Tag: pemilihan

  • Usul pinda Perlembagaan UMNO tangguh pemilihan parti lulus

    Usul pinda Perlembagaan UMNO tangguh pemilihan parti lulus

    PERHIMPUNAN Agung Khas UMNO hari ini sebulat suara meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO yang antara lain membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan perkara itu menerusi laman Twitter beliau.

    “Diluluskan pindaan perlembagaan dengan sebulat suara oleh perwakilan dalam #Dewan Merdeka, #WTCKL pada 15/5/2022. Alhamdulillah,” katanya menerusi ciapan terbaharunya.

    Usul pindaan perlembagaan parti itu yang membabitkan Fasal 10.16, Fasal 15.3 dan Fasal 18.2 terdahulu dibentangkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled di hadapan 2,586 perwakilan yang hadir.

    UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas

    Jika dihitung, tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 30 Disember 2022.

    Berdasarkan dokumen pindaan yang dibentang, ia memperuntukkan dua cadangan fasal baharu iaitu Fasal 10.16.1 yang menyebut Majlis Tertinggi (MT) UMNO berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MT, Bahagian dan Cawangan.

    Ia menyebut: “Penangguhan berkenaan tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan atau tidak lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat), yang mana terkemudian”.

    Fasal 10.16.2 pula menyatakan tarikh PRU yang dinyatakan dalam Fasal 10.16.1 bermaksud tarikh mengundi bagi PRU yang dinyatakan dalam writ vang dikeluarkan mengikut Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958 atau mana-mana undang-undang yang terpakai bagi tujuan sama.

    Sementara itu kedua-dua Fasal 15.3 dan 18.2 turut memperuntukkan penangguhan serupa bagi pemilihan jawatankuasa ketiga-tiga sayap – Wanita, Pemuda dan Puteri di peringkat bahagian dan cawangan.

    Persidangan Agung Khas UMNO itu berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang turut disusuli sambutan ulang tahun ke-76 parti terbesar orang Melayu itu dan jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO.

    Ia turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO. – BERNAMA

  • Pemilihan PKR: Rafizi akui wujud masalah teknikal

    Pemilihan PKR: Rafizi akui wujud masalah teknikal

    CALON Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli mengakui berlaku masalah teknikal di beberapa kawasan termasuk membabitkan peranti ketika proses pemilihan secara fizikal parti itu ketika ini.

    Beliau berkata, perkara tersebut boleh menimbulkan keresahan dan kekecewaan ahli parti yang keluar mengundi tetapi tidak dapat berbuat demikian susulan masalah berkenaan.

    “Yang ketara sekali kita memang ada masalah sistem seperti peranti ambil masa lama dan beberapa isu melibatkan pepijat sebab itu ada di beberapa tempat terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan kerana masalah ini.

    “Saya faham sebab JPP (Jawatankuasa Pemilihan Parti) perlu uruskan proses pemilihan melibatkan sejuta orang dan hanya ada masa dua bulan…kita minta mereka selesaikan masalah sebelum pemilihan minggu depan di beberapa negeri (keahlian) besar seperti Selangor,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Seremban malam tadi.

    Sehubungan itu, beliau akan menulis satu surat rasmi kepada JPP meminta supaya perkara itu diselesaikan dengan segera.

    Semalam, media melaporkan proses pengundian secara fizikal bagi pemilihan PKR di Cabang Padang Serai, Kedah terpaksa ditangguhkan selepas mendapat bantahan berikutan wujud rasa tidak puas hati selain masalah teknikal.

    Dalam pada itu, Mohd Rafizi berkata jumlah ahli parti itu yang keluar mengundi setakat ini lebih rendah berbanding pemilihan lepas tetapi perkara itu sudah dijangkakan berikutan sebahagian daripada mereka akan mengundi secara dalam talian. – BERNAMA

  • Siapa layak bersama Anwar? Saifuddin, Rafizi berentap dalam debat

    Siapa layak bersama Anwar? Saifuddin, Rafizi berentap dalam debat

    PROGRAM debat antara dua calon yang berebut jawatan Timbalan Presiden PKR iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli akan berlangsung pada 11 Mei ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, program ‘Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?’ akan berlansung di semua platform agensi media berkenaan.

    Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian, Rozaid Rahman berkata, program selama 90 minit itu akan bermula pada pukul 3 petang.

    Beliau dalam satu kenyataan berkata, program debat itu menjadi medan atau pentas untuk menguji kredibiliti Saifuddin dan Rafizi dalam mengemukakan hujah berhubung isu semasa, kepimpinan dan masa depan PKR.

    Ini kerana katanya, pemilihan PKR tahun ini dilihat sebagai petunjuk siapakah yang bakal mengambil alih pucuk pimpinan parti daripada Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Format debat tersebut akan dimulakan dengan sesi pengenalan Saifuddin dan Rafizi, disusuli soalan sesama mereka serta daripada moderator.

    Pemilihan PKR julung kali diadakan secara hibrid, iaitu secara fizikal dan dalam talian melalui aplikasi Adil yang diperkenalkan pada 28 Feb lalu.

    Proses pengundian dalam talian bermula 18 hingga 20 Mei ini selepas undian fizikal pada 13 hingga 17 Mei.

  • Pemilihan PKR: Sistem ‘cai’ tak berkesan – Fahmi Fadzil

    Pemilihan PKR: Sistem ‘cai’ tak berkesan – Fahmi Fadzil

    CALON Naib Presiden bagi Pemilihan PKR 2022, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil lebih meletakkan kepercayaan terhadap kebijaksanaan ahli PKR dalam mengundi berbanding strategi pembentukan ‘cai’ atau kem.

    Beliau berkata, ini kerana sistem ‘cai’ belum dapat dipastikan keberkesanannya kerana pada akhirnya ia bergantung kepada penilaian ahli PKR dalam sesuatu kem untuk memilih calon yang mereka rasa layak bagi memegang sesuatu jawatan yang dipertandingkan.

    “Ini yang baiknya satu anggota, satu undi. Kerana pada akhirnya, pemilihan itu bergantung kepada penilaian anggota terhadap mana-mana satu pimpinan dan sebenarnya sistem ‘cai’ ini lebih kepada sekiranya tokoh-tokoh (calon) itu mungkin kurang dikenali atau senarai (calon) itu panjang…

    “Dulu semasa pemilihan pada 2018, sememangnya wujud (keadaan) di mana (calon) tidak berapa dikenali maka mereka pilih siapa yang dicadangkan oleh mana-mana pihak tetapi bila kami teliti keputusan ia tidak memberi bayangan bahawa ‘cai’ ini berkesan,” katanya yang diminta mengulas mengenai pembentukan ‘cai’ bagi pemilihan parti itu tahun ini.

    Pengarah Komunikasi PKR itu berkata demikian pada sidang media berkenaan ‘Debat Perdana antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Tun Razak’ di sini hari ini. Turut hadir Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil. – BERNAMA

  • Maszlee bertanding Ketua PKR Cabang Simpang Renggam

    Maszlee bertanding Ketua PKR Cabang Simpang Renggam

    AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mengesahkan bertanding jawatan Ketua Cabang Simpang Renggam pada Pemilihan PKR 2022.

    Bekas menteri pendidikan itu mengesahkan perkara itu dalam kiriman WhatsApp kepada Bernama malam ini.

    “Ya saya akan bertanding Ketua Cabang Simpang Renggam,” katanya.

    Maszlee menyertai semula PKR pada November tahun lepas.

    Beliau pernah mendaftarkan diri sebagai ahli PKR pada 2017 di Cabang Ampang.

    Maszlee kemudian menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan dilantik sebagai Menteri Pendidikan Kerajaan Pakatan Harapan namun dipecat dari parti itu pada Mei 2020 seterusnya memutuskan untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas.

    Terdahulu media melaporkan tiga selebriti tanah air turut mencuba nasib pada pemilihan kali ini antaranya pelakon dan produser Datuk Adflin Shauki yang menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Ketua Cabang Setiawangsa.

