TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau berazam menguruskan ekonomi negara secara terbaik jika Perikatan Nasional (PN) diberi mandat mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini , ketika negara dijangka berdepan kemelesetan ekonomi tahun hadapan.

Menurut calon Perdana Menteri PN itu, beliau sudah membuktikan kemampuannya menguruskan negara dalam situasi sukar khasnya menangani krisis kesihatan dan krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Beliau yang juga Pengerusi perikatan Nasional (PN) berkata, hasil dari kemampuan beliau, penularan jangkitan Covid-19 hampir dilandaikan dan ekonomi negara kembali dibuka semula dengan rakyat menerima bantuan yang mencurah-curah.

“Jadi kalau saya diberi ruang dan peluang (menjadi Perdana Menteri), dalam tempoh dua hingga tiga tahun, kita akan uruskan ekonomi secara terbaik dan melihat kesannya berdasarkan manifesto (PN BEST) yang telah dibentangkan,” katanya dalam sesi temubual bersama Astro AWANI.

Mengulas lanjut, Muhyiddin bagaimanapun menyerahkan soal pelantikan itu kepada Allah jika dipilih semula sebagai Perdana Menteri ketika Malaysia menurut pakar dijangka berdepan kemelesetan ekonomi global tahun hadapan.

Untuk mendepani cabaran itu beliau berkata, Malaysia memerlukan pemimpin yang berkeupayaan berfikir di luar kotak dengan mengambil langkah cepat dan segera untuk menyelesaikan krisis berkenaan.

“Jadi itu saya faham kerana saya sudah uruskan hal ini jadi saya minta sikit masa lagi untuk saya selesaikan kerja saya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here