Tag: rokok

  • Rokok, arak hampir RM8 juta dirampas

    Rokok, arak hampir RM8 juta dirampas

    SINDIKET penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai hampir RM8 juta tumpas dalam serbuan Op Kontraban di tiga lokasi di Sandakan, Sabah kelmarin.

    Serbuan oleh pasukan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Bukit Aman, Petugas Khas Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan itu turut menahan tiga lelaki tempatan berusia 29, 37 dan 45 tahun.

    Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, serbuan ke atas dua gudang dan sebuah rumah yang menemukan rokok pelbagai jenama dianggarkan RM5,950,740.09.

    “Pasukan serbuan merampas minuman keras, juga tidak bercukai pelbagai jenama dianggarkan RM1,714,437.

    “Hasil serbuan itu juga merampas dua van dan sebuah lori dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan berkenaan, dengan jumlah keseluruhan rampasan adalah RM7,915,177.45,” katanya hari ini, lapor Harian Metro.

    Idris berkata, siasatan mendapati tiga suspek yang ditahan adalah penjaga premis dan pemandu, yang dipercayai aktif dengan kegiatan penyeludupan berkenaan.

    Katanya, rampasan dan tahanan diserahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyem 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

  • Maritim Malaysia rampas rokok putih bernilai lebih RM1 juta

    Maritim Malaysia rampas rokok putih bernilai lebih RM1 juta

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup satu juta batang rokok putih bernilai lebih RM1 juta di Tumpat, Selasa lepas.

    Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata ia hasil kejayaan selepas bot peronda APMM mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan bergerak laju ke perairan muara Tumpat pada 3.30 pagi.

    “Bot peronda bertindak mengejar bot pancung sehingga memasuki perairan alur Sungai Padang Tambun.

    “Keadaan sungai yang cetek menyebabkan bot peronda terpaksa bergerak perlahan seterusnya meminta bantuan pasukan darat untuk mencari bot pancung di kawasan sekitar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Kelantan di sini hari ini.

    Syed Nor Adli berkata semasa melakukan pencarian, pasukan APMM menemukan dua lori di tebing Sungai Tambun pada 6.10 pagi dan dipercayai terdapat barangan seludup dipindahkan daripada bot yang dicari ke dalam dua lori tersebut.

    “Pemeriksaan pada lori pertama menemukan 70 bungkusan plastik hitam manakala 30 bungkusan plastik hitam di dalam lori kedua.

    “Kesemua 100 bungkusan tersebut mengandungi kira-kira satu juta batang rokok putih yang dianggar bernilai RM1.04 juta termasuk cukai. Dua lori itu dianggar bernilai RM55,000,” katanya dan menambah kes disiasat lanjut di bawah Akta Kastam 1967. – BERNAMA                       

  • Rokok, arak dan mercun seludup diisytihar sebagai kotak tisu

    Rokok, arak dan mercun seludup diisytihar sebagai kotak tisu

    ISYTIHAR barang seludup seperti rokok, arak dan mercun sebagai kotak tisu untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

    Namun, taktik licik satu sindiket penyeludupan itu yang cuba membawa barang seludup menggunakan kontena tersebut berjaya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang.

    Barangan dagangan dari Vietnam itu kemudian berjaya dirampas dalam serbuan serta pemeriksaan oleh Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan dan Cawangan Siasatan Khas Zon Utara di sebuah gudang di Seberang Perai Tengah (SPT) pukul 6.30 petang, 4 Oktober lalu.

    Pengarah JKDM Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, ketika serbuan lima individu didapati sedang memunggah barang dagangan itu dari sebuah kontena.

    Menurut beliau, pemeriksaan lanjut menjumpai dua buah lori ‘bonded’ yang di dalamnya disorokkan 13.58 juta batang rokok dianggarkan bernilai RM1,086,400 dengan nilai cukai berjumlah RM9,071,440.

