Tag: PKR

  • Rafizi memberi panadol atau racun kepada Anwar?

    Rafizi memberi panadol atau racun kepada Anwar?

    guane

    Mampukah gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim-Rafizi Ramli dapat mengembalikan semula kepercayaan ahli dan penyokong serta kekuatan parti Keadilan Rakyat (PKR) di negara ini?

    Dan adakah gandingan dua pemimpin tersebut bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal diterima rakyat, khususnya para pengundi tegar parti tersebut.

    Begitulah tanda tanya serta perbualan pelbagai pihak mengenai kehadiran semula Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan untuk membantu Anwar dan PKR sewaktu banyak pihak sedang bercakap mengenai PRU15.

    Walaupun pelbagai andaian dan spekulasi dibuat, Anwar sebelum ini masih menganggap kehadiran Rafizi seolah-olah dapat memberi panadol kepada dirinya.

    Namum, ada juga suara nakal bertanya adakah panadol itu sebagai ubat untuk membantu merawat Ànwar atau ia adalah sebagai racun yang boleh membunuh karier politik Presiden PKR tersebut.

    Ini kerana, trend dunia politik semasa sudah jauh berubah di mana kebanyakan rakyat khususnya pengundi di negara semakin benci dengan orang politik yang lebih kuah daripada sudu dan banyak bercakap daripada bekerja untuk rakyat.

    Selain itu rakyat juga sudah tidak boleh menerima pemimpin yang gemar ‘berperang’ dan ‘menyerang’ pihak lain secara tidak bermaruah.

    Rakyat sudah muak dan enggan lagi mendengar isu-isu lapuk yang tidak berkesudahan.

    Mereka memerlukan kehidupan lebih aman dan tenteram ketika berhadapan dengan pelbagai krisis dunia sekarang khususnya melibatkan ekonomi dan kesihatan.

    Dalam menangani perkara ini, apakah Anwar, Rafizi dan PKR sudah bersedia menghadapinya?

    Persoalannya, adakah gandingan regu yang dianggap terbaik dalam PKR ini diterima ahli dan penyokong dalam PRU15 nanti?

    Bercakap mengenai perkara ini, ada pemerhati politik beranggapan PKR bakal berhadapan masalah besar khususnya di Terengganu dan Kelantan untuk berhadapan dengan PRU15 nanti.

    Ia berkaitan dengan tindakan Anwar melantik Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri  (MPN) baru-baru ini yang terdiri daripada ‘orang luar’ bukan melibatkan pemimpin tempatan anak negeri yang sudah menyandang jawatan tersebut.

    Menurut salah seorang ahli parti itu yang enggan namanya disiarkan,  pengumuman Ànwar mengenai pelantikan jawatan MPN Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi penggal 2022 hingga 2025 agak ‘menyentak’ ahli dan penyokong setia parti tersebut.

    Difahamkan,walau pun keputusan dibuat berdasarkan perbincangan mesyuarat bersama ketua cabang bahagian negeri masing-masing, namun ada juga yang terlalu sukar menerimanya.

    Sebelum ini, Anwar telah mengumumkan nama Amirudin Shari sebagai Pengerusi MPN Pahang serta Nik Nazmi Nik Ahmad dilantik sebagai Pengerusi MPN Terengganu dan Kelantan.

    Azan Ismail

    Pengerusi MPN Terengganu sebelum ini ialah Azan Ismail yang juga Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu manakala Kelantan ialah Datuk Seri Mohd Supardi Md Noor yang merupakan Ketua Cabang Tanah Merah.

    Sumber memberitahu, meskipun tiada ahli dan penyokong kedua-dua negeri membantah secara terbuka, namun jika tidak diawasi dengan baik tidak mustahil ia mampu berlaku seperti Sabah.

    Ini kerana,sikap ‘keakuan’ dan ‘kenegerian’ orang Terengganu dan Kelantan seharusnya diberikan perhatian.

