KEPUTUSAN Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar untuk tidak bertanding pada pemilihan PKR kali ini dikaitkan dengan kurang keyakinan.

Memetik laporan FMT, penganalisis dari Akademi Nusantara, Azmi Hassan berkata, Nurul Izzah mungkin menyangka beliau tidak mempunyai peluang yang baik untuk menang jika bertanding.

Namun beliau percaya, Nurul Izzah sekurang-kurangnya perlu menyasarkan untuk menjadi salah seorang Naib Presiden.

Azmi menambah, prospeknya untuk melangkah naik dalam kepimpinan PKR akan terjejas, manakala ahli parti akan mendapati sukar untuk memandang tinggi kepadanya sebagai salah seorang pemimpin utama apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya berundur dari jawatan Presiden.

“Ini adalah masa yang tepat untuk beliau sekurang-kurangnya menjadi salah seorang Naib Presiden memandangkan bapanya masih Presiden. Pengaruh bapanya bagus untuknya.

“Ini akan menjadi kerugian bagi PKR kerana beliau dilihat sebagai sebahagian daripada generasi baharu ahli politik yang akan datang, bukan sahaja dalam PKR tetapi dalam politik negara, sama seperti Rafizi Ramli atau Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Ia satu kerugian bagi generasi muda juga, yang mahu melihat pemimpin baharu,” katanya.

Azmi menjangka, bekas Naib Presiden PKR itu mungkin mengikut jejak langkah Rafizi, yang berundur daripada arena politik pada Disember 2019 dan mengumumkan kepulangannya bulan lepas.

“Apabila tiba masanya, beliau akan kembali,” katanya, sambil menambah, Nurul Izzah “mungkin akan bertindak” apabila peluangnya lebih baik untuk memenangi jawatan.

Pada 12 April lalu, Nurul Izzah mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada pemilihan PKR, walaupun beliau digembar-gemburkan akan berganding dengan Rafizi bagi salah satu jawatan Naib Presiden.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here