Tag: Penjana Kerjaya

  • Saravanan tak nafi ahli MIC terlibat tuntutan palsu PenjanaKerjaya

    Saravanan tak nafi ahli MIC terlibat tuntutan palsu PenjanaKerjaya

    MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan hari ini tidak menafikan ada individu dalam kalangan anggota MIC terlibat dalam tuntutan palsu berkaitan Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).

    Beliau yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, bagaimanapun penglibatan individu dalam tuntutan palsu itu tidak mempunyai kaitan dengan parti MIC.

    “Saya setakat ini tidak ada sebarang maklumat (mengenainya) tapi saya tidak boleh nafikanlah penglibatan individu, tapi itu tidak ada kaitan dengan MIC,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Beliau ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Flex Penang berhubung usaha memperkasa penempatan pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), di kilang Flex Plan 5, di Bukit Mertajam hari ini.

    Saravanan berkata demikian sebagai mengulas dakwaan beberapa pihak yang didengarinya, mengenai beberapa anggota parti politik itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terlibat tuntutan palsu berkaitan PenjanaKerjaya.

    SPRM sebelum ini dilaporkan menahan reman 40 individu bagi membantu siasatan isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif PenjanaKerjaya di beberapa negeri menerusi Op Hire beberapa hari lepas.

    Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia mahu lebih banyak syarikat yang berjaya membantu melahirkan peluang pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

    Saravanan berkata, ketika ini, pihaknya sedang bekerjasama dengan beberapa syarikat besar bagi membantu memberi pekerjaan kepada golongan itu dan ia selari dengan aspirasi kerajaan supaya tiada mana-mana lapisan masyarakat tercicir daripada arus pembangunan.

    “Saya mengucapkan terima kasih kepada Flex Pulau Pinang yang telah mengambil inisiatif bekerjasama dengan Perkeso bagi memberi ruang dan peluang kepada OKU untuk mendapatkan peluang pekerjaan kepada golongan itu, saya harap lebih ramai majikan mencontohi inisiatif proaktif tersebut bagi merancakkan penempatan pekerja OKU.

    “Maka dengan adanya perjanjian ini, Perkeso akan kenal pasti OKU dan akan dipanjangkan kepada Flex Pulau Pinang untuk memberi peluang pekerjaan dengan memberi temu duga kepada mereka, kita lihat Flex melahirkan suasana seperti ini dan saya yakin syarikat lain jua akan mengikutinya,” katanya.

    Perkeso diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed manakala Flex Pulau Pinang oleh Naib Presidennya, P Viswanathan.

    Pada majlis itu, Saravanan turut merasmikan Hab Satelit MYfutureJobs@Flex.

    Antara bidang kerjasama strategik di bawah MoU itu merangkumi aspek penyelidikan dan pengajaran, program kebolehpasaran kerjaya, perkhidmatan pekerjaan menerusi Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs, sesi Training of Trainers (TOT) dan Program Return to Work (RTW) Perkeso. – BERNAMA

  • Perkeso gantung RM423 juta bayaran PenjanaKerjaya

    Perkeso gantung RM423 juta bayaran PenjanaKerjaya

    PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menggantung bayaran Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) sebanyak RM423 juta susulan terdapat penyelewengan dan tuntutan palsu membabitkan pihak majikan dan penyedia latihan.

    Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, tindakan penggantungan bayaran dibuat berdasarkan analisis data dan pemantauan berterusan oleh Bahagian AntiFraud, Etika & Integriti agensi itu.

    Katanya, siasatan berhubung kes tuntutan palsu PenjanaKerjaya itu dibuat melalui Ops Hire, yang dilaksanakan secara bersepadu bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula Rabu lepas, setelah pemantauan dan risikan sejak Mei mendapati ada majikan mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana PenjanaKerjaya.

    “Perkeso amat menekankan nilai integriti, kejujuran dan amanah dalam pengagihan bantuan kewangan kerajaan kerana ia melibatkan dana awam.

    “Perkeso mengingatkan para majikan supaya jujur dan dan berintegriti dalam mengemukakan permohonan untuk apa-apa program bantuan kerajaan termasuk PenjanaKerjaya yang dilaksanakan oleh agensi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohammed Azman berkata, majikan yang telah menyalah guna dana program berkenaan atau telah mengemukakan permohanan tanpa mengikut syarat yang ditetapkan, diminta membuat bayaran balik secara sukarela atau berhubung dengan pihaknya sebelum sebarang tindakan diambil.

    “Perkeso memandang serius isu penyelewengan ini kerana bantuan kewangan kerajaan bertujuan untuk meringankan beban pihak yang layak serta benar-benar memerlukan, mengikut syarat dan kaedah yang ditetapkan,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan Perkeso telah membuat bayaran sebanyak RM1.72 bilion kepada 45,379 majikan bagi menempatkan 327,789 pencari kerja ke dalam pekerjaan melalui PenjanaKerjaya sehingga kini. – BERNAMA

  • SPRM ‘gempur’ majikan seleweng dana Penjana Kerjaya

    SPRM ‘gempur’ majikan seleweng dana Penjana Kerjaya

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melancarkan ‘Ops Hire’, bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) di beberapa negeri, bermula hari ini.

    SPRM dalam kenyataan malam ini memaklumkan operasi besar-besaran itu, dikendalikan oleh Ibu Pejabat SPRM bersama SPRM negeri.

    “Penjana Kerjaya merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja, semasa mendepani cabaran COVID-19 bermula awal tahun 2020.

    “Ia dilaksanakan PERKESO bagi merangsang ekonomi negara melalui pewujudan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja,” menurut kenyataan itu.

    Selain itu, SPRM dengan kerjasama PERKESO telah membangunkan maklumat menerusi pemantauan dan risikan terhadap penerima dana, dan mendapati ada majikan-majikan yang mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana ini.

    Menurut SPRM, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana ia berkepentingan awam sekali gus memberi jaminan akan menyiasat secara menyeluruh bagi memastikan pihak yang terlibat dikenakan tindakan tegas berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa. – BERNAMA