Tag: penipuan

  • RM680,276 lesap ditipu rakan baik sendiri

    RM680,276 lesap ditipu rakan baik sendiri

    SEORANG ahli perniagaan mendakwa kerugian RM680,276 selepas melabur dalam projek perumahan tidak wujud yang diperkenalkan rakan baiknya, tiga tahun lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 42 tahun itu berkata, suspek yang juga seorang wanita mendakwa projek itu dilaksanakan di Ulu Tiram, Johor.

    “Mangsa mendakwa mempercayai suspek kerana sering berkunjung ke rumahnya pada awal perkenalan mereka pada 2017 sebelum mula bercerita mengenai adik perempuannya yang menguruskan projek perumahan pada pertengahan 2018.

    “Selepas mendengar penerangan suspek, mangsa bersetuju untuk melabur sebanyak RM780,276 yang dimasukkan ke beberapa akaun diberikan suspek secara berperingkat antara Jun hingga Ogos 2018,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa hanya menerima pulangan sebanyak RM100,000 yang dibayar sekitar 2019, sebelum suspek memaklumkan individu yang menjalankan projek perumahan itu telah meninggal dunia.

    Sehubungan itu, ahli perniagaan berkenaan meminta supaya wang modalnya dipulangkan, namun suspek yang juga rakan baik mangsa dikatakan tidak mengendahkan permintaan tersebut.

    “Pada awal bulan ini, suspek dikatakan telah memarahi mangsa untuk tidak lagi meminta wang atau suspek akan membunuh diri dan mangsa akan dipersalahkan atas kematian itu,” katanya.

    Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Karak, Bentong semalam dan siasatan lanjut mengenai kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERNAMA

  • 4 sekawan didenda RM4,000 tawar pinjaman tidak wujud

    4 sekawan didenda RM4,000 tawar pinjaman tidak wujud

    EMPAT sekawan masing-masing seorang lelaki dan tiga wanita didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah menawarkan pinjaman tidak wujud minggu lalu.

    Hukuman itu dijatuhi Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan terhadap tertuduh Lee Soon Ching, 21; Liew Hui Juan, 28; Connie Nam, 25, dan Ho Wei Lun, 33, di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda manakala barang kes turut diperintah dilupuskan.

    Mengikut pertuduhan mereka didakwa secara bersama-sama menawarkan pinjaman wang yang tidak wujud yang mana kesalahan itu dilakukan di B-11-03, Goodfield Resident, Jalan Bukit Minyak Permai 2, Bukit Mertajam kira-kira pukul 4.05 petang pada 7 Oktober lalu.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-dua sekali.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal.manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ima Syakira.

    Mengikut fakta kes, sebanyak 44 laporan polis dibuat di seluruh negara berhubung satu sindiket pinjaman wang tidak wujud sejak Januari lalu dengan anggaran kerugian RM401,815.32.

  • Datuk Seri, peguam diambil keterangan kes guna nama TMJ

    Datuk Seri, peguam diambil keterangan kes guna nama TMJ

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KETERANGAN dua individu melibatkan seorang wanita yang didakwa bergelar Datuk Seri dan seorang lelaki yang merupakan peguam telah selesai dirakamkan oleh polis berhubung kes pemalsuan dokumen menggunakan nama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis kini masih mengesan tiga lagi suspek yang dipercayai turut mempunyai kaitan dalam kes itu.

    “Keterangan mereka sudah diambil, siasatan sekarang masih berjalan dan apabila cukup (bukti) baru kita bawa ke Pejabat Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di Johor Bahru, hari ini.

    Jumaat lalu, polis menerima laporan berkenaan satu dokumen ‘letter of undertaking’ pertukaran mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$) kepada ringgit Malaysia (RM) membabitkan nilai antara AS$200 bilion sehingga AS$5 trilion.

    Dokumen itu didapati dikeluarkan dan ditandatangani oleh seorang wanita tempatan bergelar Datuk Seri yang mendakwa mendapat mandat daripada Tunku Ismail.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dengan dikenakan sebat dan denda.

