Tag: PKR

  • Tendang Anwar dahulu kalau PH mahu menang 80 kerusi

    Tendang Anwar dahulu kalau PH mahu menang 80 kerusi

    PAKATAN Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan PAN dijangka hanya mampu memenangi kira-kira 80 kerusi sahaja pada Pilihan Raya Umum (PRU-15).

    Unjuran itu dinyatakan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam wawancara bersama Malaysiakini.

    Beliau menganggap angka itu adalah yang paling realistik selepas prestasi buruk PH dan PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Memandangkan peluang untuk PH kembali berkuasa selepas PRU-15 adalah agak tipis, Rafizi berpandangan, PH patut berusaha memastikan ia kekal utuh sebagai blok pembangkang terbesar.

    Walau bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Pandan itu enggan mengakui hakikat bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah gagal menyatupadukan PH sejak beliau mengambil alih teraju pakatan pembangkang itu daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Satu hakikat pahit yang terpaksa ditelan penyokong tegar Anwar termasuk Rafizi adalah PH berjaya membentuk kerajaan selepas PRU-14 di bawah kepimpinan Dr Mahathir.

    Walhal, di bawah naungan Anwar, PH dan parti-parti komponennya kalah teruk pada PRN Johor, Melaka, Sarawak dan Sabah.

    PRN Johor turut menyaksikan perpecahan yang amat teruk dalam kem PH apabila PKR memutuskan untuk bertanding menggunakan logonya sendiri.

    Mungkin ketaksuban melampau terhadap Anwar menyebabkan Rafizi tidak dapat melihat bahawa pemimpin kesayangannya itu merupakan punca masalah dalam PH.

    Rejim PH yang dipimpin Dr Mahathir pun tumbang ekoran desakan bertubi-tubi agar jawatan Perdana Menteri diserahkan segera kepada Anwar selepas bekas banduan itu diberi pengampunan diraja dan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

    Mereka seolah-olah memandang remeh terhadap kebijaksanaan politik Dr Mahathir yang secara mengejut mengumumkan peletakan jawatan sehingga menyebabkan Kabinet terbubar.

    Akibatnya, Anwar dan penyokong tegarnya terpaksa melopong apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk dengan dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    PKR juga semakin tunggang-langgang apabila Anwar kembali menjadi Presidennya.

    Ramai orang kuat parti termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Zuraida Kamaruddin, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Datuk Kamaruddin Jaffar dan Badrul Hisham Shaharin telah meninggalkan PKR yang semakin tidak tentu hala di bawah Anwar.

    Melihat kepada situasi PKR dan PH yang berantakan di bawah Anwar, sasaran 80 kerusi Parlimen yang diletakkan oleh Rafizi adalah sukar untuk dicapai.

    Faktor yang paling penting adalah, seperti pada PRN Johor dan Melaka, rakyat pasti menolak PH yang terbukti gagal melunaskan janji-janji populis mereka selepas berkuasa dahulu.

    Satu-satunya cara bagi memastikan PH kekal sebagai pembangkang yang bertaring adalah dengan menyingkirkan Anwar pada pemilihan PKR yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

    Hanya Rafizi yang mampu melakukannya. Itu pun jika beliau benar-benar ikhlas mahu memulihkan semula PKR yang kini ibarat ‘hidup segan, mati tak mahu’.

  • Apakah Rafizi tak sedar Anwar ‘biawak hidup’ dalam PH?

    Apakah Rafizi tak sedar Anwar ‘biawak hidup’ dalam PH?

    RAFIZI Ramli mendakwa penyokong setia Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mewujudkan naratif yang kuat untuk parti itu dan Pakatan Harapan (PH) sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Memetik laporan Malaysiakini, beliau yang mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan kali ini berkata demikian dalam sesi perbincangan bertajuk “Terpaling Terus-terang” bersama-sama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar semalam.

    Rafizi yang tewas dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan lalu menambah, parti itu gagal meyakinkan orang ramai terhadap naratif asalnya, yang dibentuk oleh faktor seperti ketekalan dan komitmen untuk menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat.

