SEORANG wanita berusia 62 tahun mengalami kerugian RM10,000 apabila menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam selepas terpedaya dengan dakwaan kononnya dia terlibat dengan jenayah berkaitan pengubahan wang haram 1MDB.

Dalam laporan polis yang dibuatnya hari ini pesara itu memberitahu bahawa dia menerima satu panggilan telefon dari seorang lelaki yang mengaku anggota polis berpangkat sarjan dari ibu pejabat polis di Negeri Sembilan yang memaklumkan kononnya kad banknya telah digunakan oleh individu bernama Jimmy Wong dalam kes jenayah itu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang individu kononnya pegawai berpangkat Inspektor yang mengatakan wanita itu perlu membuat pindahan RM10,000 kepada Jabatan Audit Negara jika ingin menyelesaikan kes berkenaan.

“Kerana panik, wanita itu pergi ke sebuah bank di Jalan Kampung Datu dekat sini sekitar 12.30 tengah hari dan membuat pindahan wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata wanita itu memindahkan RM4,950 bagi transaksi pertama dan jumlah yang sama dalam transaksi kedua, kemudian disusuli dengan RM100 bagi transaksi ketiga ke sebuah akaun milik lelaki bernama Shamsudin Abu Hassan. 

“Wanita itu hanya menyedari dirinya ditipu selepas pulang ke rumah, sebelum membuat laporan polis,” tambahnya.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here