Tag: Perak

  • Amaran hujan lebat berterusan di beberapa negeri hingga 2 Mac

    Amaran hujan lebat berterusan di beberapa negeri hingga 2 Mac

    HUJAN lebat berterusan tahap bahaya dijangka melanda Kluang, Mersing, Kota Tinggi and Johor Bahru di Johor hingga Khamis ini (2 Mac), menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan 1 tengah hari ini.

    Hujan lebat berterusan pada paras sangat bahaya diramal menimpa Pekan dan Rompin di Pahang, serta Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat dan Pontian di Johor.

    Di Perak, kawasan dijangka mengalami hujan berterusan tahap waspada hingga esok adalah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim; dan Pahang di Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Bera.

    Hujan turut dijangka di Sarawak meliputi Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu (Tatau dan Bintulu) serta Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Terengganu. – BERNAMA

  • Pengerusi Muda Perak dipecat kerana ‘Langkah Tapah’

    Pengerusi Muda Perak dipecat kerana ‘Langkah Tapah’

    PENGERUSI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Perak, Mutalib Uthman yang juga pengasas bersama parti itu dipecat dan keahliannya digantung selama tiga tahun berkuatkuasa semalam.

    Pemecatan penggiat buku Indie itu susulan tindakannya mengumumkan bertanding untuk Parlimen Tapah dalam pilihan raya umum lalu, ketika parti itu masih berunding kerusi pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH).

    Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi berkata, tindakan Mutalib itu melanggar perlembagaan parti yang menetapkan supaya anggotanya menghormati keputusan dan memelihara nama baik serta maruah parti.

    Mutalib pada 20 Oktober lalu dalam hantaran Facebook mengumumkan akan bertanding di Tapah, kubu kuat BN yang disandang oleh Timbalan Presiden MIC M Saravanan selama tiga penggal.

    Sebelum itu Naib Presiden PKR K Saraswathy dijangka bertanding di kerusi itu.

    “Keputusan ini dibuat susulan kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi mengenai status kerusi Tapah dan Sg Siput (Perak) serta Sembrong (Johor) adalah untuk kerjasama politik dengan Muda dan PSM,” katanya.

    Muda bagaimanapun menafikan akan meletakkan calon di situ kerana ia kerusi PH.

    Mutalib bagaimanapun kemudian mendapat kerusi parlimen Masjid Tanah, Melaka tetapi akhirnya kecundang di tangan tokoh Perikatan Nasional (PN) Mas Ermieyati Samsuddin yang telah berkhidmat dua penggal di situ.

    ‘Ada niat mahu sabotaj’

    Sementara itu, Amir juga menuduh Mutalib “menunjukkan niat untuk melakukan sabotaj kepada parti” dengan menukar kata laluan akaun rasmi Muda Perak.

    “Beliau juga, selepas dihubungi, menolak untuk menurunkan poster yang telah dinaikkan, dan hanya akan menurunkan sekiranya dijanjikan kerusi dalam pilihan raya,” dakwanya, lapor Malaysiakini.

    Amir bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Mutalib yang telah bersama parti itu sejak hari pertama.

    “Untuk itu, Muda mengucapkan ribuan terima kasih. Sebarang keputusan rayuan kepada keputusan JKEP (Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) ini, akan diputuskan usai rayuan diterima,” katanya.

    Sementara itu, Mutalib dalam reaksi segeranya kepada Malaysiakini menyifatkan keputusan itu sebagai “keras”.

    Bagaimanapun, katanya ringkas, “parti sudah pun bersuara”.

  • PH-BN setuju kerjasama bentuk kerajaan di Perak

    PH-BN setuju kerjasama bentuk kerajaan di Perak

    BARISAN Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) hari ini bersetuju untuk mengadakan kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri Perak.

    Menerusi satu kenyataan bersama, perincian mengenai ketetapan itu akan diumumkan secepat yang mungkin.

    “BN dan PH secara bersama telah memenangi 33 kerusi majoriti di DUN Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang telah diadakan pada 19 November lalu.

    “Demi kepentingan rakyat dan negara, BN dan PH Perak telah bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri Perak serta maklumat terperinci akan diumumkan dalam masa yang terdekat,” kata kenyataan itu hari ini, lapor Berita Harian.

