Tag: Pendang

  • Ketua Balai Polis Sungai Tiang meninggal, diserang sakit jantung ketika memandu

    Ketua Balai Polis Sungai Tiang meninggal, diserang sakit jantung ketika memandu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KETUA Polis Balai Sungai Tiang di Pendang, Kedah meninggal dunia akibat serangan jantung dialaminya ketika sedang memandu di Kilometer 52.7, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Alor Setar, Kedah, malam tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu turut menyebabkan kereta dipandu mangsa, Sarjan Mejar Wahab Ahmad @ Harun terbabas di lebuh raya tersebut.

    Akibat kejadian itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir memaklumkan, mangsa turut mengalami kecederaan di kepala.

    “Pasukan perubatan kecemasan yang bergegas ke lokasi kemudiannya mengesahkan mangsa meninggal dunia di situ.

    “Bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pagi ini mendapati kematian mangsa berpunca daripada sakit jantung,” katanya.

    Tambahnya, kejadian itu kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Ketika kejadian mangsa difahamkan dalam perjalanan dari Pendang menuju ke rumahnya di Jitra.

    Sementara itu Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim turut mengucapkan takziah di laman Facebook rasminya.

    “Arwah banyak membantu saya dalam melancarkan perjalanan program rakyat khususnya di Sungai Tiang.

    “Semoga kebaikan ini dibalas dengan ganjaran syurga buat arwah,” katanya.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad yang turut menziarah keluarga mangsa di Jabatan Forensik HSB, pagi tadi.

  • Sumbat 11 PATI dalam Proton Waja, lelaki ‘lesap’ nampak kereta polis

    Sumbat 11 PATI dalam Proton Waja, lelaki ‘lesap’ nampak kereta polis

    SEORANG lelaki berputih mata apabila tidak sempat menerima habuan membawa 11 pendatang asing tanpa izin (PATI), selepas kereta Proton Waja dipandunya mengalami kerosakan di Kilometer 63.1 Arah Selatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), hari ini.

    Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, dalam kejadian pukul 8.05 pagi tadi, polis menerima panggilan daripada anggota Polis Bantuan Peronda Lebuhraya memaklumkan sebuah kereta mengalami kerosakan dan sebaik pemeriksaan dilakukan menemui seramai 11 orang PATI berada di dalam kereta.

    Beliau berkata, anggota polis bergegas ke lokasi dan sebaik tiba polis terus membuat tangkapan ke atas 11 PATI terbabit.

    “Pemandu kereta yang dipercayai menjadi ‘transporter’ telah melarikan diri sebaik melihat kenderaan polis bantuan tiba.

    “Semua 11 lelaki dipercayai warganegara Myanmar berusia 20 hingga 50 tahun kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang untuk tindakan lanjut dan turut merampas kereta Proton Waja,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.

    Arriz Sham berkata, pemeriksaan lanjut mendapati semua PATI terbabit tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.

    Katanya, siasatan lanjut turut mendapati semua pati itu akan dihantar kepada satu sindiket di bahagian selatan tanah air yang menawarkan pekerjaan kepada pati itu.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

  • Pemuda ketepi soal jodoh demi jaga ibu bapa sakit

    Pemuda ketepi soal jodoh demi jaga ibu bapa sakit

    SEORANG pemuda di Kedah sanggup melupakan dulu hasratnya untuk mencari teman hidup serta mencari pekerjaan tetap semata-mata untuk menjaga ibu bapanya yang menderita sakit.

    Bagi Mohd Yusri Haiqal Mohd Yusop, 32, dia sanggup berhenti kerja untuk pulang ke kampungnya di Kampung Chegar, Kuala Mawa di Pendang kerana ingin menjalankan tanggungjawabnya sebagai anak tunggal.

    Katanya yang pernah bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang, ibunya Mahani Saleh, 57, menghidap kanser payu dara tahap tiga sejak dua tahun lalu dan baru menjalani pembedahan membuang payu dara kanan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada 27 Oktober lalu.

    Bapanya pula, Mohd Yusop Sulaiman, 62, diserang angin ahmar sejak 2017 akibat tekanan darah tinggi mendadak menyebabkan dia kini tidak dapat bergerak.

    Mohd Yusri Haiqal berkata, dia mengakui agak tertekan kerana terpaksa menjaga kedua ibu bapanya walaupun pada masa sama terpaksa bekerja sebagai mekanik secara sambilan untuk menyara kehidupan mereka.

