Tag: PRN Johor

  • PRN Johor: PN pertaruh 41 muka baharu

    PRN Johor: PN pertaruh 41 muka baharu

    PERIKATAN Nasional (PN) mempertaruh 41 muka baharu sebagai calon gabungan politik itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN yang bakal bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hanya mengekalkan 15 calon yang pernah bertanding pada pilihan raya sebelum ini.

    Beliau berkata, calon parti Bersatu adalah seramai 33 orang manakala PAS 15 dan Gerakan (lapan), dengan 50 daripadanya adalah lelaki.

    “Calon paling muda berusia 31 tahun… jadi usia yang muda itu agak lebih ramai berbanding yang lain. Saya anggap ini adalah satu pasukan yang kuat, ada pengalaman dan berkelayakan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Memperkenal Calon PN PRN Johor di Johor Bahru hari ini.

    Mengulas lanjut, Presiden Bersatu itu berkata, calon PN adalah terdiri daripada pelbagai latar belakang iaitu usahawan, ahli perniagaan, bekas guru, pensyarah, peguam, akauntan dan pengamal perubatan.

    Antara muka baharu yang ditampilkan oleh PN ialah bekas Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri iaitu Zulkifli Bujang yang dicalonkan di DUN Larkin manakala bekas pemain bola sepak Johor, Mohd Faizal Asmar pula dicalonkan bagi kerusi DUN Penawar.

    Penyandang DUN Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal turut diumum mempertahan kerusi itu manakala Senator Datuk Isa Ab Hamid dicalon untuk bertanding di DUN Benut.

    Mengenai calon Menteri Besar bagi PN, Muhyiddin berkata, kemungkinan besar individu tersebut adalah daripada Bersatu namun pengumuman berhubung perkara itu akan dibuat pada masa yang sesuai.

    Beliau juga berkata, PN akan melancarkan manifesto bagi PRN Johor pada 1 Mac ini.

    Semalam, Muhyiddin berkata, PN akan mengetengahkan manifesto yang bersifat realistik antaranya menumpukan isu kos sara hidup rakyat dan kenaikan harga barang selain memberi penekanan terhadap isu pendidikan berkualiti dan mewujudkan peluang pekerjaan. – BERNAMA

  • Usah persoal kelayakan calon, pastikan PN menang

    Usah persoal kelayakan calon, pastikan PN menang

    JENTERA dan penyokong Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dinasihatkan supaya tidak mempersoalkan tentang kelayakan calon-calon yang dipilih untuk mewakili parti.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata, langkah seterusnya yang patut diambil adalah memastikan kemenangan semua calon PN.

    Menurut beliau, apa yang lebih penting adalah penerimaan terhadap calon-calon PN.

    “Jangan membazirkan masa kita membicarakan layak dan tidak layak, mereka ini sudah disaring.

    “Kita gerakkan usaha kita, ini masa depan kita, masa depan negara, masa depan Johor.

    “Kalau ada masalah timbul sehingga tidak bergeraknya bilik gerakan, ini petanda tidak baik.

    “Tetapi selepas umumkan kita gerakkan terus, jangan bicarakan muka handsome tak handsome, layak atau layak dan macam-macam persoalan ditimbulkan sehingga sebahagian kita rasa agak kecewa,” katanya ketika berucap pada majlis memperkenalkan calon-calon PN bagi PRN Johor di Skudai, hari ini.

    Seramai 41 daripada 56 calon yang ditampilkan PN adalah muka baharu.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengingatkan bahawa kemenangan mana-mana calon sama ada dari Bersatu, PAS atau Gerakan adalah kemenangan bersama bagi PN.

    “Apabila kita berada dalam satu saf, saf kita adalah PN tak kira siapa tetapi datang daripada wadah PN kita nak tentukan setiap calon yang terpilih kita terima dengan hati yang terbuka.

    “Ini penting kerana tempoh masa untuk berkempen terbatas.

    “Kita tak ada tempoh masa setahun atau bulan, celik pejam dah selesai pilihan raya,” jelasnya sambil meminta agar sokongan padu diberi kepada semua calon PN.

  • PRN Johor: Muhyiddin umum senarai 56 calon PN

    PRN Johor: Muhyiddin umum senarai 56 calon PN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan senarai calon boleh menang gabungan tersebut bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Skudai, hari ini.

