Tag: Rais Yatim

  • Bank perlu bayar ganti rugi, kes penipuan dalam talian babitkan TH

    Bank perlu bayar ganti rugi, kes penipuan dalam talian babitkan TH

    PIHAK bank bertanggungjawab menentukan kaedah dan jumlah ganti rugi bagi kes penipuan dalam talian membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH).

    Ini kerana urusan pengeluaran wang simpanan akaun TH dibuat menggunakan perbankan konvensional dan bukan melalui TH.

    Kes kehilangan wang semasa proses dan interaksi pengeluaran wang (debit) dalam akaun TH berpunca daripada syarat pengawasan perakaunan bank terbabit dibolosi, justeru ganti rugi kepada mangsa perlu diuruskan melalui polisi insurans perbankan berkenaan.

    Memetik laporan Berita Harian, langkah itu adalah antara sembilan syor yang diputuskan pada Mesyuarat Bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat dan TH, bagi menangani isu penipuan dalam talian membabitkan TH.

    Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, hari ini.

    Beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas mengambil kira jumlah kerugian ekoran penipuan dalam talian membabitkan TH menerusi pelbagai institusi perbankan setakat ini, bernilai RM1.96 juta.

    “Pihak bank bertanggungjawab menentukan kaedah dan jumlah ganti rugi jika syarat pengawasan perakaunan bank terbabit dibolosi.

    “Bank perlu menangani isu kehilangan wang simpanan pendeposit supaya pendeposit tidak hilang keyakinan terhadap mereka,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Ambrin Awaluddin; Pengarah Eksekutif Operasi Haji TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab; Pengurus Besar Komunikasi Korporat Haji TH, Ahmad Shahriman Johari dan Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Haji TH, Affandi Abdullah.

    Mengulas lanjut, Rais berkata, mesyuarat turut menyarankan TH dan bank perantara meningkatkan aspek keselamatan bagi urusan perbankan dalam talian, selain syarat pengeluaran secara dalam talian diperketatkan.

    Katanya, mesyuarat juga memutuskan bank perantara menyediakan laporan atau penyata ganti rugi kepada mangsa penipuan, supaya masalah rakyat ini dapat dipantau dari semasa ke semasa.

    Untuk itu juga, katanya, mesyuarat memutuskan segala tindakan dan keputusan mesyuarat jawatankuasa terbabit, diusulkan dalam sidang Dewan Negara akan datang supaya isu dan permasalahan dihadapi rakyat mendapat perhatian sewajarnya.

    Selain itu, beliau berkata, TH perlu memberi peluang kepada pendeposit untuk membuat pilihan, sama ada urusan simpanan dan pengeluaran dibuat secara manual atau dalam talian.

    Di samping itu, TH dan media disyor memperhebatkan kempen kesedaran penipuan dalam talian kepada masyarakat menerusi media sosial, cetak dan penyiaran.

    Mesyuarat juga meminta supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat terus aktif menyusul perkara berkepentingan rakyat, khasnya berkaitan simpanan rakyat di TH.

  • Speaker tegur Menteri, Timbalan Menteri MITI tak hadir jawab soalan

    Speaker tegur Menteri, Timbalan Menteri MITI tak hadir jawab soalan

    PERSIDANGAN Dewan Negara diminta mencatatkan ketidakhadiran Menteri serta Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada sesi soal jawab persidangan hari ini, sebagai tidak selaras dengan peraturan mesyuarat.

    Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, ini kerana soalan yang dikemukakan kepada kementerian itu penting untuk diketahui semua pihak.

    “Seseorang menteri yang tidak dapat menjawab di Dewan yang mulia ini, beliau hendaklah mengarahkan timbalannya menjawab sesuatu soalan. Sekiranya timbalan (menteri) itu tidak dapat menjawab, boleh diwakilkan kepada mana-mana menteri untuk menjawab bagi pihak pentadbiran.

    “Jika itu tidak dapat dilakukan, catatan ini harus menjadi sebahagian daripada prosiding dan satu jawapan bertulis hendaklah diberi oleh Yang Berhormat menteri kepada Dewan mulia ini,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Senator Muhammad Zahid Md Arip mengajukan soalan nombor tiga kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengenai pendirian Malaysia berhubung konflik antara Rusia dan Ukraine terutama daripada aspek ekonomi dan politik.

    Muhammad Zahid juga ingin tahu langkah bagi menangani kesan ekonomi terhadap negara ini susulan konflik itu.

    Bangun mencelah selepas Rais berucap, Senator Datuk Othman Aziz meminta penjelasan sama ada soalan yang diajukan kepada menteri atau timbalan menteri tidak dapat dijawab mengikut penjadualan boleh dibawa ke hari berikut.

    “Kalau semua orang berbuat sedemikian, kita mainkan peranan ‘pak tangguh’ dan Dewan ini tidak berkeadaan sedemikian. Sama ada kita melihat peraturan di house of laws ataupun ada dalam amalan demokrasi lain,” jelas Rais.