    “Saya bukan mengeluh untuk menjaga mereka tapi saya agak tertekan kerana terpaksa tinggalkan ayah seorang diri di rumah kalau hendak bawa emak ke Hospital Lama di Alor Setar.

    “Bimbang juga apa-apa berlaku padanya kerana ayah tak boleh bergerak tetapi dalam masa sama saya perlu menguruskan emak ke hospital mengikut temu janji doktor kerana emak juga sudah tidak larat.

    “Adakalanya saya menangis memikirkan mereka selain mengenangkan ujian dari Allah yang saya perlu saya tempuhi,” katanya, lapor Harian Metro.

    Mohd Yusri Haiqal berkata, dia amat berhasrat untuk mencari pekerjaan tetap, namun terpaksa melupakannya kerana tidak mahu berpisah dengan ibu bapanya selain mahu menjaga mereka sepenuhnya.

    Katanya, setiap hari dialah yang menguruskan untuk memandikan bapanya menggunakan kerusi roda serta menukar lampin pakai buang selain menyuap ubat.

    “Emak masih boleh bergerak tetapi dia perlu banyak berehat kerana awal Januari tahun depan, dia akan menjalani rawatan kemoterapi yang pertama.

    “Bukan saya tak mahu berkahwin, tapi saya perlu uruskan emak dan ayah dulu malah gaji yang saya peroleh hasil kerja sambilan juga tidak menentu bergantung pada permintaan. Kalau ada rezeki, adalah duit untuk saya,” katanya.

    Sementara itu, ibunya Mahani berkata, dia menghidap kanser selepas terdapat ketulan di payudara kanan sebelum membuat pemeriksaan di klinik kesihatan berhampiran.

    Katanya, selepas itu kesnya dirujuk di Hospital Lama Alor Setar dan selepas mengambil sampel, doktor mengesahkan dia menghidap kanser payu dara tahap tiga.

    “Sejak itu saya kerap berulang alik ke hospital di Alor Setar untuk menjalani rawatan sebelum malah doktor memberitahu kanser itu sudah merebak menyebabkan payu dara kanan terpaksa dibuang.

    “Dalam masa sama, saya berharap Mohd Yusri Haiqal bertemu jodoh kerana bimbang melihat keadaannya menguruskan kami serta bekerja secara sambilan dengan upah yang tidak menentu,” katanya.

    Mahani berkata, bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu digunakan sepenuhnya untuk kos ulang alik ke hospital, membeli susu formula serta lampin pakai buang suaminya selain membeli barangan keperluan dapur setiap bulan tetapi tidak mencukupi untuk menyara mereka tiga beranak.

    Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi 011-36035968 (Mohd Yusri Haiqal) atau ibunya, Mahani di talian 017-5803849 untuk maklumat lanjut.

  • Pendang dilanda ribut, premis rosak, khemah bazar Ramadan terbang

    Pendang dilanda ribut, premis rosak, khemah bazar Ramadan terbang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    HUJAN lebat selama lebih sejam dengan disusuli ribut petir di Pendang menyebabkan beberapa premis mengalami kerosakan, petang ini.

    Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, kejadiann itu bermula kira-kira pukul 4.40 petang tadi.

    “Pihak kami menerima beberapa aduan mengenai kejadian pokok tumbang. Malah khemah-khemah peniaga di bazar Ramadan turut diterbangkan angin.

    “Selain itu terdapat sekurang-kurangnya empat buah rumah yang mengalami kerosakan di Kampung Sukamari, Kampung Alor Parit dan Kampung Belakang Pendang,” katanya.

    Antara yang terjejas termasuklah persiapan dilakukan di Masjid Sultanah Haminah, Tanjung Radin di Pendang yang bakal menjadi lokasi majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, esok.

    Pendang
    Khemah di Masjid Sultanah Haminah, Tanjung Radin yang sepatutnya digunakan pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan oleh Menteri Besar esok, ranap dalam kejadian ribut di Pendang, petang tadi.

    Sementara itu Setiausaha Politik Menteri Besar, Afnan Hanimi Taib Azamudden memaklumkan, majlis melibatkan Menteri Besar itu diputuskan untuk dibatalkan berikutan kejadian itu.

    “Menteri Besar menzahirkan rasa simpati atas musibah yang berlaku dan meminta supaya majlis esok dibatalkan disebabkan musibah yang tidak terduga ini.

    “Walau bagaimanapun penyerahan bantuan yang dijadualkan itu boleh diurus terus oleh pihak Pejabat Daerah, melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai, Datuk Dr. Hayati Othman dan ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob,” katanya.