Tag: PKR

  • PKR belum ada kekuatan tanding PRU-15 sendirian – Amirudin

    PKR belum ada kekuatan tanding PRU-15 sendirian – Amirudin

    PKR masih belum mempunyai kekuatan untuk bertanding secara sendirian, atau bergerak solo tanpa sokongan parti-parti lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

    Beliau berkata, ia berdasarkan dua kajian lapangan sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.

    “Jika kita tidak dapat kumpul kekuatan dan terpisah, parti akan hilang dukungan dan sokongan untuk memenangi kerusi dalam PRU15 akan datang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota PKR Perlis di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis di Kuala Perlis hari ini.

    Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin; Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dan ADUN Kuala Perlis, Nor Azam Karap.

    Amirudin yang juga merupakan Menteri Besar Selangor berkata, gabungan Pakatan Harapan (PH) di Selangor sebelum ini turut didekati beberapa parti lain yang menyatakan sokongan dan ingin bersama-sama dalam PRU15 nanti.

    “Namun saya perlu merujuk dahulu kepada pimpinan gabungan PH untuk melihat bagaimana kita harus susun strategi dan formula untuk kemenangan,” katanya. – BERNAMA

  • Siapa layak bersama Anwar? Saifuddin, Rafizi berentap dalam debat

    Siapa layak bersama Anwar? Saifuddin, Rafizi berentap dalam debat

    PROGRAM debat antara dua calon yang berebut jawatan Timbalan Presiden PKR iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli akan berlangsung pada 11 Mei ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, program ‘Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?’ akan berlansung di semua platform agensi media berkenaan.

    Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian, Rozaid Rahman berkata, program selama 90 minit itu akan bermula pada pukul 3 petang.

    Beliau dalam satu kenyataan berkata, program debat itu menjadi medan atau pentas untuk menguji kredibiliti Saifuddin dan Rafizi dalam mengemukakan hujah berhubung isu semasa, kepimpinan dan masa depan PKR.

    Ini kerana katanya, pemilihan PKR tahun ini dilihat sebagai petunjuk siapakah yang bakal mengambil alih pucuk pimpinan parti daripada Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Format debat tersebut akan dimulakan dengan sesi pengenalan Saifuddin dan Rafizi, disusuli soalan sesama mereka serta daripada moderator.

    Pemilihan PKR julung kali diadakan secara hibrid, iaitu secara fizikal dan dalam talian melalui aplikasi Adil yang diperkenalkan pada 28 Feb lalu.

    Proses pengundian dalam talian bermula 18 hingga 20 Mei ini selepas undian fizikal pada 13 hingga 17 Mei.

  • [VIDEO] Lebih berpengalaman dan setia, Saifuddin yakin tewaskan Rafizi

    [VIDEO] Lebih berpengalaman dan setia, Saifuddin yakin tewaskan Rafizi

    SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yakin beliau mempunyai kelebihan dari segi pengalaman dan kesetiaan kepada parti berbanding pesaingnya bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

    Sehubungan itu, Saifuddin menganggap faktor tersebut memberi kelebihan kepadanya untuk menewaskan Rafizi dalam pemilihan PKR bulan depan.

    Memetik laporan FMT, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu merujuk kepada rekodnya yang tidak pernah berundir daripada perjuangan parti lebih-lebih lagi semasa PKR dilanda pelbagai masalah termasuk selepas rejim Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas 22 bulan berkuasa.

    “Saya bawa pengalaman yang lama dalam parti.. selama 23 tahun. Saya kekal dalam parti PKR tanpa rehat dan tanpa undur, saya bawa kesetiaan dalam parti…ketika parti diuji dengan episod khianat,” katanya dalam wawancara khas bersama FMT.

    Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan tiba-tiba membuat penampilan semula dalam politik arus perdana menjelang pemilihan PKR.

    Sebelum itu, beliau ‘bercuti’ sejak penghujung 2019 selepas tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan parti bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.

    Naib Presiden PKR itu dikecam oleh pemimpin-pemimpin partinya sendiri apabila mengumumkan ingin mencuba nasib sekali lagi bertanding jawatan nombor dua PKR serta memberi bayangan bakal kembali ke pentas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Berhubung tindakan Rafizi ‘bercuti’ ketika PKR berdepan krisis yang dianggap oleh pihak tertentu sebagai satu pengkhianatan, Saifuddin berpandangan sebaliknya.