    “Dari keputusan di Sarawak, Sabah, Melaka dan Johor, (kita lihat) macam mana kuat pun kerja di bawah, kalau naratif di peringkat pusat tak kuat, kita akan ketinggalan.

    “Saya kasihan dengan Anwar kerana penyokongnya ramai tapi (mereka) tak bantu untuk cipta naratif.

    “Kadang-kadang (kalangan) yang setia ini yang menarik dia ke bawah. Kalau nak harap Anwar seorang, letihlah dia,” katanya ketika menjawab soalan yang diajukan Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh yang bertindak sebagai moderator.

    Mungkin Rafizi terlepas pandang bahawa Anwar sendiri merupakan ‘biawak hidup’ yang terpaksa dipikul oleh PH.

    Rejim PH hanya dapat berkuasa selama 22 bulan sahaja gara-gara sikap Anwar yang tidak sabar menunggu Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepadanya.

    Rakyat juga semakin bosan dengan gelagat Anwar yang tidak sudah-sudah menjaja naratif bahawa beliau adalah individu yang paling layak untuk menyandang jawatan Perdana Menteri.

    Kebosanan rakyat itu diterjemahkan dalam bentuk protes terhadap PH dalam beberapa kekalahan memalukan pada pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN) selepas PRU-14.

    Setelah PH kalah teruk pada PRN Sabah, Melaka dan Sarawak, PKR memutuskan untuk bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN Johor.

    Namun langkah itu tidak memberi sebarang makna kerana PKR dan PH tetap kalah teruk.

    Kesimpulannya, PKR akan tetap ditolak oleh rakyat selagi Anwar menjadi Presidennya.

  • [TIDAK RASMI] Maszlee ketinggalan di Layang-Layang

    [TIDAK RASMI] Maszlee ketinggalan di Layang-Layang

    CALON PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Dr Maszlee Malik ketinggalan apabila hanya memperoleh 2,302 undi setakat ini.

    Bekas Menteri Pendidikan itu ketinggalan dengan majoriti 868 undi kepada calon Barisan Nasional (BN), Abd. Mutalip Abd. Rahim yang mendapat 3,170 undi setakat pukul 8.40 malam tadi.

    Dua lagi calon yang bertanding bagi DUN Layang-Layang adalah calon Perikatan Nasional (PN), Alagathiran Krishnan dan Ahmad Shafiq Othman dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    Berdasarkan keputusan tidak rasmi, sebanyak 25 daripada keseluruhan 50 saluran telah pun dikira.

  • PRN Johor: MB Johor hadapi tentangan calon PN, Pejuang, PKR

    PRN Johor: MB Johor hadapi tentangan calon PN, Pejuang, PKR

    itik patah kaki

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berdepan pertandingan empat penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

    Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dan penyandang kerusi berkenaan ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Senator Datuk Isa Ab. Hamid; calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Iskandar Noor Ibrahim dan calon PKR, Haniff Ghazali Hosman.

    Isa ialah wakil daripada kalangan masyarakat Orang Asli di Dewan Negara.

    Pengumuman pencalonan keempat-empat calon berkenaan dibuatkan Pegawai Pengurus (RO) Pilihan Raya DUN Benut, Mohd. Rafi Abdullah.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Hasni memenangi kerusi DUN Benut dengan 9,480 undi, berbanding calon Zulkifly Tasrep (PKR) meraih 5,033 undi, manakala Mohd. Firdaus Jaafar (PAS) mendapat 2,590 undi.

    Hasni menang dengan majoriti 4,447 undi.

  • Calon PKR DUN Gambir sah positif COVID-19

    Calon PKR DUN Gambir sah positif COVID-19

    CALON PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Naim Jusri didapati positif COVID-19.

    Memetik laporan Malaysiakini, perkara itu dikesan sebaik sahaja beliau tiba di pusat penamaan calon.

    Walau bagaimanapun, calon PKR bagi kerusi DUN Gambir itu masih dibenarkan menghantar borang pencalonan selepas beliau diasingkan.

    Borang tersebut kemudian diserahkan oleh pencadangnya.

    Difahamkan, pencalonannya diterima dan namanya tetap tertera pada kertas undi.

    Namun, Naim tidak dapat berkempen secara aktif bertemu pengundi kerana beliau akan dikuarantin sehingga sembuh.