    Proses Pemilihan PKR 2022 bermula Ahad lepas sehingga 11.59 malam ini bagi proses pencalonan peringkat cabang manakala pencalonan bagi jawatan tertinggi pusat dan sayap dilaksanakan semalam. – BERNAMA

  • Pemilihan PKR: Calon yang janji beri kerusi adalah pendusta

    Pemilihan PKR: Calon yang janji beri kerusi adalah pendusta

    PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepada semua ahli parti agar jangan terperdaya dengan janji mana-mana calon yang bertanding dalam pemilihan untuk memberi kerusi pilihan raya kepada individu-individu tertentu.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menyifatkan mereka yang menabur janji sedemikian sebagai ‘pendusta’.

    “Kalau ahli-ahli itu juga memilih orang kerana janji, ramai yang janji umpamanya kerusi ini kamu punya, kerusi ini pak mentua kamu punya, nasib kamulah.

    “Saya nak bagitahu sebagai Presiden, saya belum tahu sama ada pertandingan atau tidak, tetapi ditakdirkan saya kekal Presiden, saya nak beritahu setakat ini sehingga hari ini saya belum menjanjikan kerusi bagi sesiapa di negara ini termasuk saya.

    “Jadi, orang yang janji itu bulan Ramadan ini termasuk pendusta. Jangan kita tertipu dengan cara yang sedemikian kerana ia tidak membantu,” katanya seperti dipetik daripada rakaman video yang disiarkan dalam laman Facebook beliau.

    Ucapan itu disampaikan pada majlis berbuka puasa anjuran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di Seremban, malam tadi.

    Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut mengingatkan bahawa soal pembahagian kerusi bukan ditentukan oleh PKR secara bersendirian kerana ia perlu diputuskan secara bersama dengan pemimpin-pemimpin DAP dan Amanah.

    “Ini soal urusan parti dan saya sebagai Pengerusi PH umpamanya walaupun calon itu calon PKR, itu kerusi PKR, selalu saya bawa maklumat ini untuk bincang dengan pimpinan. Dulu Guan Eng, sekarang Anthony Loke dan Mohamad Sabu.

    “Jadi kita bincang sebagai satu pasukan untuk maklumkan. Mereka pun begitu juga, calon-calon dimaklumkan, setelah kita setuju dengan pembahagian kerusi,” jelasnya.

    Beliau berkata, calon-calon yang terlibat dalam pemilihan hendaklah bertanding secara baik dan bukan mengadu domba seperti budaya parti-parti lain yang sudah mulai rosak.

    Pada masa yang sama, Anwar menempelak individu tertentu dalam PKR yang hanya muncul pada musim pemilihan parti.

    “Kadang-kadang saya lihat bila masa pertandingan parti ini, dia berhempas pulas, hebat luar biasa.

    “Yang tak pernah nampak datang menonjol. Tetapi selepas itu dia tenggelam, tanpa suara, tanpa berita. Jangan jadi begitu,” katanya.

  • Dr Annuar umum pertahan jawatan Naib Presiden PBB

    Dr Annuar umum pertahan jawatan Naib Presiden PBB

    NAIB Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dr Annuar Rapaee akan bertanding mempertahankan jawatannya pada Konvensyen PBB Sarawak, Jun depan.

    Dr Annuar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka membuat pengumuman tersebut pada mesyuarat agung tiga tahun sekali PBB Cawangan Nangka, hari ini.

    Selain itu, selaku ADUN Nangka beliau secara automatik memegang jawatan pengerusi di kawasan itu mengikut Perlembagaan parti.

    Sebelum ini, beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Innovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak telah memenangi jawatan Naib Presiden di Konvensyen PBB Sarawak pada 2018 dengan mendapat 764 undi.

    “Saya akan bertanding mempertahankan jawatan Naib Presiden yang saya sandang sejak 2018. Saya tidak akan bertanding jawatan lain,” katanya. – Bernama

  • Pemilihan PKR: Pencalonan 20 ahli MPP, AMK dan Wanita ditangguh

    Pemilihan PKR: Pencalonan 20 ahli MPP, AMK dan Wanita ditangguh

    PENCALONAN 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi pemilihan PKR 2022 yang dijadual pada Isnin ini (11 April) ditangguh pada 28 Mei depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa.

