Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang, Shazani A. Hamid berhasrat mengubah masa depan Semarang jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut Shazani, antara misinya memastikan anak muda terus kekal di pekan Ayer Hitam kerana ramai yang berhijrah untuk mencari rezeki.

Beliau berpandangan bahawa perlunya lebih banyak peluang pekerjaan dibuka khususnya kepada anak muda di pekan Ayer Hitam.

Selain itu katanya, jika diberi peluang menjadi wakil rakyat akan cuba menyelesaikan masalah kehidupan masyarakat di Semarang.

“Kami juga melihat peluang pendidikan institut pengajian tinggi di DUN Semarang adalah tidak mustahil memandangkan Ayer Hitam adalah merupakan laluan kawasan tumpuan di Johor.

“Bukan itu saja, kami merasakan bahawa pentingnya dalam membangunkan dan memajukan pusat-pusat rekreasi atau riadah di Ayer Hitam.

“Pada masa yang sama, kami berpendapat perlunya lebih banyak peluang penempatan yang mampu milik bagi anak muda yang mahu memulakan hidup baharu dan juga masyarakat golongan pertengahan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Di samping itu beliau melihat terdapat peluang lebih besar dalam bidang pertanian dan produk pertanian berpotensi dijual dalam talian.

Beliau berkata, hasrat menubuhkan koperasi berasaskan pertanian dan hub pertanian di DUN Semarang dapat memberi manfaat kepada peningkatan ekonomi di Ayer Hitam.

“Namun begitu, sejak kebelakangan ini iaitu kira-kira 20 tahun saya melihat Ayer Hitam ini agak tertinggal dalam arus kemodenan atau kemajuan mereka jika dibandingkan dengan jiran sebelah seperti di Parit Raja dan juga Simpang Renggam.

“Semua objektif ini akan kami usahakan dan memastikan keberhasilan misi ini dilancarkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here