Tag: PRN Johor

  • Pas ada strategi menang kerusi PRN Johor – Idris

    Pas ada strategi menang kerusi PRN Johor – Idris

    PAS mempunyai strategi tersendiri untuk memenangi semua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Naib Presiden PAS Senator Datuk Idris Ahmad berkata parti itu yakin dapat memenangi semua kerusi itu, berdasarkan strategi berkenaan.

    “Pas ada strategi sendiri…Jentera kita sedang bekerja keras di lapangan bagi membolehkan calon-calon PAS yang bertanding, mampu menyumbangkan kemenangan dalam PRN Johor.

    “Tidak bolehlah beritahu apa rahsia strategi Pas. Kalau beritahu strategi nanti jadi tragedi,” katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Kawasan Bukit Gantang 2022 kepada 50 pelajar, hari ini.

    Katanya parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada PRN Johor, turut saling bekerjasama dengan baik bagi memastikan kerusi yang ditandingi itu dapat dimenangi, selain PAS mempunyai rahsia strategi gerak kerja yang sendiri.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor, manakala pengundian awal pada 8 Mac. – Bernama

  • Calon PKR di Bukit Batu positif Covid-19

    Calon PKR di Bukit Batu positif Covid-19

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern hari ini disahkan positif Covid-19 setelah menjalani Ujian Rapid Antigen (RTK).

    Sehubungan itu beliau memohon maaf kerana terpaksa membatalkan segala perancangan program yang telah diaturkan.

    “Walau bagaimanapun, pasukan kempen saya akan meneruskan kesemua aktiviti yang telah dirancang, demi warga DUN Bukit Batu.

    “Saya sendiri akan meneruskan aktiviti kempen secara ‘online’ dan digital, termasuk melalui WhatsApp, Facebook dan saluran media sosial yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau memohon sesiapa yang bertemu dengannya secara fizikal beberapa hari lalu supaya turut menjalankan ujian pengesanan dan pengesahan Covid-19.

    Sen Sern akan menjalani kuarantin kendiri mengikut protokol kesihatan yang digariskan Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Sama-sama lah kita berdoa agar kesemua mereka yang sedang mengalami Covid-19 diberikan kesembuhan segera serta kekuatan buat petugas barisan hadapan KKM yang terus menanggung bebanan dalam menguruskan wabak ini.

    “Saya ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku,” katanya.

  • Calon PN berhasrat ubah wajah Semarang

    Calon PN berhasrat ubah wajah Semarang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang, Shazani A. Hamid berhasrat mengubah masa depan Semarang jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Menurut Shazani, antara misinya memastikan anak muda terus kekal di pekan Ayer Hitam kerana ramai yang berhijrah untuk mencari rezeki.

    Beliau berpandangan bahawa perlunya lebih banyak peluang pekerjaan dibuka khususnya kepada anak muda di pekan Ayer Hitam.

    Selain itu katanya, jika diberi peluang menjadi wakil rakyat akan cuba menyelesaikan masalah kehidupan masyarakat di Semarang.

    “Kami juga melihat peluang pendidikan institut pengajian tinggi di DUN Semarang adalah tidak mustahil memandangkan Ayer Hitam adalah merupakan laluan kawasan tumpuan di Johor.

    “Bukan itu saja, kami merasakan bahawa pentingnya dalam membangunkan dan memajukan pusat-pusat rekreasi atau riadah di Ayer Hitam.

    “Pada masa yang sama, kami berpendapat perlunya lebih banyak peluang penempatan yang mampu milik bagi anak muda yang mahu memulakan hidup baharu dan juga masyarakat golongan pertengahan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

    Di samping itu beliau melihat terdapat peluang lebih besar dalam bidang pertanian dan produk pertanian berpotensi dijual dalam talian.

    Beliau berkata, hasrat menubuhkan koperasi berasaskan pertanian dan hub pertanian di DUN Semarang dapat memberi manfaat kepada peningkatan ekonomi di Ayer Hitam.

    “Namun begitu, sejak kebelakangan ini iaitu kira-kira 20 tahun saya melihat Ayer Hitam ini agak tertinggal dalam arus kemodenan atau kemajuan mereka jika dibandingkan dengan jiran sebelah seperti di Parit Raja dan juga Simpang Renggam.

    “Semua objektif ini akan kami usahakan dan memastikan keberhasilan misi ini dilancarkan,” katanya.