    “Ini tidak dapat dibenarkan, kecuali atas sesuatu perkara yang sangat mendera atau terpikul oleh pihak yang berkenaan. Oleh kerana pihak saya tidak menerima secara khusus hal ini maka ia berada dalam penentuan seperti saya tegaskan sebentar tadi,” tambahnya.

    Rais kemudian meneruskan sesi soal jawab persidangan Dewan Negara mengikut Aturan Urusan Mesyuarat. – BERNAMA

  • Peguam Negara teliti cadangan pindaan 2 akta Parlimen

    Peguam Negara teliti cadangan pindaan 2 akta Parlimen

    PEGUAM Negara sedang meneliti cadangan pindaan dan pemerkasaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, serta mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992.

    Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, kertas cadangan berkenaan dijangka dikembalikan kepada Jawatankuasa Parlimen, yang dipengerusi kedua-dua Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat pada penghujung November ini, dalam usaha merealisasikan transformasi Parlimen.

    “Jika mereka tidak dapat mengisi itu (tempoh masa dan hasil penelitian), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, perlu memberi kepada saya sebabnya.

    “Kenapa tidak, sebab kedua-dua ini adalah ‘regular’, bukan sesuatu yang diluar jangka, yang satu (Akta Perkhidmatan Parlimen 1963) nak hidup balik, yang satu lagi (Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952) hanya dua pindaan sahaja,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

    Beliau memberi contoh, satu pindaan untuk Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 adalah meningkatkan denda daripada RM1,000 kepada RM20,000 bagi mereka yang memperkecil atau mempersenda Parlimen serta ahlinya, manakala satu lagi pindaan melibatkan Kod Etika Ahli Parlimen.

    Pada masa sama, Rais menjangkakan perkara itu dapat diselesaikan sebelum dibawa dalam bentuk rang undang-undang baharu pada mesyuarat kedua Dewan Negara, Disember ini.

    Pada 14 Okt, Rais dilapor menyatakan mahu Dewan Negara memperkukuhkan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dan menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963. – BERNAMA

  • Wang AS$6 juta hilang, JKMR gesa bertindak segera

    Wang AS$6 juta hilang, JKMR gesa bertindak segera

    JAWATANKUASA Khas Mengenai Rasuah (JKMR) menggesa pihak berkuasa mempercepatkan tindakan undang-undang membabitkan insiden kehilangan barang kes bernilai AS$6 juta berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Pengerusinya, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, JKMR mengambil berat tentang hal ehwal pengendalian barang kes serta kaedah-kaedah lain di bawah SPRM supaya lebih telus dan terhindar dari salah guna kuasa dalaman.

    “Rentetan daripada itu, JKMR juga memandang serius tentang imej SPRM dalam beberapa kes kebelakangan ini, termasuk membabitkan beberapa kes berprofil tinggi yang ditarik balik oleh Jabatan Peguam Negara.

    “Penelitian terperinci mengenainya merangkumi lunas penyiasatan dan pendakwaan sedang diusahakan dengan pihak berkaitan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan selepas mesyuarat pertama JKMR di Bangunan Parlimen, hari ini.

    Pada 20 September lalu, SPRM mengesahkan telah menahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah memanggil tiga pegawai SPRM berkenaan dan bekas ketua jabatan tersebut bagi membantu siasatan.

    Sementara itu, Rais menambah, mesyuarat berkenaan turut membincangkan hal ehwal berkaitan dengan Kertas Pandora yang ditimbulkan akhir-akhir ini.

    “Penelitian akan dibuat sama ada Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah Dewan Negara harus menimbang serta menelitinya dari sudut kesahihan pendedahan terlebih dahulu serta hak-hak rakyat untuk mengetahui aspek yang relevan mengenai perkara berkenaan,” jelasnya.

    Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu mesyuarat JKMR mengangkat ketetapan bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah Dewan Negara yang penubuhannya akan dilunaskan dalam Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas, Majlis Mesyuarat Dewan Negara kali ini, akan mengambil tanggungjawab mengenai anti rasuah di Malaysia sebagai urusan rasmi Parlimen sebagaimana dikuatkuasakan oleh Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

    Menurut beliau, JKMR dalam pada itu, turut mengambil maklum mengenai ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pendirian antirasuah, semasa beliau membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Negara pada 12 Oktober lalu.

    Rais berkata, penegasan Ismail Sabri itu dijadikan sebagai petua dan panduan dalam memandu perjalanan JMKR sesuai dengan mandat yang diberikan kepada jawatankuasa khas tersebut di bawah Seksyen 14 Akta SPRM 2009 (Akta 694).

    “Sesuai dengan mandat itu, JKMR akan menasihatkan YAB Perdana Menteri membabitkan beberapa aspek antirasuah untuk diambil pertimbangan serius oleh kerajaan dan pertemuan dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan berlangsung dalam masa terdekat,” ujarnya.

  • Teliti cadangan letak SPRM bawah Parlimen

    Teliti cadangan letak SPRM bawah Parlimen

    CADANGAN supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah Parlimen sedang diteliti, kata Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Dr Rais Yatim.

