Tag: PRU-15

  • PRU-15: ‘Dah banjir macam mana nak mengundi?’

    PRU-15: ‘Dah banjir macam mana nak mengundi?’

    SETIAP kali apabila hujan berterusan, banjir besar terus menghantui penduduk sekitar Dengkil, Selangor.

    Bagi penduduk Kampung Chemperai, Shamsul Bahrin berkata, pernah suatu ketika penduduk berdepan kejadian banjir sebanyak 12 kali dalam tempoh 11 tahun akibat ban yang pecah.

    Menurutnya yang juga mangsa banjir, air mula naik mendadak pada 7 pagi Khamis menyebabkan kawasan rumah tenggelam.

    “Hujan berterusan malam tadi dan air mula naik pukul 2 pagi tapi hanya paras kaki, namun pada pukul 7 pagi, air naik dengan mendadak,” jelas Shamsul.

    Dia berkata ini merupakan kali ke-12 banjir berlaku sepanjang menetap di situ.

    “Saya duduk sini dah 11 tahun, tapi ini dah 12 kali terjadi. Banjir berpunca daripada air sungai dan ban yang pecah.

    “Barang-barang dalam rumah ni semua pakai buang, sebab tahu akan jadi banjir lagi.

    “Kalau dah banjir, macam mana nak mengundi?” katanya lapor Astro Awani.

    Menurut portal Jabatan Saliran dan Pengairan setakat pukul 10.30 pagi paras air Sungai Langat di Dengkil Sepang berada pada paras 8.4 meter iaitu paras bahaya.

  • Calon PN Tanah Merah nafi tawar duit buat pengundi luar

    Calon PN Tanah Merah nafi tawar duit buat pengundi luar

    TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menafikan dakwaan kononnya dia menawarkan RM350 hingga RM1,000 kepada pengundi luar yang pulang mengundi.

    Ikmal Hisham Abdul Aziz

    Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Tanah Merah itu mendakwa, perkara itu tular di media sosial khususnya aplikasi WhatsApp.

    Dakwaan yang mengatakan separuh bayaran iaitu RM500 akan dibuat di pejabatnya di Keramat dan bakinya di Tanah Merah adalah tidak benar.

    “Perkara itu tidak benar kerana tiada bayaran dibuat pun. Saya sendiripun terima macam-macam angka kononnya kita bayar kepada pengundi luar.

    “Itu semua usaha-usaha untuk memburukkan saya supaya orang menjadi marah, lebih-lebih lagi pengundi luar mulai pulang ke Kelantan,” katanya ketika ditemui media di Tanah Merah, lapor Malaysiakini.

    Ikmal Hisham berkata mengundi adalah tanggungjawab warganegara yang layak kepada tanah air.

    “Apa yang saya harapkan, ikhtiarkanlah pulang ke kawasan masing-masing dan buat pilihan yang dirasakan terbaik,” katanya.

    Ikmal Hisham berkata tersebar di media sosial kononnya dia ada menyediakan bayaran buat pengundi yang ingin pulang mengundi di Tanah Merah.

    Dia turut menerima pesanan berkenaan melalui aplikasi WhatsApp yang dikirim sahabatnya.

    Sementara itu, Ikmal Hisham mengakui dia ada berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung bantuan kepada pengundi luar.

    Katanya, SPR memaklumkan dibenarkan memberi bantuan namun tidak boleh menetapkan syarat kepada pengundi supaya mengundi parti tertentu.

    “Ianya sekadar bantuan wang tambang. Bagaimanapun kami belum membuat keputusan berhubung perkara itu,” katanya lagi.

  • Saringan ketat calon bukti kesungguhan PN mahu tadbir Malaysia dengan bersih

    Saringan ketat calon bukti kesungguhan PN mahu tadbir Malaysia dengan bersih

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa tiada parti lain yang lebih bersungguh untuk menampilkan barisan calon pemimpin yang bersih.

    PN membuktikannya dengan membuat saringan ketat terhadap calon yang mahu dipertandingkan seterusnya mengangkat sumpah untuk tidak terlibat dalam sebarang bentuk salah laku terutamanya rasuah.

