Tag: PRU15

  • PRU-15: Pengumuman calon PN akan dibuat di peringkat negeri – Muhyiddin

    PRU-15: Pengumuman calon PN akan dibuat di peringkat negeri – Muhyiddin

    PENGUMUMAN calon-calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dibuat di setiap negeri, kata Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “(Pengumuman) tak buat di pusat, jadi rakyat di negeri akan tahu siapa calon PN daripada parti-parti yang ada (dalam PN) yang akan bertanding.

    “Lepas itu baru kita dapat tetapkan (sasaran kerusi) selepas hari penamaan calon, (sama ada) calon itu diterima insya-Allah lepas tu nanti kita boleh lihat perkembangan, sementara ini yang penting ialah persiapan kita telah pun mulakan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Himpunan Penyatuan Ummah sempena Sambutan 32 tahun Pentadbiran Membangun Islam di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi.

    Turut hadir Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

    Dalam perkembangan sama, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata PN akan meletakkan calon di kesemua 222 kerusi Parlimen termasuk 27 kerusi yang dianggap kritikal pada PRU15.

    Beliau berkata kesemua calon PN akan menandatangani aku janji dan melafaz ikrar antirasuah seperti yang dilakukan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

    “Sumpah ikrar dengan nama Allah bahawa mereka komited untuk menentang dan tidak membuat sesuatu yang melanggar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Kita akan buat yang sama (pada PRU15),” katanya.

    Muhyiddin juga yakin PN mampu memenangi kesemua 14 kerusi Parlimen di Kelantan berdasarkan semangat kerjasama yang kukuh antara Bersatu dan PAS di negeri itu.

    “Insya-Allah ada semangat kerjasama yang cukup kukuh dan saya yakin rakyat di Kelantan ini memang faham dan sudah tahu mengenai isu-isu yang penting seperti ekonomi, kebajikan, kesihatan dan sebagainya,” katanya. – BERNAMA

  • PRU-15: Abdul Latiff sedia beri laluan muka baharu di Mersing

    PRU-15: Abdul Latiff sedia beri laluan muka baharu di Mersing

    PENYANDANG kerusi Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad bersedia memberi peluang kepada calon muka baharu mewakili Bersatu untuk bertanding di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-5 (PRU-15) nanti. 

    Beliau berkata telah tiba masanya untuk menonjolkan pemimpin baharu yang bersedia dan bertenaga untuk memberi khidmat di kawasan itu.

    “Saya dah bersedia memberi laluan kepada mereka yang lebih bertenaga kerana saya telah jadi wakil rakyat hampir enam penggal dengan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri dan Persekutuan.

    “Ini adalah masa untuk kita beri peluang kepada calon muka baharu tunjuk bakat mereka yang telah bersedia berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek tebatan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Kampung Tersang, Rantau Panjang, di sini, hari ini

    Mengulas lanjut, Abdul Latiff, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), berkata sekiranya namanya tidak dicalonkan pada PRU15, beliau akan masih bergiat aktif dalam politik dan akan membantu calon-calon yang bertanding.

    Pada PRU14 lalu, Abdul Latif yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) ketika itu berjaya memenangi kerusi Parlimen Mersing dengan memperoleh 19,806 undi, menewaskan dua pencabarnya daripada PAS dan PKR.

    Beliau keluar daripada UMNO pada Disember 2018 dan menyertai Bersatu pada Februari 2019.- BERNAMA

  • PRU-15: Semua jentera parti komponen PN bergerak atas nama gabungan

    PRU-15: Semua jentera parti komponen PN bergerak atas nama gabungan

    Mesyuarat Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) hari ini bersetuju agar semua jentera pilihan raya parti komponen di setiap peringkat bergerak atas nama gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

    Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PN dan Biro Politik Bersatu yang berlangsung sebentar tadi. 

    “Tadi kita ada mesyuarat bincang mengenai persiapan PRU15. Bila masa (PRU15), Wallahualam kita tidak tahu tapi ini bukan baharu dah kita sudah bincang beberapa kali tapi hari ini lebih terperinci untuk menentukan supaya satu, menyelaraskan semua jentera kita atas nama PN.

    “Kita dah bersetuju di peringkat PN agar semua jentera (parti komponen) di semua peringkat bergerak atas nama PN, maknanya gabungan parti-parti iaitu Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah AirKu (STAR). Itu yang telah kita tetapkan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuararat berkenaan.