  • Zuraida gesa pengundi beri peluang kepada calon wanita

    Zuraida gesa pengundi beri peluang kepada calon wanita

    PEMILIHAN lebih ramai calon wanita sebagai wakil rakyat, membolehkan lebih banyak isu berkaitan kaum itu dan keluarga dibincangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

    Presiden Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (COMWEL), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pada masa sama akan membolehkan lebih banyak polisi berkaitan dapat digubal dengan lebih berkesan.

    Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi itu berkata, selain itu akan membolehkan lebih banyak polisi berkaitan dapat digubal dengan lebih berkesan.

    “Walaupun jumlah calon wanita hanyalah 15.5 peratus daripada jumlah calon yang bertanding, namun, pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diharap dapat memberi peluang kepada calon-calon berkenaan untuk menang di kawasan-kawasan yang ditandingi.

    “Seramai 37 wanita daripada 239 calon telah dicalonkan untuk bertanding di Pilihan Raya Negeri Johor 2022. Angka ini adalah bertambah daripada 28 orang calon wanita pada pilihan raya negeri yang lalu.

    “Untuk mencapai 30 peratus wanita dalam Dewan Undangan Negeri, sekurang-kurangnya 17 orang wanita perlu menang di kawasan-kawasan mereka,” katanya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada Astro Awani, hari ini.

    Ahli Parlimen Ampang itu pada masa sama mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) kerana telah mencalonkan jumlah wanita yang tertinggi di kalangan parti-parti yang bertanding iaitu seramai 14 orang.

    Bagi parti-parti yang tidak mempunyai begitu ramai calon wanita pula, Zuraida berkata, beliau berharap pimpinan parti-parti tersebut akan berusaha lagi untuk membangunkan pemimpin-pemimpin wanita mereka.

    “Bagi pihak COMWEL, saya juga mengucapkan tahniah dan semoga berjaya kepada kesemua calon wanita ini dan berharap mereka akan membawa perubahan positif kepada rakyat sekiranya mereka berjaya menjadi wakil rakyat nanti,” katanya.

  • Hasnolhadi aktif santuni masyarakat sejak umur 15 tahun

    Hasnolhadi aktif santuni masyarakat sejak umur 15 tahun

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili, Mohd Hasnolhadi Mohd Sebalas, dari Kampung Simpang dan Rangkaian dekat Sedili di Kota Tinggi, menggunakan sebahagian besar masanya sejak berusia 15 tahun dengan menyantuni belia dan masyarakat.

    Lagipun, pemuda yang dikenali sebagai Abang Hasnol ini bukan orang asing bagi penduduk Sedili kerana datang dari keluarga yang darah dagingnya komited berkhidmat untuk masyarakat.

    Apa tidaknya, semua tujuh beradik lelaki keluarga ini terlibat dengan persatuan belia, kebajikan dan kemasyarakatan, politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    Realiti ini suatu yang hebat bagi keluarga Hasnolhadi. Namun ini tidak pasti sama ada ia secara kebetulan atau tidak memandangkan bapanya, Mohd Sebalas Mohd, 74, atau Tok Mat Sebalas adalah mantan ketua kampung.

    Hasnolhadi terlibat dengan politik apabila mulai giat menyertai kumpulan sokongan kepada program belia dan kemasyarakatan di Sedili seawal usia 15 tahun. Hari ini, anak muda berusia 35 tahun itu adalah Ketua Armada Bahagian Kota Tinggi.

    hasnolhadi sedili

    Ketika ini, Hasnolhadi terlibat dengan 12 NGO di DUN Sedili, daerah Kota Tinggi serta peringkat Johor termasuk menerajui beberapa badan yang beliau tubuhkan sendiri antaranya Kelab Usahawan Anak Tanjung (KUAT).

    Pencalonan Hasnolhadi sekali gus telah merealisasikan impian penduduk Sedili untuk melihat anak tempatan mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

    “Tak pernah ada calon dari Sedili untuk jadi wakil rakyat. Ini kali pertama dan saya memohon sokongan penuh dari seluruh pengundi Sedili untuk membuktikan anak Sedili mampu menjadi wakil mereka.

    “Saya sudah ada pelan untuk membawa pembangunan yang mampu membuka peluang pekerjaan kepada penduduk DUN Sedili selain meningkat ekonomi dan pendapatan peniaga kecil dan pengusaha perusahaan mikro dan kecil (PMK), operator chalet dan homestay mahupun komuniti nelayan tempatan.

