Tag: Peter Anthony

  • Peter Anthony umum tubuh Parti KDM, mohon sertai GRS

    Peter Anthony umum tubuh Parti KDM, mohon sertai GRS

    BEKAS Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Peter Anthony hari ini mengumumkan penubuhan parti baharu iaitu Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang pendaftarannya diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 18 Feb lepas.

    Beliau mengumumkan perkara itu sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dari Kuala Lumpur.

    “Mesyuarat pertama akan diadakan pada 13 Mac depan sekali gus melantik ahli jawatankuasa parti,” katanya kepada pemberita.

    Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Limbahau, Datuk Juil Nuatim yang juga Timbalan Presiden KDM.

    Peter berkata, langkah pertama parti itu ialah membuat permohonan untuk bergabung dengan Gabungan Rakyat Sabah yang kini menerajui kerajaan negeri.

    “Sebagai parti kerdil, kita perlu bekerjasama dalam memajukan Sabah… sudah tiba masanya parti politik di Sabah bergabung agar kerajaan kita kuat seperti yang berlaku di Sarawak,” katanya.

    Peter dan Juil keluar Warisan pada 27 Dis tahun lepas kerana percaya perjuangan parti itu sudah tersasar dari landasan asal. – BERNAMA

  • Rakan berbohong guna komputer buat draf surat sokongan UMS – Peter

    Rakan berbohong guna komputer buat draf surat sokongan UMS – Peter

    BEKAS Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa Mohd Shukur Mohd Din tidak pernah datang ke pejabatnya dan menggunakan komputer beliau untuk membuat draf surat sokongan berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan sistem mekanikal dan ektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

    Peter, 51, berkata, keterangan Mohd Shukur bahawa dia membuat draf surat sokongan tanpa tajuk yang kemudian ditinggalkan dalam komputer adalah pembohongan kerana rakannya itu tidak pernah datang ke pejabat beliau di Plaza Damai, Kota Kinabalu untuk berbuat demikian.

    “Keterangan saksi pendakwaan ketiga itu bahawa dia datang semula ke pejabat untuk mengambil surat berkenaan daripada saya yang telah dicetak juga satu pembohongan,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh peguam S Devanandan, yang mewakili beliau, pada hari pertama prosiding membela diri terhadap pertuduhan memalsukan surat berhubung kontrak kerja M&E.

    Peter berkata, beliau jarang berada di pejabat dan hanya terdapat sebuah komputer yang sering digunakan oleh setiausahanya setiap hari.

    Disoal sama ada setiausaha atau kerani beliau pernah memaklumkan mengenai kehadiran Mohd Shukur ke pejabatnya, Peter menjawab, “tidak pernah.”

    Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah berdasarkan keterangan Mohd Shukor, Peter memalsukan dokumen itu kerana tertuduh yang menaip tajuk pada surat tersebut saksi berkenaan mengosongkan bahagian kepala draf surat sokongan yang ditinggalkan dalam komputer di pejabat beliau namun keesokannya mendapati ia telah diisi dengan tarikh, tajuk dan kandungan.

    Peter juga berkata, beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan mana-mana pegawai atasan UMS menyediakan surat sokongan berhubung kontrak kerja penyelenggaraan sistem M&E di universiti itu.

    Menyentuh notis tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diserahkan kepadanya, Peter berkata, beliau enggan menandatangani notis itu kerana telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan sejak 2014.

    “Semasa dipanggil untuk ke pejabat SPRM Sabah, pegawai SPRM memaklumkan kepada saya mengenai tangkapan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. Fikiran saya agak bercelaru kerana saya tidak bersetuju dengan tuduhan di bawah seksyen tersebut.

    “SPRM memaklumkan bahawa mereka akan memasukkan saya ke dalam lokap SPRM namun jika saya membayar wang jaminan RM10,000, saya akan dilepaskan. Saya membayarnya dan saya dilepaskan,” katanya.

    Ketika disoal sama ada Peter bertanya kepada pegawai SPRM selepas menerima notis tangkapan itu, Peter menjawab “Ada, dan pegawai itu hanya menyatakan seksyen itu adalah (berkaitan kesalahan) memberi rasuah atau suapan wang namun tidak memberitahu kepada siapa saya memberi suapan tersebut.”

