PERIKATAN Nasional (PN) kini dalam peringkat akhir untuk menentukan kerusi yang akan dipertandingkan pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengagihan kerusi itu dijangka siap hujung minggu ini, setelah pihaknya mendapati ada beberapa kerusi yang mempunyai pertindihan antara parti komponen dalam PN.
“Kita hampir selesai tadi, tapi ada sedikit pertindihan kepentingan (kerusi) antara parti-parti dan kita dah beritahu pasukan perundingan akan selesaikannya.
“Ia (kerusi) belum muktamad hingga disahkan oleh pemimpin PN masing-masing di peringkat pusat. Saya rasa dalam jangka minggu ini, perkara ini akan selesai,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PN Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, di Muar hari ini.
Ditanya mengenai kerjasama PN dan Pakatan Harapan (PH), Muhyiddin berkata: “Dalam politik apa-apa sahaja boleh terjadi, setakat hari ini tidak ada apa lagi…tapi kalau ada, ia datang daripada pimpinan parti dan bukan saya sahaja yang boleh buat keputusan.” – BERNAMA
AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik menyifatkan laporan sebuah portal bahawa beliau akan dilantik sebagai calon Menteri Besar Johor sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai terlalu awal.
“Terlalu awal untuk bicara isu Menteri Besar. Fokus untuk memenangi PRN dahulu.
“Pelantikan Menteri Besar adalah kuasa mutlak Tuanku Sultan (Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar),” tulisnya ringkas dalamTwitter miliknya.
Beliau mendakwa ‘tidak mempunyai maklumat’ berhubung khabar angin itu sebaliknya hanya akan menurut arahan kepimpinan parti.
“Saya tiada info tentang apa yang diperkatakan (calon Menteri Besar). Saya hanya menurut arahan parti apapun keputusan kepimpinan,” ujar bekas Menteri Pendidikan itu.
Memetik laporan Astro Awni semalam, Maszlee telah disebut-sebut sebagai antara nama calon Menteri Besar Johor seandainya PH memenangi PRN dan beliau berkemungkinan besar akan ditempatkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, kerusi DUN Layang-layang dimenangi Datuk Onn Hafiz Ghazi menewaskan pencabarnya Murugan Muthu Samy (PH) dan Mohd Jubri Selamat(Pas) dengan majoriti tipis 364 undi.
PERTIKAMAN lidah dalam kalangan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) ekoran isu penggunaan logo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin hangat.
Terbaharu, Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berpandangan, logo PH tidak sepatutnya dianggap sebagai beban bagi gabungan pembangkang itu.
Sebaliknya, beliau mendakwa, PH sebenarnya sedang menanggung ‘biawak hidup’ dan gelaran itu ditujukannya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sebenarnya bukan PH yang banyak ‘baggage’ tetapi PH yang sedang menanggung ‘biawak hidup’ bernama Anwar Ibrahim yang senantiasa mengamalkan percaturan politik lapuk yang sudah tidak relevan,” katany dalam ciapan Twitter, hari ini.
Khairuddin turut memuatkan tangkap layar laporan Malaysiakini semalam bertajuk ‘PKR using own logo in Johor as Harapan’s has baggage’ yang menyiarkan kenyataan Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mempertahankan pendirian partinya.
Dalam laporan tersebut, Nik Nazmi berkata, walaupun terdapat pencapaian semasa era kerajaan PH dahulu, logo PH juga dikaitkan dengan banyak kekurangan.
Beliau juga percaya, logo PKR juga jauh lebih dikenali berbanding logo PH, yang merupakan faktor penting dalam kerusi separa luar bandar di mana PKR sering bertanding.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu menambah, logo PH tidak benar-benar membantu gabungan itu semasa PRN Melaka November lalu kerana ia tidak dikenali oleh pengundi.
Nik Nazmi berkata, logo PKR juga digunakan untuk kejayaan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sementara logo PH masih belum diuji secara meluas.
Semalam, Majlis Presiden PH bersetuju untuk DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menggunakan logo PH pada PRN Johor akan datang.
Selain itu, majlis berkenaan turut bersetuju untuk PKR menggunakan logonya sendiri dalam pilihan raya itu.
PARTI Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing akan bertanding 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Sementara DAP pula bertanding 16 kerusi dan perkara itu diputuskan menerusi Majlis Presiden PH dalam mesyuarat yang diadakan kelmarin.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, ketiga-tiga parti tersebut akan bertanding di kawasan campuran termasuk kerusi yang mempunyai majoriti satu kaum contohnya kawasan yang mempunyai ramai Melayu.