    Turut hadir pada mesyuarat itu Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin, dua Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Radzi Jidin serta Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

    Mesyuarat Biro Politik Bersatu turut diadakan selepas itu.

    Muhyiddin juga berkata, mesyuarat Majlis Presiden PN turut bersetuju untuk meneruskan Program Jelajah Prihatin bagi memberikan penerangan terperinci tentang pandangan gabungan itu berkaitan isu semasa.

    “Ini termasuklah tentang apa yang kita nak masukkan dalam manifesto kita dan apa yang kita nak sediakan… tumpuan kepada soal isu rakyat, rakyat kita mahu utamakan. 

    “Selain itu, Program Gerai Prihatin juga diteruskan untuk bantu rakyat menghadapi masalah besar seperti kos sara hidup tinggi, inflasi dan sebagainya… kita sudah mulakan di banyak negeri dan kita akan beri tumpuan dalam masa terdekat supaya kawasan-kawasan yang memerlukan bantuan, dapat dibantu,” katanya.

    Mengenai kedudukan PAS sama ada kekal dalam PN bagi menghadapi PRU15, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu secara ringkas berkata: “Insya-Allah, kita istiqamah.” – BERNAMA

  • Majlis Presiden PN bincang persiapan, manifesto PRU-15

    Majlis Presiden PN bincang persiapan, manifesto PRU-15

    MAJLIS Presiden Perikatan Nasional (PN) mengadakan mesyuarat hari ini dengan antara lain membincangkan hal berkaitan manifesto dan persiapan jentera pilihan raya peringkat negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, kepada media di saat spekulasi PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat semakin hangat diperkatakan.

    “Mesyuarat hari ini merupakan mesyuarat bulanan PN iaitu pelaporan daripada pelbagai unit, keduanya tentang persiapan PRU termasuk manifesto serta pelancaran jentera pilihan raya di Selangor semalam dan selepas ini di Perak dan Pahang. 

    “Jawatankuasa perundingan kerusi juga masing-masing buat pelaporan awal, apa pun kita akan adakan perbincangan berikutnya selepas ini dan setiap parti dia ada jawatankuasa bersama,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tersebut.

    Mengenai pembahagian kerusi antara parti komponen PN, Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata perkara tersebut juga masih dalam perbincangan.

    “Ada beberapa kerusi yang kita fikir kita perlu duduk untuk muafakat bagi elak kerusi tersebut jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH)…kita akan bentang perincian nanti,” katanya. 

    Mesyuarat dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN turut dihadiri  Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dua Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Radzi Jidin serta Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.- BERNAMA

  • Aset KPM sedia diguna untuk banjir, PRU-15

    Aset KPM sedia diguna untuk banjir, PRU-15

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sentiasa bersedia dengan asetnya untuk digunakan oleh pihak berkuasa sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilangsungkan ketika musibah banjir melanda negara, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata sebagai sebuah institusi, ia sentiasa memberi sokongan dan dukungan dalam konteks keperluan untuk menggunakan sekolah sebagai pusat pemindahan banjir atau pusat pengundian, dan perkara sebegitu sudah dilaksanakan KPM sejak sekian lama.

    “Dalam apa jua keadaan diperlukan untuk banjir, maka kami (KPM) bersedia beri kerjasama untuk tujuan itu. Kalau diperlukan sekolah untuk digunakan sebagai pusat pengundian pun, itulah yang kita akan beri kerjasama,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Pelaksanaan Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Presint 15 di sini hari ini.

    KPM merupakan institusi yang terbabit secara langsung apabila berlaku banjir dengan asetnya seperti sekolah berfungsi sebagai pusat pemindahan sementara mangsa banjir, pada masa sama biasanya juga digunakan sebagai pusat pengundian bagi sebarang proses pilihan raya.

    Bagaimanapun Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu berpendirian kebajikan rakyat diutamakan terlebih dahulu tanpa memikirkan kepentingan politik biarpun semasa parti itu bersedia menghadapi PRU15.