    Beliau berkata, penangguhan itu turut melibatkan pencalonan bagi 20 Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan 20 Ahli Majlis Wanita Pusat.

    Bagaimanapun, menurutnya pencalonan bagi jawatan enam pimpinan utama MPP iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan empat Naib Presiden serta lima jawatan utama AMK dan Wanita dikekalkan pada 11 April ini.

    “JPP menerima baik pandangan ahli-ahli Majlis Biro Politik yang bersidang pada 6 April dan merasakan bahawa penangguhan dan pertukaran tarikh ini bertepatan dengan proses pemilihan yang bakal dilaksanakan di Kongres Nasional kelak.

    “Kempen boleh dilakukan calon-calon menjadi lebih bersasar apabila individu yang menang akan diketahui lebih awal pada 21 Mei, setelah pemilihan yang dilaksanakan secara hibrid di peringkat cabang selesai pada 20 Mei. Mereka yang menang inilah bakal menjadi perwakilan ke Kongres Nasional dan layak memilih pada hari tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula hari ini hingga Ahad melibatkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara yang menyaksikan proses pencalonan dilaksanakan secara dalam talian.

    Pemilihan parti ini melibatkan jawatan tertinggi PKR iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan empat Naib Presiden, selain kepimpinan tertinggi sayap parti serta cabang.

    Pemilihan kali ini dijangka menyaksikan pertembungan menarik bagi jawatan Timbalan Presiden apabila Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Naib Presiden Rafizi Ramli mengesahkan bertanding jawatan tersebut.

    Bagi jawatan Naib Presiden pula antara nama calon dijangka bertanding ialah Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Pengelola Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Wanita Fuziah Salleh dan Ketua Penerangan Fahmi Fadzil.

    Selain itu, aktivis mahasiswa Adam Adli pula mengesahkan bertanding jawatan Ketua AMK. – BERNAMA

  • Saifuddin berentap dengan Rafizi rebut jawatan Timbalan Presiden PKR

    Saifuddin berentap dengan Rafizi rebut jawatan Timbalan Presiden PKR

    PERSAINGAN menjelang pemilihan PKR semakin berbahang apabila Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR akan berentap dengan Rafizi Ramli, dan setakat ini belum ada calon lain yang mengumumkan bertanding jawatan tersebut.

    Memetik laporan Malaysiakini, Saifuddin membuat pengumuman itu dalam perutusan khas selepas Mesyuarat Agung Wanita PKR dan Angkatan Muda Keadilan Kelantan di Mulong, Kota Bharu.

    Saifuddin membangkitkan pengalamannya dalam PKR dan ketaatannya kepada pimpinan dan perjuangan parti selama lebih dua dekad dan memohon agar seluruh anggota memberi sokongan kepadanya.

    “Saya bertekad meneruskan usaha sehabis daya membantu institusi Presiden yang kini disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim, seperti mana sebelumnya membantu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengukuh dan mempersiap parti menghadapi pilihan raya umum bersama rakan-rakan pimpinan seluruhnya,” katanya.

    Turut hadir ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang merasmikan mesyuarat agung tersebut.

    Saifuddin dan Rafizi sebelum ini pernah bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, masing-masing pada 2014 dan 2018. Kedua-duanya tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Bekas Setiausaha Politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak juga dikatakan akan bertanding jawatan itu, namun berkata sedia memberi laluan kepada Saifuddin.

    Sementara itu Saifuddin mengalu-alukan pengumuman awal Rafizi yang turut menawarkan diri.

    “Sejujurnya Rafizi merupakan aset parti, seorang yang kreatif, intektual, tinggi daya juang dan dihormati rakan dan lawan.

    “Justeru persaingan ini adalah tawaran dua rakan yang ingin terus menyumbang kepada keutuhan parti melalui proses demokrasi yang diizinkan di dalam perlembagaan parti,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bahru.

