Tag: PRU-15

  • Kerajaan perpaduan: Pas bincang tawaran PM bersama rakan komponen PN

    Kerajaan perpaduan: Pas bincang tawaran PM bersama rakan komponen PN

    PAS akan membincangkan tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai kerajaan perpaduan bersama rakan komponen Perikatan Nasional (PN) dalam waktu terdekat.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada masa sama berkata, parti itu perlu meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi yang telah memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada Pas dan PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Mengenai tawaran Perdana Menteri (Anwar) kepada Perikatan Nasional untuk menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinannya, Pas mengucapkan terima kasih seterusnya dalam waktu terdekat akan membincangkan perkara ini dengan rakan-rakan komponen dalam PN.

    “(Pada masa sama Pas) turut sama meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi yang telah memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada Pas dan PN dalam PRU-15 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Pas akur dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan menerima dengan redha serta hati terbuka segala ketentuan Allah yang tentunya mempunyai hikmatnya yang tersendiri.

    Katanya, Pas mengucapkan syukur ke hadrat Allah kerana kemelut kepimpinan negara pasca PRU-15 tidak berterusan dan dapat diselesaikan dengan harmoni dan damai.

    “Pas menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas kebijaksanaan melaksanakan fungsi Baginda berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang khususnya dalam soal perlantikan Perdana Menteri berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan.

    “Pas turut mengucapkan tahniah kepada Anwar yang telah diperkenan dan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

    “Pas yakin beliau akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ehsan serta turut mengutamakan konsep federalisma yang wajar kepada seluruh negeri-negeri dan rakyat jelata,” tambahnya.

  • Kita telah berusaha sedaya upaya – Hadi

    Kita telah berusaha sedaya upaya – Hadi

    TAN Sri Abdul Hadi Awang berkata, Perikatan Nasional (PN) telah berusaha sedaya upaya membentuk kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN itu berkata, seterusnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan sokongan sebenar yang diterima beliau.

    Menurut beliau, PN akan terus berkhidmat kepada rakyat dan terus berbakti kepada negara.

    “Kita telah berusaha sedaya upaya. Seterusnya Perdana Menteri perlu membuktikan sokongan sebenar yang diterima.

    “Kepada rakyat, kami akan terus berkhidmat. Kepada negara, kami akan terus berbakti,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

    Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Presiden Pas mengingatkan kepada rakyat khasnya penyokong PN bahawa segala yang berlaku telah berlaku, pasti ada hikmahnya.

    Namun katanya, apa yang penting bagi PN ialah jujur kepada rakyat, bersabar, dan tetap istiqamah.

    “Segala yang berlaku telah berlaku, pasti ada hikmahnya. Yang penting kita jujur kepada rakyat, bersabar, dan tetap istiqamah.

    “Terima kasih kepada rakyat atas sokongan tidak berbelah bahagi,” katanya.

    Kemelut pemilihan Perdana Menteri Ke-10 berakhir setelah Anwar diumumkan sebagai pemimpin nombor satu negara sekali gus mengangkat sumpah hari ini.

    Keputusan PRU-15 Ahad lalu menyaksikan Parlimen tergantung dengan PH dan sekutunya memenangi 83 kerusi manakala PN 73 kerusi.

  • Usah bersedih, kebangkitan rakyat terus disemarakkan PN – Radzi

    Usah bersedih, kebangkitan rakyat terus disemarakkan PN – Radzi

    RAKYAT terutamanya penyokong Perikatan Nasional (PN) diminta tidak bersedih susulan kegagalan gabungan itu membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin sebaliknya berkata, api perubahan dan kebangkitan rakyat akan terus disemarakkan PN.

    Menurutnya, beliau maklum ramai dalam kalangan sahabat penyokong gabungan itu sedih apabila PN tidak dapat membentuk kerajaan.

    “Ini termasuklah penjawat awam yang bersama-sama memberi dokongan kepada kami, khususnya di Putrajaya.

    “Usah bersedih sahabat semua. Api perubahan dan kebangkitan rakyat ini akan terus kita semarakkan.

    “Perjuangan membina Malaysia yang lebih gemilang berpaksikan prihatin, bersih dan stabil tidak akan terhenti hari ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook malam ini,

    Mengulas lanjut, Radzi berkata, setiap yang berlaku ada hikmahnya dan sehubungan itu PN terus bergerak bersama ke depan dan teruskan perjuangan.

    Tegas beliau, gelombang sokongan kepada Perikatan Nasional pada PRU-15 yang lalu adalah luar biasa.

    “Fakta yang perlu direkodkan, sepertimana disebut oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perikatan Nasional telah mengemukakan Akuan Bersumpah daripada lebih 112 orang Ahli Parlimen yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk dilantik sebagai Perdana Menteri pada 21 November 2022.

    “Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kita terus bergerak bersama ke depan dan teruskan perjuangan. Gelombang sokongan kepada Perikatan Nasional pada PRU15 yang lalu adalah luar biasa!,” tambah beliau.

