari Jalan Zamrud 1 juga pada jam 9.48 pagi, manakala BBP Subang Jaya menerima dua laporan dari lokasi USJ 10/1 lokasi PJ Hilton.

    “BBP Shah Alam menerima laporan dari lokasi Jalan Cangkut 19/3 dan sekitar Taman Sri Muda, manakala BBP Kota Anggerik menerima laporan dari Seksyen U8, U1 & U2 dan BBP Sungai Pinang menerima panggilan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Meru.

    “Selain itu, BBP Cyberjaya menerima panggilan dari lokasi Jalan Impact, BBP Rawang pula dari Taman Tun Teja, BBP Damansara menerima panggilan dari Jalan TG Bandar Utama 8, BBP Sepang pula di Bagan Lalang dan BBP KLIA dari Pejabat Korporat Malaysia Airport BHD,” katanya kepada BH, hari ini.

    Beliau menambah, 14 lokasi berkenaan dipantau balai bomba terbabit.

    “Sehingga kini, tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Pihak bomba sentiasa bersedia dan membuat pemantauan di lokasi kejadian,” jelasnya.

    Terdahulu, bomba menerima laporan daripada Jabatan Meteorologi berhubung kesan gempa bumi di Bukit Tinggi Sumatera pada jam 9.40 pagi tadi.