    Beliau berkata, Rafizi tidak keluar PKR selepas meraih jawatan, dalam parti dan kerajaan seperti mana dilakukan individu lain.

    “Saya tidak melihat itu sebagai satu pengkhianatan. Rafizi memilih untuk berehat sementara dengan tujuan memberikan fokus kepada perniagaan. Sampai masa, beliau kembali ke gelanggang. Itu bezanya.

    “Setelah beliau tampil menawarkan diri, saya kira beliau sudah mampu menguruskan perniagaannya itu dengan jayanya, dan masanya (sampai) untuk beliau kembali menawarkan diri. Saya kekal menganggap beliau sebagai satu aset yang penting untuk parti,” jelasnya.

    Pada masa yang sama, Saifuddin percaya beliau mempunyai kelebihan dari segi menguruskan parti berbanding Rafizi.

    “Saya juga membawa kemahiran dalam berurusan dengan parti politik sahabat mahupun dengan parti lawan. Misalnya sekarang saya mengetuai jawatankuasa PH dalam MoU (kerjasama) dengan kerajaan persekutuan membolehkan saya berunding dengan Perdana Menteri atau menteri yang terlibat.

    “Jadi semuanya itu saya percaya akan memberikan nilai tambah dengan kedudukan saya untuk parti itu sendiri dan juga gabungan (PH),” ujarnya.

  • Sokong Anwar jadi PM kalau mahu kerjasama PKR

    Sokong Anwar jadi PM kalau mahu kerjasama PKR

    MESTI sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekiranya ingin bekerjasama dengan PKR.

    Ketetapan itu ditegaskan oleh bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

    Beliau berkata, sokongan terhadap kepimpinan Anwar adalah amat penting bagi parti itu dan sekutunya selepas kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sarawak dan Melaka.

    “Dalam Pakatan Harapan (PH), masih sama; Anwar satu-satunya calon perdana menteri. Parti lain yang mahu bekerjasama mesti terima ketetapan itu.

    “Kita mesti rapatkan saf di belakang Anwar, semua sebagai satu suara, dan percaya pada kepimpinannya. Jika kita satu suara, masyarakat akan terima mesej kita,” katanya dalam temu bual bersama FMT.

    Namun, syarat itu agak sukar dipenuhi oleh parti-parti lain dalam kem pembangkang termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan.

    Malah, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal baru-baru ini pernah menyebut bahawa rakyat mahu melihat perubahan kepimpinan.

    Farhash percaya, PKR dan sekutunya dalam PH mempunyai kekuatan secukupnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Beliau menambah, sebarang kerjasama lanjut dengan parti pembangkang lain haruslah dikaji secara mendalam dan mestilah mengambil kira pandangan akar umbi.

    Dalam pada itu, Farhash berkata, PKR mahu melangkah ke PRU-15 dengan kemahuan dan keyakinan untuk menang.

    “Jangan tawar hati dengan cakap-cakap kononnya kita tidak akan dapat memenangi dua pilihan raya akan datang. Politik boleh berubah bila-bila masa, jangan menyerah kalah,” katanya.

    Beliau tidak bersetuju dengan kenyataan bekas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bahawa PH memerlukan sekurang-kurangnya dua pusingan pilihan raya untuk menawan Putrajaya.

    Farhash berkata, PKR dan PH mesti mendengar denyut nadi akar umbi dan pengundi jika mahu faham sentimen di lapangan, serta meningkatkan peluang mereka menjelang PRU15.

    Mengulas mengenai pemilihan PKR tidak lama lagi, Farhash berkata pemilihan itu langkah perlu untuk ‘membersihkan’ parti dan mengisi kekosongan dalam saf kepimpinan.

    “Pemilihan ini salah satu langkah untuk kami merapatkan saf dan kembali lebih kuat,” katanya.

    “Ketika ini ada kekosongan yang ketara. Kami tiada timbalan presiden, banyak naib presiden tidak ada, malah ada kekosongan jawatan di beberapa bahagian.”

    Farhash berkata PKR perlu mengisi kekosongan di jawatan-jawatan penting parti agar dapat menghadapi PRU15 dengan sempurna.