  • PN mampu menang mudah di Padang Serai, Tioman 

    PN mampu menang mudah di Padang Serai, Tioman 

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERIKATAN Nasional (PN) diyakini tidak berdepan masalah untuk mencapai kemenangan di Parlimen Padang Serai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang tertangguh akibat kematian calon yang bertanding di kedua-dua kawasan tersebut sebelum ini.

    Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada keputusan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini yang dilihat menampakkan keyakinan rakyat kepada PN.

    “Dengan gelombang yang bertiup ke arah PN, penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta perkembangan semasa yang memberi kesedaran kepada pengundi, saya fikir PN akan mendapat laluan mudah untuk menang di Padang Serai dan Tioman,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas mengiringi calon PN Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin pada proses penamaan calon di Kompleks Sukan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), hari ini.

    Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat dalam pada itu turut menyatakan persetujuan dengan cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak bersama lima negeri lain termasuk yang berada di bawah pentadbiran PH.

    Secara prinsipnya kata beliau, idea berkenaan dilihat akan memudahkan perjalanan pilihan raya termasuk pergerakan pengundi luar untuk pulang serta petugas-petugas parti.

    “Kalau nak dijadikan pilihan raya serentak kita boleh rundinglah dengan negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu. Saya rasa perkara ini bukanlah sesuatu yang sulit untuk dipersetujui bersama.

    “Kalau Pas pusat bersetuju tak ada masalah, bagi pihak negeri saya fikir pilihan raya bersama itu lebih baik untuk memberi peluang kepada semua orang balik untuk mengundi, kalau cuti pun akan serentak sahaja,” katanya.

  • Perikatan Nasional setuju tubuh Kerajaan Perpaduan

    Perikatan Nasional setuju tubuh Kerajaan Perpaduan

    PERIKATAN Nasional (PN) bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan melibatkan parti yang sehaluan dengan gabungan itu demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu diputuskan oleh Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Perikatan Nasional hari ini.

    Katanya, mesyuarat itu membincangkan mengenai cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

    “Selaras dengan itu, mesyuarat bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan yang melibatkan perbincangan dengan parti-parti yang sehaluan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara,” kata kenyataan itu hari ini.

    Kenyataan itu dikeluarkan ketika Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berlangsung di Istana Negara pagi ini.

    Ia sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk merungkai kemelut pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15.

  • Penjilat ludah, ‘desperado’, oportunis dan pencatur licik pakat halang PN – Sanusi

    Penjilat ludah, ‘desperado’, oportunis dan pencatur licik pakat halang PN – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KETUA Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengingatkan semua pihak agar berpolitik secara bermaruah.

    Menurut Menteri Besar Kedah itu, ketika ini penjilat ludah, ‘desperado’, oportunis dan pencatur licik sedang berpakat untuk menghalang kemaraan Perikatan Nasional (PN) dengan pelbagai usaha dan taktik kotor.

    Begitu pun katanya, semua pihak harus meneguhkan pendirian dan mengukuhkan keyakinan terhadap PN selain melihat sejauh mana kumpulan-kumpulan yang berpakat itu mahu ‘pergi’.

    “Tsunami PRU-15 yang membentuk sokongan besar kepada PN telah membadai Malaysia, terbit daripada kemahuan dan kepercayaan rakyat Malaysia kepada pendekatan dan dasar parti politik yang bersih dan stabil untuk membentuk kerajaan baharu.

    “Konsep dan dasar PN dibesarkan lagi melalui persetujuan gabungan parti-parti politik yang diterajui gabungan ini untuk membawa citra Malaysia, bagi menubuhkan kerajaan baharu.

    “Hanya gabungan PN yang memiliki semua keupayaan untuk mengemudi negara tercinta ini, berasaskan daya kepimpinan dan rekod lampau,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook peribadinya, hari ini.

    Muhammad Sanusi menambah, kerajaan baharu ditawarkan PN adalah pemerintah yang prihatin selain pentadbiran bersih dan stabil.

    “PN sedang dipimpin oleh tokoh negara dan parti politik yang benar-benar prihatin, bersih dan stabil.
    Dalam kalangan pemimpin PN tiada kluster mahkamah atas tuduhan rasuah seperti yang ada dalam kalangan dua kelompok lain yang sedang berhempas pulas ingin merebut kuasa.

    “PN bebas dari ekstrimis kaum dan agama, jauh daripada pelampau liberalisme dan penganut pluralisme yang mencarik adat, norma, nilai dan budaya Malaysia,” katanya.

  • PM ke10: Hadi yakin PN masih di hadapan

    PM ke10: Hadi yakin PN masih di hadapan

    TAN Sri Abdul Hadi Awang percaya Perikatan Nasional (PN) masih di hadapan dalam pelantikan Perdana Menteri ke-10 sekali gus membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, gabungan itu sedang mengusahakan perkara itu dan meminta rakyat kekal bertenang.

    Malah menurut Presiden Pas itu, beliau yakin PN berada di pihak yang benar.

    “Kekal tenang. Kita (PN) sedang usahakan. Kita masih di hadapan.

    “Mereka merancang. Allah merancang. Kita di pihak yang benar. Insya-Allah kita terpelihara, negara terpelihara,” katanya menerusi catatan ringkas di Facebook, hari ini.

