Tag: port dickson

  • 3 maut nahas dua kenderaan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson

    3 maut nahas dua kenderaan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson

    TIGA termasuk seorang remaja maut manakala empat cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di KM 20.8 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) menghala ke Telok Kemang, Port Dickson, di sini hari ini.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu melibatkan kereta Toyota Camry dinaiki enam individu berusia 16 hingga 51 tahun dan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun.

    Beliau berkata kesemua yang maut adalah penumpang Toyota Camry iaitu R. Mogana, 35, M. Pangaja Valli, 51, dan S. Jagannatth, 16.

    “Kemalangan berlaku apabila kesemua penumpang serta pemandu Toyota Camry yang berasal dari Ampang, Selangor itu dalam perjalanan ke sebuah kuil di Batu 5, Jalan Pantai, Port Dickson manakala Toyota Hilux itu menuju ke Taman Intan Perdana untuk menyiapkan projek perumahan.

    “Sebaik tiba di lokasi, pacuan empat roda itu dipercayai melanggar belakang kereta terbabit menyebabkan tiga penumpang belakangnya tersepit dan maut di tempat kejadian dengan tiga yang lain mengalami patah tangan kiri serta tulang rusuk. Pemandu Toyota Hilux pula cedera ringan,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata kesemua mangsa dibawa ke hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

    Aidi Sham berkata berdasarkan ujian saringan, pemandu pacuan empat roda itu didapati bebas daripada alkohol dan dadah, namun beliau ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Rani Kulup bertanding PRU-15 di Port Dickson

    Rani Kulup bertanding PRU-15 di Port Dickson

    AKTIVIS masyarakat, Abdul Rani Kulup Abdullah mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Parlimen Port Dickson mewakili Parti Barisan Penyatuan Nasional (BPN).

    Abdul Rani, 67, atau popular dengan panggilan Ayahanda dijangka berdepan saingan sengit daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mewakili Pakatan Harapan (PH) dan pelakon dan pengarah, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri mewakili Gerakan Tanah Air (GTA).

    Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) membuat keputusan menyertai politik selepas 22 tahun berjuang membawa suara rakyat melalui platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    Menurutnya, hasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sudah lama sejak PRU-14 lalu.

    “Port Dickson adalah Bandar Tentera Darat dan saya mahu di sini juga wujudnya Kampung Tentera Darat kerana di sini lahirnya pahlawan negara.

    “Kalau ikutkan hati, saya mahu bertanding di semua kerusi parlimen namun saya perlu bermula di sini,” katanya dalam satu sidang media petang tadi, lapor Harian Metro.

    Katanya, parti BPN juga sudah mengumumkan akan bertanding di semua kerusi parlimen.

    “Saya bekas tentera yang berpencen sejak 1995 selepas berkhidmat selama 22 tahun dan saya percaya boleh membantu bukan saja warga tentera tetapi juga orang awam.

    “Selama ini saya banyak bergerak mewakili NGO berjumpa wakil rakyat untuk membantu orang ramai dan kini sampailah waktunya saya berkhidmat sebagai wakil rakyat,” katanya.

    Abdul Rani berkata, tujuannya masuk politik bukanlah untuk bersaing dengan sesiapa atau parti politik tetapi hanya mahu berbakti kepada masyarakat.

    “Sebelum ini saya berjumpa orang ramai di bawah pokok dan jujurnya saya ikhlas memperjuangkan nasib masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

    “Port Dickson sudah dikenali sebagai Bandar Tentera Darat dan saya percaya semua warga tentera akan menganggap Port Dickson adalah ‘kampung’ mereka,” katanya.

    Menurutnya, beliau amat berharap agar pengundi di Port Dickson memberinya peluang untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat secara sah di sini.

    “Saya akan berkampung di Port Dickson sebaik penamaan calon pada 5 November ini sehingga hari terakhir pengundian nanti.

    “Kalau boleh, pengundi berilah peluang untuk saya berkhidmat kerana saya pasti banyak perkara yang saya boleh bantu masyarakat melalui sidang Parlimen,” katanya.

