Tag: Pulau Pinang

  • Rasuah terowong: Saya tipu media, rakyat P. Pinang – Pengarah syarikat

    Rasuah terowong: Saya tipu media, rakyat P. Pinang – Pengarah syarikat

    SEORANG saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng membabitkan pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang, mengaku di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beliau menipu pada sidang media apabila mengatakan tiada elemen rasuah dalam pembinaan terowong itu.

    Pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 62, berkata beliau berbuat demikian selepas disuruh oleh Lim agar tidak mengaitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam kes rasuah.

    Ditanya peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim, saksi pendakwaan ke-23 itu mengaku bahawa beliau telah menipu wartawan, kerajaan Pulau Pinang, rakyat dan pegawai-pegawai syarikatnya semasa memberikan kenyataan media itu.

    “Jika saya tidak disiasat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya langsung tidak akan mengaitkan (kes ini) dengan YB Lim. Saya disuruh membuat kenyataan media itu (menipu) oleh Lim,” katanya dan menambah bahawa beliau ditahan reman oleh SPRM selama 11 hari pada Januari 2018 bagi membantu siasatan kes rasuah.

    Beliau berkata demikian pada perbicaraan kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

    Gobind: Semasa sidang media itu, bukan ke Datuk Zarul cakap tiada elemen rasuah dalam kes terowong?

    Zarul: Ya

    Gobind: Adakah Datuk Zarul menukar balik kenyataan itu sekarang ini?

    Zarul : Ya

    Terdahulu, semasa dirujuk artikel bertajuk ‘It was like someone putting a gun to our heads’ yang disiarkan portal Free Malaysia Today pada 2 Julai 2018, mengenai perkembangan projek pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di negeri itu, Zarul berkata orang tengah yang dimaksudkan dalam artikel tersebut, adalah Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

    Artikel itu juga menyatakan mengenai ancaman daripada orang tengah yang mahukan wang perlindungan daripada Zarul selepas mendakwa beliau mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan Barisan Nasional (BN).

    Zarul bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa individu yang mendakwa orang tengah itu ada pengaruh dalam kerajaan yang ketika itu di bawah kepimpinan Barisan Nasional dan perdana menteri pada masa itu ialah Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Kepada soalan Gobind, adakah Zarul memberikan wang kerana dikatakan Najib yang memerlukannya? saksi itu menjawab: “Ya”.

    Lim, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

    Lim, juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.-  BERNAMA

  • Yusuf Taiyoob dahului senarai penerima darjah kebesaran Pulau Pinang

    Yusuf Taiyoob dahului senarai penerima darjah kebesaran Pulau Pinang

    PENGERUSI Eksekutif Syarikat Yusuf Taiyoob Sdn Bhd, Datuk Seri Yusuf Taiyoob mendahului senarai 1,380 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-73 Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

    Ahli perniagaan berjaya dan pembekal buah kurma itu akan menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Takaful Malaysia, Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil.

    Seramai 21 individu bakal dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri antaranya Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin; bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Awang Adek Hussin dan bekas Pakar Patalogi Hospital Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Bhunpinder Singh yang ketika ini merupakan pensyarah patalogi di sebuah kolej swasta di George Town.

    Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa; Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Prof Datuk Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha; Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman dan bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Sr Rozali Mohamud turut tersenarai sebagai penerima DGPN.

    Ahmad Fuzi juga telah memperkenankan untuk menganugerahkan pingat kepada seramai 135 penerima bagi Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) iaitu 18 penerima dan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk membabitkan 117 individu.

    Penerima DMPN antaranya Pengerusi Majlis Klan Cina Pulau Pinang, Datuk Ang Cho Teing dan Pengerusi Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam (CCPSS) Pulau Pinang, Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pengurusan), Ahmad Rizal Mohd Hanapiah; Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Ma’arof Sudin; bekas Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal dan Duta Besar Malaysia ke Filipina, Norman Muhamad menerima DSPN.

    Seorang pengamal media iaitu wartawan kanan yang bertugas di Malaysikini, S Arulldass turut tersenarai sebagai penerima pingat DSPN.

    Terdahulu Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang pada sidang akhbar berkata seramai 107 individu menerima Darjah Johan Negeri; Bintang Cemerlang Negeri (19); Pingat Kelakuan Terpuji (197); Pingat Jasa Kebaktian (333); Pingat Jasa Masyarakat (536) dan Pingat Bakti Setia (29).

