BEKAS Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Dr Abu Bakar Abdullah meninggal dunia pada pukul 11.28 malam tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Allahyarham pernah memegang jawatan Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, AJK Dewan Pemuda PAS Pusat, Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Pusat, Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu, Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tepoh.

Beliau dianugerahkan Tokoh Istiqamah pada Muktamar Tahunan PAS ke-64, yang diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Allahyarham gigih menyumbang bakti bersama Dewan Ulama PAS Pusat dan Dewan Ulama PAS Terengganu dan berpengalaman panjang menyumbang jasa kepada rakyat sebagai ADUN Tepoh dan Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

“Jasa Allahyarham membangunkan pusat pendidikan bersejarah, Institut Berakan dan juga Maahad Tahfiz wa Tarbiyah, Tok Jiring bersama Allahyarham Datuk Abu Bakar Chik insya-Allah menjadi pahala jariah beliau yang panjang disamping pengajaran dan penulisan ilmu, dakwah dan perjuangan politik Islam yang beliau dukung sehingga ke akhir hayat,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau berkata, pertemuan terakhir dengan Abu Bakar adalah pada dua minggu lepas di rumah Allahyarham ketika melakukan kunjungan ringkas.

“Masih terbayang wajah senyum dan ceria beliau ketika itu meskipun masih uzur.

“Moga Allah merahmati sahabatku dan guru perjuanganku yang digamit pergi ke rahmatullah pada malam Jumaat yang barakah ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here