  • Pemilihan PKR: Sistem ‘cai’ tak berkesan – Fahmi Fadzil

    Pemilihan PKR: Sistem ‘cai’ tak berkesan – Fahmi Fadzil

    CALON Naib Presiden bagi Pemilihan PKR 2022, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil lebih meletakkan kepercayaan terhadap kebijaksanaan ahli PKR dalam mengundi berbanding strategi pembentukan ‘cai’ atau kem.

    Beliau berkata, ini kerana sistem ‘cai’ belum dapat dipastikan keberkesanannya kerana pada akhirnya ia bergantung kepada penilaian ahli PKR dalam sesuatu kem untuk memilih calon yang mereka rasa layak bagi memegang sesuatu jawatan yang dipertandingkan.

    “Ini yang baiknya satu anggota, satu undi. Kerana pada akhirnya, pemilihan itu bergantung kepada penilaian anggota terhadap mana-mana satu pimpinan dan sebenarnya sistem ‘cai’ ini lebih kepada sekiranya tokoh-tokoh (calon) itu mungkin kurang dikenali atau senarai (calon) itu panjang…

    “Dulu semasa pemilihan pada 2018, sememangnya wujud (keadaan) di mana (calon) tidak berapa dikenali maka mereka pilih siapa yang dicadangkan oleh mana-mana pihak tetapi bila kami teliti keputusan ia tidak memberi bayangan bahawa ‘cai’ ini berkesan,” katanya yang diminta mengulas mengenai pembentukan ‘cai’ bagi pemilihan parti itu tahun ini.

    Pengarah Komunikasi PKR itu berkata demikian pada sidang media berkenaan ‘Debat Perdana antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Tun Razak’ di sini hari ini. Turut hadir Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil. – BERNAMA

  • Pemilihan PKR: Nurul Izzah berundur kerana kurang yakin?

    Pemilihan PKR: Nurul Izzah berundur kerana kurang yakin?

    KEPUTUSAN Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar untuk tidak bertanding pada pemilihan PKR kali ini dikaitkan dengan kurang keyakinan.

    Memetik laporan FMT, penganalisis dari Akademi Nusantara, Azmi Hassan berkata, Nurul Izzah mungkin menyangka beliau tidak mempunyai peluang yang baik untuk menang jika bertanding.

    Namun beliau percaya, Nurul Izzah sekurang-kurangnya perlu menyasarkan untuk menjadi salah seorang Naib Presiden.

    Azmi menambah, prospeknya untuk melangkah naik dalam kepimpinan PKR akan terjejas, manakala ahli parti akan mendapati sukar untuk memandang tinggi kepadanya sebagai salah seorang pemimpin utama apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya berundur dari jawatan Presiden.

    “Ini adalah masa yang tepat untuk beliau sekurang-kurangnya menjadi salah seorang Naib Presiden memandangkan bapanya masih Presiden. Pengaruh bapanya bagus untuknya.

    “Ini akan menjadi kerugian bagi PKR kerana beliau dilihat sebagai sebahagian daripada generasi baharu ahli politik yang akan datang, bukan sahaja dalam PKR tetapi dalam politik negara, sama seperti Rafizi Ramli atau Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    “Ia satu kerugian bagi generasi muda juga, yang mahu melihat pemimpin baharu,” katanya.

    Azmi menjangka, bekas Naib Presiden PKR itu mungkin mengikut jejak langkah Rafizi, yang berundur daripada arena politik pada Disember 2019 dan mengumumkan kepulangannya bulan lepas.

    “Apabila tiba masanya, beliau akan kembali,” katanya, sambil menambah, Nurul Izzah “mungkin akan bertindak” apabila peluangnya lebih baik untuk memenangi jawatan.

    Pada 12 April lalu, Nurul Izzah mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada pemilihan PKR, walaupun beliau digembar-gemburkan akan berganding dengan Rafizi bagi salah satu jawatan Naib Presiden.

  • Reformasi dalaman PKR terbantut selagi Anwar masih Presiden

    Reformasi dalaman PKR terbantut selagi Anwar masih Presiden

    USAHA melakukan reformasi dalam PKR dijangka berdepan kesukaran selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal menyandang jawatan Presiden parti itu bagi penggal 2022-2024.

    Memetik laporan FMT, penganalisis dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun percaya PKR akan bergelut untuk melahirkan pemimpin baharu dengan idea baharu.