    Beliau berkata, acara sambutan akan dimulakan dengan Istiadat Kawalan Kehormatan di Dataran Sri Pinang esok dan istiadat penganugerahan pula berlangsung selama empat hari di Dewan Sri Pinang bermula esok hingga Khamis ini.

    “Istiadat pada kali ini juga menyaksikan jumlah penerima iaitu seramai 1,380 orang adalah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun sejak 2018 bagi Pulau Pinang,” katanya. – BERNAMA

  • Lelaki maut, rakan parah dalam kemalangan 3 kereta

    Lelaki maut, rakan parah dalam kemalangan 3 kereta

    SEORANG lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas kereta Perodua Axia dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan dua lagi kenderaan dalam kejadian di Jalan Raja Uda, di Butterworth tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Mohd Radzi Ahmad berkata, lelaki berusia 29 tahun yang merupakan penumpang hadapan maut ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan rakannya berumur 20-an yang duduk di kerusi belakang dalam keadaan kritikal dirawat di hospital sama.

    Katanya, pemandu kereta Perodua Axia iaitu seorang lelaki berusia 20-an mengalami cedera ringan dalam kemalangan yang berlaku pada 12.15 tengah malam itu.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Axia yang sedang membelok ke kanan jalan bertembung dengan kereta Honda City yang datang dari arah bertentangan.

    “Akibat perlanggaran itu, kereta Perodua Axia berpusing dan melanggar Perodua Alza yang sedang berhenti di tepi jalan di situ, kedua-dua lelaki yang memandu Honda City dan Perodua Axia mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Radzi berkata, siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih dijalankan menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Kes HFMD di Pulau Pinang naik lebih 8 kali ganda

    Kes HFMD di Pulau Pinang naik lebih 8 kali ganda

    KES penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pulau Pinang meningkat sebanyak 8.4 kali ganda iaitu 959 kes sepanjang tahun ini setakat 7 Mei lalu berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu hanya 102 kes.

    Selain itu, sebanyak 54 kluster HFMD turut dilaporkan di Pulau Pinang sepanjang tahun ini berbanding hanya tujuh kluster pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 6.7 kali ganda.

    Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Norlela Ariffin berkata, setakat ini juga jumlah kumulatif premis yang ditutup akibat HFMD adalah 54 premis, namun telah beroperasi seperti biasa yang mana pembukaan semula premis terakhir adalah pada 3 Mei lalu.

    Menurut Norlela, penyakit HFMD mudah menjangkiti orang lain terutama kanak-kanak di premis tempat tumpuan mereka seperti taska, tabika, tadika, pusat jagaan dan prasekolah.

    ”Penyakit HFMD adalah antara penyakit yang biasa dan sering kali berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

    ”Namun, ia merupakan salah satu masalah kesihatan awam di Malaysia amnya dan di Pulau Pinang khususnya kerana cenderung untuk menyebabkan berlakunya wabak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Norlela, setakat ini tiada rawatan khusus untuk merawat penyakit HFMD sekali gus apsek pencegahan adalah amat penting.

    “Sehubungan itu, kita menasihati orang ramai terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko mereka dijangkiti.

    ”Antara langkah yang perlu diambil ialah basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak,” katanya.

    Dalam masa sama, Norlela turut menasihatkan mereka yang terlibat dengan institusi penjagaan kanak-kanak supaya sentiasa mengekalkan kebersihan di pusat penjagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah serta persekitarannya.

    Sementara itu, memetik laporan Bernama, kes HFMD di Kelantan meningkat 553 peratus kepada 1,548 kes dalam tempoh Januari hingga awal bulan ini, berbanding hanya 237 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, daripada jumlah kes HFMD yang dilaporkan, majoriti kes adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur satu hingga empat tahun iaitu sebanyak 75.8 peratus.  

    “Secara keseluruhan 87.9 peratus daripada kes yang dilaporkan adalah berumur enam tahun dan ke bawah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Dr Zaini berkata, dari segi kejadian wabak, sebanyak 18 wabak HFMD telah dilaporkan dalam tempoh Januari hingga awal Mei, berbanding dengan hanya satu wabak sahaja bagi tempoh sama pada 2021.