    Beliau juga dijangka sukar memberi cabaran kepada calon Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu, Mohd Solihan Badri yang lebih berwibawa berbanding calon-calon lain.

    Kerusi DUN Gambir yang sebelum ini disandang oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin diketahui sebagai kubu kuat Bersatu.

    Mohd Solihan pasti menjadi pilihan pengundi untuk meneruskan legasi cemerlang Muhyiddin di DUN Gambir.

    Selain Mohd Solihan dan Naim, calon-calon lain yang bakal bertanding di situ ialah Shah Rihan Ghani (BN-UMNO) dan Suraya Sulaiman (Pejuang).

  • Isu kerusi Larkin: PKR ingatkan Muda jangan jadi abang besar

    Isu kerusi Larkin: PKR ingatkan Muda jangan jadi abang besar

    PKR mengingatkan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) supaya jangan berlagak sebagai abang besar dalam soal rundingan kerusi antara dua parti bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Bekas Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memberi peringatan keras itu kepada parti pimpinan Syed Saddiq Abdul Rahman ekoran tindakan Muda meletakkan calonnya di DUN Larkin.

    “Jika Muda terus berlagak sebagai abang besar seperti ini, maka tiada faedah dan manfaat kerjasama ini dibincangkan serta mereka sebaik-baiknya memilih jalan yang sama seperti Pejuang dan Warisan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Beliau menambah,  tindakan Muda yang memutuskan untuk meletakkan calon di kerusi Larkin pada PRN Johor kali ini sudah menjejaskan kerjasama dan usaha terhadap muafakat penyatuan parti pembangkang.

    Farhash Wafa Salvador menambah, Muda yang pada awalnya sudah ditawarkan tiga kerusi oleh PKR dan beberapa kerusi yang lain oleh DAP dan Amanah perlu menghormati rakan dan runding sebaik-baiknya sebelum proses pemilihan calon diadakan.

    “Sikap Muda bukan sahaja boleh menjejaskan keharmonian kerjasama politik, malah konteks yang lebih luas untuk kita pertimbangkan adalah perasaan akar umbi dan kemungkinan yang akan berlaku menjelang hari pengundian,” jelasnya.

    Kata beliau, ruang dan peluang masih terhidang buat PKR untuk berbincang semula bersama-sama Amanah dan DAP bagi meletakkan calon di kerusi-kerusi yang sudah diberikan kepada Muda terutamanya Puteri Wangsa.

  • AMK P Pinang ingatkan Syed Saddiq jangan melampaui batas

    AMK P Pinang ingatkan Syed Saddiq jangan melampaui batas

    ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menasihatkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya tidak ‘melampaui batas’ dalam mengeluarkan sebarang kenyataan khususnya ketika blok pembangkang sedang menyusun strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ketuanya, Fahmi Zainol berkata, adalah lebih baik sekiranya Ahli Parlimen Muar itu ketika ini lebih memfokuskan kepada usaha untuk menentang ‘lawan’, bukannya ‘kawan’.

    Ujar beliau, kenyataan seperti tidak dapat mengelakkan pertembungan antara Muda dengan PKR dalam PRN Johor tidak boleh diterima kerana kerjasama antara blok pembangkang lain telah dipersetujui lebih awal untuk mengelak berlakunya pertembungan sesama sendiri.

    Malah ujarnya, parti Muda sendiri disifatkan ‘menumpang’ dan tidak ada dalam blok rasmi Pakatan Harapan (PH).

    “Oleh itu, mengeluarkan kenyataan seperti ini seolah-olah sengaja ‘membakar api dalam selimut’.

    “Siapa lawan sebenar mereka? Adakah Keadilan (PKR) atau Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN)? Mengapa Syed Saddiq sengaja ‘menyemarakkan api’ dalam khemah blok Pakatan Harapan (PH)? Adakah ini misi utama beliau?” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Syed Saddiq dalam kenyataannya sebelum ini dilaporkan mendakwa, rundingan kerjasama politik antara Muda dan PKR dalam PRN Johor gagal mencapai kata sepakat disebabkan PKR telah mengumumkan calon di kesemua 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diserahkan kepada parti itu oleh PH.

