SEHARI sebelum aksi pertama saingan Piala AFF 2020 menentang Kemboja, skuad Harimau Malaya dikejutkan dengan berita dua pemainnya didapati positif COVID-19.

Pengurus pasukan Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, kedua-dua pemain tersebut didapati positif dalam ujian saringan masuk ke Singapura di Lapangan Terbang Changi kelmarin, namun kesemua ahli pasukan yang lain tidak dijangkiti.

Beliau berkata dua pemain berkenaan telah diarahkan menjalani kuarantin selama 10 hari mengikut protokol Kementerian Kesihatan Singapura, dengan ujian COVID-19 dilakukan pada setiap hari.

Mohd Yusoff, yang juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), turut mengesahkan bahawa, pihak penganjur membenarkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe meneruskan latihan dan cabaran di Piala AFF 2020.

“Kita masih sedang membincangkan mengenai keputusan memanggil pemain lain menggantikan dua pemain ini, kerana terdapat satu posisi yang agak kritikal. Cheng Hoe dijangka membuat keputusan pada malam ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Singapura.

Cheng Hoe yang menyenaraikan 24 pemain ke Singapura, kini hanya mempunyai 21 pemain yang mampu beraksi esok, di mana pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium Dion Cools yang sedang beraksi bersama FC Midtjylland di Denmark, dijangka hanya menyertai skuad kebangsaan sebelum aksi terakhir kumpulan bertemu Indonesia pada 19 Dis ini.

Pertembungan antara Kemboja dan Malaysia selaku naib juara edisi 2018 akan berlangsung di Stadium Bishan 5.30 petang, pada aksi pertama Kumpulan B esok.

Skuad Harimau Malaya kemudian dijadualkan bertemu Laos pada 9 Dis sebelum berdepan cabaran Vietnam (12 Dis) dan Indonesia pada aksi terakhir. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here