Tag: Pengganas

  • Video tular: Lelaki berkuda bawa bendera tiada kaitan ekstremis, pengganas

    Video tular: Lelaki berkuda bawa bendera tiada kaitan ekstremis, pengganas

    POLIS mengesahkan bendera yang dipegang sekumpulan lelaki berkuda sebagaimana video tular adalah bendera parti politik dan kalimah syahadah.

    Malah ia tiada kaitan dengan mana-mana gerakan ekstremis dan pengganas.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya mengesan sebuah video tular berdurasi 20 saat memaparkan kejadian sekumpulan leaki berkuda sambil memegang bendera di media sosial.

    Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku di Kubang Semang, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang dan dirakam pada 19 November lalu.

    “Polis kontinjen Pulau Pinang mengesahkan antara bendera dipegang adalah bendera parti politik dan juga bendera kalimah syahadah.

    “Siasatan lanjut juga mendapati ia tiada kaitan dengan mana-mana gerakan ekstremis dan pengganas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Shuhaily memberi amaran kepada orang ramai segera menghentikan spekulasi yang tidak memberikan manfaat dan boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.

    Katanya, kesalahan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    “Kesalahan tersebut juga boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Sebelum ini tula video di media sosial menunjukkan sekumpulan penunggang kuda memegang bendera parti politik dan kalimah syahadah yang menimbulkan kebimbangan masyarakat.

  • Penjara diserang pengganas: Lapan maut, lebih 800 banduan larikan diri

    Penjara diserang pengganas: Lapan maut, lebih 800 banduan larikan diri

    LAPAN orang, termasuk dua anggota polis dan seorang awam, terbunuh dalam serangan oleh Pasukan Demokratik Bersekutu (ADF) di penjara pusat Kakwangura di Butembo di Congo.

    Lapan puluh anggota ADF menyerang penjara pada Selasa malam untuk membebaskan 13 anggotanya, termasuk 12 banduan wanita, lapor Agensi Anadolu memetik jurucakap tentera, Kapten Anthony Mualushayi dalam satu sidang media.

    ADF adalah kumpulan pengganas yang bergabung dengan kumpulan yang berkait dengan Daesh di Wilayah Afrika Tengah (ISCAP). Selama bertahun-tahun kumpulan itu sering melakukan kekejaman di Congo.

    Media Congo melaporkan selain yang terbunuh, 822 daripada 874 banduan yang berdaftar di kemudahan itu turut melarikan diri.- BERNAMA

  • Tiada maklumat ancaman pengganas di Malaysia setakat ini-Bukit Aman

    Tiada maklumat ancaman pengganas di Malaysia setakat ini-Bukit Aman

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIADA ancaman pengganas di negara ini setakat ini dan amaran dikeluarkan Kedutaan Jepun pagi tadi supaya rakyatnya yang berada di negara ini berjaga-jaga adalah peringatan secara umum.

    Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya menjelaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman, akan terus memantau rapi perkembangan mengenai ancaman pengganas di negara ini.

    Setakat ini katanya, tidak memperoleh sebarang maklumat mengenai kemungkinan berlaku perkara itu.

    “Amaran yang dikeluarkan Kedutaan Jepun kepada warganegaranya di Malaysia mengenai kemungkinan ancaman pengganas di Asia Tenggara adalah satu nasihat perjalanan yang lazimnya dikeluarkan sesebuah kedutaan atau suruhanjaya tinggi untuk rakyatnya yang berada di sesebuah negara lain.

    “Amaran itu dikeluarkan berdasarkan taksiran ancaman keselamatan oleh negara berkenaan (yang mengeluarkan amaran) dan dalam hal ini, ia dalam konteks kemungkinan ancaman pengganas di rantau Asia Tenggara.

    “Setakat ini, hanya Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur yang berbuat demikian dan tiada sebarang nasihat perjalanan atau kenyataan dibuat kedutaan atau suruhanjaya tinggi asing lain di negara ini,” katanya, hari ini.

    Pagi tadi, Kedutaan Jepun mengeluarkan nasihat perjalanan kepada semua warga Jepun yang berada di Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Myanmar supaya mengelak berada berdekatan kemudahan keagamaan dan kawasan sesak lain.

    Pada masa ini, dianggarkan seramai 31,000 warga Jepun tinggal di Malaysia.

    Zamri berkata, nasihat perjalanan oleh Kedutaan Jepun itu sebagai satu langkah rutin untuk memberi peringatan kepada rakyat Jepun di rantau ini supaya berjaga-jaga sempena ulangtahun ke-20 serangan pengganas Al-Qaeda terhadap World Trade Center (WTC) New York, Amerika Syarikat pada 11 September 2001.

    Katanya, nasihat berkenaan juga mungkin mempunyai kaitan dengan perkembangan semasa di Afghanistan, selepas Taliban menguasai Kabul.

  • Indonesia gagalkan cubaan serangan pengganas ketika sambutan Hari Kemerdekaan ke-76

    Indonesia gagalkan cubaan serangan pengganas ketika sambutan Hari Kemerdekaan ke-76

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PIHAK berkuasa Indonesia berjaya mematahkan cubaan kumpulan mendalangi pengeboman Bali pada 2002 yang merancang serangan baharu ketika sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia yang ke-76 pada Selasa lalu.

    Menurut laporan AFP, rancangan itu terbongkar susulan penahanan kira-kira 53 suspek di hampir 12 wilayah dalam siri operasi dilancarkan di seluruh negara sejak minggu lalu.

    “Beberapa suspek mengakui mereka adalah anggota Jemaah Islamiyah (JI),” kata jurucakap Polis Nasional, Argo Yuwono tanpa memberikan butiran lanjut tentang plot serangan itu.

    Beliau bagaimanapun mendedahkan sejumlah senjata api berjaya dirampas pihak berkuasa.

    Difahamkan, JI yang didakwa mempunyai kaitan dengan al-Qaeda telah dibubarkan selepas insiden pengeboman di kelab malam terletak di pusat peranginan terkenal itu yang turut meragut lebih 200 nyawa termasuk pelancong asing.

    Pertubuhan itu didakwa telah ditubuhkan semula selepas pemimpinnya, Abu Bakar Bashir dibebaskan dari penjara.

    “Operasi ini bertujuan melenyapkan pengaruh JI. Mereka bangkit semula dengan merekrut anggota baharu, memperoleh dana dan bekalan logistik serta senjata,” ujar pegawai unit antikeganasan yang enggan identitinya didedahkan.

    Sebelum ini, Indonesia berdepan siri serangan menggemparkan dilancarkan kumpulan militan termasuk yang menyatakan taat setia terhadap Daesh.

    Pada Mac lalu, pasangan warga tempatan melancarkan serangan bom bunuh diri di sebuah gereja di Makassar di Pulau Sulawesi dan turut menyebabkan beberapa individu cedera.