    Berikut adalah nama-nama calon yang diumumkan:

    N01 Buloh Kasap   : Norazman Md Diah 

    N02 Jementah        : Maimunah Safwah Musa 

    N03 Pemanis          : Uzzair Ismail 

    N04 Kemelah          : Normala Sudirman

    N05 Tenang            : Ahmad Humaizi Udin @ Uzir

    N06 Bekok              : Tan Lek Khang

    N07 Bukit Kepong   : Datuk Dr Sahruddin Jamal

    N08 Bukit Pasir       : Muhd Nur Iqbal Abd Razak

    N09 Gambir            : Mohd Solihan Badri

    N10 Tangkak           : Dr Chong Fat Full

    N11 Serom              : Rahmat Daud

    N12 Bentayan         : Tan Kok Hong

    N13 Simpang Jeram: Zarul Salleh

    N14 Bukit Naning    : Mahadzir Abu Said

    N15 Maharani         : Abd Aziz Talib

    N16 Sungai Balang : Zainudin Sayuti

    N17 Semerah          : Datuk Ariss Samsudin

    N18 Sri Medan        : Othman Kepol

    N19 Yong Peng       : Yong Fui Ling

    N20 Semarang        : Shazani A. Hamid

    N21 Parit Yaani       : Ahmad Nawfal Mahfodz

    N22 Parit Raja        : Zulkifli Mat Daud

    N23 Penggaram     : Sia Wee Yet

    N24 Senggarang    : Khairul Faizi Ahmad Kamil

    N25 Rengit             : Mohammad Huzair Lajis

    N26 Machap           : Azlisham Azahar

    N27 Layang-layang : K. Alagathiran 

    N28 Mengkibol        : Wong Chan Giap

    N29 Mahkota           : Mohamad Nor Lingan

    N30 Paloh               : V. Selvendran 

    N31 Kahang            : Daud Yusof

    N32 Endau              : Alwiyah Talib

    N33 Tenggaroh       : Roslan Nikmat

    N34 Panti                : Hasan Rasid

    N35 Pasir Raja        : Jawahir Husein

    N36 Sediili               : Mohd Hasnolhadi Mohd Sebalas

    N37 Johor Lama     : Mohamad Alias Rasman

    N38 Penawar          : Mohd Faizal Asmar

    N39 Tanjung Surat  : Selamat Ujud

    N40 Tiram               : Dr Karim Deraman

    N41 Puteri Wangsa : Loh Kah Yong

    N42 Johor Jaya       : Datuk Dr Ker Ching Sheng

    N43 Permas            : Tazul Arifin Nasri

    N44 Larkin              : Zulkifli Bujang

    N45 Stulang            : Yap Chiang Youis

    N46 Perling             : Khoo Siaw Lee

    N47 Kempas           : Nur Faizal Abdullah

    N48 Skudai             : Khoo Kong Ek

    N49 Kota Iskandar  : Samsudin Ismail

    N50 Bukit Permai    : Tosrin Jarvanthi

    N51 Bukit Batu        : Tan Heng Choon

    N52 Senai               : Yeo Kwee Kwang

    N53 Benut               : Senator Datuk Isa Ab. Hamid

    N54 Pulai Sebatang : Abdullah Husin

    N55 Pekan Nanas   : Datuk Tan Chin Hock

    N56 Kukup              : Mahathir Iskandar Muhammad

  • Calon Muda mohon maaf, ralat profilnya dikaitkan dengan 2 animasi popular

    Calon Muda mohon maaf, ralat profilnya dikaitkan dengan 2 animasi popular

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Johor, Mohd Azrol Ab Rahani ralat dan kesal apabila profilnya sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai dikaitkan dengan animasi Anak-Anak Sidek dan Keluang Man.

    Azrol berkata tidak pernah mendakwa sebagai tulang belakang untuk kedua-dua animasi popular tersebut.

    “Kerdil betul bila saya dengar ada petikan saya ini tulang belakang. Bila saya tengok kembali video pengumuman, tak ada pun sebut menjadi tulang belakang.

    “Mungkin ada ralat waktu profil saya diumumkan. Cuma saya nak sebut, waktu kegemilangan animasi tempatan, saya adalah antara insan yang bertuah merasai pengalaman di dunia animasi, cuma bukan lagenda Anak-Anak Sidek dan Keluang Man,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Isnin lalu, media melaporkan Azrol yang sebelum ini merupakan antara tulang belakang pasukan animasi Anak-anak Sidek dan Keluang Man berazam mewujudkan peluang pekerjaan bagi generasi muda Felda jika menang dalam PRN Johor.

