Tag: Piala AFF

  • Piala AFF: Ketiadaan 21,000 penyokong gembirakan Thailand

    Piala AFF: Ketiadaan 21,000 penyokong gembirakan Thailand

    KEKOSONGAN 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF esok angkara halangan struktur konsert selebriti antarabangsa Taiwan, Jay Chou nampaknya memberi kegembiraan pasukan Thailand.

    Perkembangan itu diakui sendiri pengendali skuad Gajah Perang, Alexandre Polking yang tampak menarik nafas lega selepas SNBJ tidak dapat beroperasi semaksimum mungkin susulan penganjuran konsert artis berkenaan pada 15 Januari ini.

    Namun ketiadaan 21,000 penyokong itu bukanlah ‘lesen’ untuk anak buahnya memandang enteng pertembungan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 malam esok memandangkan Malaysia tetap memiliki kekuatannya yang tersendiri.

    “Segala-galanya baik di sini dan mental kita sudah bersedia sepenuhnya untuk aksi sengit ini. Saya rasa kita agak bertuah dengan penganjuran konsert yang menyebabkan 21,000 tempat terpaksa dikosongkan, jadi kami gembira dengan situasi itu.

    “Tetapi kami tahu aksi ini tetap sukar dan kita harus bersedia denga apa juga situasi yang mungkin terjadi pada perlawanan esok (malam ini). Kita akan bermain dengan kekuatan kita, cuba mendapatkan bola dan mengawal permainan,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di ibu negara, hari ini.

    Dalam perkembangan sama, jurulatih kelahiran Brazil itu melihat skuad Harimau Malaya yang ‘berwajah baharu’ ini tetap mampu mengancam mereka apatah lagi dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman luas dalam bola sepak, Kim Pan Gon.

    “Pasukan Malaysia ada kekuatan dengan DNA mereka sebagai pejuang. Tak kisahlah siapa pun yang bermain, DNA ini tetap ada dalam setiap pemain Malaysia walaupun mereka berdepan senario sama seperti kita apabila tidak mendapat pemain terbaik.

    “Tetapi mereka tetap ada pemain yang berkualiti dan pertembungan ini sentiasa sukar sama seperti sebelum ini. Ini adalah aksi yang begitu kompetitif dan harapnya kita dapat membawa pulang keputusan yang positif bagi aksi kedua nanti,”katanya, lapor Berita Harian.

  • ‘Angkara’ struktur pentas konsert, hanya 59,000 tiket separuh akhir Piala AFF dijual

    ‘Angkara’ struktur pentas konsert, hanya 59,000 tiket separuh akhir Piala AFF dijual

    HANYA 59,000 tiket dijual bagi aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 antara skuad Harimau Malaya dengan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini (7 Jan).

    Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Noor Azman Rahman berkata perkara itu berikutan 21,000 tempat duduk terpaksa ‘dikosongkan’ kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.

    FAM turut mengumumkan bahawa harga tiket perlawanan itu kekal seperti aksi peringkat kumpulan – RM30 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi tempat duduk terbuka, RM50 bagi tempat duduk Premium dan RM60 bagi tempat duduk Grandstand.

    “Situasi ini tidak dapat dielakkan. FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian terbaik memastikan aksi skuad Harimau Malaya sepanjang kempen Piala AFF ini dilangsungkan di Stadium Nasional, berbanding jika ia diadakan di stadium lain yang berkapasiti lebih kecil.

    “Harga tiket RM30 bagi tempat duduk terbuka ini sama seperti harga tiket perlawanan separuh akhir, Malaysia lawan Thailand pada edisi 2018 dan adalah lebih rendah daripada harga tiket RM40 ketika perlawanan separuh akhir Malaysia lawan Vietnam pada 2014,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Konsert Jay Chou, artis terkemuka dari Taiwan, akan berlangsung pada 15 Jan di Stadium Nasional.

    Noor Azman berkata tiket bagi perlawanan itu hanya akan dijual secara dalam talian menerusi www.tickethotline.com.my bermula 3 petang Rabu, dengan tiada penjualan di kaunter.