    “Sebahagian besar wabak yang dilapor adalah melibatkan taska dan pusat jagaan kanak-kanak,” katanya.

    Dr Zaini menasihati orang ramai terutama yang mempunyai anak kecil supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan kes HFMD di negeri itu.

  • Remaja OKU maut tertiarap dalam kebakaran

    Remaja OKU maut tertiarap dalam kebakaran

    SEORANG remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) maut dalam insiden kebakaran sebuah bilik di rumahnya di tingkat lapan Pangsapuri Desa Bayan, Bayan Lepas dekat George Town hari ini.

    Muhammad Nur Iqmal Aiman Mohd Shakrisham, 18, ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan 80 peratus bahagian belakang badannya melecur.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, Mohd Hafiz Hafizal Timaradin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.59 pagi dan jentera pertama dari Bayan Baru tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.

    “Sebaik tiba, kami mendapati sebuah rumah di tingkat lapan berlaku kebakaran dan kediaman itu dalam keadaan berkunci, pasukan bomba bertindak memecahkan pintu rumah bagi menjalankan operasi pemadaman di situ.

    “Sebaik pintu berjaya dipecahkan, kami mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah bilik berkeluasan 9.3 meter persegi dan selepas operasi pemadaman, kami menemukan seorang mangsa lelaki dalam keadaan tertiarap di bucu bilik tersebut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

    Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa meninggal dunia selepas dipercayai lemas akibat asap kebakaran itu dan berdasarkan siasatan, mangsa adalah seorang yang hiperaktif.

    “Kami dimaklumkan jika bapanya keluar ke tempat kerja, mangsa akan ditinggalkan sendirian dalam bilik tersebut dan mereka memang tinggal berdua sahaja di rumah itu… seorang lagi adik perempuan si mati tidak tinggal bersama,” katanya sambil menambah mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

    Bapa mangsa, Mohd Shakrisham Mohamad, 40-an, pula berkata dia masih terkejut dengan insiden yang telah meragut nyawa anaknya itu.

    “Saya pergi kerja pada 6.40 pagi dan tutup pintu seperti biasa… ketika sedang bekerja, ada orang beritahu rumah terbakar dan saya terus pergi lihat, tengok-tengok itu rumah saya dan dimaklumkan anak saya turut terlibat,” katanya sambil menahan sebak.

    Pekerja kedai runcit itu yang kematian isteri pada 9 Mac lepas akibat kanser juga berkata sebelum keluar bekerja, dia memeluk serta meminta maaf kepada anaknya dan mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan.

    “Memang itu yang saya lakukan setiap hari dan dia juga sebelum tidur setiap malam peluk serta minta maaf dengan saya, dia juga cakap sayangkan saya,” katanya. – BERNAMA

  • Aidilfitri: 833,000 kenderaan masuk Pulau Pinang

    Aidilfitri: 833,000 kenderaan masuk Pulau Pinang

    KIRA-KIRA 833,000 buah kenderaan memasuki Pulau Pinang sejak kelmarin ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi.

    Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang, Superintendan Zafri Zokapli berkata, bagaimana aliran trafik di negeri itu secara keseluruhannya masih lagi berjalan lancar di kesemua lokasi.

    ”Bagaimanapun di lebuh raya berhampiran Tol Sungai Dua, kenderaan kadang-kadang dilihat perlahan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sebelum ini, polis Pulau Pinang menjangkakan jumlah kenderaan yang melalui Pulau Pinang untuk menuju ke bahagian Utara negara meningkat sehingga 3.6 juta ketika orang ramai pulang ke kampung menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, selain itu pihak polis juga menjangkakan kira-kira sejuta kenderaan akan memasuki Pulau Pinang sepanjang tempoh tersebut.

    Sementara itu, Zafri turut menasihatkan orang ramai merancang perjalanan serta memastikan kenderaan dalam keadaan baik.

    Ujarnya, pengguna jalan raya perlu memberi kerjasama jika berlaku kemalangan dan tidak sesekali menggunakan laluan kecemasan selain sentiasa berhemah semasa memandu.

    ”Pemandu juga perlu memastikan baki tol mencukupi serta mendapatkan rehat yang secukupnya sepanjang perjalanan,” katanya.

