Tag: polis

  • Wanita ditipu love scam, rugi RM105,523

    Wanita ditipu love scam, rugi RM105,523

    SEORANG peniaga wanita berusia 36 tahun dari Felda Serting Hilir, Jempol, mengalami kerugian RM105,523 selepas diperdaya seorang lelaki yang dikenalinya menerusi Facebook, sejak hujung 2018.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata mangsa berkenalan dengan pemilik Facebook bernama ‘KA Agus’ dari Palembang, Indonesia.

    “Pada awalnya mereka hanya berinteraksi dalam ‘Messenger’ Facebook dan kemudian berhubung melalui aplikasi WhatsApp. Selepas itu, lelaki berkenaan meminta wang daripada mangsa untuk membantu masalah kewangan yang dihadapinya.

    “Lelaki itu sering meminta wang bagi menyelesaikan masalah keluarganya selain berjanji akan membayar kesemua pinjaman itu setelah menjual tanahnya di Indonesia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau berkata atas dasar percaya, wanita berkenaan telah mengirimkan wang kepada lelaki itu secara berperingkat ke 19 akaun yang berbeza bermula 31 Ogos 2019, melibatkan 37 transaksi dengan jumlah keseluruhan RM105,523.

    Katanya, cara pengiriman wang kepada lelaki berkenaan dilakukan menerusi ejen kiriman wang seperti Bank Central Asia, Bank Rakyat Indonesia dan Bank Mandiri Indonesia di sekitar Bahau.

    Aibee berkata mangsa yang menyedari ditipu telah bertindak membuat laporan polis pada Isnin lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan jangan mudah terjerat dengan cinta menerusi laman sosial agar tidak menjadi mangsa penipuan.- BERNAMA

  • Lelaki ditahan pukul isteri anak

    Lelaki ditahan pukul isteri anak

    SEORANG lelaki ditahan polis petang semalam selepas disyaki memukul isteri dan anak lelakinya.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata lelaki berusia 44 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Melati Utama di sini, kira-kira 3 petang selepas tular satu hantaran melalui media sosial mengenai pergaduhan suami isteri.

    Beliau berkata berdasarkan siasatan, dipercayai pergaduhan berkenaan berlaku pada 11.30 pagi semalam apabila lelaki itu memarahi serta menuduh isterinya yang berusia 44 tahun mengambil wang.

    “Mangsa (isteri) hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan namun menyebabkan suspek berang dan memukul mangsa serta anak lelakinya yang cuba untuk meleraikan pergelutan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ashari berkata bunyi bising daripada pergaduhan itu menyebabkan jiran datang ke kediaman mereka untuk meredakan keadaan.

    Beliau berkata anak mangsa memuat naik hantaran mengenai pergaduhan itu melalui laman sosial hingga tular dan kemudian disedari lelaki itu sekali gus menyebabkan dia sekali lagi menyerang anaknya yang berumur 14 tahun berkenaan.

    Katanya pihaknya akan memohon perintah reman ke atas lelaki itu hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan cedera.- BERNAMA

  • Berarak di Dataran Merdeka, Kon Yeow, Rayer beri keterangan kepada polis

    Berarak di Dataran Merdeka, Kon Yeow, Rayer beri keterangan kepada polis

    POLIS hari ini mengambil keterangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bagi membantu siasatan berhubung perarakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjung berkata, sesi tersebut berlangsung selama 45 minit bermula pukul 10 pagi ini di pejabat Ketua Menteri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Georgetown di sini.

    “Saya telah selesai memberikan kenyataan kepada wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Dearah (IPD) Timur Laut pada pagi ini berhubung siasatan terhadap perhimpunan Ahli-Ahli Parlimen yang berlangsung di ibu negara pada 2 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Sementara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer turut hadir memberi keterangan berhubung isu sama.

    Rayer selesai memberi keterangan hampir dua jam selepas tiba kira-kira pukul 9.45 pagi.

    Dalam pada itu difahamkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga akan memberi keterangan berhubung isu sama di IPD Timur Laut di sini esok.

    Pada 2 Ogos lalu, seramai 107 ahli Parlimen pembangkang termasuk Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Port Dickson) di Dataran Merdeka selepas gagal masuk ke Parlimen.

    Susulan kejadian itu, polis membuka kertas siasatan selepas menerima lebih 200 laporan polis mengenaninya di seluruh negara.

    Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, siasatan dijalankan mengikut kesalahan Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

  • Lelaki ditahan cuba sogok polis RM10,000

    Lelaki ditahan cuba sogok polis RM10,000

    Oleh: Bernama

    SEORANG lelaki ditahan selepas cuba menyogok wang tunai RM10,000 kepada pihak polis bagi membebaskan dua rakannya yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di hadapan sebuah hotel di Jinjang, di sini, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata suspek berusia 28 tahun sebelum itu telah pun diberikan amaran untuk tidak berbuat demikian, namun tidak mengendahkannya menyebabkan dia ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama bahan bukti.

    Lelaki itu ditahan pada 7.45 malam hari sama di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009).

    “Terdahulu, dua rakannya ditahan dalam serbuan pada 3.45 petang di hadapan sebuah hotel di Jinjang kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah dan hasil pemeriksaan polis menemukan 10 paket plastik berisi bahan, disyaki dadah jenis ganja seberat 130.5 gram, dianggarkan bernilai RM13,000.

    “Ujian saringan air kencing yang dijalankan juga mendapati suspek pertama positif dadah metaphetamine dan ganja selain mempunyai 25 rekod jenayah dan tujuh rekod jenayah berkaitan dadah, manakala suspek kedua negatif dan tidak memiliki rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beh berkata kedua-dua suspek direman selama tujuh hari hingga 10 Ogos depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.- BERNAMA

  • Polis rungkai identiti lelaki misteri bertongkat

    Polis rungkai identiti lelaki misteri bertongkat

    MISTERI seorang lelaki yang memasuki perkarangan sebuah rumah di Taman Cengal, Sungai Petani terungkai apabila polis mengesahkan individu yang tular di media sosial sejak semalam itu didapati kurang waras.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah dalam satu kenyataan berkata, lelaki itu juga tidak tahu apa yang dibuatnya di situ selain turut berbogel di hadapan anggota polis.

    Isteri lelaki berkenaan katanya turut bersamanya ketika kejadian.

    Beliau berkata, lelaki itu juga mengalami masalah buah pinggang dan ada tiub di perutnya.

    “Namun tiada tindakan diambil berhubung kejadian itu,” katanya, hari ini.

    Tular di media sosial sejak semalam akan seorang penduduk taman perumahan yang memaklumkan jirannya hampir dipukau selepas menyedari lelaki tua bertongkat masuk ke kawasan kediamannya.

    Jirannya menyedari sebuah Proton Iswara berwarna merah berlegar di kawasan itu pada pukul 5.20 pagi sebelum kehadiran lelaki itu.

    Timbul persoalan apabila pagar rumah itu yang dikunci automatik telah dimasuki lelaki terbabit sehingga perkarangan kediaman tanpa ada kesan kopak pada pagar.

    Oleh itu, penduduk meluahkan kebimbangan dan memaklumkan kejadian kepada polis.

    Penduduk turut mendakwa kawasan kediaman mereka kerap terputus bekalan elektrik serta alat penggera tiba-tiba berbunyi pada antara pukul 4 atau 5 pagi hampir setiap hari.