    Turut dijumpai ujar beliau, sebanyak 21,000 tin atau bersamaan 8,361.60 liter minuman keras dianggarkan bernilai RM41,808 (cukai RM195,466.75) manakala tujuh karton atau 280 peket mercun yang bernilai RM1,120 (nilai cukai RM728).

    “Semua barangan ini dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976 atas cubaan mengelakkan dengan fraudan duti eksais,” katanya dalam sidang akhbar di Butterworth hari ini.

    Tambah beliau, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau 10 kali ganda amaun duti eksais atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau amaun duti eksais atau RM500,000 yang mana lebih besar.

    Selain itu katanya, pesalah juga boleh dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kedua-dua pertuduhan tersebut.

    Dalam pasa itu, beliau menggesa orang ramai terus membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan sebagainya dengan tidak melibatkan diri dalam aktiviti tersebut.

    “Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh dibuat dengan menghubungi talian bebas tol JKDM di nombor 1-800-88-8855 atau datang ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat di semua negeri,” katanya.

  • Cuba seludup RM7.35 juta rokok dengan isytihar produk cendawan dalam tin

    Cuba seludup RM7.35 juta rokok dengan isytihar produk cendawan dalam tin

    TAKTIK sindiket yang cuba menyeludup masuk rokok dipercayai dari negara Asia Timur dengan mengisytiharkannya produk cendawan di dalam tin gagal mengaburi mata pihak berkuasa selepas berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang.

    Dalam operasi di Pelabuhan Klang, Selangor pada1 Ogos lalu itu, sebanyak 10.2 juta batang rokok putih tidak berkastam dianggarkan bernilai lebih RM7.35 juta termasuk nilai cukai yang dimuatkan di dalam kontena berjaya dirampas.

    Pengarah JKDM Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Ramli berkata, kontena itu ditahan di pelabuhan terbabit dalam operasi kira-kira pukul 1.10 petang.

    Ujar beliau, pemeriksaan lanjut mendapati rokok putih terbabit dimuatkan di dalam sebanyak 1,021 ‘MasterCase’ melibatkan nilai anggaran RM816,000 dan cukai berjumlah RM6,542.568.

    “Modus operandi yang digunakan penyeludup adalah dengan mengisytiharkan kontena terbabit sebagai kargo cendawan tin untuk mengelak daripada dikenakan duti cukai yang tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan Kastam Bagan Jermal, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Menurut beliau, siasatan awal mendapati kontena terbabit dikendalikan sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang dan diimport syarikat berstatus sendirian berhad beralamat di Kuala Lumpur.

    Ujarnya, sindiket penyeludupan itu juga cuba mengelirukan pihak berkuasa berhubung maklumat pengirim (consignor) dan penerima sebenar.

    “Malah, kewujudan syarikat turut diragui kerana semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat itu adalah nomad,” katanya.

    Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, Seksyen 135(1) (g) akta sama serta Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.

  • Polis Kelantan tumpas pengedaran rokok tidak bercukai

    Polis Kelantan tumpas pengedaran rokok tidak bercukai

    POLIS Kelantan berjaya menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis rokok tidak bercukai bernilai RM277,000 dalam serbuan di sebuah rumah dekat Kampung Telok Kitang, Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, Ahad lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Datuk Mohd Nor Yhazid Idris berkata, dalam serbuan Op Kontraban pada 10 malam itu, pasukannya telah menjumpai rokok-rokok berkenaan tersimpan dalam beberapa kotak rokok berwarna coklat.

    “Terdapat 2,474 karton pelbagai jenis rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai rampasan termasuk cukai RM277,000 ditemukan, dan suspek berumur dalam lingkungan 30-an itu mengaku terlibat dalam kegiatan penyeludupan rokok tanpa cukai sejak Mac lepas,” katanya.