“Namun terdapat parti pembangkang lain yang bukan komponen PH mahu berbincang untuk bekerjasama dalam PRN Johor.
“Jika dilihat mampu membawa faktor kemenangan, perkara tersebut akan dipertimbangkan termasuk membabitkan pengagihan kerusi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program sarapan pagi bersama YB Mohd Sabu, pemimpin dan masyarakat sebelum mengagihkan sumbangan limau mandarin sempena Tahun Baharu Cina di Bandar Permas Jaya, Pasir Gudang, pada Khamis.
Turut hadir Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan yang juga Pengerusi Amanah Johor dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, hasil perbincangan akan diputuskan dalam tempoh sehari dua ini dan PH terbuka dalam hal tersebut.
“Antara parti yang dimaksudkan termasuklah Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). Senarai calon bagaimanapun masih dalam perbincangan dan belum dimuktamadkan buat waktu ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) masih belum menerima permohonan Perikatan Nasional (PN) untuk bekerjasama dalam PRN Johor.
Jelas Mohamad, setakat ini perkara tersebut masih tidak dibincangkan dalam Majlis Presiden PH.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tiada masalah untuk PKR menggunakan logo sendiri manakala Amanah dan DAP menggunakan logo PH sekali gus menafikan keputusan itu akan menjejaskan kemenangan.
Jelas beliau, semua pihak dalam PH menghormati keputusan tersebut dan penggunaan dua logo berasingan itu bukan sesuatu yang baru kerana pembangkang sudah berbuat demikian sebelum ini.
KERJASAMA politik antara Barisan Nasional (BN) dan PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dikaji dengan penuh penelitian, kata Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO bagaimanapun berkata, setakat ini, majoriti daripada kepimpinan di semua peringkat bahagian dan akar umbi mahukan supaya BN bersendirian di dalam pilihan raya berkenaan.
“Bagaimanapun, peringkat pemimpin tertinggi akan meneliti dengan sebaik-baiknya sebelum apa jua keputusan yang hendak dibuat, supaya apa yang diputuskan nanti, semata-mata akan mendatangkan kebaikan kepada BN,” katanya pada sidang media di Bangunan UMNO Johor di Johor Bahru hari ini.
Terdahulu, Mohamad menghadiri Majlis Pertemuan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO bersama MCA dan MIC Johor.
Isnin lepas, Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin dilaporkan akan berusaha untuk bertemu dengan pimpinan UMNO negeri dalam masa terdekat, bagi berbincang mengenai persefahaman dua parti itu dalam menghadapi PRN Johor atas semangat Muafakat Nasional (MN).
Ditanya mengenai kehadiran banyak parti politik yang akan menyertai PRN ini, sama ada akan memberi kelebihan atau kekurangan kepada BN, Mohamad berkata ‘lagi banyak lagi meriah’.
Ketika ditanya adakah dalam pertemuan Ahmad Zahid bersama MCA dan MIC Johor itu ada membincangkan mengenai pengagihan kerusi, beliau berkata ‘tidak ada dan belum lagi’.
“Kita tidak lagi sampai ke tahap berbincang tentang calon, kerana calon ini biarlah dilakukan dengan proses sebaik mungkin. Yang penting ialah kita nak cari formula macam mana hendak dapat meyakinkan pengundi-pengundi rakyat Johor, untuk berikan mandat semula kepada BN,” katanya.
Mengulas mengenai Majlis Pertemuan Pengerusi BN itu, Mohamad berkata gerak kerja secara bersepadu jentera BN dalam PRN Johor amat penting, bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya itu.
“Mana-mana pilihan raya, gerak kerja yang berfokus amat penting, ia bagi memastikan masing-masing tahu apa yang perlu dilakukan dan tidak ada kekeliruan sesama sendiri. Kerjasama antara parti dilihat sebagai satu gerakan kerja parti BN.
“Bukan bawa diri masing-masing UMNO dengan UMNO-nya, MCA dengan MCA-nya dan MIC dengan MIC-nya. Kita nak dilihat sebagai satu gerak jentera kerja parti yang besar…saya yakin jika ia dibuat dengan baik kita boleh mencapai kemenangan,” katanya. – BERNAMA
MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) yang bermesyuarat hari ini bersetuju untuk DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menggunakan logo PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Selain itu, majlis berkenaan turut bersetuju untuk PKR menggunakan logonya sendiri dalam pilihan raya itu.
Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, hari ini.
Dalam pada itu, kenyataan itu turut memaklumkan bahawa mesyuarat juga bersetuju untuk memuktamadkan keputusan agihan kerusi yang akan ditandingi oleh PKR, DAP dan Amanah selain akan meneruskan rundingan kerjasama dengan semua parti pembangkang termasuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
“Hal ini akan memperkukuh saingan dari blok pembangkang dalam mendepani pilihan raya negeri Johor yang akan datang,” menurut kenyataan itu.
Sabtu lepas (22 Jan), Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor.
Kerajaan Negeri Johor sebelum ini diterajui Barisan Nasional (BN) dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi) dan MIC (dua) serta disokong Bersatu (11) dan PAS (satu) manakala PH dengan 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).
Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dilaporkan berkata BN memerlukan mandat baharu daripada rakyat bagi meneruskan program-program rakyat, memandangkan majoriti tipis telah menyebabkan kerajaan negeri berjalan berdasarkan “ihsan pembangkang”. – BERNAMA
KETUA Bersatu Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang akan menjawab desas-desus beliau keluar parti dalam sidang media khas esok.
Memetik laporan BH, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu berkata, semua pihak diminta menunggu sidang media tersebut.
“Mana boleh beritahu dulu, tunggu esoklah. Jemput datang untuk buat liputan,” katanya ringkas.
Pada masa ini, sedang berlegar spekulasi mengenai Mazlan akan menyertai sebuah parti politik lain.
Khabar angin mengaitkan bekas Pengerusi Bersatu Johor itu bakal bertukar parti semakin hangat diperkatakan selepas media mendapat jemputan sidang media pengumuman khas esok.
Selain itu, dua lagi ADUN Bersatu difahamkan turut mengikut jejak langkah Mazlan dan menyertai majlis pengumuman itu esok.
Isnin lalu, Mazlan dilaporkan akan memutuskan masa depan karier politiknya dalam masa terdekat.
Beliau mendakwa tidak akan bertanding atas tiket Bersatu pada PRN kali ini, berikutan tidak sehaluan dengan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Bersatu Johor.
Sebelum itu, pada 20 Januari lalu pula, Mazlan dilaporkan bersedia mempertimbangkan untuk bersara daripada dunia politik sekiranya PRN diadakan.
Beliau sebelum ini, menafikan bakal menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan kepada PRN Johor diadakan.
AKAR umbi PKR menggesa agar calon-calon parti itu bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Memetik laporan Malaysiakini, perkara itu dinyatakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, hari ini.
“Kita zahirkan (dalam mesyuarat) tadi bahawa setelah pengalaman di Melaka, akar umbi PKR agak kuat meminta agar logo PKR digunakan,” katanya.
Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, DAP dan PAN mahu menggunakan logo PH.
“Pandangan kawan-kawan lain merasakan lebih sesuai (logo) PH. Jadi kita akan muktamadkan dalam dua hari lagi,” jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi PH memberitahu, gesaan akar umbi PKR itu hanya untuk kerusi-kerusi yang ditandingi calon parti tersebut sahaja.
Terdahulu, seorang pemimpin PH Johor menyuarakan harapan agar isu tersebut dapat diselesaikan dalam mesyuarat hari ini.
Ekoran pencapaian buruk PH dalam PRN Melaka pada November lalu – ketika itu menggunakan logo gabungan – PKR membangkitkan agar gabungan itu kembali menggunakan logo PKR dalam pilihan raya akan datang.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil ketika itu berkata, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi ketika PRN Melaka, antaranya untuk memperkenalkan calon-calon baharu dan lambang PH yang berbeza berbanding ketika pilihan raya umum (PRU) lalu.
Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke juga pernah mencadangkan yang PH tidak lagi perlu berpegang dengan keyakinan bahawa perlu satu logo tunggal untuk menang dalam pilihan raya.
PERBUATAN serang-menyerang antara ahli UMNO dan PAS dalam media sosial menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak menyumbang kepada persefahaman dan perpaduan ummah yang mahu dibina menerusi kerangka Muafakat Nasional (MN).
Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, mereka membangkitkan semula isu-isu lama pertembungan antara PAS dan UMNO selama 40 tahun sebelum 2018.