    “Kita faham dan kita simpati kesusahan rakyat. Kita ingin beri ruang sebanyaknya untuk proses pentadbiran dan pengurusan negara dapat diberi keutamaan demi kesejahteraan rakyat, tetapi kalau dipanggil juga (untuk diadakan) PRU, kami sebagai sebuah parti bersedia bila-bila masa,” katanya ketika mengulas pendirian parti mengenai PRU15. – BERNAMA

  • Cadangan bubar Parlimen diputuskan bersama dalam MT UMNO

    Cadangan bubar Parlimen diputuskan bersama dalam MT UMNO

    CADANGAN UMNO untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diputuskan secara bersama di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau yang juga Naib Presiden UMNO bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada tarikh tertentu telah ditetapkan dan tidak menolak kemungkinan PRU15 akan diadakan pada tahun ini seperti dinyatakan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan semalam.

    “Tunggu dulu (tarikh bubar). Semalam Datuk Seri Ahmad Maslan dah buat kenyataan, jadi kita pakai kenyataan dia sebagai Setiausaha Agung, sebab kita dah putuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) semalam, jurucakap dia seorang sahaja,” kata Perdana Menteri kepada pemberita.

    Beliau ditemui selepas Perhimpunan Khas Perdana Menteri bersama warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di sini, hari ini.

    Semalam, Ahmad Maslan dalam sidang media selepas mesyuarat MT UMNO berkata MT UMNO mahu Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.

    Ismail Sabri berkata isu mempercepatkan PRU15 bukan perkara baharu.

    “Kita nak kembalikan kepada rakyat untuk buat penentuan, beri mandat semula kepada rakyat (untuk memilih kerajaan),” katanya.

    Ditanya sama ada beliau ada meletakkan sebarang syarat sebelum bersetuju untuk PRU15 dipercepatkan, beliau berkata: “Kita dari segi UMNO, ada Top 5, ada Biro Politik, tak ada siapa yang beri sebarang syarat…kalau kita nak buat pilihan raya dan kita ada asas yang kuat untuk kita percepatkan dan setuju secara bersama, kita buatlah. Cuma tarikh tu tunggulah pengumuman,” katanya. – BERNAMA

  • PRU-15: Pas arah jentera parti siap sedia, minta ahli terima semua ketetapan

    PRU-15: Pas arah jentera parti siap sedia, minta ahli terima semua ketetapan

    SEMUA pemimpin dan ahli PAS diminta untuk menerima segala ketetapan yang dibuat parti pada ketika seluruh Jentera Pilihan Raya PAS diarah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata selain itu, sebarang kenyataan media tidak boleh dibuat melainkan dengan kebenaran Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi mengelak timbulnya suasana yang boleh merugikan perancangan dan perjuangan parti khususnya dalam menghadapi PRU15.

    “Semua pemimpin dan Ahli PAS dikehendaki menjaga serta mematuhi tanzim dan disiplin parti dengan menerima segala ketetapan dan keputusan yang dibuat terutama oleh Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atas dasar wala’ (kesetiaan) dan taat yang tidak berbelah bahagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

     Menurut Takiyuddin semua peringkat parti perlu menumpukan usaha memantapkan gerak kerja pilihan raya sebagaimana dirancang untuk dilaksanakan terutama melalui arahan Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

    Beliau berkata PAS akan terus memberikan khidmat bakti kepada negara dan rakyat selepas PRU15 bersama-sama dengan gabungan muafakat politiknya yang mempunyai matlamat yang sama.- BERNAMA

  • MB dari Pas jika PN tawan Perlis PRU-15

    MB dari Pas jika PN tawan Perlis PRU-15

    PERIKATAN Nasional (PN) memberi bayangan calon Menteri Besar dari PAS sekiranya gabungan tersebut berjaya menawan Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Portal BeritaBersatu melaporkan, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, BERSATU mengakui kedudukan PAS sebagai ‘abang’ kepada gabungan itu di Perlis.

    Katanya, PAS perlu memimpin BERSATU dengan sebaiknya dan kedua-dua pihak tidak sewajarnya melakukan serangan antara satu sama lain menjelang perang PRU15.

    “Saya sebut abang sebab kita bagi sokongan kepada pemimpin PAS yang akan kita kekalkan untuk pimpin negeri ini.

    “Jadi, salahkah kalau abang kita dari PAS akan jadi Menteri Besar di Perlis (selepas PRU15),” katanya pada Majlis Pertemuan Khas Bersama Barisan Kepimpinan PN Negeri Perlis di Hotel Seri Malaysia Kangar, semalam.

