Tag: Perkeso

  • Pulang sehari sebelum hari bekerja dikira ‘perjalanan kerja’, putus mahkamah

    Pulang sehari sebelum hari bekerja dikira ‘perjalanan kerja’, putus mahkamah

    SEORANG pekerja yang dalam perjalanan dari kampung halamannya ke tempat kerja di bandar lain layak bagi tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana dianggap membuat “perjalanan kerja”, putus Mahkamah Rayuan.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, panel tiga hakim semalam memutuskan bahawa kecederaan yang dialami oleh N Sathiaseelan dalam kemalangan pada Ahad dianggap sebagai kecederaan pekerjaan bawah Seksyen 24(1)(a) Akta Perkeso 1969, walaupun ia berlaku pada hari cutinya.

    Keputusan penting itu dibuat sebulat suara oleh panel yang dianggotai Lee Swee Seng, Vazeer Alam Mydin Meera dan Nazlan Ghazali.

    Peguam mewakili Sathiaseelan, M Manoharan berkata, Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa Akta Perkeso harus ditafsirkan secara meluas dan bebas dalam konteks tanggungjawab sosial korporat, membolehkan pekerja membuat perjalanan ke tempat kerja mereka dari kampung halaman pada hujung minggu.

    Sathiaseelan, yang bekerja sebagai juruteknik kanan di Infineon Technologies Sdn Bhd di Kulim, Kedah, terbabit dalam kemalangan ketika pulang ke tempat kerjanya pada 16 Okt 2016 selepas menghabiskan hujung minggu di rumahnya di Ipoh.

    Manoharan berkata, kemalangan itu mengakibatkan juruteknik itu mengalami beberapa kecederaan dan kecacatan. Sathiaseelan memohon tuntutan hilang upaya sementara daripada Perkeso tetapi ditolak.

    “Perkeso menolak tuntutannya atas alasan bahawa kecederaan yang dialami dalam kemalangan itu (tidak layak dianggap sebagai) kecederaan pekerjaan bawah akta itu,” kata Manoharan.

    Beliau berkata, rayuan Sathiaseelan ditolak oleh lembaga Perkeso yang menegaskan tuntutan itu tidak sah kerana kemalangan berlaku dalam perjalanan pada hari cutinya.

    Sathiaseelan kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Ipoh, seperti yang diperuntukkan bawah Akta Perkeso, tetapi rayuan tersebut turut ditolak.

    “Mahkamah itu memutuskan bahawa perjalanannya pada Ahad tidak berkaitan dengan pekerjaannya, bahawa beliau tidak membuat perjalanan atas arahan majikan, dan perjalanan itu semata-mata atas sebab peribadi,” kata Manoharan.

    Sathiaseelan kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan, yang menyampaikan keputusannya semalam.

  • Cuepacs dakwa jabatan kerajaan hutang caruman Perkeso lebih RM32 juta

    Cuepacs dakwa jabatan kerajaan hutang caruman Perkeso lebih RM32 juta

    KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendakwa sebuah jabatan kerajaan gagal membayar tunggakan lebih RM32 juta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk pekerja kontrak dan sementara.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Presiden badan yang menaungi kesatuan kakitangan awam itu, Adnan Mat berkata, tunggakan terbabit adalah caruman dari 2013 hingga 2020, berjumlah RM32,151,063.

    Beliau menggesa tunggakan itu dibayar segera bagi memastikan penjawat awam layak menerima skim hilang upaya Perkeso, sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada mereka.

    Sekiranya sumbangan itu tidak dibuat katanya, kakitangan berkenaan akan gagal memenuhi syarat-syarat skim hilang upaya di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

    “Sebagai majikan, menjadi tanggungjawab (jabatan kerajaan) untuk memastikan setiap pekerja kontrak dan sementara membuat caruman kepada Perkeso, sekali gus menjamin perlindungan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, kegagalan berbuat demikian, ia adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 94 Akta 4 serta Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerja 1971, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

    Adnan menggesa semua agensi kerajaan, pihak berkuasa dan badan berkanun untuk mendaftar dan mencarum kepada Perkeso untuk kakitangan kontrak kerana terdapat pelbagai faedah tersedia untuk pekerja.

    Ini terdiri daripada faedah hilang upaya sementara atau kekal, pencen hilang upaya dan faedah perubatan, kepada faedah pemulihan fizikal atau vokasional.

    Beliau berharap kerajaan bertegas dalam perkara yang melibatkan keselamatan dan kesejahteraan pekerja, walaupun mereka kakitangan kontrak atau sementara.

  • Perkeso kuatkuasa siling gaji baharu untuk caruman 1 Sept

    Perkeso kuatkuasa siling gaji baharu untuk caruman 1 Sept

    KEMENTERIAN Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menguatkuasakan siling gaji baharu untuk maksud caruman mulai 1 Sept ini.

    Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata dijangka 1.5 juta pekerja atau hampir 19 peratus daripada keseluruhan pencarum Perkeso di seluruh negara terlibat dalam peningkatan siling gaji itu yang merangkumi pekerja tempatan dan pekerja asing.

    Beliau berkata peningkatan siling itu susulan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) yang melibatkan peningkatan had siling gaji bagi maksud caruman daripada RM4,000 kepada RM5,000 sebulan.

    Katanya langkah meningkatkan siling gaji itu akan menambah baik liputan keselamatan sosial Perkeso menerusi peningkatan kadar bayaran faedah sedia ada sehingga 25.3 peratus.

