Tag: samun

  • Polis siasat warga asing disamun, dirogol di Tanjung Tokong

    Polis siasat warga asing disamun, dirogol di Tanjung Tokong

    POLIS sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian seorang wanita warga asing yang disamun sehingga mengalami kecederaan dan mendakwa dirogol ketika sedang berjalan kaki di kawasan Tanjung Tokong, di sini Ahad lepas.

    Ketua Polis Daerah Soffian Santong berkata berdasarkan siasatan awal, mangsa berusia 24 tahun itu mendakwa dia sedang berjalan kaki di kawasan tersebut pada 7.30 malam sebelum bahagian belakang kepalanya dipukul dan menyebabkannya terjatuh serta pengsan.

    “Mangsa kemudiannya tersedar daripada pengsan dan berada di kawasan semak berhampiran dia berjalan kaki, serta mendapati telefon bimbit dibawanya hilang manakala bahagian kepala sakit dan mukanya cedera dipercayai akibat terjatuh selepas dipukul.

    “Wanita itu mendakwa dia kemungkinan turut dirogol dalam kejadian itu dan mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan, dia membuat laporan polis berhubung insiden tersebut pada 4.30 pagi Isnin,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Katanya terdapat dua saksi yang melihat mangsa berjalan kaki di kawasan tersebut iaitu sebelum kejadian dia disamun, namun mereka telah berjoging ke hadapan dan tidak perasan wanita itu disamun.

    Soffian berkata berdasarkan laporan awal daripada doktor di HPP, tidak terdapat kesan koyakan baru pada kemaluan wanita itu namun pihaknya masih menunggu laporan lengkap perubatan berhubung perkara tersebut.

    Katanya ketika ini polis masih mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden tersebut, agar menyalurkannya kepada polis.

    “Tiada kamera litar tertutup di kawasan kejadian itu namun polis sedang mendapatkan maklumat daripada saksi yang berada di situ bagi membantu siasatan lanjut kes itu,” katanya.

    Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun dengan mendatangkan cedera.

    Tular di media sosial, gambar seorang seorang wanita mendakwa dirogol dan dipukul ketika berjalan kaki di kawasan Tanjung Tokong sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai ramai kerana bimbang kejadian serupa berlaku lagi.- BERNAMA

  • Hubungi polis segera jika jumpa suspek ini

    Hubungi polis segera jika jumpa suspek ini

    POLIS hari ini mengeluarkan fotofit seorang suspek disyaki terbabit dalam kejadian samun motosikal di Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada 26 Ogos lalu sehingga menyebabkan sebelah tangan mangsa terpaksa dipotong.

    Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, dalam kenyataan memaklumkan fotofit itu dipadankan berdasarkan keterangan saksi.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Noramalina Md Jamil di talian 017-318 5868 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2206 bagi membantu siasatan.

    Dalam kejadian itu, sepasang kekasih cedera selepas diserang tiga lelaki dalam kejadian samun yang menyebabkan mangsa lelaki cedera di muka dan badan manakala teman wanitanya cedera di bahu kanan serta dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

    Susulan itu, tangan kanan mangsa wanita yang cedera parah dalam kejadian itu terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawanya kerana jangkitan kuman.

    Berdasarkan laporan sebelum ini, mangsa dan teman wanita menaiki motosikal Y15ZR dari arah Jalan Kuching menghala ke Jinjang sebelum didatangi individu menaiki motosikal Honda RS150 warna kelabu.

    Siasatan awal mendapati suspek terdiri tiga lelaki tempatan melarikan motosikal milik mangsa bernombor pendaftaran VFU 814.

  • Polis tumpaskan kumpulan samun sasar warga emas

    Polis tumpaskan kumpulan samun sasar warga emas

    POLIS berjaya menumpaskan satu kumpulan samun yang menyasarkan warga emas di sekitar Jinjang, di sini, dengan penahanan tiga wanita termasuk dalang utamanya Sabtu lepas dan hari ini.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata ketiga-tiga wanita berumur antara 23 dan 43 tahun itu disyaki terlibat dalam tiga kes kecurian di sekitar Jinjang tahun ini dengan menyasarkan warga emas yang tinggal bersendirian.

    Beliau berkata biasanya mereka akan menyamar sebagai anggota badan bukan kerajaan (NGO) kebajikan yang datang menyerahkan bantuan, dan semasa urusan penyerahan bantuan dilakukan salah seorang daripada suspek akan masuk ke bilik mangsa untuk mencuri.

    “Anggota kumpulan berkenaan ditahan susulan satu laporan polis oleh seorang wanita warga emas yang kerugian RM8,000 selepas disamun kumpulan berkenaan di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Intan Baiduri di sini pada 9 Ogos lepas.  

    “Semasa tangkapan pertama melibatkan dua anggota kumpulan berkenaan yang berusia 23 dan 43 tahun pada Sabtu lepas, polis turut merampas tujuh bungkusan makanan dan empat buah telefon bimbit. Seorang lagi anggota kumpulan itu ditahan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beh berkata kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

    Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata dalam satu siasatan berhubung laporan kejadian samun melibatkan seorang wanita berusia 20-an di Taman Greenwood, Gombak, di sini, Sabtu lepas, polis mendapati insiden itu sebenarnya tidak pernah berlaku.

    Beliau berkata siasatan pihaknya mendapati mangsa telah mereka cerita bahawa dia disamun, namun siasatan mendapati dia menipu, dan turut bertindak menikam sendiri peha kanannya.

    “Dia mengalami tekanan perasaan akibat masalah keluarga dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya. Dia akan dituduh di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu,” katanya dalam kenyataan.- BERNAMA