    Justeru tegas Muhyiddin, rakyat tidak perlu ragu atau keliru lagi untuk memilih perwakilan mereka kerana PN menampilkan calon yang diyakini dapat memberi tumpuan penuh kepada khidmat kepada masyarakat.

    “Semua calon kita disaring. Pertama oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), kemudian PDRM (Polis Diraja Malaysia) berkenaan kes-kes jenayah.

    “Ketiga, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), kalau-kalau mereka ada hutang atau tak bayar cukai. Dan keempatnya (Jabatan) Insolvensi, selain daripada akhlak, pengalaman dan kelulusan yang turut diambil kira.

    “Jadi jangan bimbang untuk pilih calon kita,” ujarnya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

    Beliau yang juga calon PN Pagoh turut menjelaskan, ia bukan semata-mata meletakkan calon untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini tetapi keupayaan dan kewibawaan mereka untuk bekerja selepas itu.

    Muhyiddin menegaskan, PN tidak mahu mengulangi sejarah parti-parti lain yang dipalit skandal, sebaliknya mereka mahu menampilkan budi pekerti yang akan berkorban untuk mendengar suara rakyat dan membawanya ke Parlimen untuk dicari penyelesaian.

    “Bagi saya, itu penting. Bukan sekadar meletakkan calon, tetapi yang ada wibawa, kelayakan dan integriti. Itu asas kita,” tambahnya lapor BeritaBersatu.

  • Syed Saddiq doakan saya menang di Pagoh – Muhyiddin

    Syed Saddiq doakan saya menang di Pagoh – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui sehingga kini Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman masih berhubung dengannya kerana beliau dianggap sebagai ‘bapa’ dalam bidang politik.

    Menurut calon yang juga penyandang kerusi Parlimen Pagoh itu, Syed Saddiq ada menghantar mesej kepadanya melalui WhatsApp mendoakan kemenangannya di Pagoh.

    “Pasal dia lihat saya ini sebagai bapa sampai hari ini pun dia ada hantar WhatsApp doakan saya menang di Pagoh

    “Saya pun begitu juga nak doakan dia menang di Muar,” katanya semasa berucap di Ceramah Parlimen Muar di Padang Bukit Mor, Parit Jawa, malam tadi.

    Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, secara dasarnya beliau mahu calon PN Muar, Abdullah Husin menang Muar.

    “Bahasanya gitu. Tetapi ‘nawaitu’ kata menangkan Abdullah sebab PN. Tak apalah tak usah cerita,” katanya.

    Muhyiddin juga berkata, beliau yang membawa Syed Saddiq masuk menyertai politik semasa melantik menjadi Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Beliau akui Syed Saddiq merupakan seorang yang cerdik dan anak didiknya.

    “Syed Saddiq ini anak didik saya. Cerdik. Waktu awal-awal dulu dia tidak masuk politik pun.

    “Waktu saya tubuh Bersatu saya tengok anak ini bagus… saya kata datang sini, jangan pergi London dulu untuk belajar sana. Duduk sini dan saya nak lantik dia Ketua Pemuda Bersatu,” katanya.

    Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, selepas itu Syed Saddiq keluar Bersatu dan tubuh parti Muda.

    “Itu mukadimah permulaan (Syed Saddiq) masuk politik. Entah macam mana lepas itu macam-macam jadi dia terkeluar daripada Bersatu.

    “Dia kata nak tubuh parti Muda, dia tanya saya boleh tak tubuh. Pasal dia lihat saya ini sebagai bapa sampai hari ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Muhyiddin azam urus ekonomi negara secara terbaik jika dipilih jadi PM

    Muhyiddin azam urus ekonomi negara secara terbaik jika dipilih jadi PM

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau berazam menguruskan ekonomi negara secara terbaik jika Perikatan Nasional (PN) diberi mandat mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini , ketika negara dijangka berdepan kemelesetan ekonomi tahun hadapan.

    Menurut calon Perdana Menteri PN itu, beliau sudah membuktikan kemampuannya menguruskan negara dalam situasi sukar khasnya menangani krisis kesihatan dan krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19.

