Tag: Pejuang

  • Pejuang tidak terlibat cubaan tukar kerajaan

    Pejuang tidak terlibat cubaan tukar kerajaan

    PRESIDEN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini berkata, parti itu hanya memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan tidak akan terlibat dengan sebarang percubaan untuk menukar kerajaan sedia ada.

    Beliau turut menegaskan, parti itu tidak terlibat dalam dakwaan terbaharu bahawa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mendapat sokongan 119 Ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri semula.

    Beliau berkata, sekiranya benar, perkara tersebut perlu dibuktikan serta tidak boleh sekadar mendakwa sahaja.

    “Dalam hal percaturan politik nak tumbangkan kerajaan sedia ada, tukar Perdana Menteri kami (Pejuang) tak campur tangan. Kami pun empat orang sahaja, bagi kami (Pejuang) hanya membuat persiapan menghadapi PRU15.

    “Saya ingat rakyat pun dah meluat kalau asyik nak tukar-tukar ini, dah penat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pemukiman Parti Pejuang Negeri Kelantan yang turut dihadiri Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya di Kota Bharu hari ini.

    Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa beliau dihubungi Muhyiddin bagi mendapatkan sokongan untuk menjadi Perdana Menteri semula kerana sudah mendapat sokongan 119 ahli Parlimen. – BERNAMA

  • PRU-15: Pejuang hasrat bertanding di Sabah – Mukhriz

    PRU-15: Pejuang hasrat bertanding di Sabah – Mukhriz

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) berhasrat untuk bertanding di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

    Mukhriz, bagaimanapun berkata, parti itu belum membuat sebarang keputusan berkaitan jumlah kerusi dan kawasan ditandingi di Sabah pada PRU-15.

    “Insya-Allah, kita (Pejuang) akan menyertai pilihan raya umum termasuk di Sabah tetapi belum ada keputusan dibuat berkaitan jumlah kerusi, di mana (kawasan) hendak bertanding dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar bersama Pejuang Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

    Turut hadir Ketua Pejuang Sabah, Nicholas Sylvester Abdullah.

    Mengenai Pejuang Sabah, Mukhriz berkata, ia akan dilancarkan secara rasmi di negeri ini pada 22 Mei ini, selain pihaknya turut bercadang untuk memperluaskan lagi pengaruh parti itu di semua 25 kawasan Parlimen seluruh Sabah sebagai antara persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

    Mukhriz berkata, Pejuang berharap dapat membuka cawangan di semua kawasan Parlimen itu dan pada masa ini mempunyai 16 cawangan yang sekali gus menjadi negeri ketiga mempunyai keahlian paling ramai selepas Kedah dan Selangor.

    Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya bersikap terbuka untuk membuat perbincangan mengenai jalinan kerjasama dengan mana-mana parti bagi mendepani PRU-15 bukan hanya di Sabah tetapi juga di Semenanjung Malaysia.

    Katanya, semua pihak walaupun mempunyai perbezaan ideologi politik, namun masing-masing memiliki persamaan iaitu untuk mengubah corak politik negara sepertimana pada PRU-14 lepas.

    Mengulas agenda “khemah besar” dibawa oleh Pakatan Harapan (PH), Mukhriz berkata, Pejuang ingin mendengar dan memahami terlebih dahulu maksud sebenar tawaran itu.

    “Apa peranan setiap parti termasuk kami yang dianggap sebagai parti kecil, hanya empat ahli Parlimen. Jadi kita mahu beri ruang kepada mereka untuk menerangkan maksud sebenar ‘khemah besar’ itu.

    Kalau ingat zaman PH pasca PRU14, ’khemah besar’ yang diwujudkan ketika itu memberi ruang kepada semua parti tidak kira berapa jumlah kerusi dimenangi penyertaan dalam jemaah menteri. Itu satu pendekatan. Jadi kita nak faham apakah pendekatan seperti itu juga hendak diamalkan atau ada pihak tertentu akan mendominasi ‘khemah besar’ tersebut,” katanya. – BERNAMA

  • PAS sedia jumpa pemimpin parti politik termasuk Tun Mahathir – Abdul Hadi

    PAS sedia jumpa pemimpin parti politik termasuk Tun Mahathir – Abdul Hadi

    PAS bersedia untuk bertemu mana-mana pemimpin parti politik bagi membentuk kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), selagi ia berpaksikan kepada penyatuan ummah.

    Menurut Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, ia termasuklah dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membentuk kerjasama politik.

    Katanya, PAS bersikap terbuka terhadap mana-mana parti yang menerima konsep dan perjuangan parti itu ke arah perpaduan ummah.

    “Ya, dengan siapa sahaja, kita jumpa… akan diaturkan. Insya-Allah dengan semua untuk menyatukan ummah,” katanya ringkas ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila, hari ini, lapor Harian Metro.