  • Sambutan meriah program Najib, namun pengundi Cina belum sedia tinggalkan DAP

    Sambutan meriah program Najib, namun pengundi Cina belum sedia tinggalkan DAP

    RAMAI yang nampaknya masih teruja dengan sambutan yang diberikan masyarakat Cina kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika bekas Perdana Menteri itu turun padang ke beberapa kawasan di Pulau Pinang lebih seminggu lalu.

    Tidak dinafikan jika diukur dari segi jumlah kehadiran orang ramai, Mohd Najib boleh dikatakan mendapat perhatian apabila ramai penduduk Cina memenuhi setiap majlis yang diadakan.

    Lebih mengujakan pemerhati politik juga apabila sambutan meriah itu diterima Mohd Najib daripada masyarakat Cina di Pulau Pinang yang diketahui kubu kuat penyokong DAP.

    Namun untuk membuat andaian masyarakat Cina khususnya di Pulau Pinang sudah beralih sokongan kepada BN masih terlalu awal atau boleh diibaratkan seperti jauh panggang daripada api.

    Kesimpulan mudah yang mungkin boleh dibuat daripada sambutan hangat mereka terhadap kunjungan Mohd Najib baru-baru ini adalah mereka seperti rakyat Malaysia lain tidak mahu melepaskan peluang bertemu dan bergambar dengan bekas Perdana Menteri berkenaan.

    Sesiapa pun tidak boleh menafikan Mohd Najib kini adalah ‘persona politik’ yang popular di media sosial dan kunjungan beliau di mana-mana acara sentiasa berjaya menarik kehadiran orang ramai, begitulah juga yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini.

    Hakikatnya sokongan pengundi Cina lebih-lebih lagi di Pulau Pinang terlalu kuat dan sedikit pun tidak goyah terhadap DAP.

    Dalam apa jua situasi sekali pun, pengundi Cina dilihat akan memastikan Pulau Pinang tidak akan sesekali dirampas oleh mana-mana parti politik selain sekutu DAP.

    Sokongan itu semakin kuat di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika ini yang dilihat lebih mengutamakan pembangunan negeri berbanding bermain politik seperti yang sering dinilai ketika era Lim Guan Eng sebelum ini.

    Kecekapan pentadbiran Kon Yeow dalam menangani krisis ketika pandemik Covid-19 turut meningkatkan keyakinan penduduk sekali gus memanjangkan lagi hayat DAP di Pulau Pinang.

    Sebab itu parti pembangkang di Pulau Pinang khususnya BN tidak boleh terlalu teruja dengan sambutan yang diterima Mohd Najib daripada masyarakat Cina baru-baru ini.

    Ia mungkin boleh menjadi pemangkin atau tonik dalam menarik pengundi Cina atas pagar, tetapi untuk menjangkakan tsunami politik kepada BN seperti yang terjadi dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) dan negeri (PRN) sebelum ini masih terlalu jauh dalam konteks politik di Pulau Pinang.

  • Kerajaan negeri Pulau Pinang disaman pemilik banglo warisan

    Kerajaan negeri Pulau Pinang disaman pemilik banglo warisan

    PASANGAN suami isteri, Louise Goss-Custard dan Thomas Arnold Schmidt memfailkan saman terhadan Ketua Menteri Pulau Pinang, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang kerana bimbang pembangunan mega yang dirancang akan merosakkan banglo warisan yang mereka diami serta kediaman penduduk lain.

    Memetik laporan FMT, pemilik banglo yang dibina pada 1935 di Chow Thye Road berkata, projek mega itu mendatangkan risiko serius terhadap rumah mereka dan penghuni lain kerana strukturnya tidak mempunyai tapak.

    Mereka berkata, kawasan itu mudah mendap sekiranya berlaku pembangunan.

    Syarikat milik kerajaan negeri Pulau Pinang mencadangkan pembinaan pangsapuri servis 23 tingkat dan bangunan kondominium 30 tingkat.

    Pembinaan melibatkan 558 ruang pejabat dan unit kediaman serta ruang niaga 10 tingkat turut dicadang.

    Goss-Custard dan Schmidt telah memfailkan saman pemula meminta Mahkamah Tinggi memerintahkan supaya kajian kebolehlaksanaan, termasuk laporan impak alam sekitar, lalu lintas dan sosial, didedahkan kepada umum.