    “Beberapa projek pembangunan dan penyediaan infrastruktur juga akan saya teruskan daripada kepemimpinan PN sebelum ini,” katanya.

    Dengan sentimen pengundi DUN Sedili yang mahu wakil mereka dari kalangan anak tempatan, calon lawan dari Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang dikatakan dari luar, berdepan dengan laluan sukar untuk menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada 12 Mac ini.

    Apatah lagi, bekas ADUN Sedili, Rasman Ithnain telah berkhidmat dengan cemerlang dengan membawa pelbagai pembangunan, infrastruktur serta kemudahan awam.

    Terbaharu, beliau telah melunaskan fasa pertama beberapa projek pembangunan antaranya, pembinaan jalan menghubungkan dari Gugusan Waha ke pekan Sedili serta kesinambungan kepada usaha menyusun dan membangunkan semula Pekan Sedili yang dilakukan mulai 2018.

  • Nawfal bakal tamatkan dominasi Amanah di Parit Yaani

    Nawfal bakal tamatkan dominasi Amanah di Parit Yaani

    BAHANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih belum terasa di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani.

    Setakat petang ini, perang bendera antara parti-parti yang bertanding masih belum rancak. Baru sedikit yang dipacakkan di simpang jalan dan bilik gerakan pusat daerah mengundi (PDM) parti.

    Sembang-sembang di kedai kopi pun tidak banyak yang berkisar tentang pilihan raya atau politik. Mungkin juga penduduk di Parit Yaani ada lebih banyak perkara yang difikirkan lebih penting daripada PRN Johor yang dicetuskan UMNO.

    Sikap mereka itu tidak menghairankan kerana apa yang lebih mustahak bagi rakyat adalah meneruskan kehidupan agar kembali seperti biasa selepas krisis pandemik COVID-19 mula reda.

    Malangnya sikap tamak kuasa pemimpin-pemimpin UMNO telah menjerumuskan rakyat Johor dalam kancah politik tidak berkesudahan.

    Tidak hairanlah apabila penduduk Parit Yaani seolah-olah tidak begitu teruja dengan PRN Johor yang bakal menentukan siapakah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bakal dilantik mewakili mereka.

    nawfal mahfodz

    Kemungkinan besar Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan tidak akan dipilih semula ekoran prestasi buruk rejim Pakatan Harapan (PH) semasa menjadi kerajaan dahulu.

    Satu-satunya alternatif terbaik bagi menamatkan kerjaya Aminolhuda sebagai wakil rakyat ialah calon Perikatan Nasional (PN) iaitu Ahmad Nawfal Mahfodz.

    Anak kepada tokoh ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed itu merupakan tokoh yang tidak asing lagi dalam kalangan penduduk di Parit Yaani.

    Selain memegang jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, beliau turut diberi kepercayaan menggalas tugas Ketua Pemuda PN Johor.

    Ahmad Nawfal juga ialah Penasihat Sri Gading Sejahtera dan Timbalan Mudir Maahad Tahfiz Al-Muhammadi.

    Lulusan ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Pemasaran) Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu mempunyai ketrampilan dan ketokohan untuk memacu pembangunan di sekitar kawasan Parit Yaani yang berpotensi untuk dimajukan khususnya dalam bidang pertanian.

    Sememangnya, harapan tinggi diletakkan pada bahu Ahmad Nawfal, 38, untuk menyumbangkan kerusi Parit Yaani kepada PN.

    Tentang dua lagi calon yang lain iaitu Mohd Ridhauddin Mohd Tahir (Pejuang) dan Mohamad Najib Samuri (BN-UMNO), lupakan sahaja mereka.

  • Pengundi muda jangan lepaskan peluang pilih pemimpin

    Pengundi muda jangan lepaskan peluang pilih pemimpin

    PENGUNDI muda atau pengundi kali pertama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dinasihatkan supaya membuat keputusan secara bijak dalam memilih pemimpin dan tidak bersikap emosional secara keterlaluan.

    Beberapa pemimpin tempatan dan orang ramai yang ditemui SatuBerita mengakui, agak sukar menilai trend sikap golongan muda ini, tetapi berharap mereka dapat menunaikan tanggungjawab kepada negara melalui kertas undi.

    Mengulas perkara itu, calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Senggarang, Khairul Faizi Ahmad Kamil, berkata keinginan mereka berbeza mengikut tahap usia masing-masing.

    Khairul Faizi Ahmad Kamil

    “Isu ini sangat subjektif, kerana tiada siapa yang boleh memberikan jawapan tuntas kehendak orang muda. Apatah lagi mereka pertama kali mengundi, sudah tentunya mereka akan dijadikan bahan kajian akan datang.