    Semalam, Pejuang mendedahkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir dalam usaha membentuk kerjasama baharu menjelang PRU-15.

    Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilapor berkata, pertemuan itu berlangsung dua minggu lalu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Mengulas mengenai pertemuan dua pemimpin berkenaan, Abdul Hadi berkata, PAS turut dimaklumkan mengenainya.

    “Ya (kita) dimaklumkan (pertemuan itu),” ujarnya.

    Sementara itu, Abdul Hadi meminta umat Islam di negara ini agar memanfaatkan kelonggaran diberikan kerajaan dengan mengimarahkan masjid dan surau seiring fasa peralihan ke endemik yang bermula hari ini.

    Menurut beliau, kebenaran untuk solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal juga perlu dimanfaatkan sepenuhnya selepas dua tahun larangan dikuatkuasakan berikutan pandemik COVID-19.

    Bagaimanapun Ahli Parlimen Marang itu tetap mengingatkan semua pihak agar terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mencegah penularan COVID-19, selain mengambil vaksin.

    “Alhamdulillah kita kena manfaatkan peluang kebebasan yang diberi ini untuk makmurkan masjid dan meneruskan kerja masing-masing.

    “Jangan takut dan pada masa yang sama kita mestilah jaga kesihatan, pencegahan kena jaga, vaksin kita ambil, kena ada ikhtiar,” katanya.

    Menurut Abdul Hadi, masyarakat perlu mengambil suntikan vaksin Covid-19 sebagai usaha membendung jangkitan berkenaan daripada menjadi semakin buruk.

    Hari ini adalah hari pertama negara memasuki fasa peralihan ke endemik yang menyaksikan beberapa kelonggaran diberikan termasuk pembukaan sempadan negara, selain kebenaran bersolat jemaah di masjid dan surau tanpa penjarakan fizikal.

  • PRU-15: Pejuang terbuka kerjasama dengan Bersatu, PAS

    PRU-15: Pejuang terbuka kerjasama dengan Bersatu, PAS

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak kisah untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pejuang terbuka untuk menjalinkan kerjasama tersebut asalkan parti-parti terlibat termasuk Bersatu dan PAS bersifat ikhlas dan bersih.

    “Kalau dia ikhlas dan bersih, kita terima. Kita tak kisah siapa pun,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan bakul Ramadan kepada ahli kariah Masjid Nur Al-Naim, Jalan Makam Mahsuri di Langkawi, hari ini.

    Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun menegaskan, dakwaan di media sosial mengenai penubuhan Gerakan Pejuang Nasional (GPN) yang turut melibatkan kedua-dua parti itu selain Gerakan dan Parti Warisan Sabah (Warisan) setakat ini tidak berlaku.

    “Waktu ini kita tak bergabung dengan sesiapa sebab kalau kita nak bergabung dengan parti lain, mereka nak buat cara dia, kita nak buat cara kita.

    “Kita cuba berjuang untuk orang Melayu supaya orang Melayu tidak meminta-minta pada orang lain. Itu perjuangan kita tetapi orang yang datang dari parti lain, mereka asyik kira duit, nak bagi duit sana dan sini beli undi.

    “Itu kita tak bolehlah. Kita anggap beli undi itu satu jenayah, satu kesalahan,” katanya.

    Mengulas mengenai kekalahan Pejuang di Johor, Dr Mahathir berkata antara punca kekalahan tersebut adalah kerana parti itu tidak mempunyai duit.

    “Orang (parti) lain semua bagi duit sampaikan bila kita telefon orang untuk kempen supaya undi Pejuang, mereka tanya berapa nak bagi duit?

    “Dia kata UMNO bagi RM200 dan tanya nak bagi berapa? Kita kata tak boleh bagi apa pun pasal kita tak ada duit sedangkan parti ini hanya berjuang untuk bangsa dan negara.

    “Jadi dia tak undi kita, dia nampak RM200. Sedangkan RM200 itu boleh tahan lama mana?” katanya.

  • Pejuang kekal dalam arena politik walaupun kalah teruk PRN Johor

    Pejuang kekal dalam arena politik walaupun kalah teruk PRN Johor

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan meneruskan perjuangan dalam arena politik Malaysia meskipun mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, kata Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Akur dengan kekalahan Pejuang di kesemua 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dalam PRN Johor itu serta hilang semua deposit, Dr Mahathir berkata, Majlis Eksekutif dan biro politik Pejuang bagaimanapun sebulat suara tekad untuk meneruskan perjuangan dalam arena politik negara.

    Barisan Nasional (BN) menang besar dalam PRN Johor pada 12 Mac apabila menawan 40 daripada 56 kerusi DUN Johor yang ditandingi. Pakatan Harapan pula menang 11 kerusi, Perikatan Nasional (tiga), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan PKR masing-masing satu kerusi.