    Kenyataan itu dipercayai ada kaitan dengan keputusan UMNO untuk menyertai kerajaan perpaduan yang bukan diketuai PN.

    Hari ini, satu perbincangan khas Raja-Raja Melayu akan diadakan bagi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu berhubung pembentukan kerajaan baharu.

    PRU-15 pada 19 Nov berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

    Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi.

    Keputusan PRU15 menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi. 

  • 3 parti komponen BN buat undi tak percaya terhadap Zahid

    3 parti komponen BN buat undi tak percaya terhadap Zahid

    TIGA parti komponen Barisan Nasional (BN) didakwa membuat ketetapan undi tidak percaya kepada Pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Ia susulan tindakan Ahmad Zahid menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan sokongan 30 ahli Parlimen BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.

    Dalam surat yang tular di media sosial, tiga parti komponen itu iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mendakwa Ahmad Zahid mengkhianati keputusan Majlis Tertinggi BN yang bermesyuarat semalam supaya gabungan itu berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak menubuhkan kerajaan.

    Surat tersebut yang dihantar kepada Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir bertarikh hari ini turut mempunyai cop terima Ibu Pejabat BN.

    Menurut surat yang ditandatangani secara bersama tiga pemimpin komponen BN iaitu Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran dan Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, 10 akuan bersumpah (SD) yang telah dihantar kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah ditarik balik setelah keputusan Dewan Tertinggi BN dibuat.

    “Akan tetapi Ahmad Zahid telah menghantar surat kepada Istana Negara, tengah hari semalam setelah mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sebelah pagi.

    “Ini jelas mengkhianati parti BN dan pada masa yang sama telah menyembah maklum keputusan BN yang salah kepada Yang di-Pertuan Agong yang dianggap sebagai satu perbuatan menderhaka kepada Seri Paduka.

    “Kami meminta Ahmad Zahid berundur secara terhormat serta-merta dari jawatan Pengerusi BN dan digantikan oleh Timbalan Pengerusi iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan,” menurut surat tersebut.

    Menurut surat berkenaan, usaha mendesak Ahmad Zahid berundur juga telah diusulkan Vigneswaran dalam mesyuarat semalam.

    Bagaimanapun, surat tersebut mendakwa perjalanan mesyuarat terganggu apabila Ahmad Zahid membenarkan ahli-ahli Parlimen BN memasuki bilik mesyuarat walaupun mesyuarat Dewan Tertinggi BN masih belum selesai.

    “Kami akan memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi BN untuk mengambil tindakan tatatertib sekiranya Pengerusi BN enggan berundur secara terhormat, hari ini,” kata surat tersebut.

  • SD: ‘Nama besar’ UMNO, komponen BN antara 10 MP sokong Muhyiddin

    SD: ‘Nama besar’ UMNO, komponen BN antara 10 MP sokong Muhyiddin

    BEBERAPA pemimpin komponen UMNO dan Barisan Nasional (BN) antara 10 Ahli Parlimen gabungan itu yang menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, menurut sumber.

    Sepuluh Ahli Parlimen berkenaan, yang kini telah menarik sokongan daripada pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu antara lain dari Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Sabah.

    “Ada seorang pemimpin UMNO yang sangat lantang menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

    “Beliau mengetuai sembilan Ahli Parlimen lain menandatangani SD menyokong Muhyiddin itu. Antara mereka turut termasuk beberapa ‘nama besar’,” kata sumber itu kepada FMT.

    Bagaimanapun, sumber itu enggan mendedahkan lebih lanjut. Difahamkan, nama 10 Ahli Parlimen itu tersebar di media sosial hari ini.

    BN terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah.

    Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Presiden MIC SA Vigneswaran berkata 10 Ahli Parlimen BN telah menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

    Susulan itu, katanya, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengutus surat kepada Istana Negara menyatakan bahawa kesemua 30 Ahli Parlimen BN menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

    Portal itu turut melaporkan hanya 28 daripada 30 Ahli Parlimen BN telah menandatangani aku janji sebelum pilihan raya umum untuk memberi mandat kepada Zahid mengadakan perbincangan bersama mana-mana parti berhubung pembentukan kerajaan.

    BN kini dalam perbincangan dengan PH dan PN mengenai pembentukan kerajaan campuran.

  • Ahli Parlimen BN dengar cadangan PN di Hotel St Regis

    Ahli Parlimen BN dengar cadangan PN di Hotel St Regis

    AHLI Parlimen Barisan Nasional (BN) dilapor bertemu pemimpin Perikatan Nasional (PN) di Hotel St Regis untuk mendengar cadangan PN tentang kerajaan perpaduan.

    Free Malaysia Today yang memetik sumber berkata, langkah ini selaras dengan keputusan Dewan Tertinggi BN semalam.

    “Kami sudah dengar cadangan PH, sekarang kami bertemu PN untuk dengar cadangan mereka pula,” katanya.

    Terdahulu, Presiden Gerakan, Dominic Lau dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelihatan di hotel berkenaan.

    Turut dilaporkan, BN dititah Agong supaya mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan.

    Difahamkan pemimpin BN akan bertemu malam ini untuk membincangkan cadangan PH dan PN.