    “Saya tidak pernah sama sekali memberi suapan kepada mana-mana pihak sebelum ini,” katanya.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

    Pada 14 Dis 2021, Mahkamah Sesyen memerintahkan Peter untuk membela diri atas pertuduhan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

    Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada YAB Perdana Menteri, tingkat lima, bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Parti baharu Peter Anthony boleh perkukuh GRS

    HASRAT bekas Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony menubuhkan parti baharu mesra kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengukuhkan lagi gabungan itu, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

    Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, hasrat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu merupakan satu perkembangan baik yang akan mengukuhkan kedudukan kerajaan negeri Sabah.

    “Itu dia punya (keputusan). Kita mengamalkan demokrasi dan beliau telah membuat keputusan demikian untuk menubuhkan parti baharu yang mesra dengan kerajaan GRS.

    “Bagi saya sebagai ketua kerajaan GRS, ini satu perkembangan yang baik kerana akan menguatkan lagi kerajaan negeri. Jadi, kita berterima kasihlah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan bakul makanan dan wang ihsan RM1,000 kepada mangsa banjir di Kota Marudu hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Peter untuk menubuhkan parti baharu selepas keluar daripada Warisan, baru-baru ini.

    Ditanya sama ada Peter sudah menghubungi beliau secara peribadi bagi menyatakan hasrat itu, Hajiji berkata: “belum lagi.”

    Pada 28 Dis lepas, Peter mengumumkan keluar Warisan dan menyatakan hasrat menubuhkan parti yang akan bekerjasama dengan kerajaan Sabah pimpinan GRS demi memperjuangkan hak serta nasib rakyat Sabah selepas melihat Warisan jauh tersasar dalam perjuangan apabila ia melebarkan sayapnya ke Semenanjung. – BERNAMA

  • Peter Anthony bakal keluar Warisan, tubuh parti baharu?

    Peter Anthony bakal keluar Warisan, tubuh parti baharu?

    NAIB Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony yang sedang berdepan tuduhan rasuah di mahkamah bakal mengumumkan hala tujunya dalam politik, esok.

    Memetik laporan FMT, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu telah menjemput wartawan semalam untuk menghadiri sidang media khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), tengah hari esok.

    Walau bagaimanapun, tiada maklumat tentang mengapa beliau mengadakan sidang media pada pukul 12.30 tengah hari itu.

    Timbul desas-desus mengatakan Peter mungkin akan keluar dari Warisan untuk menubuhkan sebuah parti baharu serta menjadi ADUN bebas yang menyokong kerajaan.

    Sumber yang rapat dengan Peter ketika dihubungi FMT enggan mengulas lanjut mengenai sidang media berkenaan, namun berkata pemimpin berusia 50 tahun itu mungkin akan ‘beralih arah’.

    Selain Naib Presiden Warisan, Peter juga adalah Presiden sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia.

    Khabar angin turut mengatakan beliau akan menggunakan KDM Malaysia sebagai platform baharu politiknya.

    Sebelum ini, Warisan kehilangan tiga ADUN selepas Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Yusof Yacob (Sindumin) dan Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama) keluar parti.

    Semua mereka pada mulanya mengumumkan keluar daripada Warisan untuk menjadi ADUN bebas mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Hassan dan Mohamaddin kemudian mengumumkan menyertai Bersatu namun Yusof sehingga kini kekal sebagai ADUN bebas menyokong kerajaan.

  • 15 saksi dipanggil, pendakwaan tutup kes Peter Anthony

    15 saksi dipanggil, pendakwaan tutup kes Peter Anthony

    PIHAK pendakwaan menutup kes bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony hari ini selepas 15 saksi dipanggil memberi keterangan.

    Memetik laporan BH, Peter, 50, didakwa atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

    Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata demikian kepada Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi, selepas saksi terakhir, bekas Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Prof Dr Shariff Abd Kadir Shariff Omang, 66, yang dipanggil semula untuk pemeriksaan kedua-dua pihak selesai memberikan keterangan.

    Sebelum itu, Wan Shaharuddin memaklumkan bahawa pihak pendakwaan menawarkan seorang saksi kepada pihak pembelaan iaitu Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Yusizzudin Mohd Yusof.

    Mahkamah memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis pada 8 Oktober dan mengemukakan jawapan balas pada 18 Oktober.

    Mahkamah turut menetapkan 29 Oktober ini untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan sebelum memutuskan sama ada Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintahkan untuk membela diri.

    Seramai 15 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada April 2021.

    Antara 15 saksi yang dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan bermula April lalu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

    Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, dituduh memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

    Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.