    Persatuan Animasi Malaysia (Animas) kemudian menafikan Azrol sebagai tulang belakang malah memaklumkan pernah terlibat dalam dua animasi popular tersebut.

    Menerusi profil dikeluarkan Muda dalam bentuk kenyataan akhbar semasa pengumuman beliau sebagai calon DUN Bukit Permai pada Isnin, memaklumkan Azrol merupakan sebahagian daripada kumpulan yang bertanggungjawab mencipta animasi Keluang Man dan Anak-Anak Sidek.

    Malah semasa majlis mengumumkan beliau sebagai calon di kerusi tersebut, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut memaklumkan Azrol pernah terlibat dengan dua animasi tersebut.

    Mengulas lanjut, Azrol sedar soal hak cipta sesuatu jenama termasuk dalam bidang animasi perlu dipelihara dengan baik.

    “Saya tidak ada niat untuk melafazkan atau melakukan perkara perkara yang mengguris hati rakan-rakan komuniti animasi tempatan. Untuk itu, saya mohon maaf atas perkara ini. Saya sedia ditegur. Kalau ada masa untuk bertemu, saya boleh bertemu kawan-kawan juga.

    “Tapi saya memang terlibat dalam pembikinan animasi tempatan waktu berada di Makmur Megah. Waktu itu, saya antara yang terlibat dengan team animasi ‘Wise Mise’ sebagai animator, syarikat ini juga yang menerbitkan animasi Mergastuah dan Tok Tam,” ujarnya.

  • Muda, PKR bertembung, berebut kerusi DUN Larkin

    Muda, PKR bertembung, berebut kerusi DUN Larkin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERSEFAHAman antara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) gagal dicapai apabila kedua-dua parti akan berebut Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Menurut Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pertindahan kerusi itu ‘tidak dapat dielakkan’ dan parti itu meletakkan Ketua Penerangan Muda Johor, Rasid Abu Bakar di kerusi DUN Larkin.

    Jelas Ahli Parlimen Muar itu, Muda tidak mengumumkan calon mereka di DUN Larkin lebih awal kerana menghormati proses rundingan kerusi antara parti tersebut dan PKR sebelum ini.

    “Berhubung kerjasama dengan PKR, kita sudah cuba menjalankan rundingan demi rundingan, kita juga hormat PKR kerana telah umum calon di kesemua 20 kerusi mereka.

    “Kita tidak umum kerusi awal kerana menghormati proses rundingan tersebut dan masih cuba guna saluran lain untuk pastikan tidak ada pertindihan kerusi.

    “Jika ada sekalipun kita sudah cuba mengurangkan pertindihan kerusi semaksimum mungkin dan apabila berlaku (pertindihan), kita akan serahkan kepada pengundi untuk membuat keputusan terbaik,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas memperkenalkan tiga lagi calon Muda di Taman Eco Cascadia, Johor Bahru, hari ini.

    Selain Rasid, 28, Muda mengumumkan Setiausaha Jawatankuasa Muda Johor, Fikri Musa, 28, akan bertanding di kerusi DUN Parit Raja dan Timbalan Pengerusi Muda Johor R Sangaran, 32, di DUN Machap.

    Mengulas lanjut, Syed Saddiq menjelaskan tidak boleh bercakap bagi pihak PKR sama ada kemungkinan akan berlaku sabotaj semasa kempen.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Muar itu masih berteka-teki berhubung sama ada turut bertanding dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.

    “Buat masa ini, hanya tujuh kerusi yang akan ditandingi Muda dalam PRN Johor dan kita mahu menampilkan calon-calon Muda lain yang jauh lebih baik dan layak daripada saya.

    “Sekali lagi saya tegaskan Muda bukan Syed Saddiq sebaliknya suara anak muda tempatan yang mempunyai hati untuk berkhidmat kepada rakyat negeri ini,” jelasnya.

  • Muda umum calon kerusi DUN Parit Raja, Machap, Larkin

    Muda umum calon kerusi DUN Parit Raja, Machap, Larkin

    Oleh ABU UBIDILLAH RAHMAN

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hari ini mengumumkan tiga lagi calon mereka yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

    Fikri Musa, 28, akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja manakala R. Sangaran (DUN Machap) dan Rasid Abu Bakar, 28, (DUN Larkin).

    Pengumuman tersebut dibuat Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu majlis khas di Taman Eco Cascadia, Johor Bahru, hari ini.