    Beliau berkata, ramai yang curiga peluangnya menang kerana kerusi Parlimen Port Dickson adalah kerusi panas.

    “Saya tidak peduli siapa lawan saya atau parti politik mana tetapi yang pasti, saya mahu menawarkan diri berkhidmat sebagai wakil rakyat.

    “Dalam tentera saya sudah berkhidmat selama 22 tahun dan pangkat terakhir ialah Rejimen Sarjan Mejar (RSM) yang pastinya dapat membantu dalam mentadbir sebaik mungkin,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan BPN adalah parti politik baharu ditubuhkan oleh sekumpulan ahli perniagaan dan bertanding di 160 kerusi parlimen pada PRU-15.

    Presidennya, Datuk Ibrahim Yahaya berkata, kebanyakan kerusi itu terletak di Semenanjung manakala yang lain di Sabah dan Sarawak.

  • Belum tentu Anwar pertahan kerusi Parlimen Port Dickson

    Belum tentu Anwar pertahan kerusi Parlimen Port Dickson

    PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, soal sama ada beliau akan mempertahan kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atau tidak masih belum diputuskan lagi.

    Ketua Pembangkang itu berkata buat masa ini, tumpuan adalah kepada pemilihan PKR.

    “Mengenai soal bertanding di sini, saya belum membuat keputusan lagi,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan mesra di Bazar Ramadan di Batu 4 di Port Dickson hari ini.

    Beliau juga berkata belum ada sebarang keputusan untuk menamakan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai calon parti itu di kerusi Parlimen Port Dickson pada PRU-15.

    “Belum ada apa-apa keputusan dan tak perlu buat andaian. Ini masa pemilihan parti dan bukan pilihan raya, justeru ia tiada kaitan, yang menang kemungkinan akan jadi calon dan yang tak menang pun kemungkinan jadi calon PRU,” katanya.

    Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan Aminuddin untuk merebut jawatan Ketua Cabang PKR Port Dickson pada pemilihan parti yang dilihat sebagai laluan bertanding di kerusi Parlimen itu pada PRU15.

    Beliau turut mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin bertanding pada pemilihan PKR kali ini.

    “Bagi saya, siapa nak bertanding tiada masalah dan saya katakan ‘okey’ pada semua. Siapa nak bertanding dalam lima penjuru, semua saya kata okey dan silakan,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan seramai 46 calon akan bertanding bagi merebut sembilan jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat, Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat dan Majlis Pimpinan Wanita Pusat pada Pemilihan PKR 2022. – BERNAMA

  • Puting beliung ‘gerunkan’ penduduk Taman Bagan Kurnia

    Puting beliung ‘gerunkan’ penduduk Taman Bagan Kurnia

    PENDUDUK Taman Bagan Kurnia, Kuala Lukut di Port Dickson melalui detik cemas apabila puting beliung dengan bunyi yang menakutkan membadai kawasan perumahan itu pagi tadi.

    Menceritakan situasi itu, Ardila Alia Mohd Ali, 22, berkata, kejadian tersebut yang berlaku kira-kira jam 10.30 pagi tadi, merupakan pengalaman pertamanya sejak hampir lima tahun tinggal di kawasan itu.

    Menurut anak sulung daripada tujuh adik-beradik itu, ketika kejadian beliau sedang keluar membeli sarapan, namun terpaksa berpatah balik kerana melihat atap rumah tercabut dan terbang berpusing di udara.

    “Kejadian puting beliung ini sangat menakutkan, pertama kali saya lihat serpihan atap berterbangan di udara dengan angin yang kuat, ketika itu saya bersama adik-adik di rumah, ibu keluar membawa salah seorang adik saya untuk suntikan vaksin COVID-19,” katanya kepada Bernama.

    Kesan puting beliung yang melanda Taman Bagan Kurnia, Kuala Lukut, Port Dickson, hari ini. – Gambar: Bernama

    Pelajar Universiti Malaysia Kelantan itu berkata akibat bencana itu, khemah bersaiz 20×20 kaki yang dipasang di hadapan rumah untuk berniaga mengalami kerosakan, selain atap rumah turut tercabut.

