Tag: PRU15

  • Tidak perlu tergesa-gesa adakan PRU-15 – Tuan Ibrahim

    Tidak perlu tergesa-gesa adakan PRU-15 – Tuan Ibrahim

    PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak perlu dibuat secara tergesa-gesa terutama ketika musim tengkujuh kerana kerajaan perlu memberi keutamaan kepada persiapan menghadapi bencana banjir.

    Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata justeru itu, beliau berpendapat PRU15 lebih sesuai diadakan pada tahun hadapan.

    “PRU ini, saya berpendapat kita kena ambil kira juga (aspek) seperti sekolah yang dijadikan pusat pemindahan banjir jadi ia sudah tidak sesuai dijadikan pusat pengundian.

    “Keduanya mengenai anggota keselamatan yang saya lihat kalau musim tengkujuh, mereka terpaksa turun ke lapangan membantu mangsa banjir. Kalau waktu itu pilihan raya, mereka juga kena jaga peti undi dan mengiring pengundi.

    “Jadi saya fikir kita tidak perlu tergesa-gesa (membuat keputusan) mengenai tarikh ini (PRU15). Saya rasa rakyat pun tidak setuju PRU (diadakan pada) musim banjir,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun di Dewan Sivik Bijangga di sini hari ini.

    Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata bagaimanapun, tarikh pembubaran Parlimen bergantung kepada keputusan Jemaah Menteri serta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – BERNAMA

  • PRU-15: GTA bakal guna lambang obor

    PRU-15: GTA bakal guna lambang obor

    GERAKAN Tanah Air (GTA) berhasrat menggunakan lambang obor dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya permohonan pendaftaran gerakan itu diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

    Jawatankuasa penaja GTA hari ini bertemu Ketua Pengarah RoS Mohd Nawardi Saad bagi menyerahkan dokumen berkaitan serta berbincang berhubung pendaftaran itu.

    Pada 4 Ogos lepas, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan GTA yang disertai empat parti iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

    “Bagi melayakkan GTA bertanding dalam PRU15 maka kita melakukan proses sewajarnya berdasarkan undang-undang dengan mendaftarkan gabungan politik ini kepada RoS,” kata Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja GTA dalam kenyataan yang dibacakan Ketua Setiausaha GTA Datuk Marzuki Yahya di sini hari ini.

    Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang masih menjalani kuarantin di rumah selepas dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada Ahad lepas. Beliau dimasukkan ke IJN selepas disahkan positif COVID-19 pada 31 Ogos lepas.

    Presiden Pejuang yang juga Timbalan Pengerusi Penaja GTA Datuk Seri Mukhriz Mahathir berharap permohonan pendaftaran bagi membolehkan GTA menyertai PRU15 nanti dapat pertimbangan sewajarnya daripada  RoS.

    Mukhriz berkata GTA menawarkan kepada rakyat satu gabungan baharu yang setanding dengan gabungan sedia ada seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PN).

    “Persediaan menghadapi PRU15 sedang berjalan dan parti-parti gabungan bergerak bersama dengan berkongsi kekuatan masing-masing,” katanya.- BERNAMA

  • Elak tiga penjuru di 27 kerusi: PAS mahu berunding dengan UMNO

    Elak tiga penjuru di 27 kerusi: PAS mahu berunding dengan UMNO

    PAS berharap masih ada ruang berunding dengan UMNO melalui platform Muafakat Nasional (MN) untuk memastikan tiada pertembungan di 27 kerusi ‘kritikal’ Parlimen antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang akan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

    Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perbincangan antara dua pihak iaitu PAS sebagai parti komponen PN dan UMNO yang menjadi tunjang BN perlu diadakan untuk mengelak pertembungan tiga penjuru terutama di kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

    “Jadi tentulah (perebutan) kerusi-kerusi ini perlu dibincang, ada puluhan lagi kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) yang boleh kita bincang. Contohnya seperti (Parlimen) Raub dan Bentong, kerusi ini dimenangi PH sedangkan majoriti pengundi Melayu, tapi bila dua-dua bertembung, akhirnya dua-dua (BN dan PN) rugi.

    “Jika tidak boleh berpakat semua, jangan bertembung semua, itu kaedah kita buat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat sempena Muktamar PAS ke-68 di sini hari ini.

    Menjawab soalan sama ada MN masih wujud atau sudah terbubar, Tuan Ibrahim berkata setakat ini, sama ada UMNO atau PAS tidak pernah bercadang agar MN dibubarkan.

    Katanya muafakat itu perlu kekal demi menjadi wadah agenda kepentingan Melayu dan Islam dan bukan sekadar untuk perbincangan politik sewaktu pilihan raya.

    Namun, Tuan Ibrahim berkata jika UMNO dan BN mahu bergerak solo pada PRU15, PN bersedia untuk menghadapi pertembungan tiga penjuru.

    “PN bersedia dalam semua keadaan. Kalau UMNO buat keputusan bergerak solo kita terpaksa lawan dan kita bersedia untuk lawan. PN akan lawan tiga penjuru, tapi tiga penjuru (nanti) BN rugi, PN pun rugi,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air dalam ucapannya mengumumkan sambutan Hari Air Peringkat Kebangsaan 2022 akan diadakan di Kedah iaitu di sekitar Sungai Muda.

    Sambutan yang diadakan pada 25 Sept itu sebagai mengambil kira kepentingan peranan Sungai Muda membekalkan air di tiga negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

    “JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) sedang mengenal pasti lokasi sesuai untuk sambutan itu diadakan (di sepanjang Sungai Muda), kita akan umumkan nanti,” katanya.- BERNAMA 

  • PRU-15: Muslimat PAS usul kuota 30 peratus calon wanita bertanding

    PRU-15: Muslimat PAS usul kuota 30 peratus calon wanita bertanding

    DEWAN Muslimat PAS Pusat hari ini mahu lebih ramai calon wanita diketengahkan parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

    Mengusulkan perkara itu, ketuanya Senator Nuridah Mohd Salleh berkata sayap berkenaan mencadangkan supaya diberikan kuota sebanyak 30 peratus untuk wanita bertanding mewakili parti di setiap negeri pada PRU15.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Dewan Muslimat PAS ke-62, sempena Muktamar Tahunan PAS ke-68, yang dirasmikan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, di sini.

    Nuridah berkata pada PRU14 yang lepas, seramai 39 calon wanita telah diketengahkan parti membabitkan 10 kerusi Parlimen dan 29 kerusi Dewan Undangan Negeri.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim yang mengulas usul Muslimat itu berkata pucuk pimpinan sedia menilainya dan perbincangan lanjut akan diadakan.

    “Secara asasnya PAS bersetuju supaya peranan Muslimat diangkat selari dengan cabaran dihadapi golongan itu pada masa kini sekali gus memberi peluang lebih ramai wanita bertanding pada pilihan raya akan datang.

    “Kita juga menyedari bahawa separuh daripada pengundi kita adalah dalam kalangan Muslimat, sehubungan itu saya menyokong apa yang disebut Ketua Dewan Muslimat untuk meletakkan lebih ramai calon wanita dalam PRU ke-15,” katanya.- BERNAMA