“Serang-menyerang ini tidak menyumbang kepada persefahaman dan perpaduan umat yang mahu kita bina.
“Ia tidak selaras dengan tuntutan al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas yang kita persetujui,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Status kerjasama antara PAS dan UMNO pada PRN Johor menjadi tanda tanya ekoran pendirian Barisan Nasional (BN) mahu bertanding secara solo tanpa berunding dengan parti-parti lain.
Walau bagaimanapun, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini berkata, perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti akan datang.
Selain itu, UMNO Kelantan juga telah mengumumkan tidak mahu meneruskan kerjasama dengan PAS di negeri itu.
Justeru, Mohd Khairuddin percaya, jalan perundingan antara parti adalah jalan penyelesaian yang perlu dibuat untuk memastikan kemenangan terbaik untuk politik Melayu Islam.
Beliau menambah, jika platform bersama gagal dicari untuk berpilihan raya, ia masih boleh diuruskan perundingan kerusi secara harmoni.
“Ia perlu dibuat dengan hati yang sejuk dan jiwa yang tulus tidak bermotifkan kuasa untuk kelompok sendiri semata-mata.
“Saya menyeru ahli kedua parti untuk menghayati perkara ini,” katanya.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu memberitahu, PAS masih berpendirian memperkasakan MN sebagai dasar semasa taawun siyasi parti.
Menurut beliau, dasar itu diputuskan oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat serta diluluskan oleh dua Muktamar Tahunan PAS pada 2018 dan 2019.
“Ia telah termenterai dalam bentuk perjanjian yang dipanggil Piagam MN yang dibuat antara PAS dan UMNO dengan ditandatangani oleh pimpinan dua parti disaksikan ribuan pimpinan tinggi dan pertengahan PAS dan UMNO dalam himpunan bersama pada 14 September 2019.
“Dalam teks perjanjian Piagam MN ini disebut “Asas rujukan persefahaman ini dan sebarang keraguan mengenainya adalah merujuk kepada sumber-sumber hukum berdasarkan al-Quran, al-Hadith, Ijma’ dan QIAS.”
“Ia bermaksud sebarang perselisihan yang timbul antara dua pihak perlu dirujuk kepada al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas yang juga menjadi dasar rujukan PAS,” jelasnya.
Mohd Khairuddin berkata, ia menepati maksud Piagam Madinah di zaman Rasulullah SAW yang menyebut” “Dan sesungguhnya kamu apa pun perselisihan dalam sesuatu perkara maka tempat kembali rujukannya ialah Allah dan Muhammad”.
UMNO akan memutuskan sama ada akan bekerjasama dengan PAS atau sebaliknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti tidak lama lagi.
Memetik laporan BH, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pucuk pimpinan parti mengambil maklum pendirian Barisan Nasional (BN) Johor yang lebih cenderung untuk bertanding secara solo tanpa kerjasama dengan PAS atau parti lain.
Menurut beliau, pandangan yang disuarakan Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad, akan diambil kira sebelum pimpinan tertinggi parti memutuskan pendekatan UMNO dalam PRN Johor.
“Itu (kerjasama Muafakat Nasional (MN) dalam PRN Johor) belum kita putuskan, tapi mengikut apa yang disebut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang juga Pengerusi BN Johor, mereka lebih cenderung untuk berseorangan.
“Jadi kita akan bincang di peringkat jawatankuasa pusat dan akan putuskan dalam mesyuarat khas MKT mengenai bagaimana cara kita hadapi PRN Johor,” katanya.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Mohamad berkata, UMNO menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor.
“Minimum UMNO sahaja, 42 kerusi daripada 56,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Pada 22 Jan, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN.
Semalam, dilaporkan BN Johor bercadang bertanding tanpa kerjasama parti lain di luar gabungan itu kerana yakin menang dua pertiga daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN itu nanti.
Ditanya sama ada kes mahkamah melibatkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjejaskan peluang parti itu untuk memenangi PRN Johor, Mohamad berkata, beliau yakin ia tidak akan menjadi faktor utama kepada keputusan para pengundi.
“Kami mengharapkan yang terbaik, apa yang kami lakukan adalah demi kebaikan parti dan negara,” katanya.
Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah, pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).
Mengenai pelaksanaan Undi18, Mohamad berkata parti itu perlu bekerja keras untuk mendapatkan sokongan pada PRN itu.