MAJLIS Kerja Tertinggi UMNO hari ini sebulat suara mencadangkan bahawa Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Ibu Pejabat UMNO, Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur petang tadi.

Berikut adalah kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas mesyuarat tersebut:

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO pada 14 April 2022 bersamaan 12 Ramadan 1443H telah membuat beberapa ketetapan seperti berikut:

  1. Kedudukan Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan yang berakhir 31 Julai 2022 diputuskan tidak akan diteruskan lagi.
  2. Pembentangan Akta Anti Lompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa berkompromi dengan gesaan mana-mana pihak yang cuba menggagalkan mahupun cubaan untuk merubah maksudnya kepada bentuk perundangan yang lain. UMNO berpendirian bahawa Akta Anti Lompat Parti mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati.
  3. Bagi melaksanakan keputusan sebulat suara usul Perhimpunan Agung UMNO 2021 lalu, satu Perhimpunan Agung UMNO Khas akan diadakan pada 14 Mei 2022 (Sabtu) bagi melakukan pindaan Perlembagaan UMNO mengenai tempoh pemilihan parti. Pada hari yang sama juga akan diadakan Sambutan Hari UMNO dan Jamuan Hari Raya Aidilfiti.
  4. Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga sebulat suara mencadangkan agar YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15 akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here