POLIS berjaya menumpaskan satu kumpulan samun yang menyasarkan warga emas di sekitar Jinjang, di sini, dengan penahanan tiga wanita termasuk dalang utamanya Sabtu lepas dan hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata ketiga-tiga wanita berumur antara 23 dan 43 tahun itu disyaki terlibat dalam tiga kes kecurian di sekitar Jinjang tahun ini dengan menyasarkan warga emas yang tinggal bersendirian.

Beliau berkata biasanya mereka akan menyamar sebagai anggota badan bukan kerajaan (NGO) kebajikan yang datang menyerahkan bantuan, dan semasa urusan penyerahan bantuan dilakukan salah seorang daripada suspek akan masuk ke bilik mangsa untuk mencuri.

“Anggota kumpulan berkenaan ditahan susulan satu laporan polis oleh seorang wanita warga emas yang kerugian RM8,000 selepas disamun kumpulan berkenaan di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Intan Baiduri di sini pada 9 Ogos lepas.  

“Semasa tangkapan pertama melibatkan dua anggota kumpulan berkenaan yang berusia 23 dan 43 tahun pada Sabtu lepas, polis turut merampas tujuh bungkusan makanan dan empat buah telefon bimbit. Seorang lagi anggota kumpulan itu ditahan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beh berkata kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata dalam satu siasatan berhubung laporan kejadian samun melibatkan seorang wanita berusia 20-an di Taman Greenwood, Gombak, di sini, Sabtu lepas, polis mendapati insiden itu sebenarnya tidak pernah berlaku.

Beliau berkata siasatan pihaknya mendapati mangsa telah mereka cerita bahawa dia disamun, namun siasatan mendapati dia menipu, dan turut bertindak menikam sendiri peha kanannya.

“Dia mengalami tekanan perasaan akibat masalah keluarga dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya. Dia akan dituduh di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu,” katanya dalam kenyataan.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here