    Dr Mahathir dalam sidang media di Putrajaya hari ini berkata, Pejuang akan terus memperjuangkan isu keperluan rakyat khususnya orang Melayu dan negara amnya.

    “Kita (Pejuang) sebelum ini banyak tumpu untuk banteras rasuah sehingga kurang menekankan mengenai masalah dihadapi oleh rakyat seperti pengangguran dan tidak cukup makan.

    “Perkara seperti ini tidak diberi penekanan oleh Pejuang sehingga menyebabkan pengundi tidak tertarik kepada parti ini,” katanya dan menambah Pejuang akan terus memperbaiki perkara tersebut.

    Ditanya adakah akan wujud gabungan parti pembangkang bagi menentang BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bekas Perdana Menteri itu berkata terdapat kemungkinan perkara itu akan berlaku.

    “Ada kemungkinan…cadangan ada disuarakan beberapa parti pembangkang supaya tidak berpecah, berpecah ini hanya menyebabkan kita kalah. Cadangan ini (pembangkang bergabung) perlu dikaji secara mendalam,” katanya.

    Sementara itu, Dr Mahathir berpendapat, PRU15 wajar diadakan apabila rakyat benar-benar bersedia bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab dengan baik. – BERNAMA

  • PRN Johor: MB Johor hadapi tentangan calon PN, Pejuang, PKR

    PRN Johor: MB Johor hadapi tentangan calon PN, Pejuang, PKR

    itik patah kaki

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berdepan pertandingan empat penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

    Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dan penyandang kerusi berkenaan ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Senator Datuk Isa Ab. Hamid; calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Iskandar Noor Ibrahim dan calon PKR, Haniff Ghazali Hosman.

    Isa ialah wakil daripada kalangan masyarakat Orang Asli di Dewan Negara.

    Pengumuman pencalonan keempat-empat calon berkenaan dibuatkan Pegawai Pengurus (RO) Pilihan Raya DUN Benut, Mohd. Rafi Abdullah.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Hasni memenangi kerusi DUN Benut dengan 9,480 undi, berbanding calon Zulkifly Tasrep (PKR) meraih 5,033 undi, manakala Mohd. Firdaus Jaafar (PAS) mendapat 2,590 undi.

    Hasni menang dengan majoriti 4,447 undi.

  • Sehari sebelum penamaan calon, Pejuang tukar calon Endau

    Sehari sebelum penamaan calon, Pejuang tukar calon Endau

    CALON Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menukar calonnya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau selepas individu yang dipilih positif COVID-19.

    Memetik laporan FMT, Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin berkata, Zaini Tahar akan digantikan dengan Mohd Noorhisyam Ibrahim.

    “Dukacita dimaklumkan bahawa calon N32 (Endau) yang diumumkan semalam telah didapati positif COVID-19.

    “Beliau juga tidak hadir dalam Majlis Pengumuman Calon semalam di Muar,” katanya dalam kenyataan.

    Pejuang semalam mengumumkan 42 calon akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

    Esok adalah hari penamaan calon.

  • Pejuang rayu rakyat Johor tolak pihak yang angkuh

    Pejuang rayu rakyat Johor tolak pihak yang angkuh

    PRESIDEN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir merayu semua pengundi termasuk yang tinggal di luar Johor supaya menggunakan peluang keemasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bahawa mereka tidak bertolak ansur dengan pihak yang menyalahgunakan kuasa secara angkuh.

    Memetik laporan BH, beliau berkata, PRN Johor tidak terhad kepada rakyat di negeri tersebut sahaja.

    Mukhriz memberitahu, PRN Johor sangat diperhatikan rakyat Malaysia kerana ia bakal memberi impak besar kepada suasana politik negara kerana dikatakan Dewan Rakyat segera dibubar jika Barisan Nasional (BN) menang dua pertiga.

    Menurut beliau, pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat bakal mendedahkan seluruh negara kepada penularan COVID-19 sewaktu sebahgian besar rakyat berdepan cabaran menyara keluarga.

    “Saya sangat mengharapkan seramai mungkin rakyat Johor keluar mengundi, itu satu perkara sangat penting, kalau peratusan keluar mengundi tak lebih 65 peratus, kita boleh agak siapa menang.

    “Tetapi kalau melebih 70 ke 75 peratus, saya rasa akan berlaku satu perubahan ke arah kebaikan bagi rakyat Johor, malah rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya, hari ini.

    Pejuang akan bertanding 42 daripada 56 kerusi pada PRN Johor secara solo, tanpa kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

    Dalam perkembangan sama, Mukhriz menambah, Pejuang menawarkan sebuah kerajaan negeri yang penyayang, yang komited mencari penyelesaian kepada keperluan rakyat daripada aspek sosial, ekonomi dan pendidikan.

    Menurut beliau, tawaran itu selari dengan kehendak rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang prihatin terhadap keperluan mereka dan benar-benar membela nasib rakyat.

    Kata Mukhriz, rakyat juga mahukan sebuah kerajaan yang tidak sibuk bermain politik kerana ia tidak mendatangkan manfaat buat mereka.

    “Tawaran Pejuang (di Johor) ialah sebuah kerajaan penyayang.

    “Sebuah kerajaan penyayang bermaksud apa juga keperluan rakyat baik dari sosial, pendidikan dan ekonomi, kita kena betul-betul cari satu penyelesaian yang memberi impak kepada rakyat secara positif,” jelasnya.

    Beliau berkata, Pejuang turut memberi keutamaan untuk merancakkan semula pertumbuhan ekonomi Johor yang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun dua tahun berturut-turut akibat pandemik COVID-19.

    Jelasnya, masalah sama turut dihadapi negeri lain tetapi Johor menerima kesan lebih ketara apabila pergerakan antara Johor dan Singapura sangat terhad menyebabkan bukan sahaja pelancong tidak dapat masuk, malah ada 200,000 pekerja rakyat Johor tidak boleh balik seperti biasa.

    “Jadi perbelanjaan mereka sekarang semuanya di Singapura dan negara itu dapat nikmat. Tetapi impak negatifnya dirasai peniaga-peniaga di Johor dan secara keseluruhannya ekonomi Johor agak terjejas.

    “Ada beberapa perkara lain akan diberi perhatian juga tetapi saya kira kalaulah dapat kita selesaikan masalah ekonomi ini, ia akan ada kesan (positif) kepada aspek lain kehidupan rakyat Johor,” ujarnya.

  • PRN Johor: Pejuang tiada hasrat sertai khemah besar PH

    PRN Johor: Pejuang tiada hasrat sertai khemah besar PH

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) buat masa ini tidak berhasrat untuk menyertai khemah besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu masih bergerak solo untuk bertanding pada PRN Johor dan sebarang kerjasama dengan gabungan parti lain masih dalam pertimbangan.

    “Kami (Pejuang) tidak akan menyertai mana-mana gabungan dan calon-calon kita akan bertanding di atas tiket Pejuang.

    Pada waktu ini kita tidak berhasrat untuk menawarkan calon-calon kita di bawah lambang PH atau menyertai khemah besar PH,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat “Sepetang Bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir” di Kuala Lumpur hari ini.

    Mukhriz bagaimanapun mengakui terdapat perbincangan bersama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), namun sebarang bentuk keputusan kerjasama politik sewaktu PRN Johor belum dimuktamadkan.

    Beliau berkata, sekiranya perbincangan itu mencapai kata putus, pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.

    “… tapi dengan pihak lain tiada perbincangan yang betul-betul mendalam, contohnya seperti PH,” katanya.

    Pada 24 Jan, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH, berkata, semua parti pembangkang termasuk Pejuang, Warisan dan Muda perlu bekerjasama di bawah satu khemah besar bagi menghadapi PRN Johor.

    Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 22 Jan lepas untuk memberi laluan kepada PRN Johor. – BERNAMA

  • PRN Johor: Penglibatan Pejuang amanah yang perlu dipikul

    PRN Johor: Penglibatan Pejuang amanah yang perlu dipikul

    PENGLIBATAN parti Pejuang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul oleh setiap ahli parti itu.

    Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohammad dalam surat kepada ahli Pejuang yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya hari ini, turut melahirkan rasa terkilan kerana beliau tidak dapat bersama dalam menghadapi PRN Johor berikutan masih perlu mendapatkan rawatan di hospital.

    “Saya juga berdoa agar perjuangan kita akan sentiasa dirahmati dan mendapat keredhaan Allah SWT. Teruskan perjuangan dan jangan sesekali kita mundur tidak kira apa rintangan dan cabaran yang mendatang,” katanya dalam hantaran tersebut.

    Bekas perdana menteri itu berkata, walaupun tidak dapat bersama pada pilihan raya negeri itu, semangat dan jiwa beliau mengiringi ahli-ahli parti Pejuang dalam setiap langkah yang diambil.

    “Bagi saya perjuangan untuk negara tidak pernah ada noktah seperti juga melaksanakan ibadah yang perlu. Perjuangan juga bagi saya satu ibadah malahan satu amanah yang perlu kita pikul selagi hayat dikandung badan,” katanya lagi.

    Dalam pada itu, Dr Mahathir yang menyatakan beliau kini beransur pulih turut mengucapkan terima kasih kepada ahli parti dan seluruh rakyat di negara ini, yang telah mendoakan kesihatannya.

    “Insya-Allah saya akan kembali pulih seperti sediakala dan kita akan bertemu dan bersama-sama meneruskan perjuangan,” katanya. – BERNAMA