    Menurut beliau, situasi itu berlaku kerana pemimpin lama masih berpegang teguh pada kuasa.

    “Keputusan Anwar mempertahankan jawatannya tidak mengejutkan kerana dia tidak mungkin berhenti (berpolitik) sebelum dia menjadi Perdana Menteri.

    “Bagaimanapun, keputusannya memberi implikasi kepada parti. Ini bermakna pemindahan kepimpinan generasi perlu menunggu lebih lama.

    “Ia akan mencetuskan beberapa siri perebutan kuasa sesama sendiri yang akhirnya mengakibatkan pemimpin lari daripada parti seperti contoh bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.”

    Ei Sun menambah, tanpa reformasi dalaman parti, adalah sukar bagi PKR dan Pakatan Harapan (PH) untuk bertahan dalam pilihan raya umum akan datang.

    “Ini kerana Anwar tidak lagi dianggap sebagai pemimpin yang memberi inspirasi yang boleh membawa kemenangan kepada pakatan pembangkang,” jelasnya lagi.

    Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara menyifatkan kedudukan terbawah parti itu berdasarkan beberapa keputusan yang didakwa ‘silap’ yang telah dibuat oleh Anwar.

    Sebagai contoh, beliau memetik keputusan PKR menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan lalu.

    Azmi berkata, prospek PKR untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan suram jika parti itu menggunakan strategi yang sama digunakan dalam PRN Johor.

    Beliau berkata, Anwar perlu berundur sebagai Presiden selepas PRU-15 bagi memberi laluan kepada tokoh-tokoh terkenal seperti Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden, Rafizi Ramli.

  • Maszlee bertanding Ketua PKR Cabang Simpang Renggam

    Maszlee bertanding Ketua PKR Cabang Simpang Renggam

    AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mengesahkan bertanding jawatan Ketua Cabang Simpang Renggam pada Pemilihan PKR 2022.

    Bekas menteri pendidikan itu mengesahkan perkara itu dalam kiriman WhatsApp kepada Bernama malam ini.

    “Ya saya akan bertanding Ketua Cabang Simpang Renggam,” katanya.

    Maszlee menyertai semula PKR pada November tahun lepas.

    Beliau pernah mendaftarkan diri sebagai ahli PKR pada 2017 di Cabang Ampang.

    Maszlee kemudian menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan dilantik sebagai Menteri Pendidikan Kerajaan Pakatan Harapan namun dipecat dari parti itu pada Mei 2020 seterusnya memutuskan untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas.

    Terdahulu media melaporkan tiga selebriti tanah air turut mencuba nasib pada pemilihan kali ini antaranya pelakon dan produser Datuk Adflin Shauki yang menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Ketua Cabang Setiawangsa.

    Proses Pemilihan PKR 2022 bermula Ahad lepas sehingga 11.59 malam ini bagi proses pencalonan peringkat cabang manakala pencalonan bagi jawatan tertinggi pusat dan sayap dilaksanakan semalam. – BERNAMA

  • Anwar sah pertahan jawatan Presiden PKR, belum ada pencabar

    Anwar sah pertahan jawatan Presiden PKR, belum ada pencabar

    DATUK Seri Anwar Ibrahim akan mempertahankan jawatan Presiden PKR bagi penggal 2022/2025.

    “Beliau telah mengemukakan permohonan untuk bertanding menerusi aplikasi ADIL pada jam 12.14 tengah hari,” jelas kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh pejabatnya melalui Facebook hari ini.

    Pemilihan parti itu melibatkan jawatan tertinggi PKR iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan empat Naib Presiden, selain kepimpinan tertinggi sayap parti serta cabang.

    Setakat ini, masih belum ada calon lain mengumumkan bertanding jawatan Presiden PKR untuk mencabar Anwar.

    Pemilihan kali ini dijangka menyaksikan pertembungan menarik bagi jawatan Timbalan Presiden apabila Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Naib Presiden Rafizi Ramli mengesahkan bertanding jawatan tersebut.

    Bagi jawatan Naib Presiden pula antara nama calon dijangka bertanding ialah Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Pengelola Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Wanita Fuziah Salleh dan Ketua Penerangan Fahmi Fadzil.