    Memetik laporan Bernama, beliau berkata cadangan itu diberi pertimbangan khusus oleh JKMR kerana ia dapat meningkatkan lagi tahap kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap SPRM.

    “Saya terdorong untuk membantu supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen, kita akan beri pertimbangan khusus untuk zahirkan objektif ini.

    “Ini kerana jika SPRM terlalu terdedah dengan kuasa dan pengaruh eksekutif atau pihak yang tidak berkaitan dengan integriti, lama kelamaan SPRM akan terpengaruh dengan politik dan pengaruh luar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

    Turut hadir secara maya pada sesi taklimat itu adalah ahli-ahli JKMR dan pengurusan tertinggi SPRM.

    Rais, yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, cadangan SPRM diletakkan di bawah Parlimen itu juga akan diperincikan dalam sudut perlembagaan sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.

    “Saya bagi pihak (JKMR) akan mendalami cadangan ini dan sampaikan kepada kerajaan dalam bentuk nasihat yang jelas dari sudut perlembagaan Malaysia, sudut amali integriti dan sudut bagaimana ia akan tingkatkan pencapaian tangani rasuah di tanah air,” katanya.

    Pada 6 Mac tahun lalu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, SPRM perlu diletakkan di bawah kuasa Parlimen bagi memastikan agensi itu benar-benar bebas dan dilihat tidak dipengaruhi oleh politik.

    JKMR diwujudkan secara perundangan mengikut Seksyen 14 Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan ia bertanggungjawab untuk menasihati perdana menteri mengenai apa-apa aspek masalah rasuah di Malaysia dan memeriksa laporan tahunan SPRM.

  • Pinda 2 akta Parlimen antara agenda penambahbaikan

    Pinda 2 akta Parlimen antara agenda penambahbaikan

    AGENDA penambahbaikan Parlimen akan menumpukan kepada pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347).

    Selain itu, usaha mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992 akan dilakukan.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan bersama hari ini.

    Kenyataan itu dikeluarkan sempena menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di bangunan Parlimen, semalam.

    Menurut mereka, langkah itu bertujuan memastikan konsep pengasingan kuasa benar-benar dihayati, dihormati dan diamalkan agar kewibawaan Parlimen selaku badan legislatif tertinggi negara diperkasakan.

    “Selari dengan pelan transformasi ini juga, Peraturan Mesyuarat bagi kedua-dua iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan ditambah baik, meliputi aspek perjalanan mesyuarat, disiplin ahli serta bagi memperkuatkan jawatankuasa-jawatankuasa pilihan yang telah dan bakal dibentuk.

    “Cadangan kepada langkah transformasi Parlimen ini adalah hak Parlimen dan akan digerakkan secepat mungkin sebelum diangkat kepada Kabinet untuk dinilai dan diluluskan,” jelas mereka.

    Dalam pertemuan tersebut, kesemua pihak telah membincangkan dan membuat kata sepakat mengenai agenda penambahbaikan struktur pentadbiran serta kerangka perundangan yang bersangkutan dengan peranan Parlimen.

    Agenda berkenaan adalah demi memartabatkan dan mengukuhkan kedudukan Parlimen sebagai sebuah cabang institusi kerajaan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    Rais dan Azhar turut berbesar hati dengan komitmen serta buah fikiran yang diberikan oleh Wan Junaidi terhadap agenda penambahbaikan tersebut serta cadangan pembentukan sebuah Jawatankuasa Bersama Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta Jabatan Perdana Menteri demi memastikan agenda penambahbaikan tersebut dapat dijadikan kenyataan.

    Mereka berdua amat menyambut baik dan akan memberi sokongan padu terhadap langkah transformasi dan reformasi Parlimen yang akan diusahakan.

    Sokongan mereka itu adalah sebagai manifestasi kecaknaan untuk mendaulatkan demokrasi berparlimen dan prinsip pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan perundangan negara dapat berfungsi dengan sebenarnya dan terus kekal terpelihara.

    “Sehubungan itu, kami bertiga akan terus berlibat urus dari semasa ke semasa untuk tujuan tersebut,” kata mereka.

    Sementara itu, memetik laporan BH, Dewan Rakyat menerima usul Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021.

    Azhar ketika mengesahkan perkara itu berkata, keputusan belum dibuat untuk menyenaraikan usul itu dalam aturan urusan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 pada 13 September hingga 12 Oktober depan.

    “Ya saya menerima usul dari YB (Yang Berhormat) Datuk Seri Azalina (Othman Said) untuk mencadangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 dan juga RUU Pemecatan Ahli-ahli Parlimen 2021 berserta dengan deraf kedua-dua RUU itu.

    “Keputusan akan dibuat sama ada untuk membenarkan usul itu disenaraikan dalam aturan urusan majlis setelah aspek perundangan dan keteraturan usul diperhalusi dan diteliti,” katanya.

    Semalam, Azalina yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menghantar notis cadangan usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021′ kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.