    Beliau juga komited membawa pendekatan kerja berpasukan dan akan memposisikan diri sebagai ‘team player’ yang menghargai sumbangan setiap orang di dalam parti

    Katanya, ia terbukti apabila turut mempersiapkan parti dalam menghadapi tiga pilihan raya umum sebelum ini, termasuk urusan rundingan kerusi, perangkaan manifesto, perancangan strategi, pengukuhan jentera dan kempen seluruh negara.

    “Pada ketika lanskap politik negara sudah banyak berubah yang menyaksikan tiada lagi dominasi tunggal satu parti politik yang mampu menang pilihanraya, maka kemahiran diplomasi politik menjadi suatu keperluan.

    “Saya membawa pengalaman tatkala parti bersama Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan. Saya berhasrat memanfaatkan sedikit kemahiran membantu parti dalam perkara berkait diplomasi politik dalam memelihara hubungan dengan parti-parti sahabat di dalam PH dan parti-parti lain di negara kita.

    “Saya juga berjanji akan menghormati keputusan setiap anggota parti yang membawa maksud jika terpilih, saya akan tunaikan amanah dan jika sebaliknya saya akan terus kekal berkhidmat untuk PKR dalam apa jua peranan,” jelasnya.

  • Fuziah sah bertanding jawatan Naib Presiden PKR

    Fuziah sah bertanding jawatan Naib Presiden PKR

    KETUA Wanita PKR, Fuziah Salleh mengumumkan beliau akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti Mei ini.

    Memetik laporan Malaysiakini, langkah itu berikutan keputusan Majlis Pimpinan Pusat Wanita PKR yang sebulat suara menamakan Fuziah sebagai calon bertanding jawatan tersebut.

    “Itu keputusan musyawarah majlis pimpinan Wanita Pusat dan hujahnya juga jelas supaya lebih ramai wanita terlibat dalam arus perdana parti dan tidak terhad kepada sayap.

    “Walaupun, saya agak sibuk dengan tugas saya selaku Pengarah Pilihan Raya pusat kini dan mungkin tiada masa untuk berkempen. Namun,saya hormat permintaan mereka.

    “Maka, dengan rendah diri saya akur dengan permintaan tersebut,” kata Ahli Parlimen Kuantan itu.

    Dalam perkembangan sama, Fuziah memohon semua anggota parti dari sayap wanita supaya menjadi sebagai pengurus kempen.

    “Pada awalnya, saya ingat saya tidak mahu bertanding sebab sibuk dengan tugas sebagai pengarah pilihan raya.

    “Ini kerana mungkin PRU-15 (boleh diadakan) bila-bila masa sahaja. Tapi, akhirnya saya akur.

    “Cuma saya pohon semua wanita di seluruh negara melantik diri mereka sebagai pengurus kempen saya,” katanya.

    Beliau merupakan Naib Presiden PKR bagi penggal 2010-2014.

    Fuziah memangku jawatan Ketua Wanita PKR selepas penyandangnya, Haniza Mohamad Talha dilucutkan keanggotaan dari parti.

    Sementara itu, dalam kenyataan media hari ini, Setiausaha Wanita PKR, Nor Azrina Surip berkata, sudah tiba masanya parti itu menterjemahkan jumlah perwakilan wanita dalam barisan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) agar memenuhi kehendak perlembagaannya.

    “MPWP yang telah bermesyuarat baru-baru ini pada 25 Mac 2022, memutuskan untuk mengangkat suatu keputusan yang besar yang pastinya akan menambah nilai kepada apa yang termaktub dalam perlembagaan parti ini.

    “MPWP dengan ini telah sebulat suara memutuskan untuk menamakan Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh sebagai calon Naib Presiden dari Wanita dalam pemilihan parti yang bakal diadakan pada bulan Mei nanti,” katanya.

    Menurut Nor Azrina yang juga Ahli Parlimen Merbok, keputusan tersebut adalah selaras dengan Perlembagaan Parti Fasal 5.14 yang mengiktiraf martabat dan peranan wanita sebagai tonggak dan penggerak masyarakat.