    Baru-baru ini Naib Pengerusi MPN PKR Sabah, Datuk John Ghani bertindak meletak jawatan dan keluar parti setelah dikatakan sudah hilang kepercayaan terhadap tindakan Anwar yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama kerajaan pusat disamping menggantikan Pengerusi MPN PKR Sabah, Datuk Christina Liew dengan Datuk Sangkar Rasam.

    John berpendapat, sebagai Ketua Pembangkang Anwar tidak sepatutnya menandatangani MoU Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan kerana ia dikatakan tidak memberi manfaat kepada parti.

    Selain itu John yang terlalu kecewa dengan tindakan Anwar menggantikan Christina Liew dengan Sangkar Rasam sebagai pengerusi baru MPN Sabah di saat PRU-15 semakin hampir menganggap ia sebagai langkah kurang tepat kerana boleh memecahkan kesatuan parti itu.

    Malah beliau khuatir penggantian Christina kepada Rasam berpotensi menyebabkan PKR kehilangan kerusi parlimen di Tawau dan kerusi DUN Api-Api.

    Justeru, apakah episod ini bakal berulang di Terengganu dan Kelantan?

    Atau mungkinkah PKR serta Pakatan Harapan (PH) terus tenggelam di kedua-dua negeri di Pantai Timur ini pada PRU15 nanti?

  • Bekas pemimpin PKR tak setuju Saraswathy dilantik Naib Presiden

    Bekas pemimpin PKR tak setuju Saraswathy dilantik Naib Presiden

    SOKONGAN pengundi India terhadap PKR dikhuatiri akan terjejas ekoran pelantikan K Saraswathy sebagai Naib Presiden parti itu bagi mewakili kaum berkenaan.

    Malah, pelantikan tersebut dianggap sebagai ‘payung terjun’ serta dikatakan tidak mencerminkan sokongan akar umbi.

    Memetik laporan FMT, bekas Setiausaha Agung PKR, S Jenapala Perumal berkata, pemimpin yang dilantik untuk jawatan tersebut sepatutnya terdiri daripada tokoh yang berpengalaman dan sudah lama berjuang untuk parti.

    Sehubungan itu, beliau menggesa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkaji semula lantikan berkenaan.

    “Pelantikan naib presiden parti mewakili masyarakat India tidak boleh dianggap sebagai satu permainan,” katanya.

    Rabu lalu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR melantik dua individu sebagai naib presiden lantikan, iaitu Saraswathy dan Awang Husaini Sahari dari Sabah.

    Pengumuman barisan kepimpinan penuh PKR, termasuk jawatan lantikan bagi mewakili masyarakat India dan Sabah serta Sarawak dilihat bertujuan memastikan komposisi kaum seimbang.

    Ini kerana tiada wakil berbangsa India serta pemimpin dari Sabah dan Sarawak yang mengisi 20 kerusi MPP bagi penggal 2022-2025 dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

    Jenapala yang bersama PKR selama 23 tahun berkata, pandangan dan sokongan masyarakat India amat penting dan tidak boleh diambil ringan oleh Anwar, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Kita minta kepimpinan beri pertimbangan sewajarnya dan tukar pelantikan beliau (Saraswathy). Masyarakat umum tahu siapa dia dan siapa yang cadang lantik dia (Saraswathy),” katanya.

    Sementara itu, ahli PKR, Michael Tamilarason yang bersama parti itu lebih 20 tahun berkata, pelantikan pemimpin, termasuk naib presiden parti perlu terdiri daripada individu berkredibiliti dan berpengalaman.

    Beliau berkata, pemimpin dilantik juga harus mempunyai sokongan akar umbi untuk menarik pengundi luar dan dalam, khususnya dalam kalangan masyarakat India.

    “Kita perlu akar umbi sokong agenda kita. Sekarang keadaan kritikal perlu tarik pengundi luar dan dalam,” katanya yang pernah bertanding jawatan Naib Presiden pada 2018.

  • Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat meninggal dunia

    Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat meninggal dunia

    BEKAS Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd. Idris Jusi dilaporkan meninggal dunia semalam.

    Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan berita pemergian Mohd. Jusi
    melalui perkongsian dalam Facebook miliknya lewat malam tadi.

    Anwar dalam hantarannya semalam turut menyatakan rasa duka dan mengucapkan takziah di atas pemergian Allahyarham.

    “Menerima khabar duka, sahabat lama saya yang juga mantan Ahli Parlimen Batu Pahat dan pimpinan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Datuk Mohd. Idris Jusi telah meninggal dunia.

    “Saya utuskan salam takziah kepada keluarga. Semoga mereka tabah menempuh dugaan ini.

    “Moga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Dalam kemas kini menerusi Facebook lewat malam tadi, Anwar dilihat bersama ahli keluarga Allahyarham menantikan persiapan jenazah.

    “Bersama keluarga Allahyarham Datuk Mohd. Idris Jusi tatkala menunggu jenazah diuruskan sebelum di bawa ke Kepong untuk dikebumikan,” tulis Anwar.

    Allahyarham yang juga calon PKR sebelum ini pernah bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dan menewaskan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

  • Sah! Nurul Izzah dilantik Naib Presiden PKR

    Sah! Nurul Izzah dilantik Naib Presiden PKR

    AHLI Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dilantik sebagai Naib Presiden PKR, manakala Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kembali menyandang jawatan Setiausaha Agung parti itu.

    Perkara itu diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rakaman audio yang dikongsi bersama media menerusi WhatsApp parti itu selepas mesyuarat pertama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR penggal 2022-2025 malam tadi.

    Dua lagi Naib Presiden yang turut dilantik ialah Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Awang Sahari dan Saraswathy Kandasamy, sementara Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil sebagai Ketua Penerangan; Ahli Parlimen Selayang, William Leong (Bendahari) dan Zahir Hassan (Ketua Setiausaha Pengelola).

    Selain itu, lima ahli MPP yang dilantik ialah Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail, Manivanan Gowin; Yuneswaran Ramaraj dan Abun Sui Anyit.

    Pada Kongres Nasional PKR Ahad lepas, Jawatankuasa Pemilihan Parti mengumumkan secara rasmi Anwar kekal sebagai Presiden parti selepas menang tanpa bertanding, sementara Mohd Rafizi Ramli dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baharu mengalahkan Saifuddin Nasution. – BERNAMA

  • Rafizi ‘jeneral’ jentera PRU-15, PKR semakin jauh dari khemah besar

    Rafizi ‘jeneral’ jentera PRU-15, PKR semakin jauh dari khemah besar

    PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Timbalannya, Rafizi Ramli akan mengetuai jentera pilihan raya parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Memetik laporan Malaysiakini, beliau berkata, pelantikan itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR malam tadi.

    Ahli Parlimen Port Dickson itu yakin Rafizi mampu mengangkat martabat dan kedudukan PKR dan Pakatan Harapan (PH).

    “Untuk itu, saya telah mencadangkan agar Rafizi selaku Timbalan Presiden mengetuai pasukan perang pilihan raya ini.

    “Rafizi akan diberikan wewenang untuk bergerak secepat mungkin bagi memperkuat jentera pilihan raya parti,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat MPP di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, semalam.

    Anwar menambah, Rafizi akan dibantu naib-naib presiden serta Pengarah Pilihan Raya Fuziah Salleh.

    Rafizi menjadi Timbalan Presiden PKR setelah menewaskan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada pemilihan parti dengan perbezaan 16,688 undi.

    Bekas Ahli Parlimen Pandan itu merupakan antara pemimpin PKR yang keras menentang gagasan khemah besar.

    Pada masa yang sama, Saifuddin pernah menyatakan bahawa PKR bersedia mempertimbangkan idea tersebut bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru.

    Pandangan serupa turut dikongsi dengan sekutu-sekutu lain dalam PH antaranya Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

    Dengan peranan baharu yang bakal dimainkan Rafizi, kemungkinan besar PKR tidak akan menyertai khemah besar, sekali gus mengulangi tragedi kekalahan yang memalukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRN Melaka.