    Beliau yang juga Pengerusi perikatan Nasional (PN) berkata, hasil dari kemampuan beliau, penularan jangkitan Covid-19 hampir dilandaikan dan ekonomi negara kembali dibuka semula dengan rakyat menerima bantuan yang mencurah-curah.

    “Jadi kalau saya diberi ruang dan peluang (menjadi Perdana Menteri), dalam tempoh dua hingga tiga tahun, kita akan uruskan ekonomi secara terbaik dan melihat kesannya berdasarkan manifesto (PN BEST) yang telah dibentangkan,” katanya dalam sesi temubual bersama Astro AWANI.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin bagaimanapun menyerahkan soal pelantikan itu kepada Allah jika dipilih semula sebagai Perdana Menteri ketika Malaysia menurut pakar dijangka berdepan kemelesetan ekonomi global tahun hadapan.

    Untuk mendepani cabaran itu beliau berkata, Malaysia memerlukan pemimpin yang berkeupayaan berfikir di luar kotak dengan mengambil langkah cepat dan segera untuk menyelesaikan krisis berkenaan.

    “Jadi itu saya faham kerana saya sudah uruskan hal ini jadi saya minta sikit masa lagi untuk saya selesaikan kerja saya,” katanya.

  • PRU-15:PN sedia pertimbang kerjasama politik jika…

    PRU-15:PN sedia pertimbang kerjasama politik jika…

    PERIKATAN Nasional (PN) sedia mempertimbangkn langkah kerjasama dengan gabungan parti politik lain sekiranya tiada parti yang berjaya mendapat majoriti mudah 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika keadaan itu berlaku, PN akan akan mengadakan mesyuarat tergempar untuk memikirkan strategi atau langkah selanjutnya.

    Bagaimanapun jelas beliau, PN akan melihat haluan dan tujuan parti yang tidak bercanggah dengan dasar perjuangan mereka jika ingin bekerjasama.

    “Kalau kita fikir perlu gabungan, PN mempunyai sahabat di Sarawak seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sejak dahulu menyokong beliau membentuk kerajaan.

    “Dan (parti itu) tidak ada isu janggal ataupun hala tuju sama yang tidak bercanggah dengan dasar perjuangan kita sehingga kita perlu mengorbankan prinsip kita macam isu Islam dan Hak orang Melayu dan sebagainya.

    “Itu antara asas atau perkara yang akan kita ambil kira jika tinbul keadaan seperti itu,” katanya dalam sesi temubual bersama AstroAWANI.

    Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, ramai penganalisis politik serta pemerhati yang membuat perkiraan dan jangkaan angka parti yang bertanding dalam PRU-15 boleh mencapai majoriti, namun sebahagian besar tidak boleh mencapai majoriti.

    Namun kata Presiden Bersatu itu, apa yang perlu dilakukan oleh PN menjelang hari terakhir berkempen ialah berusaha bersungguh-sungguh dengan harapan akan berlaku peningkatan sokongan dalam bentuk gelombang dari orang Melayu.

    “Apa pun strategi kita sekarang ini adalah untuk usaha bersungguh-sungguh, dengan harapan ada satu gelombang.

    “Kalau gelombang di kalangan melayu itu kukuh dan kuat, dan sudah ada lihat tanda-tanda begitu, kemungkinan ia akan tercapai,” ujarnya.

  • PRU-15: Muhyiddin ulang penegasan PN tidak akan kerjasama mana-mana parti

    PRU-15: Muhyiddin ulang penegasan PN tidak akan kerjasama mana-mana parti

    TAN Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menegaskan Perikatan Nasional (PN) tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Beliau yang juga pengerusi gabunagn itu berkata, tiada kerjasama itu kerana berpegang pada prinsip bahawa PN ada kekuatan sendiri.

    “Kenapa nak gabung dengan pihak lain. Berbaki tiga hari lagi PRU yang agak kritikal menjadi penentu.

    “Saya mengharap atau menjangka akan ada satu bentuk gelombang kesedaran baru di kalangan pengundi terutama pengundi Melayu bahawa kita perlu bertindak sekarang,” katanya ketika ditemubual Sinar Live ‘Cukup-Cukuplah fitnah PN’ hari ini.

    Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, jika berlaku satu peningkatan gelombang peratusan sokongan Melayu dan orang Cina meningkat sedikit, PN boleh menang pada PRU-15.

    Beliau berharap sokongan Melayu akan meningkat sehingga 70 peratus kepada PN.

    Ini kerana dalam PN ada Bersatu dan Pas. Selain Gerakan, ini dua gabungan besar parti politik Melayu dan Islam.

    “Kalau situ tarikan terbesarnya dan kita dapat menarik sekurangnya 70 peratus dan yang sekarang hampir dekat 60 peratus dalam tempoh hari ke depan, saya fikir akan berlaku kawasan yang 50-50 akan ada peningkatan dari situ kita boleh menang,” katanya.

    Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata, PN tidak pernah memberi mandat kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk berunding dengan BN bagi membentuk kerajaan selepas PRU15.

    Beliau berkata, tujuan PN bertanding pada PRU15 bagi membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

    Pada Selasa, Takiyuddin berkata, kenyataannya berhubung PN dan BN dapat bergabung membentuk kerajaan selepas PRU15 diambil di luar konteks.

    Katanya, sebarang kenyataan berhubung kerjasama dengan BN tidak berbangkit dan tajuk laporan media juga mengelirukan pengundi.

  • Muhyiddin tegaskan hubungannya dengan pemimpin Pas baik, nafi PN bergolak

    Muhyiddin tegaskan hubungannya dengan pemimpin Pas baik, nafi PN bergolak

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menolak dakwaan kononnya teguran beliau kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan susulan kerjasama dengan Barisan (BN) menggambarkan bahawa gabungan itu sedang bergolak.

    Kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, hubungan antara pemimpin dalam parti komponen PN cukup utuh tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang sedang berpecah-belah menjelang PRU-15.

    “Tidak ada pergolakan dalam PN, dalam BN lagi teruk, malam nanti saya dengan tuan guru (Abdul Hadi Awang) akan kempen di Muar, kami tiada masalah, mereka nak kata macam mereka (BN), mereka banyak masalah perpecahan, hancur lebur, calon patut bertanding tak boleh bertanding tersingkir,” katanya kepada media selepas menghadiri program bersama sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Bukit Pasir hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa Pas sebagai parti besar dalam PN sepatutnya mempunyai pandangan sendiri dan ada hak bersuara dalam gabungan, termasuk menentukan kerjasama parti itu dengan parti atau gabungan lain selepas PRU-15.

    Muhyiddin berkata, pihak yang menuduh kononnya PN bergolak dibuat tanpa asas kukuh.

    “Kenyataan asal Takiyuddin tidak dipetik secara betul dan tepat (berhubung kerjasama dengan BN) dan Takiyuddin sudah betulkan, saya sudah betulkan, tuan guru Hadi pun sudah betulkan di mana pendirian kita ialah, PN dalam masa hadapi PRU-15 kita bertegas kita bertanding atas PN, saya tak fikir soal gabungan mana.

    “Kalau saya kata PN nak bergabung orang akan kata apa guna sokong PN dia nak masuk kerjasama dengan puak Zahid Hamidi kluster mahkamah, bodoh lah saya. Sebab itu kita ambil kenyataan sangat jelas kami bertanding atas PN, apa kita tawarkan dalam PN, apakah ada kaitan dengan BN, tak ada,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Takiyuddin sebelum ini mencetuskan perdebatan banyak pihak susulan kenyataannya bahawa PN sedia bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan, sebelum bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu tampil menafikannya sambil memaklumkan ucapan beliau dipetik di luar konteks.

    Susulan itu Hadi dan Muhyiddin tampil menjelaskan bahawa PN akan membentuk kerajaan secara solo dan tiada sebarang kerjasama dengan BN.

  • 150,000 pengundi baru beri komitmen sokong PN

    150,000 pengundi baru beri komitmen sokong PN

    LEBIH 150,000 pengundi berusia 18 hingga 25 tahun memberi komitmen menyokong Perikatan Nasional (PN) di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.