    Mereka juga memohon perintah untuk memaksa pemaju mendedahkan kajian yang telah dijalankan.

    Pasangan itu menamakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, PDC Properties Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai responden.

    Goss-Custard menambah, projek itu akan mengubah secara drastik ciri-ciri dan keaslian kawasan itu yang menempatkan kediaman warisan yang mengelilingi Victoria Green.

    Dalam afidavit sokongan, beliau berkata, wujud kebimbangan mengenai kerosakan rumahnya serta orang lain di sepanjang jalan itu termasuk kesan ke atas lalu lintas, pencemaran dan nilai harta benda sebaik sahaja ‘struktur gergasi’ itu dibina.

    Menurutnya, pemaju enggan mendedahkan laporan walaupun permintaan telah dibuat menerusi peguamnya.

    Katanya juga, terdapat konflik kepentingan apabila ketua menteri dan pemimpin kerajaan negeri adalah pengarah dalam Penang Development Corporation, yang memiliki syarikat pemaju terbabit.

    Tambahnya lagi, kepimpinan tertinggi majlis bandar raya itu dipilih oleh kerajaan negeri dan mungkin mengikut arahan daripada negeri.

  • Jijik! Tikus, lipas, anjing berkeliaran dalam kilang pau dan dimsum

    Jijik! Tikus, lipas, anjing berkeliaran dalam kilang pau dan dimsum

    SEBUAH kilang memproses pau dan dimsum di Medan Melor Selatan, di Butterworth diarah tutup selama dua minggu berikutan keadaan premis yang kotor dan menjijikkan, termasuklah terdapat najis tikus di ruang pemprosesan makanan dan stor.

    Selain penemuan najis tikus, pihak berkuasa turut menemui tikus dan lipas di situ, malah pemiliknya juga membiarkan tiga ekor anjing berkeliaran dalam kawasan pemprosesan makanan tersebut.

    Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Mohd Wazir Khalid, berkata, pihaknya menjalankan serbuan menerusi Ops Tegar bermula pukul 10 pagi hari ini, hasil risikan dan intipan sejak sebulan lepas dan mendapati rumah teres setingkat yang dijadikan kilang itu, tidak mencapai piawaian yang ditetapkan.

    Katanya, notis penutupan selama 14 hari itu dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, dikeluarkan bagi membolehkan pengusaha premis melakukan kerja-kerja pembersihan.

    “Pemeriksaan juga mendapati kilang tersebut beroperasi tanpa lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), malah pemiliknya turut membiarkan tiga ekor anjing berkeliaran di kawasan pemprosesan makanan sedangkan tiada haiwan peliharaan dibenarkan berada di situ.

    “Selain itu, kilang tersebut juga berada dalam keadaan kotor dan premis tersebut yang beroperasi sejak 10 tahun lepas, pernah diserbu pada tahun 2019 kerana kesalahan yang sama namun sehingga kini masih tidak mengikut peraturan serta menjaga kebersihan,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu, hari ini.

    Mohd Wazir berkata, semasa serbuan dijalankan terdapat dua pekerja warga asing di kilang yang mengedarkan produk pau dan dimsum sekitar Butterworth itu.

    Katanya kilang tersebut turut dikenakan tiga kompaun oleh pihaknya dan masing-masing satu kompaun daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melibatkan nilai keseluruhan RM5,300.

    Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut menyerbu sebuah kilang memproses bebola ikan di Raja Uda, di sini dan mendapati pemilik kilang gagal mematuhi program keselamatan makanan iaitu antaranya pekerja tidak memakai sarung tangan, ketika mengendalikan proses pembuatan makanan.

    “Kilang itu mempunyai sijil program keselamatan makanan namun pemeriksaan kami mendapati pekerja-pekerjanya tidak mengikut dari segi peraturan dan kebersihan ditetapkan dan saya minta pegawai teknologi makanan dapat membuat pemantauan secara berkala, bagi memastikan semua pengilang makanan mematuhinya,” katanya.

    Menurutnya dalam pemeriksaan di situ, pihaknya mengeluarkan dua kompaun dan empat notis yang kesemuanya bernilai RM2,900, antara kesalahan produk tidak mempunyai label serta kesalahan meletakkan produk makanan di atas lantai.