    Sementara itu, Ayob Khan berkata, siasatan masih dijalankan sama ada kes itu turut melibatkan individu berkaitan politik dan menasihati semua untuk tidak mudah percaya dengan sebarang dakwaan di media sosial.

  • Bomoh Tok Wan dipenjara, salah guna barang kemas peniaga

    Bomoh Tok Wan dipenjara, salah guna barang kemas peniaga

    SEORANG bomoh lelaki bergelar Tok Wan dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Klang hari ini selepas mengaku bersalah menyalahgunakan barang kemas bernilai lebih RM20,000 milik seorang peniaga nasi kukus yang diserah untuk ‘dibuang sihir’ pada Ogos lepas.

    Majistret Sarulatha Paramavathar menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Izwan Mohd Ahmid, 34, dan memerintahkan hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 5 Okt lepas.

    Mohd Izwan yang digelar ‘Tok Wan’ didakwa menyalahgunakan harta bukan miliknya iaitu 24 jenis barang kemas emas bernilai RM22,910 yang diserahkan oleh seorang lelaki untuk tujuan rawatan.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Rantau Panjang, Jalan Kapar dekat sini, pada 9.21 pagi, 21 Ogos lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan dengan sebatan dan boleh juga didenda.

    Berdasarkan fakta kes, mangsa telah menghubungi ‘Tok Wan’ pada 21 Ogos selepas disyaki mengalami gangguan misteri.

    Tok Wan kemudian ke rumah mangsa bersama penolongnya dan meminta semua barang kemas milik keluarga mangsa atas alasan mahu ‘membuang sihir’ pada barang kemas tersebut dan mangsa yang mempercayainya telah menyerahkan kesemua barang kemas itu.

    Pada 21 Sept tertuduh telah sekali lagi ke rumah mangsa dengan membawa satu punjut kain berwarna kuning yang dikatakan mengandungi barang kemas milik keluarga mangsa dan diberi arahan agar membukanya selepas 10 hari.

    Bagaimanapun mangsa telah membuka punjut tersebut pada 28 Sept dan mendapati barang kemas yang terdapat di dalamnya adalah berbeza dan tiruan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur’ain Madihah Zulkifl memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal namun lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia perlu menanggung isteri dan empat anak selain menghidap penyakit darah tinggi dan masalah prostat. – BERNAMA

  • 2 peniaga rugi RM22,100 ditipu skim pelaburan tidak wujud

    2 peniaga rugi RM22,100 ditipu skim pelaburan tidak wujud

    SERAMAI dua peniaga di Butterworth, Pulau Pinang bukan sahaja kempunan untuk mendapatkan keuntungan segera, malah wang simpanan mereka sebanyak RM22,100 pula lesap ditipu sindiket pelaburan tidak wujud.

    Kedua-dua mereka yang berusia 36 dan 30 tahun menjadi mangsa sindiket itu dalam dua kejadian berasingan semalam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian pertama melibatkan seorang wanita yang diperdaya untuk menyertai pelaburan berasaskan emas melalui laman sosial Facebook.

    Menurutnya, mangsa yang membuat pelaburan sebanyak RM16,000 teruja untuk menyertai skim terbabit selepas melihat rakan-rakannya mendapat pulangan yang dijanjikan.

    “Bagaimanapun mangsa menyedari telah ditipu apabila ejen pelaburan berkenaan bertindak keluar daripada kumpulan aplikas Whatsapp dan gagal dihubungi,” katanya.

    facebook ditipu
    Noorzainy Mohd. Noor

    Sementara itu menurut Noorzainy, dalam kejadian berasingan pula, seorang lelaki kerugian RM6,100 selepas menyertai skim pelaburan Khalifah Trust yang  menjanjikan keuntungan segera dalam tempoh 48 jam.

    Katanya, mangsa yang berusia 30 tahun memilih pakej pelaburan bernilai RM500 yang menawarkan pulangan keuntungan  sebanyak RM9,000.