    Selepas separuh akhir pertama di Bukit Jalil, skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Thailand untuk aksi timbal balik menentang skuad Gajah Perang di Stadium Thammasat, Pathum Thani yang terletak di utara Bangkok, pada Selasa (10 Jan).

    Sementara itu, FAM turut menasihatkan penyokong supaya berhati-hati dengan pembelian tiket selain daripada secara dalam talian di www.tickethotline.com.my, berikutan terdapat penjualan tiket palsu bagi perlawanan menentang Singapura, malam tadi.

    “FAM berharap perkara sedemikian tidak akan berlaku pada perlawanan separuh akhir pertama ini dan tindakan keras akan diambil terhadap pelaku,” tegasnya.

    Malaysia mara ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B dengan sembilan mata, selepas menewaskan Singapura 4-1 semalam. Vietnam muncul juara kumpulan dengan 10 mata, manakala Singapura tersingkir apabila menduduki tempat ketiga dengan tujuh mata.

    Sekiranya berjaya menundukkan pasukan paling cemerlang, Thailand yang mempunyai enam gelaran, skuad Harimau Malaya akan bertemu pemenang antara Vietnam dengan Indonesia di pentas final pada 13 dan 16 Jan ini. – BERNAMA

  • B-19 AFF: Harimau Muda ke pentas akhir selepas baham Vietnam

    B-19 AFF: Harimau Muda ke pentas akhir selepas baham Vietnam

    SKUAD bola sepak Bawah 19 Tahun (B-19) negara melangkah ke pentas akhir Kejohanan B-19 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) penuh bergaya, dengan menewaskan Vietnam 3-0 pada aksi separuh akhir di Bekasi, Indonesia, hari ini.

    Pada perlawanan berlangsung di Stadium Patriot Candrabhaga itu, skuad muda negara berjaya mendahului pada minit ke-26, menerusi jaringan Adam Farhan Faizal.

    Namun demikian walaupun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan menguji barisan pertahanan lawan, keadaan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

    Separuh masa kedua perlawanan memperlihatkan Vietnam yang ketinggalan cuba untuk menyamakan kedudukan, dengan mengasak ke gol Malaysia, namun gagal.

    Dalam keadaan asakan bertali arus Vietnam itu, skuad muda negara berjaya menambah jaringan pada minit ke-70 selepas bola leret Haqimi Azim di dalam kawasan kotak penalti, berjaya disempurnakan Haiqal Haqeemi Hairi.

    Ternyata momentum jaringan tersebut tidak terhenti buat skuad muda negara selepas Hayqal Danish Haizon menjadikannya 3-0, pada ketika perlawanan berbaki tiga minit.

    Malaysia dijadualkan bertemu sama ada pasukan Laos atau Thailand yang turut bertemu pada satu lagi aksi separuh akhir malam ini.

    Pencapaian terbaik skuad negara di pentas Kejuaraan B-19 AFF adalah semasa menjuarai edisi 2018 dengan menumbangkan Myanmar 4-3 pada final di Indonesia.

    Malaysia juga berjaya mara ke final ketika edisi terakhir pada 2019 di Vietnam, namun dikecewakan Australia yang merangkul kejuaraan kelima dengan keputusan 1-0. – BERNAMA

  • Harimau Malaya tewas di tangan Vietnam 3-0

    Harimau Malaya tewas di tangan Vietnam 3-0

    HASRAT Malaysia mara ke separuh akhir lebih awal disekat Vietnam, selepas tewas 0-3 pada aksi ketiga Kumpulan B Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Stadium Bishan, Singapura, malam ini.

    Kegagalan menyesuaikan diri dengan cepat terhadap intensiti tinggi permainan menghukum pasukan negara, apabila dibolosi dua gol dalam tempoh empat minit pada pertengahan babak pertama sebelum Vietnam melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada penghujung perlawanan.

    Keputusan itu sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah skuad kebangsaan bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe pada kempen itu, selepas merakam kemenangan ke atas Kemboja dan Laos pada dua aksi pertama.