    PRU-15 menyaksikan BN hanya memenangi sembilan daripada 59 kerusi DUN Perak, menjadikan ia keputusan terburuk pernah direkodkan parti itu.

    Keputusan di DUN sama turut menyaksikan Perikatan Nasional (PN) berjaya menawan 26 kerusi, manakala PH memenangi 24 kerusi.

  • Kecederaan kepala punca kematian juruterbang helikopter

    Kecederaan kepala punca kematian juruterbang helikopter

    KEPUTUSAN bedah siasat hari ini mendapati juruterbang warganegara Hong Kong, Tsz Kin Richard Chan yang maut dalam nahas helikopter terhempas di Hutan Simpan Chikus Ahad lalu, disebabkan kecederaan pada bahagian kepala mangsa.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dalam kenyataan ringkas berkata kecederaan itu disebabkan kemalangan aviasi.

    Semalam Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata pesawat jenis Eurocopter EC120B milik syarikat swasta gagal dihubungi selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

    Richard Chan menerbangkan Eurocopter EC120B dari Subang ke Ipoh apabila terputus hubungan radio dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

    Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini jam 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.- BERNAMA

  • Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak dibubar

    Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak dibubar

    PERBADANAN Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak hari ini dibubarkan selepas diluluskan dan mendapat sokongan sebulat suara kesemua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

    Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum itu membentangkan usul Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (Pembubaran) 2022 yang membawa kepada pembubaran Perbadanan tersebut yang kemudiannya dibahaskan beberapa ahli Dewan.

    Sewaktu pembentangan, Saarani berkata, kesemua aset Perbadanan akan diserah dan diwakafkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), tertakluk kepada perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

    Beliau berkata, menurut kuasa yang diberikan di bawah subseksyen 9(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) telah menubuhkan PKEINPK Sdn Bhd (PSB), sebuah syarikat milik penuh MAIPk yang bermodal saham RM20 juta melalui Resolusi Pekeliling Bil. 01/2012 bertarikh 22 Mac 2012.

    “Susulan penubuhan PSB, kesemua aktiviti teras Perbadanan telah diambil alih oleh PSB sementara Perbadanan hanya terlibat dalam urusan pentadbiran dan menjadi entiti yang tidak aktif (dorman) tetapi masih mempunyai Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurus Besar/Setiausaha tersendiri.

    “Warga kerja Perbadanan juga telah dipindahkan perkhidmatannya ke PSB melalui Memorandum Persefahaman dan Perjanjian Pemindahmilikan Perniagaan bertarikh 14 Februari 2013,” katanya ketika pembentangan RUU itu di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

    Saarani berkata, pembubaran Perbadanan yang mengandungi sembilan peruntukan itu tidak akan melibatkan apa-apa perbelanjaan tambahan kepada kerajaan negeri.

    Jelasnya, walaupun tidak lagi aktif, Perbadanan masih perlu membayar cukai dan mematuhi kehendak serta ketetapan termasuklah mengadakan mesyuarat secara tetap, pengauditan akaun serta penyediaan laporan aktiviti Perbadanan pada setiap tahun yang perlu dibentangkan kepada MAIPk dan Dewan Negeri.

    RUU itu kemudian diluluskan dan persidangan bersambung esok. – BERNAMA

  • 2 beranak Orang Asli maut dalam kemalangan

    2 beranak Orang Asli maut dalam kemalangan

    SEORANG kanak-kanak dan bapanya maut apabila motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat Ipoh hari ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak dalam kenyataan berkata, kanak-kanak itu yang dianggarkan berusia 12 tahun dan bapanya, 62, dipercayai berketurunan Orang Asli, meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Empat individu lain termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan yang menaiki kereta jenis Toyota Alphard hanya mengalami kecederaan, katanya.

    “Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai menerima panggilan pada pukul 10.45 pagi tadi dan anggota bomba mendapati kedua-dua kenderaan itu bertembung dalam kemalangan itu sehingga mengakibatkan dua mangsa yang menaiki motosikal tercampak ke dalam semak,” katanya.