    “Faedah tersebut adalah seperti Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Pencen Penakat dan Pencen Ilat di bawah Akta 4 serta Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB) dan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) di bawah Akta 800.

    “Mulai September ini, amaun caruman yang akan terpakai bagi pekerja bergaji melebihi RM4,000 sebulan adalah seperti yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga, Akta 4 dan Jadual Kedua, Akta 800. Bagi pekerja yang bergaji melebihi RM5,000 sebulan, amaun caruman adalah mengikut had siling gaji RM5,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohammed Azman berkata bayaran caruman hendaklah dibuat oleh majikan mengikut pindaan had siling gaji baharu bagi September ini dan seterusnya.

    “Majikan diminta mencatatkan jumlah potongan caruman dalam penyata atau slip gaji pekerja masing-masing bagi tujuan rekod dan aktiviti pemeriksaan oleh Perkeso,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau memaklumkan sejak penubuhan Perkeso pada 1971 hingga kini, peningkatan siling gaji telah dilaksanakan sebanyak lima kali.

    Menurutnya langkah yang dilaksanakan itu sejajar dengan usaha berterusan agensi itu dalam menyediakan perlindungan sosial lebih komprehensif kepada pencarum dan orang tanggungannya.- BERNAMA

  • Perkeso gantung RM423 juta bayaran PenjanaKerjaya

    Perkeso gantung RM423 juta bayaran PenjanaKerjaya

    PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menggantung bayaran Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) sebanyak RM423 juta susulan terdapat penyelewengan dan tuntutan palsu membabitkan pihak majikan dan penyedia latihan.

    Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, tindakan penggantungan bayaran dibuat berdasarkan analisis data dan pemantauan berterusan oleh Bahagian AntiFraud, Etika & Integriti agensi itu.

    Katanya, siasatan berhubung kes tuntutan palsu PenjanaKerjaya itu dibuat melalui Ops Hire, yang dilaksanakan secara bersepadu bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula Rabu lepas, setelah pemantauan dan risikan sejak Mei mendapati ada majikan mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana PenjanaKerjaya.

    “Perkeso amat menekankan nilai integriti, kejujuran dan amanah dalam pengagihan bantuan kewangan kerajaan kerana ia melibatkan dana awam.

    “Perkeso mengingatkan para majikan supaya jujur dan dan berintegriti dalam mengemukakan permohonan untuk apa-apa program bantuan kerajaan termasuk PenjanaKerjaya yang dilaksanakan oleh agensi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohammed Azman berkata, majikan yang telah menyalah guna dana program berkenaan atau telah mengemukakan permohanan tanpa mengikut syarat yang ditetapkan, diminta membuat bayaran balik secara sukarela atau berhubung dengan pihaknya sebelum sebarang tindakan diambil.

    “Perkeso memandang serius isu penyelewengan ini kerana bantuan kewangan kerajaan bertujuan untuk meringankan beban pihak yang layak serta benar-benar memerlukan, mengikut syarat dan kaedah yang ditetapkan,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan Perkeso telah membuat bayaran sebanyak RM1.72 bilion kepada 45,379 majikan bagi menempatkan 327,789 pencari kerja ke dalam pekerjaan melalui PenjanaKerjaya sehingga kini. – BERNAMA

  • Pemandu teksi, e-hailing carum Perkeso di Johor kurang 50 peratus

    Pemandu teksi, e-hailing carum Perkeso di Johor kurang 50 peratus

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri ini hanya merekodkan seramai 2,374 pencarum dalam kalangan penyedia perkhidmatan pengangkutan seperti teksi, e-hailing dan kereta sewa.

    Pengarah Perkeso negeri, Tong Sing Chuang berkata, angka itu masih kurang 50 peratus berbanding lebih 5,000 mereka yang terlibat dalam perkhidmatan itu yang sepatutnya mencarum di bawah skim perlindungan ditawarkan.

    “Kita telah memperkenalkan caruman buat mereka yang melakukan pekerjaan ini, namun setakat ini jumlah yang telah mencarum di Johor masih rendah.

    “Kita juga faham kekangan dan bebanan yang mereka hadapi, apatah lagi dalam situasi pandemik Covid-19 yang mencabar ketika ini, namun kita akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kepentingan caruman Perkeso,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Sinergi CSR Infaq Rezeki Jelajah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Bersama Perkeso di Menara Perkeso Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Menurut beliau, daripada jumlah yang tel tersebut pula, hanya seramai 504 orang adalah pemandu teksi.

    Sing Chuang berkata, sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada Mac tahun lalu, Perkeso telah menerima lebih 1,000 permohonan dalam pelbagai kategori daripada pencarum bagi mendapatkan pampasan akibat wabak berkenaan.

    “Daripada jumlah tersebut, lebih 20 kes tuntutan adalah melibatkan kematian pencarum akibat dijangkiti Covid-19,” ujarnya.

    Sementara itu, Ketua Cawangan Dasar dan Strategi Sumber Manusia Perkeso, Mohd. Razmi Khalid berkata, pihaknya akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan pemandu perkhidmatan awam untuk melakukan caruman bersama Perkeso.

    “Keutamaan mereka ketika ini adalah untuk menyediakan keperluan asas buat keluarga, seperti makanan harian dan juga keperluan bagi persekolahan anak-anak mereka,” katanya.