    Kekalahan di tangan penyandang juara itu juga menggugat peluang pasukan negara menempatkan diri ke pusingan empat pasukan terbaik, apabila jatuh ke kedudukan ketiga dalam saingan Kumpulan B dengan Vietnam kini di tempat kedua manakala Indonesia sebagai pendahulu.

    Ia juga kekalahan keenam Malaysia kepada Vietnam dalam tujuh pertemuan terakhir dan kekalahan kelima buat Cheng Hoe berdepan skuad Naga Emas itu sejak membimbing pasukan negara pada 2017.

    Pada aksi tersebut, kegagalan ketua pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak mengeluarkan bola di udara dengan kemas, nyaris meletakkan Vietnam di depan seawal minit kedua, namun sepakan voli Nguyen Cong Phuong melambung tinggi.

    Cong Phuong sekali lagi mencemaskan gawang negara menerusi percubaan jarak dekat pada minit ke-10 yang bijak diselamatkan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, sebelum Malaysia menerima tamparan apabila Mohamad Aidil yang mengalami kecederaan di paha terpaksa dibawa keluar pada minit ke-24.

    Pemain muda Dominic Tan dibawa masuk untuk digandingkan bersama Shahrul Mohd Saad dan situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya Vietnam, bagi meledak gol pembukaan pada minit ke-32 menerusi Nguyen Quang Hai berpunca daripada kesilapan barisan pertahanan.

    Selang seminit kemudian, Malaysia memperoleh peluang terbaik menyamakan kedudukan selepas pemain pertahanan Vietnam tertanduk bola ke belakang tepat ke kaki penyerang muda Luqman Hakim Shamsudin yang tidak dikawal, namun rembatan kaki kiri pemain berusia 19 tahun itu jauh tersasar.

    Kombinasi kurang baik antara Shahrul dan Dominic sekali lagi menghukum skuad kebangsaan, apabila Nguyen Cong Phuong mudah membuat larian untuk melepasi halangan dua pemain itu sebelum mengacah Dominic, dan melepaskan rembatan kaki kanan menewaskan Khairul Fahmi pada minit ke-36. – BERNAMA

  • Piala AFF: 2 pemain Harimau Malaya positif COVID-19

    Piala AFF: 2 pemain Harimau Malaya positif COVID-19

    SEHARI sebelum aksi pertama saingan Piala AFF 2020 menentang Kemboja, skuad Harimau Malaya dikejutkan dengan berita dua pemainnya didapati positif COVID-19.

    Pengurus pasukan Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, kedua-dua pemain tersebut didapati positif dalam ujian saringan masuk ke Singapura di Lapangan Terbang Changi kelmarin, namun kesemua ahli pasukan yang lain tidak dijangkiti.

    Beliau berkata dua pemain berkenaan telah diarahkan menjalani kuarantin selama 10 hari mengikut protokol Kementerian Kesihatan Singapura, dengan ujian COVID-19 dilakukan pada setiap hari.

    Mohd Yusoff, yang juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), turut mengesahkan bahawa, pihak penganjur membenarkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe meneruskan latihan dan cabaran di Piala AFF 2020.

    “Kita masih sedang membincangkan mengenai keputusan memanggil pemain lain menggantikan dua pemain ini, kerana terdapat satu posisi yang agak kritikal. Cheng Hoe dijangka membuat keputusan pada malam ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Singapura.

    Cheng Hoe yang menyenaraikan 24 pemain ke Singapura, kini hanya mempunyai 21 pemain yang mampu beraksi esok, di mana pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium Dion Cools yang sedang beraksi bersama FC Midtjylland di Denmark, dijangka hanya menyertai skuad kebangsaan sebelum aksi terakhir kumpulan bertemu Indonesia pada 19 Dis ini.

    Pertembungan antara Kemboja dan Malaysia selaku naib juara edisi 2018 akan berlangsung di Stadium Bishan 5.30 petang, pada aksi pertama Kumpulan B esok.

    Skuad Harimau Malaya kemudian dijadualkan bertemu Laos pada 9 Dis sebelum berdepan cabaran Vietnam (12 Dis) dan Indonesia pada aksi terakhir. – BERNAMA