Tag: rina harun

  • Intervensi kes Bella selaras dengan akta – Rina

    Intervensi kes Bella selaras dengan akta – Rina

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaksanakan intervensi dalam kes remaja sindrom down dikenali sebagai Bella selaras dengan akta yang sedang berkuat kuasa.

    Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, ia antaranya bagi menyelamatkan kanak-kanak dan menempatkannya di tempat selamat, memberi perlindungan dan penjagaan selaras Akta Kanak-kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak kanak-kanak, menyita pusat jagaan serta membantu pihak berkuasa dalam penyediaan laporan sosial kanak-kanak.

    Menurut beliau, pihaknya turut mengadakan pertemuan dengan Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperjuangkan nasib Bella pada 9 September lalu.

    “Antara NGO yang terbabit dalam pertemuan itu ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Wanita Ikon Malaysia, Persatuan Helping Shoulder, Pertubuhan Anti Diskriminasi dan Salah Laku serta Persatuan Pengguna Semboyan 1Malaysia.

    “Sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak dan OKU, saya sentiasa mengikuti perkembangan kes adik Bella yang kini berada di bawah perlindungan, penjagaan dan pengawasan JKM.

    “Wakil PDRM dan JKM juga sudah menjelaskan intervensi yang dilaksanakan dalam mengendalikan kes ini dan saya berharap kes adik Bella dapat diadili mengikut lunas perundangan yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Rina juga memohon orang ramai supaya segera membuat laporan kepada PDRM atau Talian Kasih 15999 dan aplikasi WhatsApp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam apabila mengetahui atau mengesyaki apa-apa kes pengabaian dan penganiayaan terhadap kanak-kanak.

    “Masyarakat juga diminta terus menanamkan rasa cintakan keluarga dan menghargai anak-anak, terutama anak OKU sebagai suatu amanah dan anugerah daripada Tuhan,” katanya.

  • ‘Anak saya tenang, reda terima kenyataan tangan dipotong’ – Ibu mangsa samun

    ‘Anak saya tenang, reda terima kenyataan tangan dipotong’ – Ibu mangsa samun

    Oleh ADAM RAZAK

    IBU kepada seorang remaja malang yang terpaksa dipotong tangan selepas diserang tiga lelaki dalam kejadian samun dekat Jalan Kuching, Khamis lalu menyifatkan anaknya tenang dan reda menerima ketentuan bahawa tangannya terpaksa dipotong.

    Menurut Roslinawati Ya, 39, keadaan anak gadisnya berusia 17 tahun itu stabil dan semakin baik.

    Roslinawati berkata, anak sulungnya yang menjadi tulang belakang keluarga itu banyak membantu mencari rezeki termasuk berniaga pakaian, makanan dan produk kecantikan secara dalam talian.

    Dia memaklumkan, anaknya, Siti Nur Azizah Syafriadi ada bertanya mengapa tidak diberitahu dahulu sebelum tangannya dipotong selepas mendapat tahu mengenai keadaan dirinya melalui jururawat di hospital.

    “Sayu hati saya bila pertanyaan itu keluar tapi saya hanya mampu menjawab keputusan itu diambil ketika dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    “Jika tidak dilakukan, dikhuatiri nyawanya melayang.

    “Saya berharap pelaku kejadian ini akan ditangkap dan dihukum atas perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini,” katanya ketika ditemui.

    Roslinawati Ya,39, tidak dapat menahan kesedihan ketika menceritakan keadaan anaknya, Siti Nur Azizah,17, yang kini terlantar di Hospital Kuala Lumpur akibat cedera parah selepas disamun khamis lalu. GAMBAR: Warta Rakyat

    Dalam kejadian pukul 12.10 tengah malam, Khamis lalu, Siti Nur Azizah dan teman lelakinya cedera selepas diserang tiga lelaki dalam kejadian samun motosikal.

    Kejadian itu telah memaksa doktor yang merawat Siti Nur Azizah mengambil keputusan memotong tangan kanannya hingga ke paras bahu bagi menyelamatkan nyawanya.

    Berdasarkan laporan, mangsa dan teman wanita menaiki motosikal Y15ZR dari arah Jalan Kuching menghala ke Jinjang sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal RS150 warna kelabu.

    Siasatan awal mendapati suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan melarikan motosikal milik mangsa nombor pendaftaran VFU 814.

    Polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan.

    Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun sempat melawat dan menyantuni keluarga Siti Nur Azizah di rumahnya di Jinjang.

    Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun. GAMBAR: Warta Rakyat

    Rina berkata, kementerian juga memberikan sumbangan melalui Tabung Bantuan Segera (TBS) berjumlah RM300, bakul makanan selama enam bulan, tablet bagi pembelajaran empat adik mangsa dan sumbangan Bantuan Prihatin berjumlah RM1,000.

    Beliau berkata, mangsa juga akan diberikan bantuan dari segi sokongan emosi melalui perkhidmatan kaunseling dan intervensi.

    “Kita juga sudah mengadakan perbincangan dengan sebuah pasar raya yang bersetuju menawarkan pekerjaan buat adik ini nanti, selain bantuan untuk bimbingan perniagaan kepada ibunya yang kini menjalankan perniagaan dalam talian,” katanya.

  • Covid-19: 33 kanak-kanak seluruh negara jadi yatim piatu – Rina Harun

    Covid-19: 33 kanak-kanak seluruh negara jadi yatim piatu – Rina Harun

    RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 33 kanak-kanak di seluruh tanah air dikenal pasti menjadi yatim piatu selepas ibu bapa masing-masing meninggal dunia akibat Covid-19.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bagaimanapun menjelaskan, setakat ini tiada di antara kanak-kanak itu ditempatkan di rumah kanak-kanak di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Katanya, kesemua mereka kini dipelihara oleh adik-beradik yang sudah dewasa selain ibu dan bapa saudara masing-masing.

    “Kami di pihak kementerian sebenarnya sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan bagi menjaga anak-anak ini. Jika ahli keluarga yang lain daif dan mungkin tidak mampu menyara kanak-kanak yang kematian ibu bapa akibat Covid-19, anak-anak ini boleh ditempatkan di rumah kanak-kanak JKM.

    “Namun Alhamdulillah kerana setakat ini, kesemua 33 kanak-kanak yang kematian ibu bapa akibat Covid-19 telah dipelihara oleh saudara rapat masing-masing,” katanya.

    Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Rumah Kanak-Kanak Pokok Sena, Kedah dengan diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad, hari ini.

    Tambahnya maklumat mengenai anak-anak yatim piatu itu diperolehi hasil kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberikan laporan.

    Begitu pun katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada lagi kes-kes sedemikian yang belum dilaporkan.

    “Oleh itu kami memohon kerjasama semua pihak termasuk pemimpin masyarakat dan orang ramai, supaya segera menyalurkan maklumat untuk kes seumpamanya.

    “Maklumat tersebut boleh disalurkan menerusi Talian Kasih 15999 atau terus berhubung dengan 108 pejabat kebajikan daerah di seluruh negara,” katanya.

    Tambahnya, setiap kanak-kanak terlibat akan turut dibantu dalam aspek pembangunan emosi.

    “Mereka akan diberikan perkhidmatan kaunseling dan bimbingan secara berkala oleh Lembaga Kaunselor Malaysia agar emosi masing-masing terpelihara,” katanya.