  • Perwakilan PKR gagal lihat gambaran besar MoU – Salahuddin

    Perwakilan PKR gagal lihat gambaran besar MoU – Salahuddin

    AHLI-AHLI PKR yang menggesa agar Memorandum Persefahamanan (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan dimansuhkan dikatakan gagal melihat gambaran keseluruhan inisiatif tersebut.

    Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, para pengkritik perlu merujuk kepada dokumen itu untuk membetulkan tanggapan mereka yang salah.

    Menurut beliau, salah satu tanggapan yang salah itu adalah pembangkang tidak akan menegur kerajaan dalam isu yang tidak disebut dalam dokumen, seperti kenaikan harga barang.

    “Kami masih mengkritik kerajaan mengenai perkara ini,” katanya seperti dilaporkan FMT.

    Sebagai contoh, Salahuddin memberitahu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik kerajaan kerana menubuhkan jawatankuasa Kabinet mengenai harga barangan setelah setengah tahun rakyat bergelut dengan peningkatan kos.

    Beliau menambah, PH jelas mengenai perkara yang dikehendakinya dalam MoU itu, seperti pengurusan COVID-19 yang betul dan penggubalan undang-undang antilompat parti.

    “Kita perlu melihat gambaran yang lebih besar,” katanya sambil menambah, tuntutan-tuntutannya tidak dapat dipenuhi tanpa MoU.

    Pada Ahad lalu, beberapa perwakilan dalam Kongres Nasional PKR berkata, tiada keperluan untuk melanjutkan MoU melebihi 31 Julai.

    Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Aizuddin Ariffin berkata, perjanjian itu sepatutnya sudah dibatalkan apabila Putrajaya ternyata gagal menangani isu yang menjadi kebimbangan umum, seperti kenaikan harga barangan dan ketidakcekapan menteri.

    Ketua Penerangan AMK Sabah, Razeef Rakimin pula berkata, tiada sebab untuk MoU itu diteruskan kerana kerajaan telah memungkiri banyak janjinya.

  • Anwar ulang “Kita menang hari ini, harga minyak jatuh esok”

    Anwar ulang “Kita menang hari ini, harga minyak jatuh esok”

    WALAUPUN sedar bahawa janjinya untuk menurunkan harga minyak sehari selepas menjadi Perdana Menteri dijadikan bahan lawak, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap mengulangi kata-katanya itu.

    Memetik laporan Malaysiakini, Ahli Parlimen Port Dickson itu sedar janjinya dianggap jenaka ekoran kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakannya selama 22 bulan berkuasa.

    Namun, Anwar berkata, janji itu tidak ditepati kerana beliau bukan Perdana Menteri ketika itu.

    “Sekarang kalau kita berjaya kali ini, janji kita pada rakyat, jika kita berjaya, kita akan tunaikan sepenuhnya kepada rakyat.

    “Kita menang hari ini, harga minyak jatuh esok.

    “Saya (sebelum ini) bukan PM, macam mana boleh buat. Harga minyak tak boleh diturunkan kerana kerajaan fikir cara menyelamatkan orang di atas, dan kita fikir cara menyelematkan orang di bawah,” katanya pada sidang media selepas tamat Kongres Nasional PKR di Shah Alam hari ini.

    Anwar mendakwa, kerajaan sekarang tidak dapat menangani isu harga minyak kerana mereka yang berkuasa sibuk bekerja untuk menyelamatkan karier politik masing-masing.

    Pada 2008, Anwar berjanji kepada rakyat bahawa gabungan parti pembangkang yang dipimpinnya ketika itu akan menurunkan harga minyak sebaik sahaja mendapat mandat untuk mentadbir negara.

    Walau bagaimanapun, penetapan harga minyak tetap menggunakan kaedah yang sama seperti diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

  • MoU Kestabilan Politik: PKR bincang dengan DAP, Amanah

    MoU Kestabilan Politik: PKR bincang dengan DAP, Amanah

    PKR akan mengadakan perbincangan dengan DAP dan Amanah mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) yang akan berakhir 31 Julai ini.

    Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana DAP dan PKR mempunyai ahli majlis baharu selepas pemilihan kedua-dua parti yang diadakan baru-baru ini.

    “Bagi tafsiran MoU, ia tidak semestinya berakhir pada Julai atau semasa pilihan raya. Jadi kita akan melihat kerana kita tidak mahu dilihat tidak memberi tumpuan kepada masalah rakyat.

    “Sebagai contoh, sebaik sahaja kita menamatkannya (MoU), adakah kita memaksa diadakan pilihan raya umum? Kita tidak mahu memaksa kerana terdapat perkara penting yang perlu ditangani,” katanya pada sidang media selepas Kongres Nasional Ke-16 PKR di Shah Alam hari ini, mengulas sama ada PH berminat untuk melanjutkan MoU berkenaan.

    Anwar berkata, beliau juga akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu depan untuk berbincang lebih lanjut mengenai MoU itu.

    Pada 13 Sept 2021, kerajaan Persekutuan dan PH memeterai MoU itu bagi membentuk kerjasama dwipartisan merangkumi aspek pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

    Sebelum itu, semasa sesi penggulungan Anwar berkata, pendekatan menetapkan calon sepertimana yang diambil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor tidak akan digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

    Anwar berkata mana-mana pemimpin yang tidak mempunyai prestasi rekod kerja yang memuaskan di cabang, tidak akan dipilih sebagai calon dan parti juga akan mendapatkan pandangan wanita serta ahli akar umbi sebelum watikah pelantikan ditandatangani.

    “Mengambil pengalaman pada PRN Melaka dan Johor, orang salahkan Anwar. Tapi saya Presiden, saya ambil tanggungjawab. Tetapi mereka tidak tahu yang 90 peratus calon itu dicadangkan oleh Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan cabang, dan pendekatan serupa tidak akan digunakan lagi,” katanya. – BERNAMA

  • Hans Isaac, Maszlee Malik antara 20 MPP baharu PKR

    Hans Isaac, Maszlee Malik antara 20 MPP baharu PKR

    DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini diumum secara rasmi sebagai Presiden PKR bagi sesi 2022-2025 pada Kongres Nasional Ke-16 parti itu selepas menang tanpa bertanding jawatan nombor satu parti pada Pemilihan PKR 2022.

    Keputusan kepimpinan baharu PKR diumum Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Saiful Izham Ramli.

    Bekas Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli pula diumum secara rasmi dipilih sebagai Timbalan Presiden PKR, menewaskan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Menurut laman web rasmi PKR, Mohd Rafizi meraih 59,678 undi manakala Saifuddin Nasution mendapat 43,010 undi.

    Sementara itu, empat jawatan Naib Presiden PKR yang menyaksikan pertandingan 17 penjuru dimenangi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari (46,075 undi), Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang (34,939), Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad (34,496 undi) manakala Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (33,230 undi).

    Turut diumum adalah senarai 20 barisan baharu Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dipilih oleh 2,665 perwakilan pada Kongres Nasional PKR semalam.

    Berikut adalah senarai penuh Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR 2022-2025:

    Pengerusi Tetap: Datuk Ahmad Kassim

    Timbalan Pengerusi Tetap: Muhammad Mustafa Ghazanfar

    Presiden: Datuk Seri Anwar Ibrahim

    Timbalan Presiden: Mohd Rafizi Ramli

    Naib Presiden:

    1. Datuk Seri Amiruddin Shari
    2. Chang Lih Kang
    3. Nik Nazmi Nik Ahmad
    4. Datuk Seri Aminuddin Harun

    Anggota MPP:

    1. Dr Maszlee Malik

    2.​​ Akmal Nasrullah Mohd Nasir

    1. Datuk Romli Ishak

    ​​​​​​​4. Fahmi Zainol​​​​​​​

    ​​​​​​​5. Mohd Yahya Mat Sahri​​​​​​

    ​​​​​​​6. Nor Azrina Surip

    ​​​​​​​7. Lee Chean Chung

    ​​​​​​​8. Siti Aishah Shaik Ismail

    ​​​​​​​9. Syed Ibrahim Syed Noh

    ​​​​​​​10. Gerald Hans Isaac

    ​​​​​​​11. Simon Oii Tze Min

    ​​​​​​​12. Wong Chen

    ​​​​​​​13. Raiyan Abdul Rahim

    ​​​​​​​14. Tan Kar Hing

    ​​​​​​​15. Zahir Hassan

    ​​​​​​​16. David Cheong Kian Young

    ​​​​​​​17. Hee Loy Sian

    ​​​​​​​18. Amidi Abdul Manan

    ​​​​​​​19. Elizabeth Wong Keat Ping

    ​​​​​​​20. Muhammad Bakhtiar Wan Chik. – BERNAMA

  • Hormat Anwar tidak patut dianggap membodek – Saifuddin

    Hormat Anwar tidak patut dianggap membodek – Saifuddin

    PERBUATAN menghormati dan mentaati Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya disamakan dengan membodek.

    Memetik laporan Malaysiakini, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perbuatan itu adalah satu kewajipan dalam sesebuah organisasi.

    Beliau memberikan analogi ketaatan kepada pemimpin seumpama solat jemaah yang dipimpin oleh seorang imam.

    “Taat kepada pemimpin satu kewajipan organisasi, taat sifat dipuji.

    “Orang Islam dalam solat (berjemaah) ada imam, kita ikut, sekali kita tak ikut imam solat kita terbatal. Kalau imam tak betul kita boleh tegur dalam solat, ada cara tegur imam.

    “Imam rukuk (solat) kita rukuk, itu bukan makna bodek imam, itu taat dan patuh pada imam.

    “Imam baca dalam sembahyang bacaannya salah, tegur dia… imam lupa, tegur, ada cara. Dalam sembayang pun boleh tegur apa lagi di luar.

    “Tegurlah Anwar Ibrahim dalam mesyuarat, semua dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) boleh jadi saksi berapa banyak pandangan dia disanggah, ditolak sampai kadang-kadang dia merayu ‘ini pandangan saya’,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Ke-16 PKR di Shah Alam, hari ini.

    Saifuddin menambah, Anwar ialah pemimpin yang boleh ditegur dan dikritik, namun biarlah secara beradab dan berakhlak.

    Semalam, Timbalan Presiden PKR yang baharu, Rafizi Ramli berkata, kepimpinan baharu PKR tidak perlu membodek atau mempertahankan Anwar apabila Presiden parti itu dikritik.

    Menurut Rafizi, tiada sesiapa perlu mempertahankan Anwar daripada sebarang kritikan kerana peranan penting PKR adalah untuk menarik semula sokongan rakyat terhadap parti itu.

    “Kalau saya menjadi Anwar Ibrahim, saya rasa kita perlu terima factual finding (hakikat sebenar) kerana jika kita tidak melakukan apa-apa, ia (situasi sedia ada) akan diterjemahkan kepada keputusan pilihan raya, (di mana) hakikatnya dia telah hilang populariti.

    “Apa yang penting untuk parti dan kepimpinan baru adalah bukannya cuba membodek Anwar ke, pertahankan Anwar ke..,” kata Rafizi.

    Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin melahirkan rasa simpati dengan Presiden parti itu yang diserang dan diperlekehkan oleh beberapa pihak tertentu.

    Secara sinis, Shamsul membaca dua rangkap pantun bagi mengingatkan ahli PKR supaya patuh dan hormat kepada pucuk pimpinan parti itu.

    “Saya nak dedikasi dua pantun: bila berbicara khemah besar, jangan kita mudah tersasar, pemimpin hebat jiwanya besar, diserang digasak tetap sabar.

    “Ini bukan bodek, ini pantun, boleh jawab nanti,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan.