PEMBAHARUAN perlu dilakukan terhadap proses undi pos yang melibatkan sejuta rakyat Malaysia di luar negara sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Gesaan itu dibuat oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Memetik laporan FMT, Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, walaupun pihaknya mengalu-alukan peluasan hak pengundi pos, ia mendapati wujud beberapa kelemahan dalam proses undi pos.

“Pengalaman pengundi yang mengambil bahagian dalam survei pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor juga mengesahkan beberapa masalah yang kami perhatikan.

“Antaranya adalah isu kekurangan masa, kurang kesedaran dan kurang keyakinan,” katanya.

Dalam pada itu, Bersih mencadangkan kerajaan menghapuskan keperluan untuk mencetak kertas undi, borang dua dan sampul dengan membenarkan pengundi pos yang telah lulus untuk memuat turun dokumen versi PDF daripada akaun MySPR mereka.

Katanya, kaedah itu akan menjimatkan masa dari lima hingga 14 hari untuk mencetak, memasukkan sampul dan untuk penghantaran.

“Tempoh permohonan menjadi pengundi pos luar negara perlu dipanjangkan bermula sebaik sahaja Dewan Rakyat dibubarkan dan ditutup sejurus sebelum hari penamaan calon.

“Tempoh kempen minimum 21 hari untuk memberikan masa yang mencukupi bagi kertas undi dikembalikan sebelum hari pengundian,” jelasnya.

Bersih menambah, semua arahan, sama ada atas talian atau luar talian, perlu dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

“Saksi yang menandatangani Borang 2 tidak semestinya rakyat Malaysia memandangkan ada situasi di mana pengundi tersebut mungkin satu-satunya rakyat Malaysia di bandar atau kawasan tersebut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here