    Bercakap kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan, di Kota Bharu hari ini beliau berkata, suspek direman hingga 16 Jun depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – BERNAMA

  • Rokok, mercun seludup nilai lebih RM150,000 dirampas

    Rokok, mercun seludup nilai lebih RM150,000 dirampas

    SEORANG pekedai runcit warga tempatan berusia 50 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran rokok tidak bercukai dan mercun di sekitar kawasan Batu Kurau, Kerian, Perak, Rabu lalu.

    Suspek ditahan menerusi operasi Op Kontraband yang digerakkan Unit Risikan Marin (URM) Pulau Pinang yang turut merampas rokok dan mercun tidak bercukai bernilai RM151,345.

    Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komissioner Shamsol Kassim berkata, pihaknya menyerbu dua buah rumah meneruis operasi itu di Kampung Pantai Besar, Batu Kurau, Perak antara pukul 6 petang hingga 7 malam.

    Katanya, dalam serbuan pertama di rumah suspek pihaknya berjaya merampas sebanyak 77,450 batang rokok tidak bercukai.

    “Hasil soal siasat membawa kepada serbuan di lokasi kedua yang mana sebanyak 24,650 batang rokok tidak bercukai dan mercun dijumpai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, secara keseluruhan pihaknya merampas sebanyak 102,100 batang rokok tidak bercukai dengan nilai rampasan sebanyak RM 145,479 berserta 180 kotak mercun pelbagai jenis dengan nilai rampasan sebanyak RM 5,866.

    Tambahnya, suspek dipercayai mulai aktif mengedar rokok tidak bercukai dan mercun itu sejak enam bulan lalu untuk kedai-kedai runcit di kawasan berdekatan.

    “Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah(IPD) Kerian untuk tindakan lanjut.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

  • Lelaki ada rekod dadah kantoi seludup 94,600 rokok

    Lelaki ada rekod dadah kantoi seludup 94,600 rokok

    SEORANG lelaki yang mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan pernah dikenakan tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) sekali lagi ditahan selepas memiliki sebanyak 94,600 batang rokok seludup bernilai RM189,200 di Kampung Dangar, di Pasir Mas, semalam.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kesemua rokok itu dijumpai di rumah suspek berusia 49 tahun itu ketika serbuan dilakukan pada kira-kira pada pukul 11 malam.

    “Pemeriksaan badan ke atas suspek gagal menemukan sebarang barangan larangan namun selepas pemeriksaan dilakukan di dalam rumahnya, 10 kotak besar mengandungi 94,600 batang rokok putih dijumpai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam kes berasingan, Mohd Nasaruddin berkata, pihaknya merampas 400 biji pil kuda selepas menahan seorang lelaki berusia 23 tahun di hadapan sebuah kedai di Kampung Tobuak di Tendong pada 11.30 malam tadi.

    Ketika ditahan dan pemeriksaan badan dilakukan, polis menemukan satu beg hitam kelabu di pinggang suspek sebelum menjumpai dua paket plastik biru berisi 400 biji pil kuda bernilai RM4,000.

    “Suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamin serta memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah,” katanya menambah kes rampasan pil kuda ini akan disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen15(1)(a) akta yang sama. – BERNAMA

  • PGA rampas rokok seludup, minuman keras lebih RM2j

    PGA rampas rokok seludup, minuman keras lebih RM2j

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas pelbagai jenis rokok dan minuman keras tanpa kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dianggarkan bernilai RM2.02 juta, dan menahan dua lelaki disyaki penyeludup dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Stesen di sini awal pagi tadi.

    Kedua-dua lelaki berusia 51 dan 59 tahun itu ditahan hasil maklumat dan risikan menerusi Op Kontraban yang dijalankan Cawangan Risik Briged Utara pada kira-kira pukul 2.15 pagi.

    Timbalan Komander PGA Briged Utara ACP Noh Khamis berkata serbuan di premis yang dijadikan stor penyimpanan itu membawa kepada penemuan 4,105 karton pelbagai jenis rokok, 38,628 tin arak dan 3,421 botol minuman keras.

