Oleh RAHIMI MOHAMAD

BEKAS Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahrudin Jamal yakin akan dicalonkan semula di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Mac ini.

Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor itu berkata, beliau turut berkeyakinan untuk mempertahankan kerusi tersebut yang dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Inshaallah saya cukup yakin bahawa saya merupakan antara calon yang akan bertanding di Bukit Kepong. Jika saya calon di sana saya yakin kekal boleh menang di sana

“Ini kerana sepanjang empat tahun berkhidmat di Bukit Kepong, banyak pembangunan dan program-program saya jalankan berjaya.

“Kebanyakkan masjid dan surau serta semua jenis sekolah saya santuni di kawasan itu terutama untuk membangunkan institusi pendidikan yang penting kepada masyarakat Pagoh khususnya,” katanya.

Beliau terdahulu menyertai majlis ramah mesra PN bersama pengamal media di Iskandar Puteri, malam tadi yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Md. Nasir Hashim.

Pada PRU-14, Dr. Sahruddin menang dengan majoriti 1,271 undi setelah mendapat 11,665 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Noor Taib (10,392) dan calon Pas, Iqbal Razak (1,761).

Beliau menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri Johor pada 9 Mei 2018.

Pada 14 April 2019, pengamal perubatan yang kini berusia 47 tahun mengangkat sumpah selaku Menteri Besar Johor ke-17 bagi menggantikan Allahyarham Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan.

Sementara itu, ketika ditanya berkaitan PN menamakan beliau sebagai calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu membentuk kerajaan, Dr. Sahrudin berkata, belum masanya beliau mengulas perkara itu.

“Saya tak mahu komen isu calon Menteri Besar, saya mudah dan ikut pandangan atau pun arahan pucuk pimpinan parti serta PN,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here