    Operasi kira-kira tiga jam itu turut disertai penguat kuasa dari MBSP dan KPNDHEP Pulau Pinang. – BERNAMA

  • Perak, NS, Pulau Pinang boleh solat jemaah tanpa penjarakan

    Perak, NS, Pulau Pinang boleh solat jemaah tanpa penjarakan

    SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membenarkan solat fardhu, Jumaat, jenazah dan tarawih dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal di negeri itu, dengan bilangan jemaah ditentukan mengikut keluasan ruang masjid atau surau, bermula waktu Subuh pada hari Jumaat, 1 April ini.

    Baginda bertitah, bagi kalangan para pelajar terutamanya di sekolah asrama penuh pula, demi melindungi keselamatan mereka, pengetua sekolah dan pengetua pusat-pusat pengajian diberikan budi bicara untuk mengadakan solat Jumaat dalam surau, bangunan atau kawasan sekitar institusi masing-masing.

    Sultan Nazrin bertitah, walaupun Perak lazimnya menetapkan 20 rakaat solat tarawih, bagi meminimumkan risiko jangkitan dalam tempoh Fasa Peralihan Ke Endemik, Jawatankuasa dan Pegawai Masjid diberikan budi bicara menentukan bilangan rakaat solat Tarawih yang difikirkan munasabah untuk dilaksanakan di masjid dan surau masing-masing.

    “Bagi meminimumkan tempoh pendedahan jemaah kepada udara yang terperangkap dalam bangunan, tazkirah yang dibenarkan selepas solat witir hendaklah tidak melebihi 30 minit.

    “Program qiamullail dan iktikaf pada waktu malam di masjid dan surau dibenarkan, dengan mengambil langkah-langkah preventif jangkitan berpandukan nasihat Jabatan Kesihatan,” titah Baginda pada sesi sembah taklimat aktiviti masjid dan surau di negeri Perak sempena Fasa Peralihan ke Endemik di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Ipoh hari ini.

    Sementara itu di SEREMBAN, kerajaan Negeri Sembilan menetapkan penjarakan fizikal ketika mendirikan solat berjemaah dan wirid di semua masjid dan surau di negeri ini mengikut aturan sejadah bersaiz besar iaitu 0.6 meter lebar x 1.2 meter panjang mulai 1 April ini.

    Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, selain menjaga penjarakan fizikal satu meter, jemaah yang dibenarkan masuk ke masjid dan surau adalah lelaki, wanita dan kanak-kanak, warga tempatan dan bukan warganegara serta penduduk tetap yang telah lengkap menerima vaksin COVID-19.

    “Jemaah yang hadir juga perlu memastikan dalam keadaan sihat, tiada gejala seperti demam, batuk, selesema atau sebagainya. Jemaah tidak dibenarkan untuk bersalaman atau melagakan penumbuk.

    “Satu sejadah hanya untuk seorang sahaja, jemaah boleh rapatkan sejadah tapi tidak boleh berkongsi dalam keadaan pandemik ini, jemaah juga perlu membawa sejadah sendiri, pakai pelitup muka dan imbas Mysejahtera,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco hari ini.

    Sementara itu di GEORGE TOWN, Pulau Pinang membenarkan pelaksanaan solat berjemaah secara merapatkan saf di surau dan masjid seluruh negeri itu bermula 1 April ini, kata Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

    Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, ketetapan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di peringkat Pusat berhubung solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal itu, dibuat selepas pihaknya mengadakan perbincangan mengenainya hari ini.

    “Selain kebenaran merapatkan saf, kami juga membuat ketetapan untuk membenarkan aktiviti tadarus al-Quran dan qiamullail di semua masjid serta surau sepanjang bulan Ramadan nanti dengan pemantauan pengurusan (masjid dan surau) dan jemaah perlu mematuhi SOP ditetapkan sebelum ini, termasuk membawa sejadah sendiri.

    “Solat Tarawih pula dibenarkan sehingga 20 rakaat dan kami turut memberi kelonggaran untuk membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah (untuk) turut menunaikan solat (Tarawih), manakala majlis berbuka puasa dan moreh pula dijalankan mengikuti kesesuaian SOP,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Beliau ditemui selepas merasmikan Multaqa Murabbi Ummah peringkat Pulau Pinang yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee. – BERNAMA