RIZQI ZABIDI

SERAMAI 33 kanak-kanak di seluruh tanah air dikenal pasti menjadi yatim piatu selepas ibu bapa masing-masing meninggal dunia akibat Covid-19.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bagaimanapun menjelaskan, setakat ini tiada di antara kanak-kanak itu ditempatkan di rumah kanak-kanak di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, kesemua mereka kini dipelihara oleh adik-beradik yang sudah dewasa selain ibu dan bapa saudara masing-masing.

“Kami di pihak kementerian sebenarnya sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan bagi menjaga anak-anak ini. Jika ahli keluarga yang lain daif dan mungkin tidak mampu menyara kanak-kanak yang kematian ibu bapa akibat Covid-19, anak-anak ini boleh ditempatkan di rumah kanak-kanak JKM.

“Namun Alhamdulillah kerana setakat ini, kesemua 33 kanak-kanak yang kematian ibu bapa akibat Covid-19 telah dipelihara oleh saudara rapat masing-masing,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Rumah Kanak-Kanak Pokok Sena, Kedah dengan diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad, hari ini.

Tambahnya maklumat mengenai anak-anak yatim piatu itu diperolehi hasil kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberikan laporan.

Begitu pun katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada lagi kes-kes sedemikian yang belum dilaporkan.

“Oleh itu kami memohon kerjasama semua pihak termasuk pemimpin masyarakat dan orang ramai, supaya segera menyalurkan maklumat untuk kes seumpamanya.

“Maklumat tersebut boleh disalurkan menerusi Talian Kasih 15999 atau terus berhubung dengan 108 pejabat kebajikan daerah di seluruh negara,” katanya.

Tambahnya, setiap kanak-kanak terlibat akan turut dibantu dalam aspek pembangunan emosi.

“Mereka akan diberikan perkhidmatan kaunseling dan bimbingan secara berkala oleh Lembaga Kaunselor Malaysia agar emosi masing-masing terpelihara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here