    “Keinginan mereka tidak sama dengan kita atau generasi berumur 20-an, 30-an, semuanya berbeza. Majoritinya adalah golongan lepasan sekolah berusia 18,19 atay 200 tahun.

    “Jika kita ditadirkan berada di tempat mereka untuk mengundi pun, tentunya kita tak terpikir sangat soal nak pilih pemimpin, bahkan soal nak pilih pasangan pun belum tentu lagi.

    “Jadi, di sinilah terletaknya peranan semua calon untuk memahami apa yang pengundi muda nak,” katanya yang sudah pun mempunyai idea tersendiri untuk memenangi hati golongan berkenaan dan menyeru mereka supaya tidak melepaskan peluang untuk memilih.

    Walaupun tidak mendedahkan pendekatan yang akan digunakan, Khairul Faizi yakin, pihak yang betul-betul berjaya memahami kehendak pengundi 18 tahun ke atas ini, mereka akan berjaya menarik sokongan meraih undi.

    Hakikat sama diakui seorang lagi calon PN, Ronald Sia Wee Kit yang bertanding di kerusi Penggaram, Batu Pahat dengan menekankan golongan muda ini perlu mengundi dengan pemikiran rasional.

    Ronald Sia Wee Kit

    “Mengundilah dengan pemikiran rasional, kena fikir betul-betul. Jangan buang kertas undi dengan emosi. Kertas undi akan menetapkan masa depan kamu semua.

    “Mereka yang sudah boleh (layak) mengundi akan menentukan masa hadapan mereka di Johor,” katanya yang bertekad mahu terus menasihatkan, mendorong golongan muda ini supaya keluar mengundi pada 12 Mac nanti.

    Bagi calon PN untuk kerusi Simpang Jeram, Zarul Salleh, beliau mahukan golongan muda itu sedar, inilah masanya untuk mereka menggunkan kuasa memilih pemimpin yang bersih dan tidak bermasalah.

    Zarul Salleh

    “Semua itu termasuklah di Simpang Jeram sendiri. Di Johor kita tahu bahawa ada 70,000 pengundi muda. Kami mengharapkan adik-adik dari usia 18 hingga 20 tahun untuk keluar mengundi.

    “Untuk memilih pemimpin di dalam kelas pun, kita cari yang baik dan lebih pandai. Itulah yang kita kena buat untuk memilih pemimpin dalam peringkat daerah atau DUN ini, iaitu orang yang berketerampilan, yang baik, yang boleh membantu kita dalam masa ke semasa,” katanya.

    Seorang bakal pengundi pertama kali, Khairul Nazmi, 21, turut mengharapkan rakan seusianya yang sudah layak mengundi untuk menunaikan amanat memilih pemimpin pada PRN Johor.

    “PRN Johor kali ini lain sikit (berbeza) kerana umur 18 tahun akan mengundi buat pertama kali. Saya pun pertama kali akan mengundi untuk PRN kali ini.

    “Jadi saya menyeru untuk anak-anak muda yang kali pertama mengundi, kita keluarlah mengundi sebab inilah penentu masa hadapan dan ini juga hak kita untuk memilih pemimpin yang betul untuk masyarakat. Diharapkan yang berada di luar bandar, di Kuala Lumpur, Shah Alam, Selangor boleh balik untuk mengundi,” katanya.

    Namun, pada masa sama, Khairul turut mengingatkan semua yang keluar mengundi supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengekang penularan wabak Covid-19. 

  • Zulkifli ada kekuatan tersendiri tewaskan 5 calon lain DUN Larkin

    Zulkifli ada kekuatan tersendiri tewaskan 5 calon lain DUN Larkin

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Zulkifli Bujang mempunyai kekuatan tersendiri untuk menewaskan lima calon lain.

    Seperti yang dijelaskan beliau kepada FMT, pengundi seharusnya menilai potensinya untuk berkhidmat dengan baik sebagai wakiol rakyat berdasarkan faktor itu.

    Beliau yang juga seorang bekas wartawan kanan berharap rakyat tidak menilainya sebagai bekas Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Selain berkhidmat dengan Hamzah, Zulkifli mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pentadbiran kerajaan khususnya di Johor.

    Malah, beliau pernah bertugas sebagai pegawai salah seorang Menteri Besar Johor.