    Menurut Setiausaha Jabatan Pilihan Raya Pas negeri, Dr Wan Nik Wan Yusoff, mereka merupakan mahasiswa dan perantau anak Kelantan memberi komitmen untuk balik mengundi.

    Beliau berkata, peningkatan jumlah pengundi itu berlaku selepas kerajaan mewartakan pendaftaran automatik bagi warganegara berusia 18 tahun bermula tahun lalu.

    “Senarai daftar pemilih di Kelantan sebelum ini satu juta orang lebih, tetapi sekarang meningkat kepada 1.3 juta, ini bermakna tambahan 300,000 pengundi mewakili anak muda.

    “Ini merupakan hasil pendekatan kempen all out dalam media sosial, kita dapati anak muda di IPT dan perantau memberi komitmen untuk balik mengundi nanti,” katanya pada sidang media di Pusat Media PRU15 PAS Kelantan hari ini.

    Dr Wan Nik berkata, sebelum pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu kumpulan terbabit didapati membenci politik serta menyatakan tidak akan keluar mengundi.

    Katanya, sikap terbabit didapati sudah berubah di atas komitmen kerajaan negeri termasuk calon PN untuk meneruskan lagi agenda pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat.

    Menurutnya juga selepas PRU14 PN Kelantan menghantar 11 wakil ke Dewan Rakyat yang berjaya memainkan peranan membawa suara rakyat untuk membangunkan negeri ini.

    Beliau berkata, semua wakil rakyat, sebahagiannya dalam kerajaan banyak menyumbang kepada pembangunan negeri yang bersifat material dan spiritual.

    “Kita mahu meneruskan agenda pembangunan negeri melalui komitmen ahli-ahli parlimen dari Kelantan, di mana sebahagiannya berada dalam kerajaan di Putrajaya sebelum Dewan Rakyat dibubar.

    “Hasrat mereka (anak muda) untuk memastikan Kelantan berada dalam radar Putrajaya untuk memastikan tempoh 32 tahun lalu akan mencipta peluang lebih baik pada masa depan,” katanya, lapor Harakahdaily.

  • PRU-15: Bersaing dengan tiga calon lelaki bukan halangan buat Salamiah

    PRU-15: Bersaing dengan tiga calon lelaki bukan halangan buat Salamiah

    BERSAING dengan tiga calon lelaki di Parlimen Temerloh bukan halangan buat calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi itu, Salamiah Mohd Noor, 58, untuk meraih keyakinan pengundi.

    Sebaliknya anak jati Temerloh itu berkata, sepanjang tempoh kempen, beliau mendapat sambutan menggalakkan dari rakyat khususnya pengundi di Parlimen tersebut.

    “Syukur setakat hari ini, saya terima respons positif daripada pelbagai latar belakang masyarakat.

    “Sebenarnya masing-masing teruja dan dengan gelombang PN setakat ini, sebenarnya jadi calon wanita ada kelebihan, mereka nampak lebih yakin dengan kerana sifat wanita lebih prihatin dan berkredibiliti, telus,” katanya di Temerloh.

    Pada PRU-15 ini, Salamiah berdepan saingan empat penjuru ditentang calon Pakatan Harapan, Mohd. Hasbie Muda, calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Aminuddin Yahaya dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    Salamiah yang juga Ketua Dewan Muslimat Pas Pahang berharap pengundi di Parlimen Temerloh memberikan peluang kepadanya untuk mewakili rakyat di situ.

    Beliau berkata, potensi perusahaan ikan patin antara menjadi tumpuannya jika diberikan mandat dalam PRU15 ini.

    Menurutnya, selain perusahaan ikan patin, bekas pendidik itu ingin memperkasakan usahawan wanita di parlimen Temerloh.

    “Bila nak buat janji, kena selaras dengan manifesto PN, saya nampak sepanjang kempen, banyak wanita yang terlibat dalam perniagaan macam di Pekan Sehari, pasar malam jadi saya melihat peluang ini untuk memberikan ruang kepada wanita mengembangkan perniagaan menerusi manifesto PN, Dananita sebanyak RM20,000 iaitu tanpa faedah,” katanya.