TAN Sri Abdul Hadi Awang percaya Perikatan Nasional (PN) masih di hadapan dalam pelantikan Perdana Menteri ke-10 sekali gus membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, gabungan itu sedang mengusahakan perkara itu dan meminta rakyat kekal bertenang.

Malah menurut Presiden Pas itu, beliau yakin PN berada di pihak yang benar.

“Kekal tenang. Kita (PN) sedang usahakan. Kita masih di hadapan.

“Mereka merancang. Allah merancang. Kita di pihak yang benar. Insya-Allah kita terpelihara, negara terpelihara,” katanya menerusi catatan ringkas di Facebook, hari ini.

Kenyataan itu dipercayai ada kaitan dengan keputusan UMNO untuk menyertai kerajaan perpaduan yang bukan diketuai PN.

Hari ini, satu perbincangan khas Raja-Raja Melayu akan diadakan bagi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu berhubung pembentukan kerajaan baharu.

PRU-15 pada 19 Nov berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi.

Keputusan PRU15 menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here