    Sementara itu, seorang pekerja swasta Noorsila Abdul Jali, 37, berkata bencana itu menyebabkan sengkuap atau awning rumahnya mengalami kerosakan yang teruk.

    Katanya puting beliung itu berlaku dalam tempoh kurang daripada 15 minit namun amat menggerunkan.

    “Dalam tempoh seminggu dua ini memang hujan lebat dan angin kuat berlaku dan akibat kejadian ini juga, serpihan atap kilang berhampiran iaitu kira-kira 60 meter dari kawasan perumahan ini turut berterbangan,” katanya.

    Dalam pada itu, Adilah Mohd Yunus, 44, berkata ibu mentuanya Siti Mariam Abu, 86, mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas siling rumah mereka terjatuh ekoran pusaran angin itu.

    Menurutnya warga emas itu menerima enam jahitan dan kini dirawat di Hospital Port Dickson.

    Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Md Nor berkata sebanyak 10 buah rumah mengalami kerosakan terutamanya di bahagian bumbung.

    Katanya seramai enam anggota APM telah selesai melakukan tinjauan dan pemeriksaan di taman perumahan itu pada jam 2.40 petang tadi. – BERNAMA

  • Mayat nelayan ditemukan terapung

    Mayat nelayan ditemukan terapung

    MAYAT nelayan yang hilang ketika keluar menangkap ikan kira-kira satu batu nautika dari Jeti Kuala Lukut, dekat sini semalam ditemukan terapung di pesisiran Pantai Bagan Kurnia, Port Dickson pagi ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Mohd Hairul Izam Mazelan berkata mayat Yap Fok Swe, 64, yang berpakaian lengkap ditemukan kira-kira 2.5 kilometer daripada lokasi kejadian, oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 7.50 pagi tadi.

    “Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah memulakan pencarian seawal 6.30 pagi tadi dan kemudiannya kami mendapat petunjuk setelah dimaklumkan oleh orang awam ternampak objek terapung di sekitar lokasi berkenaan.

    “Tiada sebarang kecederaan ditemukan pada badan mangsa dan operasi SAR ditamatkan kira-kira pukul 9.20 pagi. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi semalam, Yap telah hilang dan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika keluar untuk menangkap ikan, yang mana kehilangannya disedari  seorang nelayan yang menjumpai sebuah bot tiada pemilik berserta peralatan menangkap ikan sahaja.

    Operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini turut melibatkan anggota penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia selain komuniti nelayan setempat.

    Dalam pada itu Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan operasi CARILAMAT di perairan Kuala Lukut pada pukul 4.30 petang semalam, melibatkan aset Maritim Malaysia iaitu bot Petir 91 dan Benteng 04 bagi membantu usaha pencarian.

    “Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730,” katanya.- BERNAMA

  • Pekerja binaan maut dihempap besi perancah

    Pekerja binaan maut dihempap besi perancah

    SEORANG pekerja binaan warga Bangladesh maut selepas dihempap besi perancah di tapak projek pelupusan sampah di Tanah Merah, Port Dickson, semalam.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata dalam kejadian jam 2 petang itu mangsa Shonamoni Ghosh, 38, yang tidak sedarkan diri dibawa ke Klinik Kesihatan Lukut untuk pemeriksaan lanjut, namun disahkan meninggal dunia semasa di klinik berkenaan.

    “Siasatan awal di aras lapan di tapak projek tersebut mendapati lelaki itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dihempap besi ‘scaffolding’ yang mempunyai muatan ‘metal deck’. Hasil ‘swab test’ pertama dijalankan ke atas lelaki berkenaan adalah negatif,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Jelasnya, pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan luaran dan tiada unsur jenayah selain kejadian terbabit dilaporkan sebagai kemalangan di tempat kerja.

    Aidi Sham berkata berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- BERNAMA