    “Bagaimanapun, mangsa mula berasa tertipu selepas diminta menjelaskan beberapa bayaran tambahan sebagai syarat untuk mendapatkan pulangan yang dijanjikan sebelum membuat laporan polis,” katanya.

    Menurut Noorzainy, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang iklan pelaburan di dalam media sosial khususnya yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

    “Lakukan semakan lanjut di pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi memastikan akaun bank yang digunakan bagi tujuan pelaburan bebas daripada penipuan,” katanya.

  • Wang simpanan lesap akibat skim pelaburan

    Wang simpanan lesap akibat skim pelaburan

    SEORANG peniaga terpaksa berputih mata setelah wang simpanannya sebanyak RM2,980 lesap akibat terperdaya dengan sindiket skim pelaburan yang tidak wujud.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, kejadian bermula pada Jumaat lalu apabila mangsa melayari laman sosial Facebook (FB) di rumahnya di Kampung Batu Talam, Raub lalu
    terlihat maklumat mengenai syarikat yang menawarkan peluang pelaburan.

    Menurut beliau, peniaga berusia 59 tahun itu tertarik setelah syarikat itu dikatakan ada menawarkan skim pelaburan dengan menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh 48 jam.

    Justeru katanya, mangsa terus menghubungi nombor telefon syarikat itu menerusi WhatsApp untuk mengetahui lebih lanjut mengenai skim pelaburan berkenaan.

    Selepas itu ujarnya, mangsa dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan nama ‘Rosmawati Darmadi’.

    wang lesap
    Mohd Wazir Mohd Yusof

    Mohd Wazir memberitahu, wanita itu mendakwa bekerja sebagai pegawai pelaburan syarikat tersebut dan mengatakan mangsa berpeluang untuk menerima pulangan lumayan dalam tempoh 48 jam selepas melabur.

    Beliau berkata, akibat terlalu teruja apabila wanita itu mengatakan pelabur akan mendapat RM16,000 sekiranya melabur sebanyak RM500 di syarikat itu.

    “Mangsa akhirnya bersetuju untuk menyertai skim pelaburan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Berikutan itu kata Mohd Wazir, suspek meminta mangsa menghantar butiran peribadi beserta salinan penyata akaun bank bagi urusan pendaftaran.

    Ujarnya, mangsa kemudian turut memindahkan sejumlah wang ke dalam dua nombor akaun bank diberikan suspek bagi tujuan pemprosesan.

    Bagaimanapun katanya, sejak Jumaat lalu hingga Isnin, mangsa mendakwa sudah membuat lima kali transaksi pemindahan wang ke dua nombor akaun diberikan suspek dengan nilai keseluruhan RM2,980.

    “Mangsa hanya menyedari ditipu selepas suspek terus meminta mangsa memindahkan wang kononnya untuk pelbagai urusan lain membabitkan pelaburan berkenaan,” ujar beliau.

    Menurut Mohd Wazir, menyedari ditipu, mangsa akhirnya membuat laporan di Balai Polis Raub.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Panik didakwa kononnya terlibat kes 1MDB, pesara rugi RM10,000

    Panik didakwa kononnya terlibat kes 1MDB, pesara rugi RM10,000

    SEORANG wanita berusia 62 tahun mengalami kerugian RM10,000 apabila menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam selepas terpedaya dengan dakwaan kononnya dia terlibat dengan jenayah berkaitan pengubahan wang haram 1MDB.

    Dalam laporan polis yang dibuatnya hari ini pesara itu memberitahu bahawa dia menerima satu panggilan telefon dari seorang lelaki yang mengaku anggota polis berpangkat sarjan dari ibu pejabat polis di Negeri Sembilan yang memaklumkan kononnya kad banknya telah digunakan oleh individu bernama Jimmy Wong dalam kes jenayah itu.

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang individu kononnya pegawai berpangkat Inspektor yang mengatakan wanita itu perlu membuat pindahan RM10,000 kepada Jabatan Audit Negara jika ingin menyelesaikan kes berkenaan.