    Sebelum ini Muda sudah mengumumkan empat calon bagi kawasan DUN Puteri Wangsa, Bukit Permai, Bukit Kepong dan Tenang.

    Berita selanjutnya menyusul

  • PBM tanding kerusi Puteri Wangsa, Tiram, Stulang, Maharani

    PBM tanding kerusi Puteri Wangsa, Tiram, Stulang, Maharani

    PARTI Bangsa Malaysia (PBM) hari ini mengumumkan bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Pengarah Pilihan Raya PBM, Haniza Mohd Talha berkata, kerusi-kerusi tersebut adalah Puteri Wangsa, Tiram, Stulang, Maharani.

    Menurut beliau, calon-calon PBM yang akan bertanding adalah Muhammad Hanis Asmui Md Salleh (N15: Maharani), Mohd Azmi Ali (N40: Tiram), Steven Choong Shiau Yoon (N41: Puteri Wangsa) dan Muhammad Saiful Bahari Sahari (N45: Stulang).

    Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

    Parti Bangsa Malaysia telah memutuskan untuk meletakkan calon di empat kawasan DUN dalam PRN Johor yang akan diadakan pada 12 Mac 2022.

    Keputusan awal adalah untuk Parti Bangsa Malaysia bertanding di dua kawasan DUN.

    Bagaimanapun, kajian penilaian lapangan dijalankan Jabatan Pilihan raya telah mengenal pasti dua lagi kawasan DUN yang berpontensi untuk Parti Bangsa Malaysia memperolehi kemenangan.

    Empat kawasan tersebut adalah DUN Puteri Wangsa dan DUN Tiram dalam Parlimen Tebrau, DUN Stulang (Johor Bahru) dan DUN Maharani (Muar).

    Calon-calon yang akan bertanding adalah Muhammad Hanis Asmui Bin Md Salleh (N15: Maharani), Mohd Azmi Bin Ali (N40: Tiram), Steven Choong Shiau Yoon (N41: Puteri Wangsa) dan Muhammad Saiful Bahari Bin Sahari (N45: Stulang).

    Calon-calon Parti Bangsa Malaysia akan membawa aspirasi Agenda The Great Reset 2030 yang terdiri daripada enam tunjang utama iaitu mengeratkan perpaduan antara kaum, meningkatkan penglibatan golongan muda, memperkasakan peranan wanita, pembangunan ekonomi negara, menjana perkembangan sains dan teknologi dan peningkatan kualiti pendidikan di Malaysia.

    PRN Johor merupakan pilihan raya pertama yang disertai oleh Parti Bangsa Malaysia, yang mana ia merupakan medan untuk mengetengahkan iltizam parti dalam usaha membina Malaysia yang lebih inklusif dan progresif untuk masa hadapan.

  • UMNO-Pas perlu henti serangan, musuh utama adalah PH – Hashim

    UMNO-Pas perlu henti serangan, musuh utama adalah PH – Hashim

    PEMIMPIN UMNO dan Pas dinasihatkan supaya berhenti melakukan serangan terhadap sesama sendiri lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

    Teguran itu disuarakan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin seperti dilaporkan portal Malaysiakini.

    Hashim turut mengingatkan pemimpin UMNO dan Pas supaya menyedari bahawa musuh sebenar kedua-dua parti itu adalah Pakatan Harapan (PH).

    Beliau turut berharap semangat Muafakat Nasional (MN) dapat dipertahankan demi kepentingan ummah.

    “Nampaknya pertembungan tiga penjuru tak dapat dielakkan. Saya seru kedua-dua pihak iaitu Pas dan UMNO henti serangan antara dua parti.

    “Fikir panjang, kita ke hadapan, kita perlu berpadu. Kalau ada sedikit terluka, lupakan,” katanya.

    Mengulas lanjut, Hashim berkata, pemimpin Pas dan UMNO perlu menganggap PRN Johor hanyalah ‘pertandingan adik-beradik’ yang tidak perlu membawa kepada permusuhan.

    “Anggaplah ini pertandingan adik-beradik, musuh utama kita ada di hadapan.

    “Hentilah serang menyerang sesama sendiri,” jelas beliau.

    28 Januari lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menganggap tindakan UMNO yang seolah-olah mengetepikan Pas umpama itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh.