    Jelas Fahmi, sebagai sebuah parti yang baru sahaja ditubuhkan kira-kira empat bulan lalu, kemampuan parti Muda belum benar-benar teruji.

    Jelasnya, tiga kerusi telah ditawarkan kepada parti Muda hasil perbincangan pemimpin PH iaitu Senggarang; Sri Medan dan Tanjung Surat, namun tawaran tersebut didakwa ditolak mentah-mentah.

    Sehubungan itu katanya, jika Syed Saddiq benar-benar ingin menyatukan blok pembangkang, beliau akan berlapang dada dan menerima kerusi yang ditawarkan oleh PKR, bukannya bersifat tamak.

    “Isunya ialah bukan parti mana yang punya banyak kerusi dalam blok pembangkang, tetapi apa motif sebenar Muda yang dilihat sengaja melaga-lagakan parti pembangkang,” ujarnya.

    Tambah Fahmi, bertanding dalam pilihan raya bukanlah semata-mata bertujuan untuk menunjukkan parti mana paling kuat, tetapi untuk menyelamatkan rakyat daripada ditindas oleh pemerintah yang zalim dan korup.

  • SPR perlu lanjut tempoh daftar pengundi pos – Saifuddin Nasution

    SPR perlu lanjut tempoh daftar pengundi pos – Saifuddin Nasution

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) digesa untuk melanjutkan tempoh pendaftaran pengundi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk memastikan individu berada di luar negara yang layak mengundi diberikan hak tersebut.

    Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tempoh sembilan hari yang diberikan SPR adalah amat singkat dan masih ramai pengundi yang belum berdaftar sebagai pengundi pos.

    “Saya mengikuti beberapa laporan berita yang berkata ramai pengundi Johor yang berada di luar negara khususnya di Singapura masih belum mendaftar sebagai pengundi pos.

    “Berdasarkan satu laporan media, dianggarkan cuma satu peratus dari jumlah pengundi Johor di Singapura telah mendaftar setakat dua hari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau turut meminta SPR untuk lebih proaktif dalam kempen pendaftaran undi pos termasuk di media sosial.

    SPR sebelum ini menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, penamaan calon pada 26 Feb manakala pengundian awal 8 Mac.

    Permohonan undi pos untuk pengundi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) dibuka dari 9 hingga 18 Feb. Permohonan boleh dilaksanakan secara dalam talian. – BERNAMA

  • Kerusi bertindih: Peringatan pemimpin PKR kepada MUDA, Syed Saddiq

    Kerusi bertindih: Peringatan pemimpin PKR kepada MUDA, Syed Saddiq

    Oleh HASSAN ABDUL KARIM

    Saya membaca Free Malaysia Today pagi ini 18 Februari 2022. Saya mengurut dada menahan sabar apabila portal FMT tersebut melaporkan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi amaran akan berlaku pertentangan antara MUDA dengan Parti Keadilan dalam Pilihan Raya Negeri Johor ini jika rundingan tentang kerusi menemui kegagalan.

    Garang sungguh amaran Presiden Parti MUDA yang baru berusia empat bulan tersebut. Kalau bayi, baru berumur empat bulan belum boleh makan nasi atau makanan keras. Kena minum susu sahaja. Perut bayi belum kuat untuk menghadam.

    Jangan marah analogi seperti ini digunakan. Parti MUDA satu hari nantipun akan jadi tua. Syed Saddiq orang Johor. Penulis ini pun orang Johor. Kita di Johor ibarat cucu cicit Tun Seri Lanang dan Raja Ali Haji. Orang Johor bahasanya lembut, jika berkata dan berhujah, ia berkata dan berhujah dengan sopan dan santun, seperti madah Sasterawan Negara Usman Awang (seorang lagi anak Johor yang terbilang).

    Syed Saddiq adalah pemimpin generasi baru yang punya masa hadapan yang cerah. Memang elok dan tepat melangkah dengan tangkas dan berani. Tetapi awas juga, anda baru kali pertama memimpin sebuah parti baharu menghadapi pilihan raya. Lalu jangan cepat memberi amaran dan ugutan. Jangan cepat menghunus keris untuk menikam, penulis bimbang, takut-takut nanti akan tertikam dengan keris sendiri.