    Katanya, kedua-dua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada 11.50 pagi tadi. – BERNAMA

  • PRU-15: MUDA mahu cuba nasib di Perak

    PRU-15: MUDA mahu cuba nasib di Perak

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengintai peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi MUDA Perak, Mutalib Uthman berkata, pihaknya menyasarkan kerusi Parlimen dan DUN yang dikenal pasti boleh menang, namun enggan mendedahkan jumlah kerusi yang akan ditandingi parti itu.

    “MUDA hendak bertanding (PRU15) memang sasarkan untuk menang, bukan sekadar hendak mengisi masa lapang,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri program Kempen MUDA Perak Bergerak di Memory Lane di Ipoh hari ini.

    Sementara itu, Mutalib berkata, pihaknya kini sedang aktif melaksanakan kempen berkenaan di kesemua 24 kawasan Parlimen di negeri itu dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

    Beliau berkata, kempen itu dilaksanakan secara bersemuka di kawasan tumpuan ramai seperti pasar tani, kawasan riadah selain pendekatan dari rumah ke rumah dan secara dalam talian. – BERNAMA

  • Pusat tahfiz di Seri Iskandar terbakar pagi tadi

    Pusat tahfiz di Seri Iskandar terbakar pagi tadi

    ENAM pelajar lelaki Pusat Tahfiz Dar al-Fawzan di Seri Iskandar, Perak terselamat dalam kebakaran awal pagi tadi membabitkan sebuah bilik di asrama yang dihuni mereka.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.46 pagi.

    “Kebakaran melibatkan sebuah bilik di tingkat atas berkeluasan 15×10 kaki persegi musnah terbakar kira-kira 15 peratus.

    “Seramai enam pelajar yang tinggal di asrama tersebut semasa kejadian itu berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jurucakap itu berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dengan bantuan BBP Batu Gajah yang dikejarkan ke lokasi kejadian menggunakan satu aliran hos bagi melakukan pemadaman dan operasi tamat sepenuhnya pada kira-kira 5.20 pagi. – BERNAMA

  • Treler bawa 20 tan tepung terbalik, pemandu maut

    Treler bawa 20 tan tepung terbalik, pemandu maut

    SEORANG pemandu treler maut manakala kelindannya cedera selepas treler muatan tepung seberat 20 tan terbalik ke bahu jalan di KM 24 Bukit Jalan Raya Timur Barat (JRTB) pagi ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata dalam kejadian pada 7.38 pagi itu, pemandu treler Adzri Mat, 43 maut di tempat kejadian manakala kelindannya Mohd Nazran Hakim, 20, cedera akibat tersepit.

    “Anggota bomba menggunakan rescue tool dan power unit untuk mengeluarkan mangsa dan kelindan yang tersepit. Treler itu dalam perjalanan membawa muatan tepung dari Gerik ke Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan serta polis untuk tindakan selanjutnya dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Gerik. – BERNAMA

  • 2 wanita daki Gunung Suku hilang dalam tanah runtuh, kepala air

    2 wanita daki Gunung Suku hilang dalam tanah runtuh, kepala air

    DUA wanita dipercayai dibawa arus deras dalam kejadian tanah runtuh dan kepala air ketika sedang mendaki Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di Ipoh pagi tadi.

    Mangsa dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46 tahun.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 6.50 pagi.

    “Semasa kejadian pada kira-kira pukul 5 pagi, sekumpulan pendaki gunung seramai 29 orang telah mendengar bunyi air dan tanah runtuh di atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.

    “Namun, semasa dalam perjalanan turun ke kaki bukit, kepala air menimpa kumpulan pendaki tersebut dan dua orang pendaki gunung wanita itu yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai telah dihanyutkan oleh arus deras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sehubungan dengan itu, beliau berkata, satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Ipoh telah dilancarkan dengan dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan Persatuan Malim Gunung Negeri Perak.

    Menurutnya, tempat kejadian adalah di Hutan Simpanan Kekal Gunung Suku yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan kaki dari jalan utama iaitu lebih kurang 32 kilometer perjalanan menaiki kereta dari Balai Polis Simpang Pulai.

    Beliau berkata setakat ini operasi SAR masih djalankan dan kedua-dua mangsa masih belum ditemui manakala 27 orang pendaki gunung yang lain ditemui dalam keadaan selamat oleh pasukan penyelamat. – BERNAMA