    “Kita bukan nak ajar itik berenang tapi nak selamatkan itik yang patah kaki pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    “Malangnya, bila kaki dah sembuh, dia nak berenang sendiri, nak tinggal kita. Jadi, itu satu benda tak bermoral, tak betul,” katanya.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sewaktu berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) menyindir dengan mengesyorkan Abdul Hadi menukar kerjaya daripada ahli politik kepada ahli zoologi.

  • Bekas MB yakin pertahan Bukit Kepong

    Bekas MB yakin pertahan Bukit Kepong

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    BEKAS Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahrudin Jamal yakin akan dicalonkan semula di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Mac ini.

    Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor itu berkata, beliau turut berkeyakinan untuk mempertahankan kerusi tersebut yang dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

    “Inshaallah saya cukup yakin bahawa saya merupakan antara calon yang akan bertanding di Bukit Kepong. Jika saya calon di sana saya yakin kekal boleh menang di sana

    “Ini kerana sepanjang empat tahun berkhidmat di Bukit Kepong, banyak pembangunan dan program-program saya jalankan berjaya.

    “Kebanyakkan masjid dan surau serta semua jenis sekolah saya santuni di kawasan itu terutama untuk membangunkan institusi pendidikan yang penting kepada masyarakat Pagoh khususnya,” katanya.

    Beliau terdahulu menyertai majlis ramah mesra PN bersama pengamal media di Iskandar Puteri, malam tadi yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Md. Nasir Hashim.

    Pada PRU-14, Dr. Sahruddin menang dengan majoriti 1,271 undi setelah mendapat 11,665 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Noor Taib (10,392) dan calon Pas, Iqbal Razak (1,761).

    Beliau menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri Johor pada 9 Mei 2018.

    Pada 14 April 2019, pengamal perubatan yang kini berusia 47 tahun mengangkat sumpah selaku Menteri Besar Johor ke-17 bagi menggantikan Allahyarham Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan.

    Sementara itu, ketika ditanya berkaitan PN menamakan beliau sebagai calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu membentuk kerajaan, Dr. Sahrudin berkata, belum masanya beliau mengulas perkara itu.

    “Saya tak mahu komen isu calon Menteri Besar, saya mudah dan ikut pandangan atau pun arahan pucuk pimpinan parti serta PN,” katanya.

  • Anak tempatan keutamaan PN sebagai calon

    Anak tempatan keutamaan PN sebagai calon

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PERIKATAN Nasional (PN) sehabis mungkin akan memastikan anak tempatan diberi keutamaan untuk menjadi calon gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bulan depan.

    Setiausaha PN Johor, Datuk Dr. Sahrudin Jamal berkata, mereka akan menampilkan calon yang hampir seimbang merangkumi golongan berpengalaman, orang muda serta wakil wanita.

    Kata beliau, jumlah berapa ramai muka baharu yang akan dinamakan PN hanya akan diketahui pada majlis pengumuman calon oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada esok petang.

    “Memang kita akui apabila banyak calon dan parti bertanding akan ada kesan kepada PN tetapi saya yakin pengundi akan pilih calon terbaik di kawasan mereka.

    “Kami di PN ada gabungan anak muda, orang berpengalaman dan di PN kita ingin pastikan setiap calon kita merupakan anak tempatan dan mereka yang betul-betul boleh berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis ramah mesra PN bersama pengamal media di Iskandar Puteri, malam tadi yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Md. Nasir Hashim.

    Tambah Dr. Sahrudin, sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, PN sudah bersiap sedia untuk terlibat dalam PRN Johor dengan meletak calon di kesemua 56 kerusi DUN.

    Katanya lagi, gabungan yang dibentuk antara parti Bersatu, Pas dan Gerakan itu turut yakin boleh menang dan membentuk kerajaan negeri.

    “Apatah lagi kami di PN pernah memerintah, kami ada bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Besar.

    “Dengan pengalaman yang ada Inshaallah kita yakin dapat mentadbir Johor dan seterusnya Malaysia dengan lebih baik, sempurna, integriti, amanah dan jujur,” katanya.

    Pada masa sama, penyandang kerusi Bukit Kepong itu berkata, PN turut menjalankan beberapa program yang khusus untuk mendekati pengundi baharu termasuk golongan muda yang berjumlah lebih 700,000.

    “Undi muda memang ramai, PN buat beberapa program untuk mendekati mereka. Anak-anak muda ini sebenarnya mereka mahu atau mementingkan pemimpin yang integriti dan boleh bekerja untuk mereka,” katanya.