    “Kita turut merampas sebuah lori dan kenderaan pacuan empat roda. Penyeludupan dilakukan dengan menggunakan lori, dan bungkusan plastik digunakan untuk mengelak dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Beliau berkata hasil risikan mendapati kumpulan itu telah aktif sejak enam bulan lepas dan barangan seludup itu diambil dari kawasan Lembah Klang untuk diedar ke kawasan perkampungan Orang Asli serta kedai runcit berhampiran di Bidor, Kampar, Tapah, Teluk Intan dan Cameron Highlands di Pahang.

    Noh berkata kedua-dua tangkapan serta rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah untuk siasatan lanjut, dan beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan itu supaya menghubungi Cawangan Risik dan Gerakan Briged Utara dengan menelefon 05-5406666 bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan haram.- BERNAMA

  • Stor simpan 1,661 karton rokok seludup terbongkar

    Stor simpan 1,661 karton rokok seludup terbongkar

    RAHIMI MOHAMAD

    DUA buah premis perniagaan di Taman Pontian Jaya, Johor yang dijadikan tempat menyimpan rokok seludup akhirnya terbongkar dipercayai selepas tiga bulan sindiket menggunakan stor itu untuk menyembunyikan kegiatan mereka.

    Dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 petang, semalam, seorang lelaki yang berada di premis itu turut ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam bersama 1,661 karton pelbagai jenama rokok.

    Lelaki warga tempatan yang ditahan bersama 1,661 karton rokok seludup di Taman Pontian Jaya, Pontian.

    Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang, stor tersebut disyaki menjadi lokasi transit sebelum barangan kontraban itu diedar ke pasaran gelap terutama di daerah tersebut.

    “Dengan penahanan suspek lelaki berusia 57 tahun serta barangan rampasan tersebut telah berjaya memutuskan rangkaian pengedaran rokok tidak bercukai terutamanya di daerah itu.

    “Kita minta kerjasama orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam serbuan tersebut, PGA merampas 1,085 karton rokok U2 Merah; 200 karton rokok Canyon Hijau; 150 rokok Canyon Merah dan 50 karton rokok AXR Merah yang setiap pek berisi 20 batang rokok.

    “Kita turut merampas 50 karton rokok D&J Ice Plus; 100 karton John D Blend; 15 karton Gudang Garam; lima karton rokok Class Mild: tiga karton RE Bold; dua karton Promax Hijau dan satu karton rokok Promax Merah,” katanya.

    Tambah beliau, anggaran keseluruhan rampasan termasuk sebuah kereta jenis Toyota Vios yang digunakan untuk aktiviti tersebut berjumlah RM360,098.

    Katanya, suspek serta barangan rampasan serta kenderaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian bagi tindakan selanjutnya di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

  • Penganggur dipenjara 18 bulan guna wang palsu

    Penganggur dipenjara 18 bulan guna wang palsu

    GARA-gara menggunakan dua keping wang palsu RM100 untuk membeli nasi dan rokok, seorang penganggur dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan.

    Hakim Siti Aminah Ghazali memerintahkan hukuman penjara terhadap Muhamad Fizwan Norruhadi, 34, bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 23 Ogos lepas. 

    Tertuduh yang beralamat di Sungai Isap 3 di sini, didakwa menggunakan wang palsu RM100 sebagai tulen untuk membeli nasi bungkus berharga RM5 di sebuah gerai makan di Beserah di sini pada 9.30 pagi 21 Ogos lepas. 

    Dia juga didakwa menggunakan sekeping lagi wang palsu itu pada 3.18 petang hari yang sama di sebuah kedai serbaneka di Indera Mahkota di sini, untuk membayar sebungkus rokok bernilai RM12. 

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan menjaga bapanya yang berusia 64 tahun. – BERNAMA