    “Jangan lihat siapa majikan saya semata-mata tetapi pertimbangkan juga pengalaman saya dalam bidang pentadbiran kerajaan,” jelasnya.

    Zulkifli, 44, merupakan lulusan Sarjana Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM).

    Zulkifli dijangka menjadi pilihan pengundi di DUN Larkin sekali gus mampu menewaskan calon-calon lain iaitu Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Pejuang), Muhammad Rasid Abu Bakar (MUDA), Dr Zamil Najwah Arbain (PKR), Norramadan Buan (Bebas) dan Mohd Hairi Mad Shah (BN-UMNO).

  • Patuhi arahan parti dalam apa jua situasi termasuk tidak dicalonkan

    Patuhi arahan parti dalam apa jua situasi termasuk tidak dicalonkan

    AHLI Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali mahukan setiap ahli Pas perlu mematuhi arahan yang ditetapkan parti dalam apa jua situasi kecuali bercanggah dengan Islam.

    “Seseorang ahli yang bertindak melanggar arahan boleh menyebabkan keahlian mereka terlucut.

    “Itu disiplin seorang ahli Pas, akibat tidak mengikut arahan parti terlucut keahlian,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai membalas hantaran Facebook calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir, Najib Lep yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Najib yang merupakan calon Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) merupakan satu-satunya wakil rakyat parti berkenaan sebelum DUN dibubarkan pada 22 Januari lalu sekali gus memberi laluan kepada pelaksanaan PRN Johor.

    Pada Hari Penamaan Calon PRN Johor bagi kerusi DUN Bukit Pasir, Najib akan menentang Mohd Akhiri Mahmood (Pejuang), Mohamad Fazli Mohamad Salleh (BN), Elia Nadira Sabudin (PH), Muhd Nur Iqbal Abd Razak (PN) dan Johar Siraj (Bebas).

    Mohd Khairuddin pada masa sama berkata, pimpinan Pas juga perlu mengambil pendekatan muhasabah bagi mengenal pasti punca berlakunya perkara sedemikian.

    “Ia sebagai pengajaran dan sempadan kecualilah parti tidak pernah merasa kerugian dan kehilangan seorang ahli.

    “Percaturan politik dalaman mungkin menjadi sebab di saat ukhuwah dan semangat kekeluargaan tidak menjadi wadah penyelesaian,” jelasnya.

  • BN cetus PRN kerana mahu menang sendirian di Johor

    BN cetus PRN kerana mahu menang sendirian di Johor

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor sengaja dicetuskan oleh Barisan Nasional (BN) dengan matlamat untuk mereka menang secara bersendirian di negeri itu.

    Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, BN kemudiannya mahu pula mengadakan PRU untuk mengambil kuasa bagi diri mereka semata-mata.

    “Itulah tujuan sebenar BN buat PRN di Johor, kerana nak menang secara sendirian.

    “Kemudian mereka nak PRU diadakan untuk ambil kuasa itu, untuk BN saja. Saya tak berapa sukalah semua itu dan saya dah cakap di Johor, tak mahu ulang dah,” katanya.

    Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah di Dataran Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

    Beliau diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa BN memilik peluang cerah meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya Johor berjaya kembali kepada gabungan itu pada 12 Mac nanti.

    Menurut Najib, PRN Johor penting kerana ia akan menjadi titik perubahan kepada BN dan memberi petunjuk sama ada gabungan itu mampu memenangi PRU-15 dengan bertanding solo.

    Mengulas mengenai kekuatan calon-calon PN di Johor, Muhammad Sanusi berkata mereka yang diketengahkan itu dilihat kebanyakannya lebih muda daripadanya dan diliha ‘energetik’ bagi memimpin generasi muda.

    “Saya ingat ini satu trend yang sangat baik. Kita ada keperluan untuk orang tua memberi pandangan, pedoman dan nasihat kepada orang muda tetapi kita perlu lebih ramai orang muda untuk memimpin generasi sekarang serta generasi akan datang,” katanya.

    Sungguh pun begitu, Muhammad Sanusi mengakui agak sukar untuk meramal peluang mana-mana parti bertanding bagi menguasai Johor.

    “Rakyat dah matang, orang dah terbuka. Semua orang tahu apa yang berlaku dan rakyat diberi peluang melalui PRN ini untuk memilih kerajaan yang dirasakan mampu membawa Johor lebih maju.

    “Saya serah kepada rakyat Johor untuk membuat pilihan yang terbaik bersandarkan ruang terhidang di depan mereka,” katanya.