    Penulis ini tidak banyak pengalaman. Sekadar mengenal politik di Johor sejak tahun 1974 lagi. Sejak itu mengenal usaha pihak-pihak parti pembangkang berusaha membina front pembangkang. Penulis pernah ikut serta dalam usaha itu sejak tahun 1986 ketika penulis menjadi Setiausaha Agung sebuah parti kiri yang radikal, lebih radikal ideologinya dari Parti MUDA sekarang. Tetapi kami, walaupun radikal, jika bermesyuarat, kami berbincang baik-baik.Tidak pernah kami gunakan ugutan dan ancaman sesama parti pembangkang.

    Syed Saddiq pemimpin MUDA memang mempunyai karisma. Anda mempunyai ramai pengikut di alam maya. Tetapi di alam nyata, jangan sesekali memberi amaran atau ugutan kepada Parti Keadilan. Presiden MUDA kena pelajari sejarah kami Parti Keadilan. Parti kami lahir dari perjuangan. Kami membesar di jalan raya dan di dalam penjara. Kami tidak akan berundur jika dicabar oleh sesiapa pun, hatta kepada mereka yang cepat menghunus pedang. Pantang kami berundur. Lihat bendera kami berwarna merah, itu maknanya keberanian berjuang. Lihat bendera kami berwarna biru, itu maknanya kami mencintai perdamaian dan keadilan.

    Maka berhati-hatilah jika mengeluarkan kata-kata, wahai sahabatku Syed Saddiq. Mungkin penulis ini sudah tua tetapi orang tua ini kenal perangai “anak MUDA julung berkeris”.

    Penulis ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR. Tulisan ini dipetik dari laman Facebook beliau dan tidak semestinya menggambarkan pendirian WartaRakyat.

  • Kerusi bertindih, rundingan gagal, PKR dan MUDA dijangka bertembung

    Kerusi bertindih, rundingan gagal, PKR dan MUDA dijangka bertembung

    PRESIDEN Parti Ikatan Demoktratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menganggap rundingan rasmi berhubung pembahagian kerusi antara partinya dan PKR bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah tamat.

    Beliau berkata demikian ekoran keputusan PKR mengumumkan senarai calonnya di 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk yang mungkin ditandingi MUDA.

    Berikut adalah kenyataan penuh Syed Saddiq hari ini:

    MUDA menyertai Pilihan Raya Negeri Johor 2022 bertujuan untuk membawa perubahan yang baik kepada Negeri Johor dan Malaysia.

    Negeri Johor harus dipimpin oleh kepimpinan yang mengangkat politik dasar sebagai teras untuk pembangunan ekonomi kepada rakyat Johor.

    MUDA telah memberikan usaha dan komitmen berterusan untuk mengelakkan pertindihan kerusi dalam kalangan parti-parti pembangkang kerana fokus utama MUDA adalah membawa perubahan yang baik kepada Negeri Johor.

    Melalui rundingan rasmi bersama DAP dan AMANAH, MUDA telah berjaya mengelakkan sebarang pertindihan kerusi.

    MUDA juga telah mengadakan siri-siri rundingan rasmi bersama pimpinan KEADILAN (PKR) – namun KEADILAN telah membuat keputusan untuk mengumumkan senarai calon KEADILAN di 20 kerusi sekali gus menamatkan rundingan rasmi bersama MUDA.

    Meskipun begitu, MUDA telah menyampaikan niat dan hasrat MUDA untuk mengelakkan sebarang pertindihan kerusi MUDA-KEADILAN kepada rakan DAP dan AMANAH. MUDA juga bersedia untuk meneruskan rundingan bersama KEADILAN.

    Jika tidak ada sebarang perkembangan dan perubahan keputusan dari pimpinan KEADILAN berkaitan kerusi MUDA-KEADILAN, pimpinan MUDA akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan jalan ke hadapan pada hujung minggu ini.

    Sekiranya pertindihan kerusi antara MUDA-KEADILAN tidak dapat dielakkan, MUDA akan serahkan keputusan di tangan rakyat Johor.