    Hadir sama, Pesuruhjaya PAS negeri merangkap Pengerusi PN Negeri, Mohd. Shukri Ramli dan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Perlis, Abu Bakar Hamzah.

    Dalam pada itu, Hamzah berkata, menerusi pertemuan berkenaan, pihaknya juga turut mengingatkan semua anggota PN agar tidak menghebahkan strategi parti menerusi media sosial bagi menggelakkan pihak lawan mengambil kesempatan.

    “Apa yang penting, kita kenali dan percaya antara satu sama lain di samping mewujudkan kerjasama bagi membuktikan PN dapat menawan negeri Perlis,” katanya.

    Dalam pada itu, Hamzah berkata, pertemuan itu juga adalah bagi meminta setiap anggota PN Perlis untuk bersiap sedia menghadapi PRU15 dan meyakinkan mereka tentang sokongan yang diperolehi gabungan itu termasuk dari kalangan bukan bumiputera.

    Tambah beliau, terdapat pertambahan sokongan bukan bumiputera terhadap PN direkodkan menjelang PRU15.

    “Saya juga rasa amat bangga kerana kita dapat buktikan yang pemimpin PN tidak boleh dipersoal dari segi intergriti,” katanya.

  • UMNO tidak pernah bincang Ahmad Zahid sebagai PM – Mahdzir

    UMNO tidak pernah bincang Ahmad Zahid sebagai PM – Mahdzir

    UMNO tidak pernah membincangkan untuk meletakkan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon perdana menteri (PM) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Naib Presiden Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata Mesyuarat UMNO sebelum ini telah memutuskan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai calon PM ke-10 sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi PRU15.

    “Setakat ini keputusan yang kita buat di peringkat parti ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah ‘poster boy’ dan calon PM selepas PRU15.

    Saya sebagai Naib Presiden parti mengatakan tidak pernah ada mesyuarat (bagi perbincangan Ahmad Zahid sebagai PM),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan Kesatuan Kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Semenanjung Malaysia Kedua di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan tular di media sosial bahawa Ahmad Zahid akan diangkat menjadi Perdana Menteri ke-10 pada PRU15 selain mendakwa perkara berkenaan akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 30 Sept.

    Mahdzir menegaskan penularan berita berkenaan merupakan perbuatan yang cuba melaga-lagakan kepimpinan UMNO oleh sesetengah pihak dengan niat tidak baik. 

    Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN memberi bayangan bahawa Ismail Sabri kekal sebagai “poster boy” dan calon perdana menteri daripada BN pada PRU15.- BERNAMA

  • Belum dapat ilham untuk bubar Parlimen – PM

    Belum dapat ilham untuk bubar Parlimen – PM

    KETIKA spekulasi mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 semakin kencang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob belum membuat keputusan bila beliau akan membubarkan Parlimen. 

    Perdana Menteri berkata sebarang keputusan mengenai tarikh pembubaran Parlimen bergantung kepada perbincangan dalam kalangan pemimpin tertinggi UMNO pada 30 Sept ini. 

    “Pada 30 hari bulan, petang ada (mesyuarat) Top 5 dan biro politik, malam ada MT (Mesyuarat Tertinggi). Jadi kita tunggulah,” katanya pada sidang media di akhir lawatan kerja empat hari ke Amerika Syarikat. 

    Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata beliau belum mendapat maklumat mengenai agenda mesyuarat MT UMNO. 

    “Saya pun tak tahu apa agenda MT dan sebagainya. Jadi malam tu lah kita akan bincang,” katanya. 

    Top 5 merujuk kepada Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden UMNO.

    Ditanya sama ada beliau sudah mendapat ilham bila akan membubarkan Parlimen semasa berada di bandar raya ini dan adakah ia semakin dekat, Ismail Sabri menjawab “belum lagi.” 

    “Saya berjalan di sekitar Central Park dan kagum dengan bagaimana kawasan hijau seluas 832 ekar di tengah-tengah bandar raya ini dikekalkan dan dipulihara” katanya. 

    Perdana Menteri berkata jika di Malaysia, pasti akan ada cadangan di atas meja beliau untuk membangunkan kawasan seumpama itu. 

    “Saya mendapat inspirasi bagaimana untuk memulihara kawasan hijau kita. Namun untuk pilihan raya, saya tidak mendapat apa-apa inspirasi,” katanya sambil tersenyum. – BERNAMA