    “Kerana panik, wanita itu pergi ke sebuah bank di Jalan Kampung Datu dekat sini sekitar 12.30 tengah hari dan membuat pindahan wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata wanita itu memindahkan RM4,950 bagi transaksi pertama dan jumlah yang sama dalam transaksi kedua, kemudian disusuli dengan RM100 bagi transaksi ketiga ke sebuah akaun milik lelaki bernama Shamsudin Abu Hassan. 

    “Wanita itu hanya menyedari dirinya ditipu selepas pulang ke rumah, sebelum membuat laporan polis,” tambahnya.- BERNAMA

  • Caj RM20 tipu urus vaksinasi, warga emas dicekup

    Caj RM20 tipu urus vaksinasi, warga emas dicekup

    POLIS menahan seorang lelaki warga emas di Taman Kanak-Kanak Pekan Semporna, Sabah pada Jumaat lepas setelah disyaki terlibat dengan penipuan vaksinasi COVID-19.

    Ketua Polis Daerah Semporna Supt Farhan Lee Abdullah berkata suspek warga tempatan berusia 61 tahun yang tidak bekerja itu ditahan pada 2.35 petang.

    “Suspek menawarkan perkhidmatan mengurus vaksinasi di Dewan Masyarakat Semporna dengan bayaran RM20 setiap seorang dan setakat ini dikesan terdapat 16 mangsa penipuan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata polis memandang serius perkara itu sama ada membabitkan individu atau sindiket yang cuba mengambil peluang menjalankan penipuan dengan menawarkan perkhidmatan vaksinasi berbayar. 

    “Kerajaan Malaysia memberikan vaksinasi secara percuma dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas pihak terlibat,” katanya.

    Sehubungan itu, Mohd Farhan meminta 16 mangsa yang terlibat itu agar tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

    Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan individu yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohamad Hayazi Hariff Fazilah di talian 017-895 4967 atau 089-782020. – BERNAMA

  • Beg tangan LV tak dapat, duit RM3,500 lesap

    Beg tangan LV tak dapat, duit RM3,500 lesap

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG wanita bukan sahaja kempunan untuk memiliki beg tangan berjenama terkenal, sebaliknya terpaksa menanggung kerugian RM3,500 setelah barang yang dibeli secara dalam talian itu sebenarnya tidak wujud.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa terbabit merupakan seorang wanita berusia 33 tahun dan bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta.

    Menurut beliau, mangsa tertarik untuk memiliki beg tangan berjenama Louis Vuitton, ditawarkan pada harga RM3,800 sebaik sahaja dia melihat satu iklan melalui laman sosial Instagram yang dilayari pada 27 Julai lalu.

    Berikutan itu katanya, mangsa cuba menghubungi penjual tersebut menerusi nombor WhatsApp yang tertera dan suspek bersetuju untuk mengurangkan harga beg itu kepada RM3,500.

    “Selepas persetujuan dibuat, mangsa kemudian membuat pembayaran penuh secara pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek pada Isnin lalu.

    “Namun, selepas bayaran dijelaskan mangsa terus menghubungi suspek untuk meminta nombor ‘tracking’ penghantaran namun mangsa diminta membuat bayaran tambahan kononnya untuk caj kastam sebelum maklumat tersebut akan diberikan,” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

    MOHD WAZIR MOHD YUSOF

    Menurut Mohd Wazir, permintaan suspek itu menyebabkan mangsa mula berasa curiga dan syak.

    Akhirnya kata Mohd Wazir, semalam mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Krau, Temerloh.

    “Berdasarkan semakan dibuat, mendapati terdapat enam kes direkodkan membabit akaun bank yang digunakan suspek manakala semakan nombor telefon pula tiada rekod sebagai nombor bermasalah.

    “Polis percaya suspek menggunakan modus operandi bagi memperdaya mangsa dengan menawarkan penjualan barang berupa beg tangan berjenama yang tidak wujud di laman Instagram bagi menipu mangsa,” ujar beliau.

    Tambah beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.