    Sementara itu, dalam kenyataan lain, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berpandangan, pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak berpersatuan perlu diperhalusi supaya ia dihadkan kepada Rang Undang-Undang (RUU) berhubung larangan melompat parti sahaja.

    Kenyataan bersama itu dikeluarkan Anwar selaku Pengerusi PH serta Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Pengerusi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau.

    Ia susulan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di Parlimen pagi tadi.

    Selain itu, Majlis Presiden PH berkata, Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan berhubung seseorang wakil rakyat yang melepaskan jawatan wakil rakyat hilang kelayakan untuk bertanding selama lima tahun akan diteliti dan diusahakan penyelesaian, supaya selaras dengan semangat RUU Anti Lompat Parti.

    “Pindaan Perlembagaan yang dibentang hari ini akan dirujuk ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan, melibatkan semua parti, dan ditugaskan meneliti, memperhalusi dan mencadangkan deraf Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti ke Jemaah Menteri dalam masa satu bulan.

    “Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti yang dipersetujui kedua-dua pihak akan dibentang dan diluluskan dalam satu sidang khas Parlimen sebelum penghujung bulan Mei 2022,” jelas kenyataan tersebut.

    Majlis Presiden PH mengulangi pendirian bahawa RUU Anti Lompat Parti merupakan salah satu syarat utama Memorandum Persefahaman Transformasi dan kestabilan Politik (MOU).

    “PH komited kepada proses untuk memastikan Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti ini berjaya dibentang dan diluluskan di Parlimen, demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap proses pilihanraya dan seterusnya menjamin masa depan demokrasi di Malaysia,” tambahnya.

  • Pemilihan PKR: Calon yang janji beri kerusi adalah pendusta

    Pemilihan PKR: Calon yang janji beri kerusi adalah pendusta

    PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepada semua ahli parti agar jangan terperdaya dengan janji mana-mana calon yang bertanding dalam pemilihan untuk memberi kerusi pilihan raya kepada individu-individu tertentu.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menyifatkan mereka yang menabur janji sedemikian sebagai ‘pendusta’.

    “Kalau ahli-ahli itu juga memilih orang kerana janji, ramai yang janji umpamanya kerusi ini kamu punya, kerusi ini pak mentua kamu punya, nasib kamulah.

    “Saya nak bagitahu sebagai Presiden, saya belum tahu sama ada pertandingan atau tidak, tetapi ditakdirkan saya kekal Presiden, saya nak beritahu setakat ini sehingga hari ini saya belum menjanjikan kerusi bagi sesiapa di negara ini termasuk saya.

    “Jadi, orang yang janji itu bulan Ramadan ini termasuk pendusta. Jangan kita tertipu dengan cara yang sedemikian kerana ia tidak membantu,” katanya seperti dipetik daripada rakaman video yang disiarkan dalam laman Facebook beliau.

    Ucapan itu disampaikan pada majlis berbuka puasa anjuran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di Seremban, malam tadi.

    Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut mengingatkan bahawa soal pembahagian kerusi bukan ditentukan oleh PKR secara bersendirian kerana ia perlu diputuskan secara bersama dengan pemimpin-pemimpin DAP dan Amanah.

    “Ini soal urusan parti dan saya sebagai Pengerusi PH umpamanya walaupun calon itu calon PKR, itu kerusi PKR, selalu saya bawa maklumat ini untuk bincang dengan pimpinan. Dulu Guan Eng, sekarang Anthony Loke dan Mohamad Sabu.

    “Jadi kita bincang sebagai satu pasukan untuk maklumkan. Mereka pun begitu juga, calon-calon dimaklumkan, setelah kita setuju dengan pembahagian kerusi,” jelasnya.

    Beliau berkata, calon-calon yang terlibat dalam pemilihan hendaklah bertanding secara baik dan bukan mengadu domba seperti budaya parti-parti lain yang sudah mulai rosak.

    Pada masa yang sama, Anwar menempelak individu tertentu dalam PKR yang hanya muncul pada musim pemilihan parti.

    “Kadang-kadang saya lihat bila masa pertandingan parti ini, dia berhempas pulas, hebat luar biasa.

    “Yang tak pernah nampak datang menonjol. Tetapi selepas itu dia tenggelam, tanpa suara, tanpa berita. Jangan jadi begitu,” katanya.